Wednesday, 26 November 2014

Muhyiddin Minta Pemilihan UMNO 2016 Tidak Ditangguhkan Lagi, Beranikah Najib?


Ramai yang memuji ucapan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin semasa perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri malam tadi. Ucapan beliau yang menyentuh banyak perkara dan masalah dalam parti disifatkan sebagai ucapan berterus-terang untuk memulihkan semula semangat dan kekuatan UMNO.

Beliau bukan saja menyentuh mengenai keperluan berubah, tetapi juga membangkitkan isu-isu perebutan sesama sendiri dalam parti yang terus berlaku, walaupun hakikatnya UMNO semakin merosot dan merudum sokongannya di kalangan rakyat.

Apa yang diperkatakan oleh Muhyidin itu memanglah sesuatu yang benar dan tiada yang benar, melainkan benar belaka. Cumanya, jika kita imbau ucapan beliau selaku orang nombor dua dalam parti sejak 2009 lalu, itulah lebih kurang intipatinya setiap tahun.

Periksa dan amatilah ucapan Muhyiddin ini sejak beliau menjadi orang nombor dua dalam parti dan kerajaan. Itulah retoriknya setiap tahun, mungkin hanya ada satu dua perkara baru saja yang dijadikan tambahan dalam ucapannya.

Berubah, berubah dan berubah. Tapi apa yang berubah setakat ini? Kalaulah perkataan berubah itu sendiri merupakan sesuatu yang hidup dan bernyawa, tentulah dia juga turut letih kerana setiap tahun semua orang menyebut-nyebut namanya dengan kerap sekali.

Daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, ketua-ketua sayap, jurucakap sehinggalah kepada pemerhati yang bersidai di kedai kopi sekitar PWTC, semuanya tidak pernah tertinggal menyebut perkataan perubahan itu.

Sekali lagi, apa yang berubah? Bukan saja perwakilan daripada seluruh negara lupa untuk berubah apabila pulang ke kawasan masing-masing, bahkan Presiden dan Timbalan Presiden pun sama lupa untuk berubah sebaik perhimpunan berakhir.

Sebab itu, sepanjang masa sentiasa saja berlaku perkara-perkara yang meresahkan rakyat. Ia berlaku silih berganti daripada satu isu kepada satu isu yang lain. Isu pembaziran, pemborosan, kemewahan, mengutamakan kroni dan kaum keluarga dalam projek-projek kerajaan dan seumpamanya terus juga berlaku tanpa henti-henti.

Sekiranya pemimpin memahami apa itu perubahan, seharusnya merekalah yang lebih dulu berubah. Tunjukkanlah perubahan yang nyata di depan ahli UMNO dan rakyat semua. Ingatlah bahawa cerminan paling utama bagi pemimpin UMNO ialah peranan dan tanggungjawab mereka dalam mengurus kerajaan dan dalam kehidupan seharian.

Seharusnya berhentilah bercakap mengenai perubahan kerana sekarang adalah masa untuk bertindak. Setelah lima atau enam tahun bercakap perkara yang sama tidak lebih hanya menunjukkan kegagalan bertindak sebenarnya.

Lagi pula, bagaimana untuk meminta ahli dan pemimpin untuk berubah sedangkan mereka yang diatas sendiri tidak mahu berubah?

Ada pula yang bercakap, bagaimana UMNO mahu berubah kerana untuk melaksanakan perubahan di ibu pejabat UMNO sendiri pun, Najib tidak mampu melakukannya?

Sudah begitu banyak rungutan mengenai masalah dan karenah dalam UMNO yang melibatkan setiausaha agung, ketua penerangan dan setiausaha kerja ini yang dianggap antara punca sukarnya UMNO berubah dan semakin lemah sekarang ini. Tetapi nampaknya  Najib terus mengekalkannya juga dan memekakkan telinga kepada segala rungutan itu.

Itu belum lagi dibangkitkan perubahan-perubahan yang lain yang bukan saja mengenai Najib tetapi juga melibatkan Muhyiddin dan lain-lain pemimpin UMNO di peringkat kerajaan. Berbezakah mereka daripada dulu dengan sekarang atau daripada tahun ke tahun?

Satu-satunya perkara baru yang dibangkitkan oleh Muhyiddin dalam ucapannya semalam ialah meminta agar pemilihan parti diadakan sebelum pilihanraya umum akan datang. Sejak era Pak Lah, beliau sering menangguhkan proses pemilihan UMNO untuk memberi laluan kepada pilihanraya diadakan terlebih dahulu. Pemilihan UMNO hanya diadakan selepas pilihanraya berakhir.

Najib nyata suka meneruskan tradisi itu. Tidak seperti era Mahathir, pemilihan UMNO tidak pernah ditangguhkan sama ada di depannya ada pilihanraya atau tidak. 

Selepas pemilihan yang lalu pada 2013, pemilihan UMNO yang seterusnya ialah pada 2016. Pilihanraya umum ke 14 pula mesti diadakan sebelum Mei 2018.

Untuk berubah dan supaya perubahan itu benar-benar difahami oleh ahli UMNO semua peringkat, UMNO mesti berani mengadakan pemilihan kepimpinannya sebelum PRU 14 akan datang. Ia tidak perlu ditangguhkan lagi sebagaimana yang dilakukan oleh Pak Lah dahulu kerana ianya tidak sesuai lagi dengan keadaan dan keperluan UMNO sekarang ini.

UMNO mesti menunjukkan keberaniannya untuk berubah terlebih dahulu sebelum mahu meminta rakyat terbanyak menilai apa perubahan yang telah dilakukannya. Dengan sedia mengadakan pemilihan dan memilih pemimpin baru sebelum pilihanraya, UMNO sekurang-kurangnya sudah menunjukkan kesediaannya untuk berubah.

Muhyiddin nampaknya sudah melontarkan cabaran agar pemilihan UMNO akan datang ini tidak lagi ditangguhkan. Sekarang, terserahlah kepada Najib menyahutnya. Beliau mungkin boleh mengumumkannya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada hari esok atau bila-bila masa saja sepanjang perhimpunan tahun ini.

Mungkin terlalu awal untuk mengandaikan bahawa permintaan Muhyiddin ini merupakan isyarat bakal berlakunya pertandingan di peringkat kepimpinan tertinggi UMNO, tetapi jika pertandingan atau perubahan kepimpinan boleh menjamin kemenangan, kenapa mesti takut dengannya?

Bukankah selama ini semua berkata UMNO lebih penting daripada pemimpin? Dikata juga pemimpin boleh bertukar ganti tetapi UMNO harus kekal selama-lamanya? Dilaungkan juga, tanpa UMNO orang Melayu akan jadi "bangsat" di negara ini, walaupun ia sebenarnya jauh daripada hakikat sebenarnya?

Nah, apa lagi, inilah masanya membuktikan segala yang kerap dilaungkan selama ini!!

Sekiranya majoriti pemimpin sedia ada dalam UMNO masih menunjangi parti di peringkat pusat, negeri dan bahagian dalam pilihanraya umum akan datang,  percayalah, sokongan rakyat bukan saja tidak berubah, malah akan terus merudum. Laungan perubahan juga akan terus kedengaran tahun demi tahun tanpa hentinya.

Akhirnya, rakyat lebih mungkin mengubah kedudukan UMNO terlebih dahulu sebelum UMNO sendiri memahami apa itu perubahan yang sering dilaung-laungkannya tanpa henti selama ini. (SH 26/11/2014)

6 comments:

  1. Perubahan yang dimaksudkan. .

    1. Saiz rumah bertambah besar
    2. Baki akaun bertambah angka kosong
    3. Bil kereta mewah juga bertambah
    4. Bil isteri juga berubah..
    5. Kekerapan melancong ke luar negara juga bertambah

    ReplyDelete
  2. Jangan lupa tambahkan hutang negara nanti perkara diatas anon 13.27 nyatakan tak boleh di tambah

    ReplyDelete
  3. UMNO akan berubah dengan MENOLAK NAJIB RAZAK dan ROSMAH 30%.

    ReplyDelete
  4. Melayu akan berjiwa bebas tanpa umno. Melayu dan umno tiada kaitan.yang akan jadi Red indian dan bangsat adalah penyokong-penyokong dan ahli umno kerana selalu memerlukan tongkat untuk hidup.

    ReplyDelete
  5. Kan Mat Salleh dah kata, "Talk is easy" dan kita pun ada "cakap tak serupa bikin"...... dan ada lagi kata- kata Mat salleh, "Do as I say , don't do as I do"..........."

    ReplyDelete
  6. Umngok tak nak jadi red indian? Red indian lagi tak ingin dicop pendatang oleh umngok.

    ReplyDelete