Thursday, 27 February 2014

Tersenarai Dalam 5 Boros Di Dunia, Satu Lagi Alasan Najib Wajar Diganti


Minggu ini sekali lagi Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa. Setelah beberapa kehebatan dan kecemerlangan yang berjaya dilakukan oleh pelbagai individu serta dalam pelbagai bidang sebelum ini yang sekaligus mengangkat nama Malaysia makin harum di persada dunia, kehebatan yang berlaku kali ini lebih "terangkat" lagi.

Sebuah portal berita Indonesia, Merdeka.com dalam laporan terbarunya telah membariskan Perdana Menteri, Najib Razak diantara lima pemimpin dunia yang paling boros. Bersama dalam senarai itu ialah Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlosconi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Korea Utara, Kim Jong-Un.

Dengan memetik laporan majalan The Heat, Najib dianggap boros kerana membelanjakan wang yang banyak bagi kos perjananan beliau dan perbelanjaan keluarganya sejak lima tahun lalu, di samping memperuntukan sejumlah besar wang lagi untuk menggaji pelbagai kumpulan konsultan dan penasihat bagi membantu pentadbirannya.

Robert Mugabe pula terkenal sebagai pemimpin yang boros terutama dalam meraikan ulangtahun kelahirannya yang ke-90 baru-baru ini, walaupun di ketika sebahagian besar rakyatnya sedang menderita kelaparan dan hidup dibawah paras kemiskinan manakala Berlosconi adalah pemimpin playboy yang gemar bersukaria dan menghabiskan hampir setiap malamnya dengan dikelilingi gadis-gadis jelita di beberapa rumah agam yang dimilikinya.

Netanyahu pula dikenali sebagai pemimpin yang suka membeli perhiasan mahal untuk kediaman dan pejabatnya di mana kos membeli lilin wangi dan bunga saja sudah menelan belanja yang cukup menggemparkann, sementara Jong-Un yang baru beberapa tahun mengambil alih tampuk Korea Utara daripada bapanya adalah juga terkenal dengan kegemaran membeli perhiasan yang mahal-mahal di mana dilaporkan perbelanjaan untuk barangan mahalnya untuk tempoh setahun terakhir ini menyamai dua kali ganda pengeluaran yang dilakukan oleh bapanya dalam tempoh setahun.

Dengan Najib termasuk dalam senarai lima terboros ini dan dibariskan dengan nama-nama yang tidak asing lagi seperti Mugabe, Berlosconi, Netanyahu dan Jong-Un, bermakna Malaysia makin dikenali di peringkat antarabangsa. Najib dengan kehebatannya berbelanja yang cukup "terangkat" itu akhirnya berjaya mengangkat namanya dan juga nama Malaysia untuk lebih dikenali lagi di peringkat global.

Memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia dan kempen untuk menarik kehadiran pelancong turut giat dijalankan sejak tahun lalu lagi, kehebatan yang berjaya ditonjolkan Najib ini pastinya akan membuatkan lebih berganda lagi pelancong mengunjungi negara ini.

Namun sebagai rakyat Malaysia yang merasai sendiri pelbagai keperitan melalui kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang dan dalam masa yang sama pemberian sekelumit tunai BR1M diagung-agungkan seakan-akan untuk menutup pemborosan dan belanja mewah pemimpin, tersenarainya Najib dalam kelompok lima terboros ini adalah suatu malapetaka bagi negara.

Di ketika rakyat terbeban dengan pelbagai kesukaran dan hutang negara sudah mencecah 54 peratus daripada KDNK negara, Najib sebaliknya dilihat di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin yang boros dan suka bermewah.

Ini akhirnya akan menjadikan negara kita tidak lagi dipandang tinggi walaupun kita mempunyai bangunan KLCC yang merupakan keempat tertinggi di dunia. Kedudukan negara sebagai negara Islam yang penuh toleransi dan setiap tahun menganjurkan Musabaqah Al-Quran akan dengan sendirinya pudar roh keIslamannya.

Negara-negara jiran, baik yang lebih maju mahupun yang lebih ke belakang berbanding kita, pastinya sekarang ini mulai memandang sinis dan mentertawakan kita atas pencapaian ini. Malah pelancong yang datang juga mungkin bukan lagi untuk menikmati keindahan pemandangan dan kesedapan makanan tetapi lebih untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kemewahan Perdana Menterinya.

Jika hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa saja Najib sudah berjaya membariskan namanya dalam "kelompok lima terbaik" ini, pastinya jika diberi lebih masa, makanya lebih banyak lagi "pencapaian" mengkagumkan yang mampu dilakukannya atas nama dan kuasa sebagai Perdana Menteri.

Kiranya pelbagai kelemahan mengenai Najib, termasuk yang dikritik keras oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin selama ini belum cukup kuat untuk merangsang pertukaran Najib, begitu juga dengan pelbagai derita dan sengsara yang mulai dirasai sendiri oleh rakyat, kehebatan terbaru Perdana Menteri ini mungkin merupakan satu lagi alasan kukuh ke arah yang sama.

Dengan meletakkan dirinya dianugerahkan dalam senarai lima paling boros di dunia, rakyat pada hakikatnya sudah cukup malu dan terhina dengannya. Rakyat tidak sanggup lagi jika selepas ini kita tersohor lagi di peringkat antarabangsa misalnya dalam kategori negara bakal bankrap, hutang paling banyak atau kerana memiliki gelang mahu pun cincin di antara lima yang termahal dalam dunia.

Sebelum terlewat, perubahan tidak harus dilewatkan lagi. (SH 27/02/2014)

4 comments:

  1. Berita mengenai Perdana Menteri, Najib Razak diantara lima pemimpin dunia yang paling boros kerana membelanjakan wang yang banyak bagi kos perjananan beliau dan perbelanjaan keluarganya sejak lima tahun lalu.

    Tapi kita dilupakan dengan perangai Tun Mahathir yang suka keluar negara tiap-tiap bulan ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun yang lalu. Kenapa tidak siasat kos perjalanan beliau ketika itu atau takut amokan Tun Mahathir dengan akta ISA ?

    Jika tidak wujud pelbagai tekanan untuk menyingkirkan Najib dari kerusi PM melalui kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang Najib tidak akan dikategorikan sebagai boros walaupun hutang negara sudah mencecah 54 peratus daripada KDNK negara.

    Sebenarnya sikap boros dan mencuri harta kerajaan untuk diri, anak bini, kroni juga boleh mengundang malapetaka kepada negara. Jangan pura-pura tidak tidak tahu Tun Mahathir bukan ahli perniagaan hebat tapi mampu memberi kekayaan kepada semua ahli keluarganya dengan kemewahan bertaraf billionaire, dari mana datang modal untuk mencipta keuntungan berganda itu ?

    Kita perlu akui Najib mempunyai pelbagai kelemahan yang memang tak layak jadi pemimpin tapi disebabkan ada beberapa orang yang termakan budi secara sebulat suara membenarkan orang bodoh jadi pemimpin sehingga menjahanamkan ekonomi negara. Salah siapa atau nak tutup malu maka tunding jari salah kan Najib ber isteri kan Rosmah ?

    Jika disamakan dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin beliau hanyalah sebagai anak murid yang bebal. Najib belajar ilmu politik dari mereka. Apabila dia melihat gurunya kencing berdiri.....bukan pekara mustahil dia pula kencing berlari sebagai tanda dia adalah anak murid yang hebat.

    ReplyDelete
  2. Dan Daim Zainuddim pada hakikatnya bukan seorang yang pandai berniaga.Pernah berniaga perusahaan menjual garam dan gagal diera zaman 80an.Cuma bila negara ini membangun diawal tahun 90an,beliau berlagak pandai dengan menjadi penyamun dengan memasuki politik. tanpa politik,cakapnya hanyalah sekadar tin kosong. Dia menuduh orang lain tak pandai sedangkan secara tak langsung hal yang sedemikan adalah merujuk pada dirinya sendiri.Pada zaman berkenaan tiada seorang melayu pun yang betul-betul berjaya dalam perniagaan, melainkan mereka-mereka yang menjadi pemimpin yang memperdayakan orang melayu sehingga kini dengan merompak harta negara untuk anak bini, tak terkecuali orang seperti mahathir.

    ReplyDelete
  3. Umno semenjak zaman mahathir sampai sekarang memang sudah tidak relevan.95% yang mengaku 'pemimpin' dalam umno tidak punya nyali dan harga diri.apa yang mereka tau hanyalah menjadi 'penjilat' dan 'pak angguk' kepada mahathir.setiap hari mereka hanya berfikir bagaimana mau memperbodohkan rakyat malaysia khususnya ahli umno demi merompak seberapa banyak harta negara.kesimpulannya...selagi umno tidak dihapuskan dari bumi malaysia selagi itulah melayu akan ketinggalan dan mundur dari semua aspek dan kehidupan...kerana itulah visi dan misi hakiki 95% 'pemimpin' umno.mahathir tersenyum lebar bangga dengan 'acuan' umnonya...

    ReplyDelete
  4. Korea Utara ketua negara bukan presiden tapi Pemimpin Agung sama dengan IRAN

    ReplyDelete