Friday, 24 October 2014

Anwar Bebas Atau Dipenjara, Masa Depan Najib Tetap Kelabu Juga


Ramai yang tidak sabar menunggu keputusan perbicaraan di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada 28 dan 29 Oktober ini. Sementara ada kelompok tertentu yang mengharapkan agar beliau dipenjara, ramai pula yang berjuang, berusaha dan berdoa untuk pembebasannya.

Anwar sendiri tidak duduk diam atau pasrah begitu saja. Selain berdoa, beliau juga ligat menemui penyokongnya di pelbagai tempat yang sudah diatur. Ada pula penyokongnya yang lain mengadakan sembahyang hajat di seluruh negara memohon pertolongan daripada Tuhan demi keadilan dan pembebasannya.

Di hari perbicaraan pula, dijangka ribuan rakyat akan berhimpun di sekitar Istana Kehakiman untuk menyatakan sokongan dan solidariti kepadanya.

Walaupun mungkin sambutan dan gelombang reformasi kali ini tidak sama seperti tahun 1998 dahulu, namun kurangnya sambutan terhadap perbicaraan ini bukan bermakna ramai tidak lagi menyokong Anwar atau tidak kisah sama ada beliau dipenjara atau dibebaskan, tetapi kerana sebahagian besarnya sudah menetapkan pendirian dalam hati masing-masing.

Anwar juga berbelah bagi dalam hal ini. Di suatu ketika beliau yakin akan dibebaskan kerana tiada fakta yang boleh menyabitkannya dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan itu serta isu pilihanraya Kajang yang menyebabkan Mahkamah Rayuan sebelum ini menjatuhkan hukuman kepadanya juga sudah pun berakhir.

Tetapi di ketika yang lain, sementara merasakan pemenjaraannya akan menghantar mesej perubahan yang betul kepada anak-anak muda, Anwar juga bimbang nasibnya dalam penjara nanti. Lantaran itu, beliau merayu jika dipenjarakan sekali lagi agar dirinya tidak dipukul seperti dulu.

Sebenarnya sama ada Anwar dipenjara atau dibebaskan, arus perubahan akan terus mengalir lebih kencang. Memenjarakan Anwar tidak mencerahkan masa depan politik Najib dan membebaskannya pula tidak banyak memberi kelebihan kepadanya.

Ada yang merasakan setelah menyaksikan deretan masalah, isu dan beban disandarkan kepada rakyat sejak enam tahun ini, perubahan sudah tidak boleh dielakkan lagi. Ada pula yang merasakan UMNO kini sudah dihinggapi pelbagai penyakit tua dan hanya menunggu masa saja untuk digantikan.

Jika Anwar dipenjarakan, suara dalam diam yang mahukan Najib, UMNO dan BN ditumbangkan akan terus membesar dan menunggu masa saja untuk meletus. Ketikanya tidak lain ialah PRU 14 nanti.

Rakyat bukan saja akan menilai Anwar tidak diadili secara baik, bahkan akan membandingkannya dengan kes perbicaraan Altantuya Sharibu yang melibatkan rakan karibnya, Razak Baginda serta turut dikaitkan dengan dirinya juga. Penembusan pelbagai maklumat menyebabkan rakyat tidak mudah dibohongi.

Memenjarakan Anwar juga tidak menjadikan rakyat yang benci dengan Najib kerana tindakannya menaikkan harga barang, meningkatkan kos sara hidup serta menghapuskan pelbagai akta untuk menunjukkan keterbukaan dan liberalisme, berubah secara tiba-tiba menjadi sayang dan mendokongnya dengan sepenuh hati. 

Mahathir sendiri yang bermusuh dengan Anwar tetapi sudah menarik sokongannya terhadap Najib, turut tidak mungkin beralih memuji dan menyanjungnya semata-mata kerana Anwar sudah berada dalam penjara. Ini kerana yang dibangkitkan Mahathir berkaitan hutang 1MDB, pengurusan ekonomi, kewangan, hubungan kaum, kepimpinan yang lemah tiada kaitan sama sekali dengan Anwar.

Bahkan mungkin dengan beradanya Anwar dipenjara, lebih mudah lagi Najib disingkir atau ditumbangkan.

Kiranya Anwar dibebaskan pula, walaupun nama Najib mungkin menjadi sedikit harum di kalangan pengkritik antarabangsa dan dalam negara, tetapi ia tidak menyebabkan perubahan yang dimahukan rakyat jadi terhenti secara automatik. Gelombang perubahan mungkin juga menjadi lebih semerbak dan agresif.

Anwar sendiri pasti akan menguatkan lagi gabungan PR yang diasaskannya untuk menghadapi PRU akan datang jika didapati bebas kali ini. Beliau akan menjadikan pilihanraya akan datang peluang terbaiknya bersama PR menyingkirkan BN dan menjanjikan reformasi kepada rakyat.

Satu-satunya kelebihan Najib dengan pembebasan Anwar ialah dapat menunjukkan kepada dunia kesediaannya dan BN berhadapan secara "anak jantan" dengan PR dalam pilihanraya akan datang. Setelah dicabar berdebat sebelum ini pun tidak berani disahutnya, membebaskan Anwar sekurang-kurangnya tidaklah menunjukkan Najib selamanya seorang yang penakut.

Najib barangkali akan mendapat sedikit sanjungan atas keberanian itu. Beliau juga akan dibandingkan dengan Mahathir yang tidak berani berhadapan dengan Anwar, sebaliknya memilih untuk memecat dan menyingkirkannya daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 dahulu.

Tetapi membebaskan Anwar juga akan menyebabkan Najib semakin kehilangan sokongan daripada kalangan yang sedia membenci dan menolaknya, terutamanya di kalangan ahli UMNO sendiri.

Apa pun hukuman pada 28 dan 29 Oktober nanti, ia mungkin hanya memberi kesan secara langsung kepada Anwar saja. Dipenjara akan menjadikan jasad terkurung tetapi jiwa tetap merdeka tetapi dibebaskan pula menyebabkan kedua-dua jasad dan jiwa jadi merdeka.

Kepada masa depan Najib, ia tidak banyak berbeza. Sama ada Anwar dibebas atau dipenjara, kelabunya tetap sama. Memenjarakan Anwar tidak menjadikan masa depan  Najib, UMNO dan BN cerah tiba-tiba atau menjadikan PR gelap gelita, manakala pembebasannya pula akan menjadikan agenda perubahan lebih terbuka serta menjadikan rakyat lebih berani mengharunginya. ( SH 24/10/2014)

9 comments:

  1. Wa ingat ea aa ,itu pembangkang tatak cukup kuat lea aa , Itu najib manyak lembek punya pon tatak bolih kasi tumbang lea aa .

    Itu PR pon tatak bolih kasi tumbang , Anuar satu olang apa boilh buat maa aa . Itu Anuar eaa aa ,luar dalam tatak hat punya maa aa , tapi kalau dalam atak lagi baik lea aa .

    Wa mau tengok, atak quality punya pembangkang lea aa ,57 tahun sutak medekak wa belum atak nampak loo rr .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lu tatak tau ka itu umngok kasi salah lu punya bangsa punya undi.

      Delete
    2. Hai ......Yaa hh , sendili punya hat jangan kasi salah ,lain olang maa aa.

      Pengundi tatak buta sama itu pekak loo rr .

      Delete
  2. komen-komen dalam bahasa pasar ni tak usah disiarkan-nanti ada irg kata shabudin sendiri yg tulis.sedangakan tulisan Shah dah bagus, cantik dan bernas.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bahasa lufang menghiburkan hati, jgn. kerana komen lufang tak menyebelahi pkr lalu cakap bahasa pasar.

      Delete
  3. Nasib PKR brsama pengikut2 nyer juga bakal kelam ibarat awan mendung berarak kelabu asap..

    ReplyDelete
  4. apa kena mengena dgn najib?, bkn najib yg terlibat dia penjara atau tidak, masalah ini ialah antara anwar dan saiful, suatu kes yg telah dibawa ke mahkamah, biar lah mahkamah yg menentukan selepas ini.

    ReplyDelete
  5. lawan tetap lawan...lawan sampai cirit...pi mampuih la....

    ReplyDelete
  6. Hanya org yg tiada upaya akal fikiran sahaja yg mengatakan najib tidak terlibat didalam kes anwar ini. Tolonglah melayu... Jadilah bangsa yg disantuni. Dah la tanah rizab dah tinggal 12%. Masalah sosial bercambah. Agama pun tak ikut.. Apa nak jadi..

    ReplyDelete