Friday, 31 March 2017

AKTA 355 HANYA MAINAN POLITIK?


Kenyataan 1

Keputusan Dato' Seri Najib Tun Razak untuk tidak membentangkan sendiri cadangan pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah pukulan maut ("total knock-out/TKO") kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.
 
Saya telah menulis dengan panjang lebar tahun lepas menerangkan Peraturan Dewan 49 yang secara jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang persendirian (rujuk http://rafiziramli.com/2016/10/rang-undang-undang-355-dato-seri-najib-tun-razak-mesti-isytihar-pendirian-pentadbiran-beliau/), jika pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh kecualilah Kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua.
 
Ini bermakna, seperti yang saya tegaskan berkali-kali, kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan RUU persendirian yang dibawa YB Marang itu dipulangkan kembali kepada beliau, kesemua keputusan bersabit kebenaran pembentangan dan diluluskan terletak di tangan Dato' Seri Najib (seperti berikut):
 
1) Keputusan untuk menukar aturan mesyuarat supaya semua akta kerajaan yang disenaraikan lebih awal digugurkan untuk memberi laluan kepada pembacaan RUU persendirian YB Marang terletak di tangan Dato' Seri Najib (kerana urusan kerajaan perlu disudahkan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian boleh dibaca)
 
2) Keputusan untuk melangkah giliran untuk mendahulukan pembacaan RUU persendirian YB Marang mengatasi semua urusan kerajaan yang telah disenaraikan lebih awal (seperti yang pernah berlaku sebelum ini) juga keputusan Dato' Seri Najib sebagai ketua kerajaan
 
3) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan untuk membolehkan RUU persendirian YB Marang dibaca, dibahas dan diundi, keputusan untuk mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu adalah keputusan Dato' Seri Najib
 
4) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan dan Dato' Seri Najib bersetuju mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu (seperti (3)), keputusan sama ada Kerajaan akan mengambil alih cadangan pindaan itu untuk dibentangkan kembali bagi bacaan kedua adalah keputusan Dato' Seri Najib
 
Akhirnya, jika pun Dato' Seri Najib boleh bermain politik dengan membenarkan (1), (2) dan (3), saya yakin cadangan RUU persendirian YB Marang itu akan terhenti di peringkat bacaan pertama (setelah pengundian dibuat) kerana Dato' Seri Najib tidak mungkin akan bersetuju mengambil alih cadangan pindaan tersebut untuk dibentangkan kembali sebagai rang undnag-undang kerajaan (seperti kehendak Peraturan Dewan).
 
Kenapa saya begitu pasti?
 
Kerana jika benar Dato' Seri Najib ikhlas, sudah tentu beliau meneruskan janjinya yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa pihak Umno (dan Kerajaan Persekutuan) sendiri yang akan membentangkan perkara ini dan melalui proses Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat.
 
Kalau Kerajaan Persekutuan menolak untuk membentangkannya pada bacaan pertama dan dipulangkan kepada YB Marang yang tertakluk kepada semua keputusan Dato’ Seri Najib bagi kelulusan di peringkat (1), (2) dan (3) di atas, kenapa pula di langkah (4) tiba-tiba Dato’ Seri Najib akan mengambil alih RUU persendirian itu?
 
RUU355 kekal permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan 3 penjuru dalam PRU14.
 
Dato’ Seri Najib nampaknya yakin beliau bakal mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak popular tetapi kekal berkuasa melalui adu domba politik yang melaga-lagakan rakyat dengan bermain isu agama dan kaum. Beliau lupa rakyat sedang menonton sandiwara ini dan jangan perkecilkan kecerdikan rakyat membaca yang tersirat di sebalik permainan politik ini.
 
Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Dato’ Seri Najib dalam hal ini. Bentanglah secepat mungkin supaya kita boleh kembali kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya untuk diselesaikan berbanding permainan politik Umno ini.
 
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN PKR


Kenyataan 2

Sebelum sesuatu akta mahu dipinda, perlulah dibuat suatu usul kepada parlimen. Usul ini boleh dibawa oleh kerajaan, boleh juga dibawa oleh sesiapa ahli parlimen yang bukan dari kerajaan. Jika dibawa oleh parti pemerintah, ini namanya usul kerajaan. Jika dibawa oleh ahli parlimen bukan kerajaan, ini dipanggil usul persendirian.

Apakala usul untuk meminda sesuatu akta telah dibawa dan dipersetujui oleh dewan, barulah perkara yang mahu dipinda itu dibentangkan untuk dibahaskan oleh ahli-ahli dewan.

Adapun "RUU355" ini baru pada tahap membawa usul kepada parlimen. Tahap ini belum lepas lagi. Asalnya marang yang ingin membawa usul. Diberi dua peluang tetapi Marang mohon ditangguhkan.

Kemudian PM dan TPM membuat kenyataan bahawa kerajaan akan mengambilalih. Kali pertama PM sebut dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016. Berikutnya TPM sebut dalam beberapa kenyataan media. Sahabat saya YB Takiyuddin Hassan juga memberi reaksi bahawa lebih mudah kiranya kerajaan yang bawakan usul ini. Saya dari awal lagi bersetuju cara ini. Sebab kerajaanlah yang menguasai majoriti dalam parlimen...134 kerusi, sedangkan PAS hanya 14 kerusi sahaja.

Hanya bilamana usul untuk meminda Akta 355 dibawa dan dipersetujui, barulah butiran yang dicadangkan dibuat pindaan akan dibentang. Pada tahap ini kita sebut Rang Undang-Undang 355. Untuk membawa usul pun, pembawa usul mesti maklumkan alasan. Alasan Marang ialah "menambah had hukuman kesalahan jenayah syariah, kecuali hukuman mati".

Apabila tiba pada tahap membentang rang undang-undang butiran terperinci seumpama jenis-jenis kesalahan syariah (Hudud atau Takzir) beserta hukuman-hukuman yang dikenakan perlulah dinyatakan dalam rang undang-undang tersebut. Tiada sesiapapun yang mengetahui isi kandungan pindaan ini kerana ianya belum dibentangkan lagi. Ia belum dibentang lagi kerana usul untuk memindanya pun belum dibawa lagi.

Sidang parlimen kali ini berakhir 6 April. Lazimnya ditambah lagi dua hari kiranya rang undang-undang yang tersenarai dalam kertas aturan persidangan perlu dihabiskan. "RUU355" masih ada peluang. Kiranya speaker memberi ruang, Marang mesti menggunakan kesempatan itu untuk membentang usul yang telah dua kali tertangguh. Kiranya lepas, itu dikira melepasi bacaan kali pertama. Maka pihak kerajaanlah yang akan mengambil tanggungjawab untuk bacaan kali kedua dan kali ketiga. Marang tidak lagi terlibat. Itu sudah menjadi urusan kerajaan.

PM Najib seusai mempengerusikan mesyuarat BN semalam menyatakan "...kerajaan tidak akan membawa usul meminda Akta 355 sebab tidak mendapat keputusan konsensus parti-parti dalam BN (baca MCA, MIC, Gerakan, komponen Sabah Sarawak - tidak bersetuju), adakah kiranya Marang melepasi bacaan kali pertama, kerajaan akan bersetuju membawa untuk bacaan kali kedua dan ketiga? Sudah terang lagi bersuloh!

Keputusan BN semalam juga bermaksud kerajaan tidak akan membenarkan sebarang pindaan ke atas Akta 355. Noktah.

SAIFUDDIN NASUTION
SETIAUSAHA AGUNG PKR


Ulasan blog - Walaupun Pas tetap mengatakan mereka tidak terjejas apa-apa dengan gagalnya Akta 355 menjadi usul kerajaan, sebaliknya akan meneruskan dengan perancangan asal dengan membawanya sebagai usul persendirian,  jika kita fahami dan teliti kenyataan Rafizi dan Saifuddin di atas, seorang masih Ahli Parlimen dan seorang lagi bekas Ahli Parlimen, tidak diragui bahawa motif dan mainan politik di sebaliknya adalah amat jelas sekali.

Untuk memastikan faedah politiknya kekal dan dalam masa yang sama menjadikan Pas terus meletakkan harapan kepada usul tersebut dapat dibentang dan disokong, maka Akta 355 akan terus dipermain-mainkan dengan masa.

Sehingga bila?

Ia akan terus ditangguhkan sehingga pilihanraya diadakan. Sehingga tempoh itu, UMNO kekal memberi gambaran akan memberi sokongan sambil mengekalkan hubungan mesra dengan Pas, sedangkan hakikatnya penolakan Najib menjadikan Akta 355  sebagai usul kerajaan kerana ketiadaan konsensus adalah jelas memberi maksud bahawa kerajaan memang tidak bersedia sama-sekali untuk meminda itu. (ShahbudinHusin 31/03/2017)

NAJIB, HADI SUDAH WAJAR DIBERSARAKAN


Kemelut Akta 355 boleh dikata sudah pun berakhir sekarang  ini. Hampir tiada harapan lagi untuk melihatnya dapat dibentangkan, apatah lagi untuk diluluskan. Kalau ada pun harapannya, ia hanyalah tinggal senipis kulit bawang saja lagi.

Apa pun janji yang dilafazkan, antaranya dengan mengatakan Speaker Parlimen tentu ada kebijaksanaan untuk memberi ruang kepada Hadi Awang untuk membentangkannya, ia tidak lebih sekadar janji palsu semata-mata.

Najib Razak, UMNO dan BN sebenarnya sedang menjadikan Speaker Parlimen sebagai perisai untuk menyelamatkan diri mereka.

Begitu juga dengan kata-kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan, keengganan kerajaan membentangkan usul Akta 355 tidak bermakna kerajaan  tidak mahu menyokongnya, turut merupakan janji palsu belaka.

Malah, ini merupakan janji palsu paling dahsyat daripada seorang yang berkuasa berkaitan kepentingan agama. Ia ibarat seorang teruna yang sudah termengandungkan seorang wanita secara luar nikah, kemudin berjanji untuk kahwin, tetapi dengan syarat jika seluruh keluarganya memberi keizinan terlebih dahulu.

Menurut kata Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, apa yang berlaku dalam isu Akta 355 ini ialah kerana kedua-dua pihak, UMNO dan Pas, bersifat gelojoh serta tidak mengikut road map atau hala tuju yang sepatutnya berkaitan usul tersebut.

Kedua-dua pihak, kata beliau, sepatutnya mengikut road map jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan suatu ketika dahulu.

"Road map itu adalah bagi membolehkan enakmen jenayah di negeri Kelantan dapat dilaksanakan iaitu dengan meminda Akta 355 dan jawatankuasa juga bersetuju pindaan itu mesti dibawa oleh kerajaan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

"Jadi, akibat daripada tindakan tidak mengikut road map yang telah ditetapkan iaitu menjadikannya sebagai usul persendirian, maka ia telah menyebabkan keadaan menjadi celaru," kata Mahfuz.

Terbukti di sini bahawa kecelaruan dan kekeliruan berkaitan Akta 355 adalah kerana keinginan Najib dan Hadi menjadikannya sebagai isu politik untuk kepentingan UMNO, Pas serta untuk mengaburi rakyat melalui hubungan mesra mereka.

Di pihak Hadi dan Pas, mereka bukan saja berceramah, berkempen, mengajak rakyat bermunajat, bersolat hajat dan berhimpun di Padang Merbok serta meminta seluruh umat Islam bersama mereka, sedangkan sejak awal mereka tahu bahawa road map yang sepatutnya langsung tidak diikuti.

Akhirnya, semua orang jadi keliru dan celaru.

Begitu dengan Najib dan UMNO. Beliau juga tahu dan pasti sedar bahawa road map yang sepatutnya tidak dilalui dan sebelum sesuatu mahu dilaksanakan, persetujuan parti-parti komponen BN wajar dirundingi terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi jika daripada awal ada parti-parti komponen yang menyuarakan bantahan.

Tetapi, mengapa Najib dengan berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung UMNO berani mengatakan kerajaan akan mengambil alih usul Akta 355 itu?

Mengapa Najib memberi sokongan penuh kepada Perhimpunan Ungu di Padang Merbok, bukan saja dengan menghantar Jamil Khir Baharom menghadirinya, malah turut berkirim salam kepada para peserta?

Mengapa juga Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan yang sama iaitu kerajaan akan mengambil alih usul berkenaan dengan hujah kononnya sebagai langkah komited kerajaan meletakkan perundangan Islam di tempat yang sewajarnya?

Mengapa begitu berani untuk menjerit, bertempik dan bersorak terlebih dulu sedangkan mesyuarat BN belum pun diadakan?

Akhirnya, apabila konsensus gagal dicapai dan kerajaan tidak jadi mengambil alih usul tersebut yang dilihat semata-mata kerana tunduk dengan ugutan MCA, MIC dan Gerakan, rakyat juga jadi keliru dan celaru?

Natijahnya, Najib dan Hadi, sama-sama memikul tanggungjawab telah mengelirukan umat Islam negara ini.

Hadi, bermula dengan Amanat Haji Hadi yang menyebabkan umat Islam berpecah, wujudnya dua iman, pasangan bercerai, suka melabel orang lain sebagai kafir, taghut, assabiyah, barua dan munafik sehinggalah kepada isu Akta 355, sudah terlalu banyak menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan dalam masyarakat.

Najib, dengan pelbagai skandal dan imej buruknya di dalam negara dan di mata dunia, turut sama menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan atas banyak tindakannya dan yang terbaru ialah u-turnnya berkaitan Akta 355.

Kedua-dua mereka ini adalah lambang kekeliruan dan kecelaruan kepada Malaysia dan sudah sewajarnya diletakkan di kerusi persaraan. Selagi mereka ini ada, negara tidak akan bertambah baik, jauh sekali bertukar menjadi aman dan tenteram. (ShahbudinHusin 31/03/2017).

Thursday, 30 March 2017

AKTA 355 SEBAGAI USUL PERSENDIRIAN, ADAKAH AHLI2 PARLIMEN UMNO AKAN MEMBERI UNDI MEREKA?


Mungkin kerana malu mahu mengakui mereka sudah "dikencing"  secara terang-terangan, beberapa pemimpin Pas yang pro Hadi Awang masih lagi menganggap tiada apa-apa yang berubah di sebalik pengumuman Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 di Parlimen.

Kata mereka, usul itu kini kembali kepada asal iaitu akan dibentangkan sendiri oleh Hadi sebagai usul persendirian.

Ketua Dewan Ulama Pas, Dr Mahfodz Mohamed berkata, keputusan kerajaan enggan membentangkan usul itu memang sudah dijangka.

Kata beliau, Pas sudah melakukan sebaik mungkin untuk mencuba berkaitan usul itu dan kini akan meneruskan dengan rancangan asal di mana Hadi sebagai Ahli Parlimen Marang akan membentangkannya sendiri.

Ketua Penerangan Pas, Nasharuddin Tantawi berkata, keputusan kerajaan tidak mahu mengambil alih usul Akta 355 itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak Pas.

"Situasinya adalah kekal pada formal asal. Sememangnya Ahli Parlimen Pas sejak awal diletakkan dalam 'mode standby'  bagi menghadapi perbahasan di Parlimen.

"Tidak menjadi isu siapa yang membawa usul tersebut. Apa yang penting Akta 355 mesti dan berjaya dipinda," katanya lagi.

Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz juga menjelaskan, penolakan kerajaan untuk membentangkan usul tersebut tidak menjejaskan Pas.

Kata beliau, langkah kerajaan untuk membentangkannya sebelum ini adalah urusan BN dan tiada kaitan dengan parti itu.

"Ia sekadar balik asal dan kembali kepada persediaan asal Pas," tambahnya.

Benarkah Pas tidak terjejas dengan keputusan kerajaan itu?

Secara mudahnya, berikutan pengumuman Najib semalam, usul persendirian Hadi itu kini terserah kepada Speaker sama ada mahu memberi laluan atau tidak. Tetapi, mengikut kebiasaan, Speaker akan memberi laluan kepada usul kerajaan dihabiskan terlebih dahulu.

Oleh kerana sidang Parlimen hanya tinggal empat hari saja lagi, kebarangkalian untuk Speakar memberi laluan kepada usul persendirian Hadi teramat tipis sekali. Selain itu, usul kerajaan juga boleh diselitkan pada bila-bila masa untuk membuatkan usul persendirian Hadi terus tertinggal jauh di belakang.

Langkah kerajaan mengambil alih usul meminta Akta 355 daripada Pas sebelum ini adalah paling baik dan lebih memungkinkan ia diluluskan, seterusnya dapat dijadikan undang-undang jika benar kerajaan mahu ia dilaksanakan.

Ini kerana kerajaan mempunyai majoriti wakil dalam Parlimen iaitu 134 orang dan ditambah dengan Ahli Parlimen Pas seramai 14 orang, jumlahnya akan menjadi 148 daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen.

Namun demikian, Najib gagal meyakinkan komponen BN untuk menyokong pembentangan usul itu meskipun beliau dan Zahid Hamidi sudah sekian lama mengumumkan langkah mengambil alihnya daripada Pas demi memartabatkan perundangan Islam.

Kegagalan mencapai konsensus dalam BN itu dengan sendirinya menunjukkan kelemahan Najib dalam mengawal dan membuatkan semua komponen tunduk kepadanya. Najib mungkin akan terus tidak dihormati dan diveto lagi dalam banyak perkara selepas ini.

Menyerahkan usul Akta 355 kembali kepada Pas, bukan saja terpaksa bergantung kepada budi bicara Speaker, malah lebih sukar ialah untuk mendapatkan undi daripada penyokong kerajaan sendiri, terutamanya UMNO yang ada 88 kerusi Parlimen.

Dalam hal ini, jika Hadi diberi laluan melakukan pembentangannya, undi yang sepatutnya beliau harap dan tagih ialah daripada blok kerajaan yang sudah pun sedia mempunyai majoriti. Blok pembangkang hanyalah minoriti iaitu 74 undi saja, lagi pun Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sudah lama dijauhi oleh Pas dan Hadi.

Persoalannya, sediakah Najib dan semua Ahli Parlimen UMNO memberi undi kepada usul persendirian Hadi itu nanti sedangkan MCA, MIC dan Gerakan awal-awal lagi tidak berubah dengan ugutan akan meletakkan jawatan jika usul itu diluluskan?

Jika untuk mendapatkan kebenaran mengambil alih dan membentang usul pun, Najib perlu mendapat restu daripada komponen BN terlebih dahulu dan beliau kemudiian gagal memperolehi konsensus, tidakkah untuk memberi undi juga Najib perlu sekali lagi merujuk kepada MCA, MIC dan Gerakan?

Kiranya untuk mengambil alih usul saja parti-parti komponen BN sudah pun menolaknya, apakah mungkin mereka akan memberi kebenaran untuk usul tersebut diundi oleh Ahli-Ahli Parlimen UMNO, termasuk Najib dan Zahid Hamidi?

Itu pun kalau usul itu diberi laluan oleh Speaker untuk dibentangkan. Untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya kecelaruan dan perpecahan sesama komponen BN, Najib juga tentunya boleh membisikkan kepada Speaker agar usul persendirian Hadi itu terus didiamkan selama-lamanya.

Jadi, di mana yang pemimpin Pas kata keengganan kerajaan mengambil alih usul Akta 355 itu tidak menjejaskan apa-apa kepada mereka dan yang berbeza hanya ia kini kembali kepada asal dengan dibentangkan oleh Hadi sendiri sebagai usul persendirian? (ShahbudinHusin 30/03/2017).

PAS "DIKENCING" LAGI, MAKA ELOKLAH DIBUAT PERHIMPUNAN BAJU HITAM TANDA SEDIH DAN DUKA LARA


Akhirnya Pas basah lenjun kena "kencing" dengan UMNO dan BN apabila Najib Razak sendiri mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul Akta 355 di Parlimen kerana ketiadaan konsensus sesama mereka.

Berikutan itu, kata Najib, usul tersebut akan kekal sebagai usul persendirian yang akan dibentangkan sendiri oleh Hadi Awang dan terserah kepada Speaker untuk mempertimbangkan atau memberi ruang kepada pembentangannya.

Setelah dua kali Hadi menangguhkan pembentangannya sebelum ini, besar kemungkinan usul itu kini langsung tidak diberi ruang oleh Speaker untuk dibentangkan kerana ia seolah-olah tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan. Ketiadaan masa dan memberi keutamaan kepada usul kerajaan tentulah akan dijadikan alasan.
Malah, jika pun ia diberi ruang untuk dibentangkan, ia tentu mustahil untuk diluluskan. Jika dalam mesyuarat BN pun, Najib gagal meyakinkan parti-parti komponen untuk memberi sokongan secara konsensus, sedangkan ia hanya melibatkan kepentingan Islam, sudah pasti Ahli-Ahli Parlimen UMNO juga tidak berani memberikan undi mereka kepada usul Pas tersebut kiranya ia diberi ruang untuk dibentangkan.

Akhirnya, Akta 355 mencipta sejarah sebagai satu-satunya usul yang hanya dapat dibentangkan di Padang Merbok, bukan di Parlimen.

Najib dan UMNO kini ternyata lebih sayangkan kawan lama berbanding Pas sebagai "kawan baharu"  mereka yang kononnya sangat diperlukan untuk sama-sama menegakkan hukum Islam.

Ternyata juga, janji Najib dan Zahid Hamidi yang mengatakan kerajaan akan mengambil alih dan membentangkan sendiri usul Akta 355 sebagai tanda komited kerajaan untuk memperkukuh perundangan Islam dengan kerjasama "rakan baharu" dan bersedia dengan kehilangan segelintir kawan lama, tidak ubah seperti janji bulan madu pasangan yang sedang asyik bercanda di taman bunga.

Begitu juga dengan ungkapan manis Jamil Khir yang hadir dalam Perhimpunan Ungu di Padang Merbok dan sebelum  itu membawa dua Ahli Palimen Pas minum teh tarik di London untuk memberi penerangan berkaitan Akta 355, tidak lebih seperti program jalan-jalan cari makan saja layaknya.
Telahan banyak pihak bahawa usul Akta 355 hanyalah sebagai permainan UMNO untuk memerangkap Pas supaya mendekatkan diri dengan mereka dan dalam masa yang sama untuk memecah-belahkan pembangkang, terbukti benar 100 peratus. 

Jika benar Najib dan UMNO mahu mempertingkat syiar Islam melalui usaha memperkasa Mahkamah Syariah, mereka sepatutnya boleh membawa dan mencadangkannya sendiri ke Parlimen tanpa meminta Pas mengusulkannya melalui usul persendirian. 

Sebagai kerajaan, seperti mana semua pindaan rang undang-undang yang lain, ia adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakannya, bukan melalui usul oleh pihak ketiga.

Tetapi, oleh kerana niatnya tidak ikhlas iaitu untuk memerangkap Pas dan menunjukkan Najib seolah-olah cintakan Islam di sebalik skandal 1MDB, dana RM2,600 juta yang diterimanya, hubungan dengan Jho Low, kekayaan mengejut anak tirinya, Riza Aziz serta pembaziran Rosmah Mansor, maka digunakanlah Akta 355 itu sebagai alatnya.

Pas seharusnya sedar bahawa kerajaan yang ada sekarang lebih dikenali di seluruh dunia sebagai kerajaan kleptokrasi yang sarat dengan skandal yang memalukan. Maka, mana mungkin, malah amat menghairankan,  jika ia tiba-tiba tampil seolah-olah begitu cintakan agama dan Tuhan.

Sekarang, dengan kerajaan sendiri menolak untuk mengambil alih usul tersebut, Pas bukan saja "dikencing" dan dimalukan, bahkan ramai pemimpinnya juga terpaksa menanggung dosa kering di sisi Tuhan. 

Disebabkan ghairah dengan percaya dengan janji manis UMNO berhubung Akta 355, bukan sedikit yang dituduh oleh Pas sebagai anti Islam, munafik, jahil, layak dikebumi di jirat Cina dan ada mufti turut mahu disekeh kepalanya.
Kini Tuhan sendiri menunjukkan siapa yang anti Islam dan siapa yang tidak sanggup meninggi serta memuliakan hukum Islam sedangkan kuasa sedang berada di tangan mereka. 

Hanya kerana tekanan parti-parti bukan Islam, walhal sebelum ini berdegar-degar bercakap pindaan Akta 355 hanya berkait dengan orang Islam dan tidak melibatkan sama-sekali bukan Islam, Najib dan UMNO terkulai dek kepuraan-puraan sendiri.

Pas tentunya sedang berduka lara dengan keputusan kerajaan itu. Punahlah harapan mereka untuk terus gebang di sana sini tentang Akta 355. Tetapi ia jelas menggambarkan ketidakcerdikan, tidak bijaksana dan gagalnya Pas yang diterajui oleh Hadi.

Oleh itu, jika sebelum ini Pas mengadakan Perhimpunan Ungu di Padang Merbok untuk mengajak rakyat menyokong Akta 355, mereka kini bolehlah mengadakan Perhimpunan Baju Hitam pula sebagai tanda protes, sedih dan duka lara kerana dipermainkan dan "dikencing" oleh Najib dan UMNO. (ShahbudinHusin 30/03/2017)

Wednesday, 29 March 2017

INILAH GANDINGAN PENYELAMAT MALAYSIA


Selepas mengumumkan Pakatan Harapan akan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan bagi menghadapi BN dalam pilihanraya akan datang, gabungan itu hari ini menamakan Tun Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penasihat jawatankuasa protemnya.

Jawatankuasa protem Pakatan Harapan itu nanti akan dianggotai oleh 16 orang, di mana setiap parti (PKR, DAP, Amanah dan Bersatu) masing-masing mempunyai empat wakilnya.

Perlantikan Tun Mahathir dan Dr. Wan Azizah, kedua-duanya doktor perubatan sebagai penasihat, bukan saja menyerlahkan harapan yang lebih cerah untuk Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO dan BN, tetapi juga seperti memunculkan kembali gandingan Tun Mahathir - Anwar Ibrahim yang pernah gemilang sebelum ini.
Kalau dulu Tun Mahathir bergandingan dengan Anwar, kini beliau berpadu tenaga menerajui Pakatan Harapan bersama Dr Wan Azizah yang mewakili suaminya yang masih berada di penjara.

Susulan Pakatan Harapan akan didaftarkan secara rasmi, sebagaimana yang sudah dipersetujui juga, penggunaan satu logo dan satu manifesto untuk berlawan dengan BN tentunya akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

Selepas ini, tiada sebab lagi untuk rakyat tidak boleh meyakini Pakatan Harapan sebagai penyelamat negara yang telah banyak dirosakkan oleh kepimpinan Najib Razak serta menjadi pengganti kepada BN.

Jika selama ini kita mengkagumi banyak kejayaan Tun Mahathir dalam memajukan negara, memberi keselesaan dan kemakmuran kepada rakyat serta meletakkan nama Malaysia pada nilai yang tinggi di mata dunia, percayalah bahawa beliau sedang berusaha melakukannya sekali lagi.

Tinggalkan UMNO serta BN, lupakan Pas dan bulatkan tekad kita memenangkan Pakatan Harapan. 

Pakatan Harapan adalah penyelamat negara dan pemberi harapan baru kepada anak cucu kita daripada kehidupan mereka terus disengsarakan. (ShahbudinHusin 29/03/2017)

TAK SAYANG JAWATAN KONON, TAPI....


Di sebalik beberapa Pas kawasan semakin banyak meluluskan usul agar parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, Pas Selangor nampaknya agak keberatan untuk mengambil tindakan yang sama dengan cuba memberi gambaran daripada sudut yang berbeza.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya usul putus hubungan itu diluluskan, ia hanya akan menguntungkan seteru politik mereka iaitu Amanah.

Katanya, keberadaan Pas dalam kerajaan negeri ialah untuk memastikan Amanah terus berada di luar lingkungan kuasa di Selangor.
Kita tak takut hilang jawatan....tapi kita takut Amanah masuk dalam pentadbiran kerajaan Selangor, ujar beliau.

Hehehe....tak takut hilang jawatan konon, tapi takut pula Amanah jadi ganti dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pengertian yang mudah, kalau Pas putuskan hubungan dengan PKR, automatik Amanah akan masuk sebagai pengganti dan hilanglah semua jawatan yang dipegang selama ini.

Selagi tak putus hubungan dengan PKR, selagi itulah Pas kekal dengan nikmat jawatan dalam kerajaan Selangor.

Dalam masa yang sama, selagi itulah Amanah dapat dihalang daripada memegang jawatan.

Bukankah ia bermakna yang dipertahankan sebenarnya hanyalah jawatan?

Itu pun masih lagi nak berdalih mengatakan tidak sayang jawatan kononnya. Lawaklah dol.... (ShahbudinHusin 29/03/2017).

Tuesday, 28 March 2017

JANGAN BUANG MASA NAK KALAHKAN NAJIB DI PEKAN...


Sekurang-kurangnya tiga orang sudah menyatakan minat dan kesediaan untuk menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Mereka ialah Ezam Mohd Nor yang menyatakan kesediaan untuk bertanding melalui Parti Bebas Rasuah yang bakal ditubuhkannya, Anina Saadudin, Ahli MPT Bersatu dan Abdul Rahman Mohd Nor, Ketua Bahagian Bersatu Pekan.

Di antara ketiga-tiga mereka, hanya Abdul Rahman merupakan orang tempatan Pekan. Beliau memang berasal dari Pekan, pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan dan kini mengetuai Bersatu di bahagian itu, manakala Ezam dari Selangor dan Anina pula dari Langkawi, Kedah.

Fokus utama Pakatan Harapan dalam PRU 14 ialah untuk menyingkirkan Najib dengan cara mengalahkan UMNO dan BN melalui peti undi. Dengan yang demikian, usaha untuk menumbangkan Najib di Pekan seharusnya menjadi pilihan yang kedua.

Najib bukan tidak boleh dikalahkan di Pekan, tambahan lagi beliau pernah menang cuma dengan 241 undi saja pada pilihanraya 1999 yang lalu. 

Tetapi, sejak kemenangan tipis 1999 itu, beliau telah menambah ramai pengundi baru untuk mengundi di Pekan. Sejak itu, kemenangan Najib sentiasa agak selesa dengan terbaru pada pilihanraya 2013, beliau menang dengan majoriti 35,613 undi mengalahkan calon PKR, Mohd Fariz Musa.

Dengan yang demikian, tambahan lagi dengan amalan "cash is king" yang kian berleluasa dan Najib sendiri semakin mempunyai banyak wang sekarang ini, menumbangkannya di Pekan boleh dianggap hampir mustahil.

Oleh itu, untuk apa Ezam yang berasal dari Selangor dan Anina dari Langkawi, cuba cari nahas dengan menawarkan diri bertanding di Pekan?

Mampukah mereka mengalahkan Najib atau mereka bertanding sekadar ingin glamour serta publisiti semata-mata?

Bagi Ezam dan Anina, jika mereka masih menjiwai perjuangan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad yang ingin menumbangkan UMNO dan BN serta dengannya akan membuatkan Najib turut tersingkir, adalah lebih baik mereka menumpukan usaha secara nasional dan bergerak ke seluruh negara bersama-sama gabungan pembangkang bagi tujuan itu.

Jika ada rezeki dan keyakinan daripada Pakatan Harapan, Ezam dan Anina sebenarnya lebih sesuai bertanding di tempat lain, seperti di Selangor atau Kedah misalnya. Jika Pakatan Harapan menang, mungkin ada jawatan tertentu menunggu mereka.

Bagi kerusi Pekan, jika Pakatan Harapan memutuskan mahu menyerahkan kerusi itu kepada Bersatu, Abdul Rahman dengan kedudukannya sebagai anak jati Pekan dan pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan, adalah calon yang sesuai dan munasabah untuk berlawan dengan Najib.

Setidak-tidaknya Abdul Rahman tentu ada saudara mara dan kawan-kawan serta lebih mengetahui selok-belok kampung, jalan berlubang dan rumah-rumah yang uzur di sekitar Pekan itu berbanding Ezam dan Anina sebagai modal untuk berkempen.

Meskipun secara realistiknya harapan Abdul Rahman tidaklah mudah untuk menewaskan Najib, tetapi beliau dikira masih mampu untuk memberi cabaran yang sewajarnya jika diberi kepercayaan untuk bertanding. Kata orang, kalah dalam tangan, menang belum tentu.

Sepertimana disebut pada awal tadi, PRU 14 ini matlamatnya ialah untuk menyingkirkan Najib dengan cara menumbangkan UMNO dan BN. Lantaran itu, fokus jangan sesekali berubah.

Berbanding mengalahkan Najib di Pekan, menumbangkan UMNO serta BN adalah lebih mudah dan munasabah. Di tambah dengan sekian banyak isu dalam negara serta kenaikan kos sara hidup yang berterusan mencengkam rakyat, mengajak rakyat berubah memilih kerajaan baru  tidaklah sesukar meminta pengundi Pekan agar tidak memilih Najib.

Lagi pun, dengan tumbangnya UMNO dan BN, jika Najib menang sekali pun di Pekan, ia tetap tidak memberi sebarang makna lagi kepadanya. 

Bagi Pakatan Harapan, mereka tidak perlu terlalu memberi fokus di Pekan sehingga hilang tumpuan kepada kawasan-kawasan lain. Juga tidak perlu melayan sangat saranan golongan akademik agar calon yang setaraf Tun Mahathir atau Anwar diletakkan oleh Pakatan Harapan untuk bersaing dengan Najib di Pekan.

Calon Pakatan Harapan yang berwibawa dan boleh menjadi Perdana Menteri dan Menteri, seharusnya diberi kerusi lain yang  boleh menang supaya selepas tumbangnya UMNO dan BN, mereka boleh memegang jawatan dalam kerajaan demi menyelamatkan negara ini.

Memang seronok dapat melihat Najib kalah di Pekan, tetapi jauh lebih seronok jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan. Keseronokan Najib kalah di Pekan, bagaimanapun boleh hilang seronoknya jika akhirnya UMNO dan BN terus berkuasa lagi.

Lantaran itu, jangan sampai matlamat utama yang ingin dicapai tidak kesampaian. (ShahbudinHusin 28/03/2017).

DIALOG RUU 355


Dialog atau sketsa perbualan mengenai RUU 355 ini diterima melalui grup Whatsapp  dan juga email. Rasanya tentu ramai yang turut sama menerima dan sudah pun membacanya.

Ia amat menarik untuk kita lebih memahami mengenai kemelut pindaan undang-undang tersebut yang sehingga ini masih tertangguh dan tidak diketahui sama ada akan dibentangkan atau terus ditangguhkan lagi.

Saya siarkannya semula untuk tatapan dan perkongsian kita bersama.


USTAZ DIN : "Setiap orang Islam wajib sokong RUU355..."
.
AWANG : "Tak wajib.... RUU355 bukan hukum Allah.... Sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan Rasul, tidak ada siapa pun yang layak mewajibkannya.... Agama Islam ni bukan milik lebai PAS."
.
USTAZ DIN : "Hukuman 100 kali sebatan bagi orang yang melakukan zina, itu hukum Allah..."
.
AWANG : "Saya tak pertikaikan 100 sebatan tu.... Yang saya nak tanya, 30 tahun penjara dan denda RM100,000, adakah itu hukum Allah? Setiap orang Islam wajib sokongkah?"
.
USTAZ DIN : "Tok Guru Haji Hadi kata wajib...."
.
AWANG : "Haji Hadi bukan nabi...!"
.
USTAZ DIN : "Dia seorang ulamak..."
.
AWANG : "Dia pun manusia biasa, bukannya dia terima wahyu dari langit...."
.
USTAZ DIN : "Enta memperlekehkan ulamak....!"
.
AWANG : "Ustaz mengkultuskan dia seperti nabi, itu lebih besar salahnya...."
.
USTAZ DIN : "Rasulullah bersabda, al-ulamak warisatul anbiya'... Para ulamak itu pewaris nabi..."
.
AWANG : "Kalau gitu, confirmlah Haji Hadi bukan ulamak...!"
.
USTAZ DIN : "Kenapa pulak...?"
.
AWANG : "Mana mungkin seorang pewaris nabi berakhlak seperti Haji Hadi...? Bercakap bohong, berbuat khianat, berbahasa kasar, tidak beradab, angkuh, sombong, menyakitkan hati ramai orang, menjadi bahan ketawa orang.... 
Logikkah seorang ulamak memiliki ciri-ciri dan sifat sebegitu...? Pewaris nabi apa gitu...?"
.
USTAZ DIN : "Sebenarnya, kenapa enta ni beria-ria menolak RUU355...? Apa yang enta takutkan...?"
.
AWANG : "Saya tidak menolak RUU355 dan tak ada sebab pun kenapa saya perlu takut.... Yang saya tanya, kenapa Ustaz kata setiap orang Islam wajib sokong RUU355...? Apa dalilnya...?"
.
USTAZ DIN : "Bukankah RUU355 menambahkan bidang kuasa mahkamah syariah...? Dan dicadangkan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah, sesuai dengan hukum Allah....Itu ke arah perlaksananaan undang-undang hudud sepenuhnya...."
.
AWANG : "Ya lah.... tentang nak pinda rang undang-undang ke, nak rombak akta ke, bukankah itu urusan ahli Parlimen...? Pasal apa hukum terkena kepada setiap orang Islam...?
.
USTAZ DIN : "Yang di Parlimen tu, Parlimenlah, itu urusan wakil rakyat.... Tapi iman dalam dada kita masing-masing mesti ada iktiqad sama ada kita sokong atau tak sokong RUU355."
.
AWANG : "Untuk apa...?"
.
USTAZ DIN : "Mungkin sebagai ujian sama ada kita benar-benar beriman atau tidak...."
.
AWANG : "RUU355 nya mana...?"
.
USTAZ DIN : {Diam}
.
AWANG : "Yang ustaz kata setiap orang Islam wajib sokong, untuk menguji sama ada kita beriman atau kafir.... mana bendanya...?"
.
USTAZ DIN : "Usul tersangkut di parlimen.... Itu bukan salah PAS."
.
AWANG : "Bukan salah PAS apa, Haji Hadi yang mintak tangguh sampai dua kali....!"
.
USTAZ DIN : "Mesti ada sebab kenapa Tok Guru tangguhkan...."
.
AWANG : "Saya tak nak tahu pun apa sebab dan alasan PAS tangguhkan pembentangan usul tu.... tapi saya cuma persoalkan kenapa keluarkan fatwa setiap orang Islam wajib sokong RUU355, sedangkan Presiden PAS sendiri yang tangguhkan....?" 
.
USTAZ DIN : "Ish... enta tak faham...."

AWANG : "Saya nak tanya Ustaz, apa jenis kesalahan yang boleh didenda RM100,000 dan 30 tahun penjara...?"
.
USTAZ DIN : "Er...."
.
AWANG : "Di antaranya kesalahan di bawah akta mahkamah syariah ialah menyebarkan fatwa yang bercanggah dengan fatwa negeri.... Nanti ustaz-ustaz sunnah yang digelar wahabi ramai yang kena penjara 30 tahun kerana menyampaikan ilmu Qur'an dan Sunnah yang bercanggah dengan fatwa negeri.... Undang-undang ini yang Ustaz kata wajib sokong...? Ustaz-ustaz yang mengajar agama tanpa tauliah, walaupun dia lebih alim dari orang yang tukang bagi tauliah,  boleh didenda RM100,000 atau penjara 30 tahun, undang-undang ini yang Ustaz kata wajib disokong oleh setiap orang Islam...?"
.
USTAZ DIN : ????? (telan air liur)


Amacam?

Mudah-mudahan kita sama-sama mendapat manfaat dan lebih memahami isu sebenar daripada perbualan Ustaz Din dan Awang di atas. (ShahbudinHusin 28/03/2017).

Monday, 27 March 2017

GURU2 BOLEH SOKONG PEMBANGKANG DAN KRITIK KERAJAAN, TAPI....


Saya meneliti kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihat guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan tersebut.

Itu secara tersurat tetapi secara tersirat pula, saya melihat kenyataan beliau sebagai satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya para guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila pemimpin negara seperti Datuk Seri Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

Barangkali, kerana sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak sehingga 2050.

Saya menyarankan agar Datuk Seri Mahdzir Khalid berhenti mencampuri urusan para guru di luar waktu sekolah, sebaliknya beliau patut memberikan keutamaan dengan menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Hal ini kerana, bukan satu rahsia lagi apabila para guru turut dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar. 

Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, ada kalanya terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.

Selain itu, ada juga dilaporkan yang para guru turut diwajibkan menghadiri kursus yang tiada kaitan dengan profesion perguruan.

Dengan pelbagai bebanan tugasan yang tidak berkaitan ini, sudah tentu para guru ini berhak untuk membuat pilihan dengan menyertai parti lain yang diharapkan boleh menjamin kualiti pendidikan negara pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, saya juga menggesa Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga sekarang tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna. Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan.

Walau bagaimanapun, menyedari suasana Kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan dari penjawat awam, saya turut menasihatkan para guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada.

Pastikan anda menggunakan kuasa undi anda untuk mengubah Kerajaan sekarang kepada sebuah Kerajaan baharu yang lebih peduli dengan nasib semua golongan masyarakat.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional
27 Mac 2017.


Ulasan - Mengapa UMNO dan BN tiba-tiba begitu bimbang dengan guru-guru yang menyokong parti pembangkang dan mengkritik kerajaan?

Adakah tarikh pilihanraya sudah hampir nak tiba?

Adakah dengan mengugut untuk mengambil tindakan akan menakutkan guru-guru dan menyebabkan undi lebih bertambah kepada BN atau mengakibatkan kebencian terus meningkat dan sokongan makin terhakis?

Jika guru-guru terlibat dalam politik di luar waktu sekolah dan tidak menjejaskan tugas-tugas mengajar mereka, apa masalahnya kepada kerajaan?

Guru-guru berkhidmat kepada kerajaan atau kepada UMNO dan BN?

Bagaimana pula dengan guru-guru atau pegawai pendidikan daerah dan negeri yang taksub gila menyokong UMNO dan BN?

Apa hukuman untuk mereka? Di mana keadilannya?

Selain itu, bukankah Mahadzir Khalid sendiri adalah guru sebelum ini dan kerana penglibatannya dalam politiklah beliau dapat jadi Menteri Besar Kedah dan sekarang Menteri Pendidikan?

Ohhh....sebenarnya guru-guru memang dibolehkan menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan, tetapi pastikan ia hanya di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan saja.

Oleh itu...PRU 14 nanti, ubah jangan tak ubah. (ShahbudinHusin 27/03/2017).

NASIB BAIKLAH TAMRIN GHAFAR SUDAH KELUAR PAS....


Harus diakui bahawa Pas sejak kebelakangan ini terlihat semakin keliru, caca-marba dan tidak menentu dalam menentukan pendirian dan hala tujunya sendiri.

Sekejap macam dekat dan mahu bersama Najib Razak, UMNO dan BN, tetapi dalam masa yang sama cuba pula menjalin kerjasama dengan Bersatu.
Di ketika lantang meletakkan syarat bahawa sesiapa yang ingin bekerjasama dengan mereka mesti memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, sebaliknya di Selangor ia senang-senang bekerjasama membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan sambil mengutip laba jawatan sebagai Exco, dalam GLC negeri, ketua kampung dan macam-macam lagi.

Kukuh dengan pendirian bahawa perjuangan Pas bukan saja di dunia, tetapi yang lebih penting ialah akhirat, namun gagah juga mempertahankan mahu bertanding 70 kerusi tanpa rela diusik biar pun satu.
Kemudian, pernah juga Pas mengatakan mahu bertanding di seluruh negara, termasuk di kerusi-kerusi yang ditandingi DAP.

Di ketika yang lain, Hadi Awang tidak segan-segan menyebut bahawa Pas tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO dan BN, cukup katanya sekadar dapat jadi penasihat saja.
Namun, tidak berapa lama kemudian, Hadi juga pernah berkata, Pas memang sudah lama membuka pintu untuk formula satu lawan satu bagi menumbangkan UMNO dan BN.

Di tengah-tengah antara mahu jadi penasihat dan bersama-sama ingin menjayakan formula satu lawan satu, ada juga terkeluar suara mahu jadi king maker antara BN dengan Pakatan Harapan.
Kemudian pula, sebagaimana yang tersebar videonya, Hadi mendedahkan Pas ingin mentadbir lima negeri melalui kerjasamanya  dengan UMNO.

Tak tahu kenapa dan meskipun seluruh Malaysia sudah menonton video tersebut, kata Hadi, beliau tidak pernah sama-sekali bercakap demikian. Allahu Akbar Tok Guru....

Terbaru ini, dilabelkannya  BN seperti biawak hidup.

Sampai hati betul Tok Guru ni...dah elok-elok pakai sedondon merah jambu, kemudian berpimpin tangan dengan Najib dan diberi ruang bekerjasama melalui Akta 355, alih-alih gelaran biawak hidup balasannya.
Yang marah dengan Pakatan Harapan sampai digelar biawak lagi besar pula, kenapa?

Bukankah ia bermakna di Selangor, Pas sama-sama biawak besar juga, kecuali jikaberani buat keputusan keluar dengan segera?

Keliru, caca-marba dan tidak menentu - itulah imej Pas sekarang ini. Tidak pernah ada mana-mana parti lain sepertinya. 

Nasib baiklah Tamrin Ghafar cepat-cepat keluar Pas, jika tidak rambut putihnya pun boleh jadi hitam semula sekarang ini. (ShahbudinHusin 27/03/2017).

Sunday, 26 March 2017

ANTARA TUN MAHATHIR DAN NAZRI, SIAPA YANG SEPATUTNYA LEBIH DULU BERTANYA SOALAN?


Menurut kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz, beliau mendiamkan diri ketika bertemu dengan Tun Mahathir Mohamad semalam kerana tidak ditanyakan sebarang soalan.


"Jadi saya hanya menunggu dia bertanya apa-apa kepada saya. Dia tak tanya dan saya tak mahu ganggu privasi dia sedang menikmati cendol.


"Sebagai penghormatan, saya hanya menunggu dia, (tetapi) dia tak bertanya," kata Nazri sebagaimana dipetik daripada sebuah portal berita.


Dalam ertikata lain, Nazri tidak sedia untuk berbual-bual atau bertanyakan sebarang soalan kepada Tun Mahathir, sebaliknya hanya menyediakan dirinya dengan jawapan semata-mata.


Ada Tun Mahathir bertanya soalan kepadanya, maka adalah jawapan keluar daripada mulutnya. Tiada soalan daripada Tun Mahathir, diam sajalah dia.


Begitukah yang sepatutnya?

Nazri berkata demikian sebagai menjawab sindiran Tun Mahathir yang menyebut dirinya hanya mendiamkan diri saja sepanjang kira-kira setengah jam pertemuan tersebut berlangsung.


Kata Tun Mahathir, "Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja. 


"Habis-habis sangat dia kata itu Sungai Perak... saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya."


Sekarang Nazri mengakui beliau memang hanya mendiamkan diri dalam pertemuan dengan Tun Mahathir itu, cuma beliau ada jawapannya yang tersendiri.


Tetapi jika kita imbas sebelum itu, Nazri menunggu selama kira-kira tiga jam di depan MRSM Kuala Kangsar bagi menanti ketibaan Tun Mahathir, meskipun beliau  sedia maklum majlis debatnya dengan bekas Perdana Menteri itu sudah pun dibatalkan kerana tidak diberikan permit oleh pihak polis.


Dillaporkan Nazri sengaja datang awal dan sanggup berada di bawah payung besar di tengah-tengah panas di depan MRSM semata-mata untuk menanti ketibaan Tun Mahathir dan bagi mengelakkannya daripada dianggap sebagai pengecut.


Kemudian, apabila mengetahui Tun Mahathir berada di kawasan Lembah Sungai Perak untuk menghadiri satu program lain anjuran Bersatu, Nazri bergegas ke sana untuk segera bertemu dengan lawan debatnya itu.


Mereka kemudian dipertemukan dengan duduk semeja sambil menikmati cendol dan laksa.


Berdasarkan rentetan itu yang menggambarkan keghairahan Nazri untuk bersua dengan Tun Mahathir, di samping kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas yang  boleh dianggap sebagai tuan rumah juga, siapakah yang sepatutnya lebih dulu memulakan bicara dan harus bersikap lebih peramah?


Kenapa hanya beliau yang menantikan soalan daripada Tun Mahathir dan tidak Nazri sendiri yang berani untuk mula menanyakan soalan?


Selain itu, buat apa beliau sanggup berpanas menunggu selama tiga jam dan kemudian bergegas ke kawasan Lembah Sungai Perak untuk bertemu Tun Mahathir jika akhirnya hanya menunggu saja Tun Mahathir bertanyakan soalan kepadanya?


Sekadar berani bercakap...itu Sungai Perak....buat apa? (ShahbudinHusin 26/03/2017).

DEBAT 7 APRIL DI SHAH ALAM NANTI, MASIH SESUAIKAH NAZRI MEWAKILI PENGUNDI PADANG RENGAS?


Walaupun  debat di MRSM Kuala Kangsar yang sepatutnya berlangsung semalam sudah lama dibatalkan kerana tidak diberikan permit polis, tetapi Nazri Aziz tetap di hadir dan menunggu kedatangan Tun Mahathir di situ. 


Beliau dilaporkan menunggu selama hampir tiga jam di perkarangan MRSM sebelum beredar menuju kawasan Lembah Sungai Perak setelah mengetahui Tun Mahathir ada di sana. 


Tun Mahathir berada di kawasan itu kerana menghadiri program lain anjuran Bersatu, di mana pada malamnya beliau turut ada program ceramah umum di Padang Rengas bersama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.


Kedua-dua mereka bertemu di Lembah Sungai Perak. Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir dan Nazri duduk bersebelahan sambil menikmati cendol dan laksa. Mereka juga kemudian bersama-sama meninjau kawasan Sungai Perak.

Namun seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal atas talian, Nazri tidak banyak berbual dengan Tun Mahathir, malah tidak memandang pun wajah bekas Perdana Menteri itu, meskipun duduk bersebelahan, menikmati laksa dan cendol serta berpeluang berjalan bersama-sama


“Hari ini dia (Nazri) bersungguh-sungguh nak jumpa dengan saya, saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila jumpa dekat tempat jual cendol, dia tak kata apa pun.


“Nak jumpa tapi tidak cakap, kenapa?


"Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja. 


"Habis-habis sangat dia kata itu Sungai Perak... saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya,” ujar Tun Mahathir ketika mengulas pertemuannya dengan Nazri semasa menyampaikan ceramahnya  di Kota Lama Kiri, malam tadi.


Sebelum itu, ketika berada di MRSM Kuala Kangsar untuk menunggu ketibaan Tun Mahathir, di sebalik seluruh dunia tahu debat sudah dibatalkan dan ditunda kepada 7 April depan di Shah Alam, Nazri berkata, beliau sengaja datang awal untuk mengelak dituduh pengecut untuk berhadapan dengan Pengerusi Bersatu itu.


Pelik juga Nazri ini...sanggup tunggu selama tiga jam dan tak mahu dituduh pengecut, tapi bila berpeluang berdepan dengan Tun Mahathir, tak pula mahu bercakap!

Tetapi, di sebalik pertemuan santai antara Tun Mahathir dan Nazri semalam, apa yang sangat ditunggu-tunggu dan diharapkan ialah agar debat pada 7 April nanti benar-benar menjadi kenyataan.


Dalam debat di Padang Rengas yang tidak menjadi kenyataan semalam, Nazri ditolak daripada mewakili UMNO atau kerajaan oleh Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO dan Johari Ghani, Menteri Kewangan Kedua.


Lantaran keliru dengan situasi tersebut, Nazri pantas memilih jalan tengah dengan mengatakan beliau adalah mewakili pengundi Padang Rengas sahaja.


Ketika itu, memang nampak ada asasnya Nazri berkata demikian, bukan saja kerana kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas, tetapi juga disebabkan lokasi debat itu sendiri diadakan di Padang Rengas.


Tetapi, pada 7 April nanti debat sudah dipindahkan ke Shah Alam, maka kali ini Nazri mewakili siapa pula?


Tentulah tidak logik lagi jika beliau mewakili pengundi Padang Rengas, sedangkan debat kali ini diadakan di Shah Alam. Pengundi Padang Rengas pun barangkali tidak mungkin ramai yangdapat hadir ke Shah Alam itu nanti.


Dibandingkan dengan Padang Rengas yang jauh di utara, Shah Alam lebih hampir dengan Putrajaya dan PWTC yang merupakan pusat kuasa kepada kerajaan dan UMNO.


Berbeza dengan Tun Mahathir, kalau pun tidak mewakili Pakatan Harapan, beliau tentu dipersetujui sebulat suara mewakili Bersatu yang dipengerusikannya.


Selain isu-isu yang didebatkan merupakan topik nasional, di samping Nazri adalah juga seorang menteri dan Ahli MT UMNO, jika UMNO dan kerajaan benar-benar jujur, kenapa tidak status beliau dalam debat di Shah Alam nanti segera diubah?

Adakah UMNO dan kerajaan sedia membenarkan Nazri mewakili mereka berikutan perubahan lokasi itu atau sekali lagi faktor keselamatan dan ketenteraman awam akan dijadikan alasan untuk membatalkannya?


Lebih-lebih lagi Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semalam dipetik sebagai berkata, pihak penganjur masih perlu memaklumkan kepada pihak polis mengenai penganjuran debat tersebut dan sehingga ini mereka belum lagi berbuat demikian.


Kebarangkalian lain ialah mungkinkah MT UMNO yang akan bermesyuarat hujung bulan ini akan memutuskan debat itu tidak perlu diadakan dan Nazri, tiada pilihan lain selain terpaksa akur saja dengannya? (ShahbudinHusin 26/03/2017).