Friday, 6 March 2015

Pembeli Buku Yang Menyentuh Hati


Sejak buku "Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat Dari Isi Hati Sabbaruddin Chik" dilancarkan dan berada di pasaran mulai Rabu lalu, sambutan yang diterima daripada pelbagai peringkat masyarakat amat memberangsangkan sekali.

Tidak saja masyarakat biasa "memburu"  buku itu untuk membeli dan membacanya, kakitangan Bank Rakyat serta pendepositnya yang berjumlah lebih 900,000 juga turut tercari-cari untuk memilikinya.

Selain jualan di kedai-kedai buku sedang meningkat dengan mendadak, pembelian secara online dan melalui facebook juga tidak menang tangan melayan kehendak pembeli.

Yang memeranjatkan, selain ada yang membeli senaskhah untuk diri sendiri, ramai juga yang membeli dalam jumlah yang banyak untuk kawan dan kenalan mereka.

Dalam ramai-ramai pembeli buku hari ini, seorang lelaki bernama Mohd Faiz Mohamad, 30 tahun, amat menyentuh hati sekali. Walaupun semua penghantaran menggunakan pos laju, tetapi apabila dimaklumkan ia tetap memakan masa selama dua hari, Mohd Faiz mengatakan,  beliau kalau boleh ingin membacanya dengan segera.

Ketika diberitahu, jika ingin cepat memilikinya, beliau boleh datang sendiri atau wakil kami menemuinya di mana-mana yang berdekatan, Mohd Faiz lantas memberitahu, beliau adalah seorang OKU atau orang kelainan upaya yang tidak boleh berjalan.

Apabila dimaklumkan mengenai perkara ini, saya lantas meminta diberitahu  kepadanya bahawa saya ingin menghantar sendiri buku ke rumahnya. Tambahan lagi beliau tinggal di Selayang Baru bersama keluarganya dan tidaklah terlalu jauh dari kediaman saya.

Dalam mengharungi hari yang sibuk dan setelah menyelesaikan beberapa urusan, lewat petang tadi saya terus menuju ke rumah Mohd Faiz sebagaimana alamat yang diberinya.

Setelah menyerahkan buku yang dibelinya, kami juga sempat berbual-bual di depan pintu rumahnya. Mohd Faiz, walaupun seorang OKU, tetapi rupa-rupanya banyak menghabiskan masanya dengan membaca dan mengikuti perkembangan semasa negara melalui internet, blog dan laman sosial.

Sebagai sumbangan kecil, saya juga menyerahkan beberapa buku lain dan majalah sebagai bacaan tambahan kepadanya. Beliau juga meminta saya menandatangi buku yang dibelinya.

Aduh...Mohd Faiz yang OKU dan tidak boleh berjalan tetapi jiwa dan fikirannya tidak pernah berhenti meneroka untuk mengetahui perkembangan semasa dalam negara.

Dapat berbual-bual dan sesekali membuatnya ketawa, amat menyentuh hati saya - betapa kita yang sempurna ini seharusnya amat bersyukur dengan kehidupan ini.

Semoga Mohd Faiz terus diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam perlindungan Allah hendaknya. (SH 06/03/2015)

Walaupun seorang OKU tetapi Mohd Faiz tetap mengikuti perkembangan semasa negara...

Mohd Faiz meminta saya menandatangi buku yang dibelinya...

Saya juga sempat berselfie dengan Mohd Faiz...

4 comments:

  1. semangat yang bagus ingin mengetahui hal dunia
    tambah lagi semangat ingin tahu hal agama mu jangan dilupakan
    hal dunia sementara manakala hal agama mu akan dibawa nanti
    hidup biar penuh erti (dunia n akhirat jangan dipisahkan)

    ReplyDelete
  2. Tuan, terima kasih kerana menghargai insan istimewa seperti saudara Faiz. Teruskan menulis dengan bahasa yang baik demi anak bangsa

    ReplyDelete
  3. Terlalu byk blog yang menanpilkan tulisan penuh dengan cacian dan maki hamun. Blog-blog sebegini menunjukkan tahap moral yang rendah dikalangan penulisnya dan akan dilihat tidak berkredibiliti. Tapi ini berbeza dgn tulisan saudara. Selamat maju jaya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pendapat sy sebabnya blog ini dikendali oleh seorang penulis. Blog-blog yg suka mencaci, maki hamun dan tiada kupasan, banyak antaranya diusahakan oleh pengendali blog berbayar, dia ada tuan yg memberi upah kpd mereka.

      Delete