Tuesday, 4 February 2014

Pilihanraya, Hari Raya Dan Hantu Raya


Pilihanraya kecil DUN Kajang barangkali merupakan pilihanraya paling unik dan menarik. Sejak rakyat Malaysia mengenal apa itu pilihanraya, inilah pilihanraya yang paling menjadi tumpuan dan diperbualkan ramai orang. Menariknya pilihanraya kecil ini tentu faktor utamanya ialah kerana Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Dengan Anwar bertanding dan dikhabarkan akan menjadi Menteri Besar Selangor selepas itu dan kemudian dijadikan laluan menawan Putrajaya, bukan saja UMNO dan BN yang kepanasan dan terasa bahangnya, malah rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat juga ada turut terlompat seolah-olah kejutan yang berlaku membuatkan mereka tergeletek sama.

Pilihanraya bagi orang politik adalah umpama hari raya. Ini kerana ketika pilihanraya, sentiasa meriah dengan makan minum, baju T dan topi yang silih berganti serta duit belanja yang boleh diminta sesuka hati.

Baik pilihanraya besar atau pilihanraya kecil, itulah resam dan kelazimannya.

Dalam pilihanraya DUN Kajang ini, walaupun ia hanya hanya sebuah pilihanraya kecil, faktor Anwar dan kerusi Menteri Besar yang direbutkan menjadikan ianya menarik dan diberikan tumpuan. Meskipun Anwar diramalkan tidak mempunyai banyak masalah untuk menang, namun kempen dan gerak kerja sudah pun bermula.

Kemeriahan yang dibawa bersama kehadiran Anwar ke Kajang bukan saja menyebabkan orang berpusu-pusu ke bandar itu, malah peniaga makanan, penjual baju T dan topi yang berkaitan Kajang atau mempunyai gambar wajah Anwar, dilaporkan mulai sibuk menambah bekalan bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat.

Jika BN sudah memutuskan turut bertanding nanti, kemeriahan Kajang tentunya lebih berganda. Di sebalik tidak ramai yang yakin BN mampu meraih kemenangan, namun sebagai kerajaan BN pastinya tidak memandang randah pilihanraya ini, lebih-lebih lagi lawan yang dihadapi ialah Anwar. Kempen, gerak kerja, majlis perasmian itu ini dah pelbagai peruntukan sudah pasti melimpah ruah. Pilihanraya akan benar-benar seperti hari raya.

Di pihak BN, walaupun hampir tidak ada yang yakin calonnya mampu mencipta kemenangan, masih ada yang melihatnya dari sudut yang berbeza. Sementara calon BN belum diputuskan sama ada daripada UMNO atau MCA yang diberi tanggungjawab menggalas cabaran, muncul pula pihak yang tidak malu-malu menawarkan diri sebagai calon untuk mewakili BN.

Sehingga ini saja, dua individu menawarkan diri untuk bertading mewakili BN bagi menentang Anwar. Mereka ialah Presiden Parti India Bersatu Malaysia atau MUIP, Nallakaruppan dan penyanyi yang agak terkenal suatu ketika dahulu iaitu Herman Tino.

Nalla adalah bekas rakan karib Anwar dan hasratnya bertanding ialah tidak lain untuk mendedahkan segala rahsia Anwar yang didakwa diketahuinya semasa mereka "bercium mulut" suatu ketika dahulu. Beliau yang meminta hasratnya untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil agar dipertimbangkan, nampaknya tidak berhasrat langsung untuk menang, sebaliknya hanya mahukan ruang kempen selama beberapa hari itu sebagai medan untuk mendedahkan keburukan Anwar.

Tidak mustahil jika Nalla bertanding, tayangan video berkaitan Anwar akan menjadi sebahagaian acara kempennya. Dapat dibayangkan, kempen beliau pasti lebih meriah daripada sambutan Hari Raya.

Herman Tino yang hanya mengumumkan untuk bertanding di laman twiter miliknya, juga meminta BN tidak bertanding dan membiarkan saja dirinya menentang Anwar yang disifatkannya mempunyai pesona tetapi penuh kepalsuan. Lagi pula, kata Herman Tino, beliau hanyalah penyanyi dan jika kalah, masih boleh terus menyanyi. Namun tidak diberitahu pula bentuk kempen yang bakal dilakukannya nanti.

Oleh kerana mahu menentang Anwar juga, seorang lagi yang turut menawarkan diri ialah Yuktes Vijay, bekas pembantu Sankara Nair, peguam Anwar Ibrahim. Sama seperti Nalla, Yuktes yang mahu bertanding sebagai calon Bebas juga bukan menyertai pilihanraya ini kerana mahu menang atau ghairah bergelar YB, tetapi semata-mata mahu menyerang, mendedahkan keburukan dan mungkin membalas dendam terhadap Anwar.

Secara kasarnya, hasrat ketiga-tiga ini menawarkan diri sebagai calon adalah kerana perselisihan peribadi, dendam, ingin popular dan dikenali, menarik perhatian pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan atau mungkin sebab-sebab lain yang mereka saja ketahui.

Tetapi kehadiran mereka yang tidak malu-malu menawarkan diri sebagai calon ini, benar-benar menjadikan pilihanraya di Kajang ini seperti Hari Raya. Ia umpama kemeriahan Hari Raya yang sudah dapat dirasakan sebelum pun ketibaan bulan puasa.

Dengan mengambil kira kehadiran Nalla dan Yuktes sebagai calon, selain Hari Raya, pilihanraya kecil ini juga boleh dikaitkan dengan kemunculan hantu raya. Dalam tafsiran Wikipedia, hantu raya ialah sejenis makhluk halus yang dipelihara dan diberi makan sebagaimana dipersetujui serta berperanan melakukan tugas sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya seperti merasuk orang, melakukan kerja berat dan mempunyai kemampuan menjelma dalam beberapa bentuk. Sekiranya tidak dijaga dengan baik, hantu raya yang kelaparan akan menyerang tuannya.

Apakah hantu raya politik ini muncul kerana ingin makan tuan yang pernah menjaga mereka suatu ketika dahulu atau pun hantu raya ini memang ada tuannya yang tertentu yang menyuruhnya membuat kacau sebagaimana yang diarahkan dan dipersetujui?

Jika Nalla dan Yuktes boleh dianggap hantu raya politik yang sudah kehilangan tuan atau sudah mempunyai tuan baru, Herman Tino pula mungkin sedang belajar mahu menjadi hantu raya dalam politik. Untung-untung ada yang sanggup menjadi tuannya atau tidak mustahil terus menjadi hantu raya tanpa tuan.

Pilihanraya, hari raya dan hantu raya bukan saja akan menjadikan Kajang meriah sepanjang kempennya, bahkan tidak mustahil mencatat sejarah tersendiri untuk negara. (SH 04/02/2014)

4 comments:

  1. ini ayat yang sedap "Sekiranya tidak dijaga dengan baik, hantu raya yang kelaparan akan menyerang tuannya."

    ReplyDelete
  2. Apa tidak melompatnya umno bila tangannya sedang syok mencekik leher rakyat kajang dan rakyat Malaysia dengan kenaikkan kos sara hidup tiba-tiba kena sergah oleh Dsai.Kesan -kesan cekikan tersebut sangat dirasakan rakyat kajang dan pada masa yang sama umno cuba mencari helah mengambil hati supaya kesakitan cekikkan face to face kepada rakyat kajang itu dapat dikurangkan.Itu pasai hantu raya dipanggil untuk membantu mereka dan bila umno sudah berbuat jahat tanpa berselindung terpaksalah mereka menyerang segala keperibadian Dsai supaya nampak mereka kononnya lebih baik.

    ReplyDelete
  3. hantu raya umno makan kangkung bukan telur

    ReplyDelete
  4. Sate kajang tidak sepopular dulu. Harap medan sate kajang terhimpit dengan pembinaan mrt dapat pembelaan. Tq

    ReplyDelete