Tuesday, 31 December 2013

Najib Makin Lemah, Muhyiddin Pun Mula Mengorak Langkah


Ketika ini sedang berlangsung perhimpunan aman Turun bagi membantah kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup. Dilaporkan ribuan rakyat sedang berhimpun di tiga lokasi yang telah ditetapkan iaitu di depan Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni untuk menuju ke Dataran Merdeka sebagai destinasi sebenar perhimpunan tersebut.

Memandangkan kehadiran peserta demonstrasi akan bercampur dengan hadirin yang ingin menyambut ketibaan tahun baru, tidak dapat dielakkan bahawa kehadiran adalah dijangka melimpah-ruah. Dalam masa yang sama, terdapat juga mereka yang hadir untuk meraikan tahun baru tetapi turut membantah kenaikan harga barang yang sedang berlaku sekarang ini atau dalam ertikata lain hadir dengan dua tujuan.

Namun, bagaimanapun sambutan rakyat terhadap perhimpunan Turun ini, hakikat yang nyata ialah kedudukan Najib sedang merudum di mata umum. Jika perhimpunan berjaya dengan aman serta kehadiran puluhan ribu orang dapat dicatatkan, gambarannya langkah Najib menaikkan harga minyak, tarif letrik dan merasionalisasikan subsidi sehingga mewujudkan rantaian kenaikan harga barang adalah tindakan yang salah dan tidak diterima rakyat.

Jika berlaku sesuatu yang buruk yang melibatkan keganasan atau kecederaan, balanya lagi buruk buat Najib. Beliau dan kerajaannya akan disorot oleh seluruh dunia sebagai kerajaan yang keras, tidak bertolak ansur dan sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa.

Berjaya atau gagal perhimpunan Turun ini, impaknya tetap menyusahkan Najib. Tambahan pula dalam keadaan seperti ini, beliau juga tidak berada di dalam negara dan sedang bercuti bersama keluarganya. Walaupun hebahan dan maklumat tentang perhimpunan ini sudah lama diketahui, nampaknya bagi Najib, cuti tetap cuti.

Perhimpunan ini bukan saja membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup tetapi yang lebih penting ialah menolak pendekatan Najib yang mahu memansuhkan subsidi secara perlahan-lahan (istilah yang digunakan rasionalisasi) sehingga menyebabkan harga minyak dan tarif letrik turut mengalami kenaikan.

Najib lebih melihat penjimatan susbsidi bernilai RM46 bilion setahun sebagai jumlah yang besar untuk menambah tabungan negara. Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini juga Najib mempertahankan bahawa perbelanjaan subsidi yang besar yang hampir menyamai belanja pembangunan RM49 bilion adalah sesuatu yang tidak munasabah dan negara tidak mungkin mampu bertahan selama-lamanya dengan kaedah itu.

Masalahnya ialah rakyat telah menerima subsidi dalam bentuk pengurangan harga barangan keperluan harian sudah terlalu lama dan pemansuhan secara drastik serta berturut-turut membuatkan ramai yang terbeban kehidupannya, lalu bangkit dan menjerit.

Dengan kedudukan Najib yang semakin melemah akibat penolakan rakyat terhadap dasar merasionalkan subsidi sehingga meningkatnya banyak harga barangan serta kehidupan rakyat menjadi semakin terhimpit, hari ini Muhyiddin Yassin yang baru kembali bertugas setelah bercuti di luar negara seakan telah membawa khabar gembira buat rakyat dengan menyatakan kerajaan akan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi yang dilakukan sebelum ini.

Muhyiddin menyatakan subsidi kerajaan perlu dilihat semula secara lebih holistik dalam usaha meringankan beban kehidupan rakyat, terutama kumpulan sasaran.

Ini bermakna bahawa Muhyiddin amat menyedari kenaikan harga barang ini amat membebankan rakyat dan menjadi utama kemarahan mereka terhadap kerajaan ini. Lantaran itu, beliau mahu mengkaji dan melihat semula dasar yang telah dilaksanakan itu. Ini dipercayai langkah awal meredakan kemarahan ramai terhadap kerajaan.

Walaupun sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin sebenarnya turut bersetuju dengan dasar rasionalisasi subsidi yang dilakukan Najib sebelum ini, nampaknya beliau mula berubah nada. Muhyiddin mula menunjukkan beliau pro rakyat kerana menyedari rakyat tidak gembira dengan kenaikan harga barang sekarang ini.

Jika kita masih ingat, tindakan Muhyiddin ini tidak ubah seperti apa yang dilakukannya terhadap Pak Lah dahulu. Meskipun tarikh pengunduran Pak Lah sebagai Perdana Menteri telah dimaklumkan kepada kabinet dan MT UMNO serta dipersetujui pada awalnya, tetapi oleh kerana adanya rungutan bahawa tarikh yang dipilih oleh Pak Lah itu terlalu lama, Muhyiddin akhirnya bersuara di Singapura mendesak agar tarikh itu dipercepatkan.

Desakan itu akhirnya disambut oleh banyak pihak sehingga Pak Lah akur menyerahkan kuasa kepada Najib pada April 2009.

Dengan kedudukan Najib yang kian merosot dan tidak lagi digembirai oleh majoriti rakyat, Muhyiddin seperti sedang mengorak langkah menampilkan dirinya sebagai hero rakyat, sambil menambahkan lagi tekanan terhadap Najib. Melalui jaminan untuk mengkaji semula pemansuhan subsidi, tidak diragui lagi bahawa Muhyiddin bakal lebih disukai dan diberikan sokongan selepas ini.

Najib terlihat berkeras mahu mengekalkan dasar memansuhkan subsidi dan bergantung banyak kepada Pemandu yang diketuai oleh Idris Jala tetapi rakyat jelas tidak gembira dengan semua itu. Sebagaimana mereka meluat dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, begitulah juga meluatnya rakyat terhadap Idris Jala.

Isunya di sini bukanlah sama ada kerajaan terguling atau tidak melalui perhimpunan Turun ini, tetapi apakah Najib masih mampu membawa kejayaan kepada BN dalam PRU 14 nanti. Satu demi satu bencana politik yang dihadapi Najib meletakkan kuasa semakin rapuh dalam genggamannya.

Sementara kedudukan BN terlihat semakin terumbang-ambing dan mungkin kecundang pada pilihanraya 2018 nanti, Muhyiddin dengan jaminan mahu mengkaji semula subsidi seperti sedang menampilkan dirinya sebagai harapan baru untuk mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap BN dan kerajaan.

Adakah beliau akan berjaya dalam misinya kali ini sebagaimana kejayaannya mengundurkan Pak Lah dahulu? Hanya masa yang akan menentukan tetapi bidalan selalu mengingatkan, cencarau makan petang memang selalu pulang kenyang. (SH 31/12/13)

Monday, 30 December 2013

Selain Tukar Penasihat, Najib Juga Perlu Tukar Menteri Cap Ayam Dalam Kabinetnya


Sesiapa pun kini dapat merasakan bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan berada di tahap paling lemah sekali. Di mana-mana mudah saja kedengaran rungutan dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Rungutan tidak lagi diluahkan oleh kelompok yang memang kritikal dan menentang kerajaan, bahkan kebelakangan ini suara daripada dalam UMNO dan kerajaan sendiri semakin lantang mengkritik Najib dan kerajaan.

Atas semua yang berlaku sehingga kerajaan dikritik sekarang ini, Najib sebagai nakhoda parti dan kerajaan adalah orang yang paling dipersalahkan mengenainya. Kelemahannya dalam memimpin negara, lambat bertindak dan perlahan dalam memberi respon terhadap sesuatu yang menjadi bebanan rakyat adalah antara punca semakin merosotnya sokongan rakyat ini.

Kelemahan Najib sebahagiannya adalah disebabkan karenah penasihat serta anggota kabinetnya yang turut lemah. Selain Najib sendiri mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan, kedudukan beliau diburukkan lagi oleh penasihatnya yang tidak memberi laporan betul atau hanya berdasarkan kajian di dalam bilik pejabat sahaja.

Dalam menguruskan negara, Najib dikatakan mempunyai paling ramai penasihat, daripada Idris Jala yang mengetuai Pemandu, Wahid Omar yang mengendalikan Unit Perancang Ekonomi atau EPU, Omar Ong sebagai pegawai khas utamanya, beberapa pegawai khas lain, beberapa setiausaha politik, perunding antarabangsa yang dibayar jutaan ringgit seperti Apco sehinggalah beberapa rakan lamanya seperti Jamaluddin Jarjis dan Elis Anor yang diberikan ganjaran lumayan melalui dana awam atau kedudukan dalam korporat.

Semua mereka ini merupakan watak penting dalam menentukan perjalanan parti dan kerajaan, walaupun Najib juga mempunyai barisan menteri kabinet dan anggota MT UMNO yang turut berperanan memberi pandangan serta idea kepadanya.

Sebelum pilihanraya 2013, Najib menjadi Perdana Menteri hanya menumpang atas mandat yang diperolehi oleh Pak Lah dan PRU 13 adalah ujian pertama Najib. Keputusan pilihanraya itu memperlihatkan Najib lebih gagal daripada Pak Lah walaupun dengan perbelanjaan pilihanraya yang dipercayai jauh lebih besar daripada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya.

Selepas keputusan pilihanraya itu, Daim Zainuddin adalah orang pertama yang meletakkan kesalahannya kepada penasihat-penasihat Najib yang dianggapnya gagal memberikan nasihat yang betul kepada Perdana Menteri. Daim seterusnya menyarankan agar penasihat-penasihat itu dibuang berikutan kegagalan mereka.

Malangnya Najib masih mengekalkan mereka, malah terus bergantung harap kepada penasihat yang gagal itu. Lantaran itu, beberapa kebejatan dalam pengurusan ekonomi dan negara terus berlaku. Pemotongan subsidi dan menaikkan harga barang dilakukan tanpa mengambil kira kesusahan rakyat.

Sekali lagi, dalam beberapa episod yang menjunamkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan, para penasihat ini dipersalahkan. Para penasihat ini bukan saja dianggap tidak memberi nasihat yang betul, bahkan didakwa bersalut agenda kepentingan peribadi. Sudah banyak desakan agar Najib menukar para penasihatnya yang gagal ini, termasuk terbaru oleh Ahli Parlimen Pulau, Nur Jazlan Mohamed.

Kelemahan lain Najib adalah berpunca daripada anggota kabinetnya yang turut lemah, tiada wibawa dan bercap ayam. Tidak perlu disenaraikan satu persatu menteri dan timbalan menteri yang bercap ayam ini kerana di media sosial sudah banyak diperkatakan mengenainya. Ramainya pemimpin cap ayam ini tidak tidak membantu Najib, malah menjadikan kerajaan jadi bahan persendaan dan momokan rakyat.

Terlihat bahawa menteri dan timbalan menteri cap ayam ini tidak mempamerkan mereka lebih bijak daripada rakyat biasa. Cakapnya sering merapu, hujahnya ke laut dan seolah-olah bercakap dahalu, baru berfikir.

Walaupun kabinet yang ada masih baru tetapi oleh kerana kelemahan mereka yang terlalu ketara ini, Najib perlu memikirkan dengan serius untuk merombak kabinetnya. Beliau harus membuang menteri dan timbalan menteri cap ayamnya dan menukar dengan pemimpin yang lebih berwibawa dan diterima rakyat.

Dalam masa yang sama kerajaan juga dilihat lambat bertindak dan memberi respon terhadap sesuatu isu walaupun dunia kini sudah menjadi serba pantas dan tanpa sempadan. Tindakan Najib mengumumkan 11 langkah penjimatan termasuk pemotongan 10 peratus elaun menteri dan timbalan menteri, seharusnya dilakukan serentak atau pun sebelum beberapa langkah kenaikan dan pemotongan subsidi dilakukan.

Dalam beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan, sudahlah jawapan dan respon menteri menyakitkan hati, lebih buruk lagi ialah jentera kerajaan dan jentera parti yang sepatutnya memberi penerangan lebih jelas ke arah itu tidak pula dilakukan. Media sosial dan dunia maya yang diakui paling berkesan dan dekat dengan rakyat gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

Walaupun menguasai kerajaan, jentera siber parti dan kerajaan sentiasa terkebelakang dan kecundang dalam persaingan dengan pihak lawan.

Hanya setelah keadaan semakin parah dan terpaksa memesongkan protes rakyat terhadap kenaikan harga barang pada malam tahun baru dengan agenda menggulingkan kerajaan serta setelah beberapa desakan ke arah itu dilakukan termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan ramai pihak lagi, Najib akhirnya mengalah dengan akur untuk turut sama berjimat.

Menghebahkan agenda mengguling kerajaan dan dalam masa yang segera mengumumkan langkah berjimat-cermat kerajaan hanyalah menunjukkan kerajaan dalam keadaan terdesak untuk mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat. Yang penting kini Najib sedang mengakui kerajaannya semakin lemah daripada sokongan rakyat.

Tetapi kedudukan kerajaan dan sokongan rakyat terhadap Najib tidak akan berubah selagi para penasihatnya terus dikekalkan dan menteri serta timbalan menteri cap ayam tidak disingkirkan. Hanya dengan dua langkah segera itu yang kemudian disusuli pula dengan tindakan pragmatik yang pro rakyat, barulah ternampak kemungkinan adanya cahaya di hujung terowong perjalanan politik Najib.

Jika tidak, Najib lebih mudah tersingkir sama ada dalam pilihanraya 2018 ataupun mungkin lebih awal daripada itu. (SH 30/12/2013)

Sunday, 29 December 2013

Takkanlah Kerajaan Najib Serapuh Biskut Kering?


Serentak dengan sambutan malam tahun baru beberapa hari lagi, beberapa NGO pro pembangkang telah merancang untuk mengadakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka untuk menzahirkan luahan perasaan terhadap kerajaan yang menaikkan beberapa harga barang dan perkhidmatan sejak beberapa bulan lalu.

Sejak pilihanraya umum Mei lalu, kerajaan didapati telah menaikkan empat hingga lima barang dan perkhidmatan, manakala menjelang 1 Januari 2014 nanti, beberapa kenaikan lagi turut menyusul yang sekaligus menjadikan kehidupan rakyat terus-terusan disusahkan oleh kerajaan.

Siri kenaikan yang paling banyak dalam sejarah negara ini jelas tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat, termasuk oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang menyatakan kerajaan sepatutnya mengurangkan kos, bukannya menaikkan harga.

Lebih dari itu, ada yang menyifatkan tahun 2014 sebagai tahun barang naik dan tahun sengsara bagi rakyat yang pada hakikatnya semakin hari semakin dikemudiankan oleh kerajaan.

Lantaran itu, perhimpunan aman di malam ambang merdeka ini tentulah dapat difahami maksud dan tujuannya. Ia hanyalah sekadar medan untuk rakyat meluahkan perasaan dan agar kerajaan lebih mendengar rintihan mereka.

Bagaimanapun, sementara sesetentah pemimpin dan ahli UMNO memahami dengan rasional tujuan perhimpunan itu, terdapat pula pihak lain yang cuba memesongkan pemikiran massa dengan mengatakan perhimpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan. Beratus-ratus laporan polis sudah dibuat untuk meminta polis mengambil tindakan terhadap perhimpunan yang didakwa mahu menggulingkan kerajaan itu.

Walaupun sudah dijelaskan berkali-kali oleh pihak penganjur bahawa perhimpunan itu tiada kena-mengena dengan agenda menggulingkan kerajaan, namun ia seperti tidak diendahkan dan laporan polis terus juga dibuat. Termasuk yang tidak mahu faham dan turut mengaitkannya dengan tujuan menggulingkan kerajaan ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang turut mengetuai sekumpulan orang membuat laporan polis semalam.

Rupa-rupanya bukan kalangan pemimpin muda daripada Pemuda UMNO saja yang tidak faham, pemimpin sudah beruban seperti Ali Rustam pun turut sama tidak faham.

Hakikatnya, ketidakfahaman mereka itu lebih menggambarkan kebimbangan terhadap kejayaan perhimpunan tersebut. Mereka tahu rakyat sedang marah ketika ini dan ia mungkin mendorong ramai daripadanya untuk turut sama turun ke Dataran Merdeka.

Jika ramai yang turun ke Dataran Merdeka, tentulah ia dilihat sebagai manifestasi bahawa rakyat semakin jauh dengan kerajaan. Tetapi ia cuma sekadar itu. Sambil merayakan sambutan tahun baru, mereka ingin juga melakukan sesuatu yang bermakna, selain daripada berhibur. Selebihnya mungkin hadir hanya untuk berhibur semata-mata.

Tidak mungkin kerajaan terguling atau tumbang hanya kerana sekumpulan anak-anak muda mengadakan protes kenaikan harga barang. Sistem, budaya dan kedudukan masyarakat kita jelas tidak menerima kerajaan ditumbangkan melalui rusuhan atau tunjuk perasaan. Berdemo dan mengadakan tunjuk perasaan hanyalah sekadar meluahkan perasaan, lagi pula ia dibenarkan dalam Perlembagaan dan sesuai dengan janji Najib mengenai perhimpunan aman sendiri.

Tidak mungkin kerajaan tumbang atau terguling hanya ketana perhimpunan seperti jni, kecualilah kerajaan Najib ini sudah begitu rapuh seperti biskut kering yang mudah dipatah atau lembut bila direndam dalam air. Tetapi adakah begitu keadaannya?

Sejarah telah membuktikan bahawa kita ada rekod dan sistem tersendiri kalau mahu menukar kerajaan atau menukar Perdana Menteri.

Jadi, janganlah kalut terlebih-lebih dengan perhimpunan ini.

Begitu dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis KL, Amar Singh Ishar Singh yang menyatakan perhimpunan itu bertujan menimbulkan kekecohan, malah menyatakan penganjur akan mendirikan beberapa khemah di sekitar Dataran Merdeka serta membawa pelbagai senjata termasuk bom ke perhimpunan itu.

Kenyataan ini lebih bertujuan menakutkan rakyat dan tidak membantu memperbaiki imej kerajaan. Polis seharusnya lebih fokus kepada kawalan keselamatan dan mencegah sesuatu yang buruk. Jika ada bukti kukuh dan sahih, tangkaplah mereka yang terbabit itu walaupun secara realitinya ternampak mustahil penganjur secara terbuka mendirikan khemah dan membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan ke tempat awam.

Jika benar polis mempunyai maklumat seperti itu, mereka yang terbabit seharusnya ditahan sebelum pun mereka sampai ke Dataran Merdeka lagi. Maklumat seperti ini tidak seharusnya diucapkan secara santai melalui media, kecualilah tujuannya hanya untuk menakut-nakutkan dan menghalang kehadiran rakyat.

Walaupun sudah beratus laporan polis dan nyanyian mengguling kerajaan semakin kuat kedengaran, pihak polis tidak seharusnya mudah melatah dengan perkara ini. Biarkanlah anak-anak muda ini meluahkan perasaan mereka, tetapi mesti diingatkan supaya mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang buruk yang boleh menjejaskan keselamatan.

Daripada menghebahkan pelbagai perkara yang tidak pasti, pihak polis sebaiknya memanggil penganjur terlibat dan meminta jaminan tiada kekecohan, huru-hara atau keganasan daripada mereka atau mereka akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sesuatu yang buruk.

Kerajaan seharusnya lebih bijaksana menangani isu, manakala sikap kalut dan reaksi berlebih-lebih hanya memperlihatkan kepimpinan Najib sedang rapuh dan umpama biskut kering saja kedudukannya. (SH 29/12/13)

Saturday, 28 December 2013

Anak Rosmah Beli Kondo RM110 Juta, Satu Lagi Kebanggaan Malaysia


Sebagaimana satu demi satu harga barang dinaikkan, nampaknya satu demi satu juga terdedahnya kemewahan yang mahu dipamerkan oleh keluarga Perdana Menteri, Najib Razak kepada rakyat Malaysia ini. Terbaru, dilaporkan anak Rosmah Mansor daripada perkahwinan terdahulu yang secara automatiknya merupakan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz telah membeli sebuah kondo mewah di New York berharga RM110 juta.

Jika sebelum ini heboh diperkatakan mengenai penggunaan jet eksekutif mewah yang digunakan oleh Rosmah untuk penerbangan ke Qatar, manakala lama sebelum ini pula pelbagai pendedahan mengenai kemewahan dan pemborosan yang dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri telah menjadi santapan berita bagi rakyat negara ini, pendedahan terbaru ini pastinya menjadikan sekali lagi isu berkaitan Perdana Menteri menjadi perhatian dan perbualan ramai.

Dalam usianya yang masih muda iaitu 36 tahun, kejayaan membeli kondo semahal itu dan di Kota New York pula, ia tentulah merupakan suatu pembelian yang membanggakan, di samping pastinya menghairankan.

Persoalan bagi kebanyakan rakyat yang saban hari dibebankan dengan pelbagai kenaikan harya barang ialah berapa banyakkah wang yang dimiliki oleh anak tiri Najib itu? RM100 juta? RM150 juta? RM200 juta? Atau lebih daripada itu?

Persoalan lain pula ialah daripada manakah beliau memperolehi wang sebanyak? Apakah beliau memperolehi wang melalui pekerjaannya sebagai perunding kewangan dan penerbit semata-mata di negara Uncle Sam itu?

Atau adakah beliau memperolehi kekayaannya itu lebih melalui kedudukannya sebagai anak kepada Rosmah Mansor dan anak tiri kepada seorang Perdana Menteri?

Terdapat laporan sebelum ini yang mengaitkan Riza sebagai mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low, seorang usahawan berasal daripada Pulau Pinang tetapi bermastautin di Amerika Syarikat dan mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah Mansor.

Jho Low yang pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti Hollywood, terutama Paris Hilton dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan isteri Perdana Menteri dan dalam suatu interbiu, beliau mengangggap Rosmah seperti ibunya sendiri. Jho Low dikaitkan dengan beberapa projek mega seperti pembangunan semula tapak TUDM di Sungai Besi dan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa pelabur daripada Timur Tengah yang sebahagiannnya sudah pun dibawanya bertemu dengan Najib.

Memanglah pembelian mana-mana hartanah di seluruh dunia adalah hak sesiapa saja, tetapi memandangkan kedudukannya sebagai ahli keluarga Perdana Menteri, pembelian itu tentunya menimbulkan persoalan dari segi ketelusan dan kewibawaan Najib dalam menguruskah negara ini.

Jika benar ada kontrak-kontrak besar dianugerahkan kepada syarikat atau pelabur yang ada kaitan dengan ahli keluarganya sendiri, Najib seharusnya tampil dan menjelaskan perkara ini kepada umum? Kontrak pula diberikan secara tender terbuka atau runding terus? Rakyat tentunya ingin tahu sudah berapa banyak projek dan berapa nilainya yang telah diserahkan untuk memberi kekayaan melampau kepada anak tirinya itu.

Bagaimana pula dengan anak-anaknya sendiri, sama ada daripada perkahwinan terdahulu atau hasil perkahwinan dengan Rosmah? Adakah mereka juga ada menerima kontrak dan peluang-peluang perniagaan yang diberikan secara langsung atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan?

Semua ini memerlukan penjelasan daripada Najib sendiri? Beliau tidak seharusnya terus berdiam diri sebagaimana sikapnya dalam beberapa isu sebelum ini? Isu Syiah yang dikaitkan dengan Mat Sabu, Najib diam dan dalam isu penggantungan akhbar mingguan The Heat juga beliau masih berdiam diri sehingga ini.

Tetapi dalam isu pembelian kondo RM110 juga, Najib tidak harus berdiam diri lagi?

Rakyat yang merana dengan kenaikan harga barang ingin tahu bagaimana anak tirinya menjadi sekaya itu? Begitu juga bakal penerima bantuan BR1M turut ingin tahu, berapa banyakkah projek-projek besar telah dianugerahkan kepada anak tirinya itu?

Rakyat yang selalu diasak agar berjimat-cermat, mengubah cara hidup dan terbaru diminta jangan merungut dengan kenaikan harga barang, tentunya amat berbesar hati jika Najib dapat bersikap jujur dan menunjukkan ketelusannya kali ini?

Sepertimana Najib gagal mengawal kenaikan harga barang, pada persepsi umum Najib juga dilihat gagal mengawal ahli keluarganya sendiri agar menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat. Sementara rakyat diminta melakukan itu dan ini, keluarga Najib pula nampaknya bangga membeli itu dan ini serta mempamerkan kemewahannya kepada umum.

Selepas ini, sebagaimana harga barang dijangka terus meningkat, pasti ada lagi berita-berita sensasi mengenai anak isteri dan keluarga Perdana Menteri yang bakal terdedah kepada umum. Tetapi pastinya juga, sebagaimana ada yang berkata, kenaikan harga barang tanda negara sedang menuju kemajuan, akan ada yang tampil mengatakan pembelian kondo oleh anak tiri Najib ini juga suatu tanda kejayaan orang Melayu di peringkat antarabangsa.

Atau mungkin seorang menteri yang meminta rakyat jangan merungut dengan kenaikan harga barang sebelum ini, bersuara lagi kali ini dengan meminta rakyat jangan mempertikaikan pembelian kondo ini pula.

Alahai...(SH 28/12/2013)

Friday, 27 December 2013

Saranan Mahathir Bukti Najib Mengurus Negara Secara Salah


Selepas beberapa pihak tampil menyatakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad akhirnya turut bersuara dengan nada yang serupa.

Dalam tulisan di blognya, Mahathir berkata, dalam menangani beban kewangan negara dan keperluan menambah sumber pendapatan, kerajaan sepatutnya mengurangkan kos pengeluaran dan bukannya menaikkan harga barangan yang tentunya akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Mengenai kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus yang diputuskan kerajaaan pula, beliau berkata, kenaikan itu seharusnya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya secara mendadak kerana ia akan membebankan pengguna domestik, selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri.

Pandangan dan saranan Mahathir ini jelas bertentangan dengan pendekatan Najib dalam mengurus negara selama ini yang lebih melihat instrumen cukai dan subsidi sebagai sumber menambah pendapatan negara. Beberapa cukai bakal dinaikkan manakala subsidi pula dalam perancangan untuk dihapuskan sama-sekali dengan alasan ia tidak baik untuk perkembangan ekonomi secara keseluruhannya.

Semua pendekatan Najib ini lebih menjurus kepada meningkatnya harga barangan pengguna.

Dalam masa yang sama, dalam usaha menghapus subsidi dan mahu penghapusannya diterima, hanya susbsidi yang melibatkan rakyat mahu dihapuskan sedangkan subsidi yang turut diterima oleh syarikat-syarikat besar dan kroni, tidak terlihat pula mahu diusik. Kalau dipotong pun, barangkali merupakan langkah terakhir sekali.

Sepanjang Najib mempertahankan apa yang dilakukannya, tidak pernah sekali pun tergambar iltizam mahu mengurangkan kos, mengambil langkah jimat-cermat serta mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan. Semua beban hanya mahu diletakkan di bahu rakyat semata-mata.

Dengan saranan Mahathir agar kerajaan mengurangkan kos pengeluaran, walaupun gambarannya bersifat analogi, tetapi adalah jelas ianya bermaksud agar kerajaan menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu sebelum mahu mengambil lebih banyak daripada saku rakyat dan menaikkan kos kehidupan mereka.

Sebagai sebuah kerajaan, seharusnya itulah yang patut dilakukan oleh Najib kerana terus-terusan membebankan kehidupan rakyat dah kemudian mencipta pelbagai alasan untuk menghalalkannya, bukanlah tindakan yang bijak dan terpuji. Kerajaan yang sebegini adalah kerajaan yang cacat dan sudah hilang upaya dalam pemikiran dan kebijaksanaannya.

Melalui saranan Mahathir ini juga, ia dengan sendirinya menolak hujah Pengerusi Felda, Isa Samad bahawa kenaikan harga barang bukanlah salah UMNO tetapi merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia dan tidak dapat dielakkan oleh mana-mana kerajaan.

Ini kerana, dengan mengurangkan kos, tahu berjimat-cermat dan mengawal ketirisan, tiada sebab barangan tidak boleh dijual dengan harga yang sama atau lebih rendah lagi. Jika kos tidak mahu dikurangkan dan langkah berjimat tidak diusahakan sedangkan sebagai sebuah kerajaan ianya boleh dilakukan oleh UMNO melalui iltizan para pemimpinnya, sudah tentulah memang salah UMNO jika harga barangan terus meningkat.

Dalam hal ini, Mahathir telah menunjukkan jalan yang mudah dan praktikal untuk dilakukan oleh Najib iaitu kurangkan kos, berjimat-cermat, kawal ketirisan dan naikkan sesuatu secara berperingkat-peringkat agar rakyat tidak terasa bebannya.

Persoalannya, selama ini dimanakah peranan Pemandu, Idris Jala, Omar Ong, puluhan pegawai dan penasihat Perdana Menteri, con-sultan dan con-setan yang direkodkan telah dibayar sebanyak RM7.2 bilion oleh kerajaan sepanjang lima tahun yang lalu serta penasihat kiri dan kanan dalam menasihati Najib supaya menguruskan negara ini dengan cara yang betul?

Nampaknya Najib dan kerajaan perlu terus disekolahkan dalam mentadbir negara ini!! (SH 27/12/2013)

Thursday, 26 December 2013

Mujurlah Hanya Ada Seorang Hasan Malek Di Negara Ini


Berlakunya siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini diakui oleh semua pihak bakal memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan. Ia bukan saja memperlihatkan kegagalan kerajaan menggunakan kuasa yang ada padanya dengan sebaik mungkin, malah sesetengah kenaikan itu juga menunjukkan kegagalan kerajaan menepati janjinya.

Selain Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat, ahli akademik, NGO dan sebagainya turut menyedari bahawa kenaikan yang menyebabkan kemarahan rakyat ini akan terus menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan serta sedang melihatnya sebagai isu yang serius, beberapa pusat kajian bebas turut membuat kajian mengenainya.

Merdeka Center melalui kajiannya mendapati, sokongan rakyat terhadap Najib telah menurun daripada 62 mata kepada 52 mata sejak kenaikan ini dilakukan manakala Umcedel pula mendapati isu kenaikan harga barang ini turut menjejaskan sokongan yang diterima kerajaan dan akan menentukan keupayaan memenangi pilihanraya ke 14 nanti.

Pihak pembangkang pula kini sedang menangguk sokongan yang kian melimpah berikutan kemarahan rakyat yang sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sementara kenaikan ini diyakini akan terus menyebabkan pengundi bandar dan separa bandar terus bersama PR, BN juga dipercayai akan mula kehilangan sokongan pengundi luar bandar kerana kenaikan harga barang ini telah mendatangkan kesan yang merata kepada rakyat.

Hakikatnya semua orang bercakap tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini bakal memberi kesan kepada BN dan kerajaan jika tidak ditangani segera.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek dengan bangganya menolak bahawa kenaikan harga barang ini akan menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan. Perkasa ini, katanya, hanyalah masalah kecil saja.

Beliau juga menolak hasil kajian Umcedel yang meramalkan sokongan rakyat kepada BN merosot berikutan kenaikan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

Penolakan Hasan Malek ini seolah-olah memperlihatkan beliau tidak pernah merasai denyut nadi rakyat yang sedang gelisah sekarang ini. Apakah beliau tidak sedar atau tidak mahu sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya sekarang ini?

Sebagai wakil rakyat di Kuala Pilah dan menteri yang terlibat dengan hal ehwal pengguna, adalah mustahil hanya respon yang baik-baik saja diterimanya setiap hari. Atau mungkin pegawai dan orang bawahannya tidak menyampaikan maklumat yang betul kepadanya?

Dengan menolak hasil kajian Umcedel yang tidak memihak kepada kerajaan, Hasan Malek juga terlihat masih terbelenggu dengan pemikiran bahawa kerajaan adalah betul segala-galanya atau kerajaan tahu segala-galanya sedangkan Perdana Menteri sering kali mengingatkan kepada menteri-menteri kabinetnya supaya membuang pemikiran itu.

Dalam hal ini, Hassan nampaknya masih terbuai dengan khayalannya. Mungkin sebab itulah agaknya baru-baru ini beliau sanggup hadir sebagai penonton di program Maharaja Lawak Mega walaupun ada siaran langsung di televisyen. Tidaklah salah hadir di program itu tetapi dengan mempamerkan riang gembiranya dan bertepuk sorak di program itu, ia secara langsung juga menonjolkan mentalitinya sebagai pemimpin.

Biasanya seseorang menteri hadir di program sebegitu hanya untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang atau seumpamanya sahaja. Kalau ingin bertepuk sorak dan bergembira, menonton di rumah atau bersama kawan-kawan rapat sudahlah!

Dalam masa yang sama, dengan menolak hasil kajian Umcedel dan seperti sedikit angkuh menyatakan sokongan rakyat tidak merosot kerana kenaikan harga barang ini, ramai yang teringat kembali komennya agar jangan makan ayam apabila harga ayam naik menjelang hari Raya Aidil Fitri yang lalu.

Ramai yang marah dan mencemuh beliau atas komennya yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat itu. Beliau seolah-olah tidak tahu bahawa ayam adalah salah satu keperluan setiap kali musim perayaan untuk dibuat rendang dan sebagainya.

Saranannya supaya beralih kepada ikan dan daging pula lebih jauh tersasar dalam usaha meringankan beban rakyat memandangkan kedua-duanya lebih mahal daripada harga ayam. Terlihat bahawa beliau seorang menteri yang tidak tahu apa-apa dalam tugasnya.

Hasilnya, beliau adalah anggota kabinet pertama yang dianugerahkan gelaran "menteri cap ayam" oleh beberapa blog dan laman sosial.

Kemudian, beliau juga gagal menjawab di Parlimen apabila ditanya oleh Rafizi Ramli mengenai mengapa harga gula negara kita lebih mahal berbanding beberapa negara lain berikutan harga gula mentah sedang menurun harganya. Sekali lagi beliau menonjolkan dirinya sebagai menteri yang tidak tahu apa-apa apabila menjawab, "saya tidak dapat menjawabnya sekarang kerana ia memerlukan pengiraan terlebih dahulu".

Rafizi kemudian menyindirnya dengan berkata, "lain kali kira dulu sebelum naikkan harga, bukannya naikkan dulu, baru kira".

Sebenarnya banyak lagi komen atau respon daripada Hasan Malek ini yang didapati tidak menggambarkan dirinya seorang pemimpin yang berbeza keupayaannya dengan rakyat biasa atau menteri yang mewakili rakyat, malah kadangkala tesasar jauh daripada hakikat yang sebenarnya berlaku. Dalam banyak keadaan, Hasan Malek adalah antara pemimpin yang langsung tidak membantu UMNO, BN dan kerajaan dalam memenangi hati rakyat bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Beliau lebih banyak menjadi bahan persendaan, cemuhan dan kadang-kadang lawak jenaka kerana respon atau pandangan yang dikeluarkannya.

Tetapi, mujurlah hanya ada seorang saja pemimpin seperti beliau di negara ini. (SH 26/12/2013)

Wednesday, 25 December 2013

Berapa Lama Lagikah Najib Mampu Bertahan?


Kritikan demi kritikan yang diterima Najib sejak kebelakangan ini jelas memperlihatkan kerajaan yang sedang dipimpinnya semakin lemah dan ditolak oleh rakyat. Jika sebelum ini kegagalannya menangani kenaikan harga barang lebih banyak dikritik oleh pihak pembangkang, mutakhir ini pula memperlihatkan suara dari dalam UMNO sendiri semakin lantang mengenainya.

Selain Ahli Parlimen Pulai dan Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, ahli akademik pro BN, Ridhuan Tee Abdullah yang sudah bersuara mengenainya, semalam pula bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut bersuara dengan nada yang serupa.

NGO Perkasa yang sejak penubuhannya dilihat pro kerajaan dan Najib juga sudah mulai berbeza nada, malah memberi amaran mahu mengambil alih peranan UMNO dalam membela nasih rakyat lantarah UMNO dilihat semakin jauh daripada perjuangan membela nasib Melayu dan rakyat sejak kebelakangan ini.

Ada yang mengatakan di belakang Perkasa ialah Mahathir Mohamad dan jika dilihat hubungan Perkasa dengan Mahathir sejak sekian lama, malahan Ibrahim Ali dapat bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum lalu di Pasir Mas sehingga membuatkan calon UMNO, Johan Che Pa tidak mengemukakan borang pencalonannya, turut dikaitkan dengan campurtangan bekas Perdana Menteri itu.

Sementara pembangkang dan pelbagai NGO mereka terus menguatkan tekanan terhadap Najib dan kerajaan supaya lebih memikirkan kenaikan kos sara hidup rakyat yang sedang terhimpit sekarang, suara-suara dari dalam yang sebelum ini pro UMNO dan kerajaan juga sudah memperlihatkan rentak dan nada yang seirama.

Puncanya tentulah tidak lain kerana mereka juga sudah dapat mengesan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup ini. Selepas ini, mungkin ada lagi yang turut bertindak sama.

Jika dulu Pak lah mula menerima kesan penolakan rakyat akibat tindakannya menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen yang kemudian dihubung-kaitkan dengan pelbagai kelemahannya yang lain, Najib pula dilihat mula menerima kesan yang sama akibat tindakannya menaikkan beberapa jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Najib bukan saja sedang menuruti jejak Pak Lah, bahkan langsung tidak mengambil teladan daripadanya.

Satu demi satu kenaikan yang gagal dikawalnya telah menyebabkan populariti Najib kini hanya tinggal 52 mata berbandinpg 62 mata sebelumnya berdasarkan kajian Merdeka Center manakala Umcedel pula dalam kajian terbarunya turut mendapati kenaikan harga barang akan menjadi beban yang akan terus menurunkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Selain mendapati 42 peratus kemarahan rakyat adalah kerana kenaikan harga minyak, 34 peratus kerana kenaikan harga barang dan 24 peratus disebabkan kenaikan tarif letrik, kajian Umcedel juga mendapati bantuan BR1M tidak lagi berkesan dalam meringankan beban kehidupan rakyat.

Yang lebih buruk ialah, di sebalik kemarahan rakyat kian meningkat, pembangkang makin agresif meningkatkan prestasinya dan lebih banyak pula dari dalam UMNO dan kerajaan sendiri yang mengkritik kepimpinan Najib, tindakan mempertahankan Najib pula hampir tidak kedengaran.

Lebih ramai yang memilih untuk berdiam diri daripada mengeluarkan suara mempertahankan Najib. Najib seolah-olah mula keseorangan dalam menpertahankan diri dan kerajaan yang sedang dipimpinnya sekarang. Dalam isu melibatkan isterinya yang diserang baru-baru ini, Rosmah Mansor akhirnya terpaksa tampil sendiri mempertahankan diri dengan menulis surat yang panjang mengenainya.

Suara-suara dari sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga hampir-hampir tidak kedengaran membela dan menpertahankan Najib dan kerajaan sedangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru, masing-masing mengaku merekalah tulang belakang dan tulang depan kepada parti dan kerajaan.

Apakah tulang-tulang ini sudah bengkok dan hampir patah sekarang ini? Mana jentera siber Pemuda UMNO dalam hal ini?

Jentera media sosial yang diakui sebagai medium paling utama dalam menghadapi pilihanraya akan datang pula, dilihat sudah terkulai sebelum masuk medan perjuangan. Selain terdapat blog dan media sosial pro UMNO yang berdiam diri daripada mempertahankan Najib dan kerajaan, selebihnya turut juga lantang mengkritik. Yang mengaku sudah menjadi bebas dan tidak lagi mahu dikaitkan dengan pro mana-mana parti juga sudah ada.

Semua ini memperlihatkan kedudukan Najib sekarang ini sebenarnya lebih parah berbanding ketika Pak Lah diserang dan mahu dijatuhkan dulu. Ketika itu Mahathir terpaksa bekerja keras ke seluruh negara dan menghadiri pelbagai program di merata tempat untuk menjustikasikan perlunya Pak Lah diturunkan sebagai Perdana Menteri, namun menteri kabinet dan pemimpin UMNO ramai yang masih lantang mempertahankannya.

Namun sekarang ini, sementara tekanan kian meningkat, suara yang mempertahankannya juga hampir tidak ada. Kalau ada pun yang bersuara hanyalah daripada pemimpin yang semakin terhakis wibawanya seperti Isa Samad dan Ahmad Maslan, manakala yang lain-lain lebih selesa memilih berdiam diri dan menjaga hal masing-masing.

Ini menjadikan persoalan yang bermain di fikiran ramai orang ialah sampai bilakah Najib mampu bertahan menghadapi semua tekanan ini? Tetapi dengan sokongan yang semakin merosot hari demi hari ini, semakin ramai yang percaya bahawa Najib tidak akan dibenarkan terus mengetuai UMNO dan BN dalam PRU 14 nanti kerana kemungkinan BN hilang kuasa lebih besar jika beliau terus kekal

Yang paling tidak mahu melihat UMNO dan BN kalah pastinya Mahathir. Yang lain-lain ada yang merasakan hanya kekalahan dan hilang kuasa merupakan pengajaran bermakna bagi UMNO dan para pemimpinnya. Selebihnya pula merasakan apa salahNya PR diberi peluang pula.

Dan ramai juga yang percaya kerja Mahathir jauh lebih mudah kali ini. Berbanding ura-ura dan tohmahan bahawa kerajaan mahu digulingkan melalui demonstasi, Najib sebenarnya lebih mudah tergolek jika Mahathir mulai bersuara. (SH 25/12/2013)

Monday, 23 December 2013

Turunkan Najib Harus Jadi Azam Tahun Baru 2014 Rakyat Malaysia


Beberapa hari saja lagi, tahun baru 2014 akan menjelma. Seperti kebiasaannya setiap kali menjelang ketibaan tahun baru, perkara yang selalu dilakukan oleh kebanyakan orang ialah menanam azam masing-masing supaya apa yang mahu dicapai pada tahun tersebut sentiasa tersemat dalam hati dan menambahkan lagi kegigihan untuk berusaha.

Ada yang azamnya mahu memiliki kereta, membeli rumah baru, menamatkan zaman bujang, memiliki syarikat sendiri dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, azam yang dipasang adalah bergantung kepada keupayaan seseorang dan apa yang mahu dicapainya.

Untuk tahun 2014 ini, apakah azam yang sesuai untuk rakyat Malaysia agaknya?

Rata-rata rakyat Malaysia kini sedang terbelenggu dengan pelbagai kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Dengan kenaikan minyak, gula, cukai pintu, astro, letrik, tambang bas, LRT, monorel, tol dan pelbagai lagi, barangkali tahun 2013 boleh diisytiharkan sebagai tahun paling banyak barang dan perkhidmatan dinaikkan dalam sejarah hampir 57 tahun kemerdekaan negara.

Lebih memilukan hati rakyat ialah semua kenaikan itu dilakukan ketika kerajaan lantang melaungkan slogan "rakyat didahulukan" serta di ketika BN hanya memperolehi kemenangan tipis dalam PRU 13 yang baru saja berlalu.

Tidak dapat dinafikan juga bahawa semua kenaikan ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan melonjakkan tahap ekonomi sehingga hutang negara terus bertambah, sementara pendapatan terus berkurangan. Ini menyebabkan kerajaan hanya melihat kaedah menaikan harga barang, menghapuskan subsidi dan meningkatkan kadar cukai untuk mengisi kantung perbendaraan negara.

Ini menjadikan kegelisahan dan kemarahan rakyat makin kuat kedengaran di mana-mana. Perdana Menteri, Najib Razak kini paling dipersalahkan atas semua perkara ini kerana beliau dilihat sebagai nakhoda yang gagal.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC, Nur Jazlan Mohamed turut membayangkan bahawa pelbagai kenaikan yang berlaku sekarang umpama BN sedang menempa kekalahan dalam PRU 14 nanti. Menurut beliau, kenaikan ini menyebabkan rakyat, terutamanya pengundi bandar dan separa bandar menjadi lebih marah kepada rakyat.

Katanya, jika dalam PRU 13 lalu BN di kalah di kawasan-kawasan tersebut, dalam PRU 14 nanti kekalahan yang lebih teruk bakal diterima BN kesan daripada peningkatan kos sara hidup ini.

Seorang pensyarah, Redhuan Tee Abdullah yang selama ini dilihat sentiasa menyokong kerajaan, turut tidak dapat menyembunyikan rasa gelisahnya dengan mengingatkan bahawa kenaikan kadar tol akan menyebabkan ramai yang beralih untuk menyokong PR dalam pilihanraya akan datang.

Malah, secara berterus-terang juga beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya yang dulu pro BN tetapi kini sudah menyampah dengan kerajaan.

Pemimpin pembangkang pula saban hari menyelar kegagalan Najib mengawal kenaikan ini dan memintanya lebih memikirkan soal kebajikan serta kesejahteaan rakyat.

Sebelum pilihanraya lalu, PR sudah banyak kali mengingatkan rakyat bahawa pelbagai kenaikan akan berlaku sekiranya BN terus dikekalkan memerintah negara ini. Dengan ingatan itu sudah menjadi kenyataan sekarang kini, apa yang lebih mengharukan ialah Najib juga turut memungkiri beberapa akujanjinya sendiri semasa kempen pilihanraya lalu.

Dalam keadaan semua rakyat tertekan sekarang ini, jika perlu menanam azam untuk menyambut ketibaan tahun 2014 nanti, keazaman yang paling munasabah bagi semua rakyat Malaysia ialah memastikan Najib dapat diturunkan daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang diempukinya.

Segala azam lain tidak akan lebih bermakna selain daripada azam untuk menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri. Najib kini sudah dilihat sebagai liabiliti bagi rakyat negara ini dan lebih lama beliau berada di kerusinya sekarang, pasti akan menjadikan kehidupan rakyat lebih sengsara jadinya dan banyak kenaikan lagi akan dilakukan.

Bagi rakyat biasa, perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka hanya mungkin berlaku setelah berlakunya perubahan dalam kepimpinan negara. Bagi yang pro BN pula, sedarlah bahawa lagi lama Najib kekal sebagai Perdana Menteri, lagi merosot sokongan rakyat. Dengan luahan kemarahan semakin kuat daripada dalam UMNO dan BN sendiri, potensi untuk BN kalah dalam pilihanraya akan datang lebih terbuka jika parti dan kerajaan kekal dipimpin oleh Najib berbanding pemimpin lain.

Lagi pula, dengan majoriti rakyat meluahkan rasa marah terhadap Najib sekarang ini, terus-terusan mahu mengekalkan Najib adalah petanda bahawa UMNO dan BN juga turut tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Yakinlah bahawa negara ini akan lebih baik jika tanpa Najib. Perkembangan kebelakangan ini menunjukkan beliau sudah hilang upaya dan tandus kreativiti untuk terus memajukan negara serta memberi kebahagiaan kepada rakyat.

Dengan semua rakyat, pro BN dan pro PR, masing-masing menjadikan hasrat mahu menurunkan Najib sebagai azam tahun tahun 2014 ini, ia adalah perjuangan murni yang tidak mustahil akan membuahkan kejayaan. Tanamkanlan keazaman untuk menjadikan tahun 2014 permulaan untuk memberi lebih tekanan dan desakan agar akhirnya Najib dapat diundurkan dan punca segala masalah kesengsaraan rakyat dapat diatasi.

Sentiasalah ingat, suara rakyat tetap suara keramat. (SH 23/12/2013)

Sunday, 22 December 2013

Najib Sudah Boleh Dikategori Perdana Menteri OKU


Sesiapa pun kini tidak dapat lagi menyembunyikan kebimbangannya terhadap keupayaan Najib dalam memimpin negara ini. Pretasinya merosot hari demi hari, kedudukan ekonomi kian memburuk, hutang negara bertambah dan kehidupan rakyat tidak pernah menjadi lebih baik.

Menambahkan beban derita rakyat melalui pelbagai kenaikan kos sara hidup bagaikan sudah menjadi amalannya, terutama sejak berakhirnya PRU 13 lalu. Di sebalik pelbagai janji untuk memulihkan ekonomi dan menyatakan prestasi ekonomi negara berada di landasan yang betul, hakikatnya semakin hari semakin banyak wang dari poket rakyat yang cuba disedut atas nama kesejahteraan negara dalam jangka panjang kononnya.

Dan setiap kali berlaku kenaikan dan menambahkan derita rakyat, Najib seolah-olah tidak berasa berdosa melakukannya. Beliau sentiasa mencari hujah-hujah yang logik untuk mewajarnya segala kenaikan itu, walaupun banyak daripada hujahnya kelihatan dangkal dan tidak masuk akal.

Dalam mempertahankan kenaikan pelbagai harga barang dan perkhidmatan, Najib telah membandingkan dengan kenaikan gaji dan elaun wakil rakyat di Selangor dengan menyatakan kerajaan PRlah yang lebih dulu melakukan kenaikan. Sekali pandang, hujah Perdana Menteri itu nampak ada betulnya tetapi hakikatnya beliau lupa bahawa kerajaan telah menaikkan harga minyak sebaik saja berakhir pilihanraya pada 5 Mei lalu sedangkan kenaikan gaji wakil rakyat Selangor hanya baru diluluskan dan belum pun berkuatkuasa lagi.

Ia kemudian diikuti dengan kenaikan harga gula, tarif letrik, tol dan pelbagai lagi. Inilah yang telah menambahkan lagi kos sara hidup hidup rakyat. Lagi pula tiada kaitan antara kenaikan gaji wakil rakyat di Selangor dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilakukan Najib itu. Beliau hanya cuba memesongkan kesalahannya ke bahu orang lain.

Dalam masa yang sama, jika Najib ingin membandingkan kenaikan gaji wakil rakyat, beliau sepatutnya melihat kepada kerajaan negeri Sarawak yang telah melakukan kenaikan gaji dan elaun lebih awal serta pada peratusan yang lebih tinggi lagi berbanding di Selangor.

Bercakap mengenai kenaikan kadar tol pula, Najib mempertahankan cadangan kenaikan itu dengan mengatakan jika tol tidak dinaikkan, maka cukai terpaksa dinaikkan. Terlihat di sini bahawa untuk menambah pendapatan dan mengelakkan hutang negara terus bertambah, Najib hanya melihat cara mudah untuk memperolehi wang iaitu melalui kenaikan harga barang, menambah kadar cukai dan penghapusan subsidi.

Bahkan melalui apa yang didedahkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli bahawa kerajaan juga didapati telah menjual dan memajak beberapa aset negara untuk mencapai sasaran defisit negara 2013 pada kadar 4 peratus daripada KDNK sebagaimana yang dijanjikan, berbanding 4.5 peratus pada tahun lalu, jelas membuktikan bahawa Najib semakin kehilangan upaya dalam mentadbir negara ini.

Sudah tentu penjualan aset negara ini adalah berdasarkan nasihat daripada Pemandu yang diketuai oleh Idris Jala di mana ketika mengetuai MAS, beliau juga pernah mengambil pendekatan sama iaitu menjual bangunan ibu pejabatnya untuk memperolehi pendapatan.

Lalu apa jadi kepada MAS sekarang, sudahlah hilang bangunan, prestasinya juga terus merosot. Catatan untung hanya direkodkan pada tahun awal Idris Jala mengetuainya saja dan jelas keuntungan itu kerana menjual bangunannya.

Daripada menaikkan harga barang, menambah kadar cukai, menghapuskan subsidi dan menambah derita rakyat, Najib kini menjual aset negara pula. Beliau sudah menjadi seorang yang kurang upaya atau OKU dalam memimpin negara ini.

Jika dalam kehidupan seharian OKU bermaksud orang kelainan upaya tetapi dalam kes Najib, maksud yang sesuai ialah orang kurang upaya. Beliau kini dilihat tidak mampu lagi membawa negara melangkah lebih jauh menuju kemajuan dan memberi kebahagiaan kepada rakyatnya. Setiap hari berita yang diterima rakyat adalah berita sedih belaka.

Najib pada hakikatnya sudah menjadi Perdana Menteri yang OKU sifatnya. Yang beliau nampak hanyalah menaikkan cukai, memotong subsidi dan menaikkan harga barang sebagai jalan mudah memperolehi wang dan pendapatan bagi negara. Kesengsaraan dan kesusahan rakyat semakin jauh daripada lubuk hatinya.

Jika dalam dunia pekerjaan, mereka yang sudah mengalami kecacatan kekal atau dikategorikan OKU sudah dibolehkan mengambil pencen Socso, maka Najib juga sebenarnya layak dimasukkan dalam kategori itu. Beliau pada hakikatnya sudah menjadi OKU dalam memimpin, berfikir dan merencana sesuatu yang bermakna untuk negara. Beliau juga tidak mampu lagi memimpin dengan lebih kreatif atau beraksi dengan lebih baik untuk tahun-tahun seterusnya.

Lagi lama, lagi derita rakyat dibuatnya. Lagi lama juga, tiada apa lagi yang tinggal akhirnya nanti. (SH 22/12/2013)

Saturday, 21 December 2013

Makmal Kos Sara Hidup Langkah Terbalik Najib


Ekoran rungutan berterusan orangramai mengenai kos sara hidup yang kian meningkat berikutan berlakunya siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan, Najib Razak semalam mengumumkan penubuhan Makmal Mengenai Kos Sara Hidup dibawah Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan atau Pemandu bagi mengkaji dan merangka langkah-langkah susulan menangani masalah itu.

Menulis di laman sosial Facebooknya, Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat berkenaan kenaikan kos sara hidup dan sedang mencari formula sesuai untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Disebabkan itu, katanya, kerajaan bersetuju menubuhkan makmal tersebut yang diletakkan di bawah Pemandu.

Respon Najib ini adalah jelas untuk menunjukkan beliau tetap seorang pemimpin yang prihatin kepada kesejahteraan rakyat berikutan pelbagai kenaikan yang berlaku sejak selepas PRU 13 lalu lebih memperlihatkan beliau seolah-olah bukan lagi Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat serta tidak mempedulikan rungutan yang kian meningkat.

Najib dilihat memilih cara mudah untuk menambah pendapatan negara iaitu dengan cuba mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat melalui kenaikan cukai dan menghapuskan subsidi serta dalam masa yang diminta berkorban dan berjimat-cermat.

Namun yang menjadi persoalan ialah kenapa baru sekarang beliau tergerak hati mahu menubuhkan makmal mengenai kos sara hidup itu. Apakah sebelum menaikkan harga barang, beliau tidak pernah memikirkan kos sara hidup rakyat? Makmal ini sepatutnya ditubuhkan sebelum sebarang kenaikan dilakukan dan bukannya selepas banyak kenaikan dilakukan.

Benarlah kata orang, kehidupan sebagai anak bangsawan menyebabkan beliau tidak dapat memahami derita rakyat miskin. Kehidupan serba mewah sejak lahir menyebabkannya tidak pernah merasai denyut nadi rakyat bawahan dan pemahamannya mengenai kemiskinan hanyalah sekadar memandang melalui jendela dari sebuah rumah banglo.

Dengan menubuhkan makmal hanya setelah melakukan pelbagai kenaikan dan meletakkan rakyat dalam kehidupan hampir "nyawa-nyawa ikan", menunjukkan Najib seorang yang tidak memandang ke hadapan, tiada perancangan konkrit dalam mengurus negara dan menjaga kebajikan rakyat. Semua urusan negara seolah-olah dilakukan berdasarkan pendekatan "ad-hoc" dan konsep "trial and error" saja.

Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan Najib sedang mengamalkan pendekatan terbalik dalam mengurus negara dan kerajaan iaitu dengan melakukan sesuatu terlebih dahulu, kemudian barulah membuat kajian sedangkan sepatutnya kajian dan fikiran mendalam dilakukan terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan mahu dibuat.

Sekiranya makmal ini ditubuhkan sebelum pelbagai kenaikan dilakukan, Najib pasti mendapat lebih maklumat mengenai kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada kehidupan rakyat dan tidak menjadikan dirinya pemungkir janji paling zalim di mata rakyat.

Selain itu, dengan meletakkan makmal ini di bawah Pemandu, persoalan yang timbul ialah apa sudah jadi dengan jentera kerajaan sedia ada? Apakah Najib tidak mempercayai lagi pelbagai jentera dan agensi kerajaan untuk melakukan kajian yang melibatkan kehidupan rakyat ini?

Untuk mendapat maklumat mengenai kos sara hidup ini, Najib juga boleh mendapatkannya melalui UMNO dan parti-parti komponen BN yang rangkaiannya lebih menyeluruh dan mempunyai cawangan di serata tempat. Pemimpin peringkat cawangan, bahagian, penghulu dan ketua kampung sebenarnya boleh mendapatkan maklumat dan kajian lebih tepat mengenai kos sara hidup ini kerana mereka lebih bergaul dengan pelbagai jenis kelompok rakyat.

Kenapa Pemandu juga yang dipilih oleh Najib sedangkan untuk mendapatkan maklumat mengenai kenaikan kos sara hidup bukanlah suatu kerja yang susah sangat?

Dengan menyerahkan kepada Pemandu untuk menjalankan makmal ini, persoalan yang timbul juga ialah berapa juta lagi kos yang mahu dikeluarkan oleh kerajaan mengenainya. Sudah tentu Pemandu tidak punya kakitangan dan dan upaya untuk melakukan kajian ini, sebaliknya akan menyerahkannya kepada perunding luar untuk melakukan kajian bagi pihaknya.

Jika sebelum ini Parlimen sudah diberitahu bahawa sepanjang lima tahun Najib menjadi Perdana Menteri, beliau sudah membelanjakan RM7.2 bilion untuk mengupah perunding atau konsultan luar bagi melakukan pelbagai tugas sehingga mereka ini layak digelar con-sultan atau con-setan, dengan adanya makmal mengenai kos sara hidup ini tentunya sekali lagi duit rakyat akan dirobek bagi tujan itu.

Mungkin puluhan juta terpaksa dibelanjakan bagi mengupah perunding luar ini sedngkan hasil kajiannya belum pasti membuahkan sesuatu yang menggembirakan kepada rakyat.

Persoalan lain yang timbul ialah berapa lamakah makmal ini diberikan masa untuk menjalan tugasnya. Jika contohnya enam bulan baru hasil kajian itu dapat diperolehi, apakah sepanjang tempoh enam bulan itu rakyat hanya dibiarkan saja menanggung beban derita kehidupan mereka?

Isu kenaikan kos sara hidup adalah isu kritikal ketika ini. Majoriti rakyat terbeban kehidupannya. Najib seharusnya mengambil langkah lebih pantas untuk menanganinya. Sekarang bukanlah lagi masa untuk beretorik dan melakukan kejian dengan menubuhkan makmal atau seumpamanya. Sekarang adalah masa untuk beliau bertindak segera.

Menubuhkan makmal kajian yang akan memakan masa beberapa bulan, hanyalah bertujuan melengahkan masa untuk bertindak dalam membantu rakyat. Ingatlah bahawa rakyat sudah lama terbeban kehidupannya dan kajian demi kajian tidak akan merubah apa-apa.

Mengaku mendengar keluh-kesah rakyat saja tidak lagi memadai. Mendengar mesti disusuli dengan tindakan yang segera dan pantas. Di ketika ini, Najib mesti berfikir seperti seorang doktor untuk mengubati penyakit dan bukannya seperti seorang peguam yang suka melengah-lengahkan masa. (SH 21/12/2013)

Friday, 20 December 2013

Awas, Jangan Kritik Isteri PM Lagi!!


Tindakan KDN menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Heat, adalah isyarat jelas kepada pengamal media agar tidak lagi mengkritik isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Akhbar itu yang sebelum ini telah diberikan surat tunjuk sebab, akhirnya digantung permit penerbitannya kerana menyiarkan berita mengenai perbelanjaan mewah Najib dan Rosmah sebagai berita muka hadapannya.

Walaupun tiada penjelasan mengenai punca penggantungannya oleh KDN, tetapi penyiaran berita mengenai perbelanjaan mewah Najib dan Rosmah adalah dipercayai menjadi puncanya.

Najib yang sebelum ini pernah menjanjikan mahu memansuhkan Akta Mesin Cetak dan memberi lebih kebebasan kepada media, ternyata sekali lagi memungkiri janjinya sendiri. Ia tidak jauh bezanya dengan janji mahu mengurangkan kadar tol, meskipun ianya termaktub dalam akujanjinya kepada rakyat semasa pilihanraya lalu.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang luar biasa dalam laporan mengenai perbelanjaan mewah Najib dan Rosmah yang disiarkan dalam akhbar mingguan itu. Tidak ada unsur fitnah atau tokoh tambah didalamnya.

Ia hanyalah berita ulangan yang sudah banyak kali disiarkan dalam portal berita internet, blog dan laman sosial. Isu ini juga sudah menjadi bualan rakyat, tidak kira di mana. Apa yang luar biasanya ialah The Heat menjadi akhbar atau media cetak bebas yang pertama bertindak berani menyiarkan laporan mengenainya.

Selama ini hanya akhbar milik beberapa parti pembangkang saja yang kerap memainkan isu mengenai perbelanjaan mewah Rosmah ini.

Sebelum ini, walaupun sudah banyak kali isu perbelanjaan keluarga Perdana Menteri dibangkitkan di Parlimen, ia sebenarnya hanyalah menjadi fokus kepada portal-portal berita bebas sahaja, manakala akhbar arus perdana dan media cetaknya lainnya tidak langsung memainkan isu itu atau sekadar menjadikannya berita kaki sahaja.

Tetapi di dunia internet, berita mengenai perbelanjaan mewah dan boros Perdana Menteri, isteri serta keluarganya tidak pernah surut. Satu demi satu berita mengenainya terdedah kepada umum. Dari penggunaan jet eksekutif, pembelian cincin RM24 juta, perbelanjaan majlis pertunangan anaknya, pemilikan pelbagai jenis barang kemas dan beg tangan sehinggalah kepada kekerapannya membeli-belah dan berapa banyak kereta yang digunakan untuk mengangkut barang beliannya di luar negara, semuanya telah terdedah kepada umum.

Dalam hal ini, internet benar-benar telah menjadikan langit terbuka luas dan dunia menjadi tanpa sempadan.

Baru-baru ini lawatan Rosmah ke Qatar dan beberapa negara lainnya dengan menggunakan jet eksekutif kerajaan kembali menjadi isu, di ketika rakyat semakin dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta diminta mengubah gaya hidup.

Tidak cukup dengan Najib yang menjadi Perdana Menteri pertama tampil mempertahankan isterinya secara terbuka dalam Perhimpunan Agung UMNO, Rosmah juga kemudian tampil sendiri mempertahankan dirinya. Beliau tidak saja bercakap mengenainya dalam interbiu dengan sebuah portal berita, Malaysian Gazette yang memang diwujudkan khas untuk menjaga kepentingan Najib dan isterinya, malah Rosmah juga kemudian menuls surat penjelasan panjang lebar untuk menjawab tuduhan-tuduhan terhadapnya.

Kebanyakan portal berita dan blog pro UMNO serta kerajaan, didapati telah menyiarkan surat tersebut.

Tindakan Rosmah menulis surat itu bukan saja menunjukkan perubahan sikapnya yang sebelum ini tidak mahu menjawab semua tuduhan terhadapnya, bahkan juga dilihat bermulanya pendekatan agresifnya kepada semua pengkritik dan penentangnya selama ini.

Ramai yang melihat bahawa berikutan kesediaannya menulis surat penjelasan yang panjang lebar itu, jika timbul lagi isu-isu mengenai dirinya, Rosmah akan menjawab sendiri mengenainya dan tidak lagi mengharapkan orang lain membela dirinya.

Namun, dengan apa yang berlaku kepada akhbar The Heat juga menunjukkan bahawa kuasa dalam kerajaan juga mulai digunakan untuk melindunginya. Zahid Hamidi dan KDN kini seperti sedang memberi amaran bahawa jangan ada sesiapa yang berani mengkritik Rosmah lagi.

Dalam masa yang sama, keadaan ini juga memperlihatkan kritikan terhadap Rosmah lebih merupakan kesalahan berbanding kritikan terhadap Najib sendiri. Banyak kritikan yang lebih keras, sama ada melalui melalui media cetak, portal berita, buku, blog dan laman sosial terhadap Najib sebelum ini tetapi tidak pernah KDN mengambil sebarang tindakan.

KDN seolah-olah bersikap toleransi terhadap semua kritikan kepada Perdana Menteri tetapi mulai tidak memberi ruang kepada sesiapa untuk mengkritik Rosmah. Mengkritik Rosmah seolah-olah ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam, merosakkan perpaduan kaum dan menyebabkan ekonomi negara merudum. Selepas nasib yang menimpa The Heat ini, mungkin tindakan dalam bentuk yang lain bakal dikenakan pula kepada portal berita, blog, pengendali laman sosial dan penulis buku yang selama ini agak bebas menulis, mengkritik dan mendedahkan apa saja mengenai isteri Perdana Menteri itu.

Walaupun tindakan menggantung permit akhbar ini tidak boleh diterima dan menunjukkan kerajaan sedang mundur ke belakang dalam memberi kebebasan kepada media, tetapi Zahid Hamidi dan KDN sebenarnya sedang memberitahu rakyat Malaysia siapa sebenarnya yang paling berkuasa dan tidak boleh disentuh kedudukannya di negara ini.

Jangan cuba-cuba berani mengusik orang paling berpengaruh itu atau bakal berhadapan tindakan keras daripada kerajaan. (SH 20/12/2013)

Thursday, 19 December 2013

Kasanova Baru Kahwin Pun Tidak Mungkir Janji Secepat Ini!!


Apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam menaikkan harga barang dan perkhidmatan selepas pilihanraya ini memperlihatkan wajah sebenar kerajaan yang sedang memerintah negara ini. Ia juga memperlihatkan gambaran sebenar wajah Perdana Menteri, Najib Razak dan hati perutnya dalam memimpin negara ini. Kini tidak terselindungkan lagi hakikat wujudnya perbezaan bagaikan langit dengan bumi dalam diri dan perasaannya antara sebelum dengan selepas pilihanraya.

Jika sebelum pilihanraya 5 Mei lalu dan dalam manifesto pilihanraya atau rayuannya meminta sokongan, begitu banyak janji-janji indah yang dihamburkan, kini semuanya bagai tinggal kata-kata saja. Hanya setelah enam bulan memperolehi kuasa yang membolehkannya terus kekal di puncak kuasa dan mendiami lagi Seri Perdana, bukan saja pembaziran dan kemewahan terus diamalkan tetapi juga menunjukkan sudah begitu banyak janjinya sendiri mulai dimungkiri.

Terlalu banyak janji yang dibuatnya barangkali menyebabkan beliau lupa apa yang pernah diucapkannya. Lantaran itu, tanpa rasa berdosa, selepas mengumumkan kenaikan harga minyak sebaik saja pilihanraya umum lalu berakhir, satu demi satu kenaikan terus berlaku. Harga gula, tarif letrik, cukai pintu, pengenalan cukai GST, kenaikan kadar tol adalah antara kenaikan yang mula meresahkan kehidupan rakyat sekarang ini.

Tidak cukup dengan itu, isterinya Rosmah Mansor juga terus bergentayangan terbang ke serata dunia dengan jet eksekutif kerajaan serta berbelanja mewah menggunakan wang pembayar cukai tanpa rasa bersalah atau ada sedikit pun perasaan belas kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah yang kian terhimpit kehidupannya.

Walaupun Ahmad Maslan berhujah bahawa kenaikan letrik tidak membebankan kehidupan rakyat bawahan berikutan mereka yang mempunyai bil RM70 ke bawah didakwanya tidak mengalami sebarang perubahan, sebaliknya lebih memberi kesan kepada kelompok industri tetapi sedarkah beliau bahawa sekiranya kos industri meningkat, ia juga akan menyebabkan harga barangan meningkat.

Apabila harga barangan meningkat, siapakah yang menerima kesannya?

Tindakan Najib dan kerajaan begitu cepat mengumumkan pelbagai kenaikan sekarang ini telah mengundang kegelisahan yang tiada taranya kepada rakyat. Di mana-mana juga suara resah dan bimbang itu boleh didengari. Tidak saja golongan kritikal dan mereka yang memang dikenali sebagai penyokong pembangkang yang bersuara, bahkan sekarang ini suara yang dulunya menyokong juga sudah berubah nadanya.

Bagi mereka yang dulunya menyokong segala usaha UMNO dan kerajaan, pelbagai kenaikan ini menyebabkan mereka tidak berupaya lagi mencari kata-kata untuk mempertahankan janji-janji yang pernah dibuat dulu. Janji yang dilakukan kerajaan nampaknya bukan lagi untuk ditepati, tetapi lebih untuk dimungkiri dengan pelbagai hujah yang direka-reka.

Kajian Merdeka Center mengenai prestasi Najib jelas menunjukkan hakikat ini. Menurunnya kedudukan beliau daripada 62 peratus kepada 52 peratus setelah pelbagai kenaikan sejak kebelakangan ini, adalah gambaran sebenar suara keluh-kesah rakyat terhadap Najib dan kerajaan sekarang ini.

Ia juga adalah bukti penolakan terhadap janji-janji yang dimungkiri sendiri oleh Najib. Dalam tempoh hanya enam bulan setelah memperolehi kuasa, sudah begitu banyak janji yang dimungkiri, menunjukkan bahawa Najib memang tidak mahu berpegang kepada kata-katanya sendiri.

Janji-janjinya kelihatan lebih teruk daripada janji seorang lelaki ketika memikat seorang wanita yang ingin dikahwininya. Tetapi setelah berkahwin, kebanyakan janji itu tetap cuba dipenuhi dengan sedaya-upaya dan kalau ada pun yang hendak dimungkiri, ia mungkin hanya telah memperolehi dua atau tiga orang anak. Selebihnya mungkin janji itu hanya lewat untuk ditunaikan saja.

Namun Najib nampaknya telah memungkiri janjinya lebih pantas daripada itu. Hanya setelah enam bulan dan mungkin ketika seorang isteri sedang mengandung anak sulung, beliau sudah pun memungkiri banyak janjinya. Bayangkan dalam tempoh pilihanraya akan datang yang akan diadakan sebelum 2018, berapa banyak lagi janji yang akan dimungkiri Najib?

Kalau dalam kehidupan berumahtangga, lelaki seumpama itu boleh dianggap lelaki yang tidak bertanggungjawab dan sesetengah orang mungkin memanggilnya "lelaki haprak" atau "kasanova cinta" tetapi oleh kerana janji-janji Najib dilontarkan kepada rakyat yang berjuta-juta jumlahnya, label dan kategori beliau mungkin lebih buruk daripada itu.

Apa saja boleh gelaran boleh dilemparkan kepada Najib dah kerajaan yang sedang dipimpinnya.

Tetapi apa pun label, kategori atau gelaran yang mahu mahu tujukan kepadanya, rakyat kini dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana Najib memungkiri janji-janjinya. Rakyat tidak seharusnya lagi berfikir lebih daripada sekali untuk menolak pemimpin seperti ini. (SH 19/12/2013)

Wednesday, 18 December 2013

Barang Naik: Angkara Penasihat Atau Tanda Lemahnya Najib?


Kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berturut-turut sejak beberapa bulan lalu mula menimbulkan keresahan kepada rakyat. Setelah beberapa kenaikan berlaku, pertanyaan yang sering bermain di fikiran ialah, apakah lagi akan naik selepas ini?

Setelah kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus bermula Januari 2014, kenaikan kadar tol antara 50 sen hingga RM2 di beberapa lebuhraya bermula tarikh yang sama, barangkali adalah hadiah tahun baru paling menyedihkan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi, janji pengurangan tol antara bandar adalah antara janji BN yang terkandung dalam manifesto pilihanraya umum 5 Mei lalu.

Dengan pengumuman kenaikan tol semalam bermakna kerajaan telah membakulsampahkan janjinya sendiri kepada rakyat sehingga dilaporkan kandungan manifesto itu sudah pun dipadamkan daripada laman web BN. Ia menunjukkan satu lagi bukti janji dicapati, bukannya ditepati.

Sebelum ini, walaupun hanya mencapai kemenangan paling buruk dalam sejarah BN, kerajaan juga sudah mengumumkan kenaikan harga minyak, penghapusan subsidi gula, kenaikan cukai pintu DBKL dan pelaksanaan cukai GST yang akan bermula pada April 2015.

Dengan segala kenaikan yang dilakukan kerajaan itu, semua kos kehidupan kini sudah meningkat dan rakyat mempunyai semakin kurang wang dalam poket masing-masing.

Keresahan rakyat terhadap kerajaan kini boleh didengari di mana-mana. Di dalam UMNO dan kerajaan sendiri sudah mula kedengaran suara-suara yang semakin lantang menolak pelbagai kenaikan yang dilakukan oleh kerajaan ini. Pemuda UMNO misalnya tidak berselindung lagi menyatakan rasa tidak senangnya dengan kenaikan yang bertalu-talu sejak kebelakangan ini dan akan membangkitkannya dalam mesyuarat kabinet.

Blogger dan laman sosial pro UMNO dan kerajaan juga mulai bersikap kiri dengan mengkritik pelbagai kenaikan yang berlaku sejak kebelakangan ini yang dianggap tidak sensitif terhadap kehidupan rakyat yang sudah pun sedia terhimpit kehidupannya. Lebih dari itu, kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini juga seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak mengenang budi pengundi luar bandar yang telah memenangkannya dalam pilihanraya lalu.

Bagaimanapun bagi kebanyakan pemimpin UMNO dan blogger pro kerajaan, mereka lebih banyak menyalahkan para penasihat Najib dalam semua kenaikan yang berlaku ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala yang mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan atau Pemandu serta penasihat kanan Najib, Omar Ong adalah dua individu yang paling banyak dipersalahkan kerana mereka berdualah yang dikatakan memberi nasihat mengenainya kepada Najib.

Kedua-dua mereka ini digambarkan sebagai orang paling berpengaruh kepada Najib dalam menentukan dasar kerajaan dan ekonomi negara. Idris dikatakan orang yang bertanggungjawab meyakinkan Najib untuk memperkenalkan cukai GST dengan menjadikan negara Greece yang muflis sebagai rujukannya.

Beliau juga merupakan nadi dalam pelbagai program transformasi yang diperkenalkan Najib serta di sebalik pengumuman pelaburan bernilai berbilion-bilion ringgit yang diperolehi kerajaan.

Omar Ong, selain penasihat kanan Najib dan Ahli Lembaga Pengarah Petronas, dikatakan telah memainkan peranan penting dalam penstrukturan harga minyak dan rasionalisasi subsidi yang sehingga ini telah menyebabkan meningkatnya harga minyak dan gula. Kenaikan tarif letrik juga dikatakan atas nasihat beliau sebagai salah satu cara menambah pendapatan negara.

Tersebar juga berita bahawa hasrat perletakan jawatan Mahathir sebagai Penasihat Petronas adalah juga kerana kecewa dengan peranan Omar Ong yang terlalu berpengaruh dalam syarikat minyak itu sehingga dikatakan bekas PM itu tidak dapat berbuat banyak perkara, terutama yang berkaitan dengan usaha membantu usahawan Bumiputera.

Tetapi sejauh mana peranan dan pengaruh mereka ini kepada Najib tidak dapat dipastikan dengan tepat kebenarannya. Selain kedua-dua mereka tidak pernah membuka mulut atau menafikan cakap-cakap orang ramai mengenainya, Najib juga turut berdiam diri dan tidak pernah bercakap tentangnya.

Tetapi setiap kali berlaku kenaikan yang dilakukan kerajaan, setiap kali itulah juga nama Idris dan Omar dikaitkan. Malah kalangan pemimpin kanan parti dan kerajaan juga turut menyebut mengenai perkara yang sama, seolah-olah merekah berdualah inilah yang menentukan perjalanan serta hala tuju kerajaan.

Dan adalah mustahil Najib yang merupakan antara pemimpin dunia paling aktif dalam laman sosial tidak mengetahui langsung mengenai pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap Idris Jala dan Omar Ong itu kerana setiap kali berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan, pasti nama mereka itu disebut ramai.

Idris dan Omar juga mustahil tidak mengetahui langsung apa yang pemimpin UMNO, blogger pro kerajaan dan orang ramai mengata mengenai diri mereka.

Oleh itu, sikap berdiam diri mereka ini agak misteri sifatnya. Ia mungkin bermakna benar mereka itu berpengaruh dalam menentukan dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan Najib atau mungkin juga semua kenaikan itu adalah kehendak Najib sendiri untuk menambah pendapatan dan mengurang hutang negara yang sudah pun mencecah 53.6 peratus daripada KDNK negara tetapi menjadikan Idris dan Omar sebagai kambing hitamnya.

Tetapi kalau pun Idris dan Omar begitu berpengaruh dalam merancang pelbagai dasar untuk kerajaan, Najib juga tidak seharusnya menerima bulat-bulat nasihat mereka itu, kecualilah kalau Perdana Menteri sudah kena bomoh dengan mereka itu. Sebagai Perdana Menteri, Najib sebenarnya boleh menerima nasihat dan pandangan daripada sesiapa saja tetapi kata putus terpulang kepada beliau menentukannnya.

Dan sebagai Perdana Menteri yang memerlukan mandat rakyat setiap lima tahun, sebelum sesuatu keputusan dibuat, selain perlu juga menerima pandangan daripada menteri-menteri kabinetnya, Najib juga perlu memikirkan soal kesejahteraan dan susah senang kehidupsn rakyat. Tentulah tidak bermakna melaksanakan sesuatu yang kelihatan cantik dari segi rekod ekonomi tetapi mengundang kemerosotan sokongan rakyat.

Menguruskan negara bukanlah seperti menguruskan syarikat perniagaan yang semata-mata berpaksikan keuntungan. Menguruskan negara adalah menguruskan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan faktor ini akan menjadi perkiraan paling penting setiap kali pilihanraya.

Kiranya benar semua kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini adalah angkara nasihat daripada penasihat kiri dan kanannya yang tidak pernah memikirkan soal beban hidup rakyat tetapi semata-mata kerana mahu melihat rekod ekonomi tertulis dengan pencapaian yang baik, tindakan Najib menerima bulat-bulat nasihat mereka tidak lebih menunjukkan kelemahannya sendiri.

Sama ada peranan penasihat ini dapat dibuktikan atau sebaliknya, beban pertanggungjawaban terhadap segala penderitaan dan kesusahan rakyat akibat pengenalan dasar baru atau kenaikan harga barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini adalah terletak dibahu Najib sepenuhnya.

Tiada orang lain yang boleh dipersalahkan dan Najib juga tidak boleh menyalahkan orang lain mengenainya. Najib pula mungkin berat untuk mengakui kesalahan dan kelemahannya, walaupun jauh di sudut hatinya beliau menyedari hakikat itu.

Oleh itu, kitalah sebagai rakyat dan pengundi yang perlu memberitahu Najib mengenai kesalahannya itu bila tiba waktunya nanti. (SH 18/12/2013)

Tuesday, 17 December 2013

Dari Korporat Kepada 'Cap Ayam'


Kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan yang berturut-turut sejak kebelakangan ini memang boleh membuatkan darah rakyat turut menaik saja. Kerajaan yang kononnya berpaksikan slogan "rakyat didahulukan" dan menjanjikan mimpi yang indah-indah semasa pilihanraya lalu, kini dilihat seperti melupai janji sendiri dengan tidak sabar-sabar mahu menyedut wang dari poket rakyat.

Bermula dengan minyak, gula, cukai pintu DBKL, cukai GST, kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus dan kini ura-ura tambang bas, LRT dan monorel turut dalam cadangan untuk dinaikkan. Yang terbaru pula ialah kadar tol di seluruh negara. Semua ini memperlihatkan bukan lagi kerajaan yang mahu meringankan beban rakyat tetapi rakyat sedang dipaksa untuk menolong kerajaan.

Yang lebih membuatkan rasa jengkel rakyat ialah cara menteri atau pihak yang bertanggungjawab menghujahkan kenaikan tersebut. Dalam isu kenaikan kadal tol yang sedang hangat diperkatakan sekarang misalnya, hujah yang dilontarkan oleh Wahid Omar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, benar-benar mengecewakan dan seolah-olah beliau merasakan dirinya masih pemimpin korporat yang tiada tanggungjawab kepada rakyat.

Wahid berkata, kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan kerana ianya terkandung dalam perjanjian antara kerajaan dengan pemilik konsesi dan sekiranya tidak setuju dengan kenaikan kada baru itu, pengguna tidak perlu menggunakan lebuhraya, sebaliknya gunakanlah jalan biasa.

Jawapan sebegini bukanlah jawapan seorang menteri, ia jawapan orang yang sombong dan angkuh. Sebagai menteri, Wahid haruslah sedar bahawa beliau bukanlah seperti CEO Telekom atau Maybank dahulu yang hanya memikirkan untung sahaja. Sebagai pemimpin kerajaan, kliennya adalah rakyat dan jawapan seperti "cap ayam" ini benar-benar mengecewakan dan seperti ingin memperbodohkan rakyat.

Hujah dangkal Wahid ini bukan saja mendapat kecaman dan bahan serangan pengguna internet, bahkan pemimpin politik, baik UMNO mahupun pembangkang, turut kecewa dengannya. Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menyatakan, kerajaan sepatutnya menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka untuk menangguhkan kenaikan itu memandangkan sebahagian besar pemegang konsesi lebuhraya adalah syarikat berkaitan dengan kerajaan atau GLC.

Pemuda UMNO yang selama ini diragui peranannya sebagai kumpulan pendesak berikutan sikap berdiam diri dalam beberapa isu, turut bersuara kali ini. Selain Khairy Jamaluddin yang berkata akan membawa suara keluhan anak muda berkaitan kenaikan kos sara hidup dalam mesyuarat kabinet Rabu ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun turut membantah hujah Wahid yang meminta pengguna jalanraya menggunakan jalan biasa jika tidak setuju dengan kenaikan tol itu.

Bagi beliau, kenyataan Wahid itu menggambarkan kerajaan tidak sensitif kepada keperluan rakyat, selain soal memilih jalan bertol atau jalan biasa adalah pilihan rakyat dan mereka tidak seharusnya diajar mengenainya.

Secara umumnya, kenaikan kadar tol ini mendapat bantahan hampir semua pihak, tambahan pula di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur, menggunakan jalan bertol bukan lagi pilihan. Misalnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Buloh dan Sri Damansara untuk ke TTDI dan Damansara wajib melalui jalan bertol, malah untuk ke Putrajaya juga tiada jalan biasa yang tidak melalui jalan bertol. Tindakan kerajaan begitu pantas mahu menaikkannya bukan saja mengingkari janji dalam manifesto pilihanraya lalu tetapi juga memperlihatkan kegagalan kerajaan dalam mengurus kerajaan dengan lebih baik.

Selain Najib yang dilihat tidak mahu memikir cara lain untuk meningkatkan pendapatan negara, pemilihan menteri dari kalangan pemimpin korporat yang tiada sensitiviti kepada keperluan rakyat, menambahkan lagi beban kebencian rakyat terhadap kerajaan yang ada. Selain Wahid, individu lain yang dilantik sebagai menteri melalui pintu belakang sebagai Senator ialah Idris Jalla.

Jika Idris yang bertanggungjawab terhadap Pemandu dan dianggap sebagai penasihat kanan Najib dalam mengurus ekonomi sudah lama dikecam dan dipertikaikan kerana beberapa dasarnya yang dianggap tidak sensitif terhadap keperluan rakyat, Wahid pula dilihat sebagai watak baru yang mempamerkan wajah serupa.

Keluarnya hujah beliau bahawa kalau tak suka jalan bertol, gunakanlah jalan biasa, tidak jauh maksud dan standardnya dengan ungkapan beberapa menteri sebelum ini seperti, kalau ayam mahal, janganlah makan ayam; kalau sayur mahal, tanamlah di belakang rumah; kalau tak setuju sistem pilihanraya, pindahlah dalam hutan; kalau rumah mahal, jangan beli rumah; kalau tak setuju sistem pendidikan, belajarlah di negara lain dan beberapa yang lain.

Semuanya ini adalah ungkapan "cap ayam" daripada menteri yang berlogo "ayam ayam" juga. Amatlah malang, Wahid yang cemerlang ketika menjadi CEO Telekom dan Maybank, akhirnya turut termasuk dalam kelompok yang sama sebaik bercampur dan bergaul dengan mereka ini.

Apakah mereka yang mentadbir kerajaan ini lupa bahawa sokongan rakyat kepada mereka sebenarnya hanyalah 47 peratus dan dengan kelebihan 23 kerusi saja? (SH 17/12/2013)

Sunday, 15 December 2013

Peringatan Kepada Zahid Hamidi: KDN Bukanlah Tanah Subur Untuk Bermain Politik


Walau apa pun alasan di sebalik dakwaan yang dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan menterinya, Ahmad Zahid Hamidi terhadap Timbalan Presiden Pas yang dikaitkan dengan fahaman Syiah, agenda politik kenapa dakwaan itu dibuat adalah paling tepat sekali. Selain mahu menghancurkan Pas dan memastikan sokongan Melayu luar bandar kekal milik UMNO, ia juga dipercayai mahu meningkatkan lagi reputasinya Zahid Hamidi yang kini memegang jawatan Naib Presiden UMNO.

Di sebalik 10 bukti yang didedahkan, tidak satu pun yang menjurus kepada mengancam keselamatan negara. Sejak dua penggal menjadi orang nombor dua dalam Pas, tidak pernah sekali pun aksi atau perbuatan ke arah militan yang diketuai oleh Mat Sabu dalam parti itu. Beliau hanya dilihat hebat berceramah dengan menentang UMNO dan kerajaan dengan hujah dan fakta yang mudah diterima oleh orangramai sehingga ceramahnya tidak pernah ketandusan hadirin.

Dalam masa yang sama, jika benar Syiah itu bahaya dan mengancam, kenapa penyebarannya secara menyeluruh tidak dibanteras. Sementara Zahid berbangga memberitahu Perhimpunan Agung UMNO bahawa Pendaftar Pertubuhan telah menolak penubuhan Majlis Syiah Malaysia, tetapi orang yang mahu mendaftarkan pertubuhan itu tidak pula disoal atau ditahan.

Begitu juga dengan seorang yang bernama Abdullah Hassan yang mengaku sebagai Ketua Pertubuhan Syiah Kedah, dilihat bebas bergerak dan bangga menjaja identiti dirinya sebagai Syiah. Malah, dalam isu Mat Sabu yang dikaitkan dengan Syiah, beliau turut memberi kenyataan dengan menafikan penglibatan Timbalan Presiden Pas itu dalam fahamam Syiah.

Sekali lagi, jika benar Syiah itu bahaya dan mengancam keselamatan negara, kenapa tidak ditahan saja Abdullah Hassan yang terang-terang mengakui sebagai ketua Syiah peringkat negeri Kedah?

Begitu juga, di pusat-pusat pengajian tertentu turut dikenalpasti sebagai tempat menyebarkan fahaman Syiah, kenapa tidak pernah kedengaran Zahid Hamidi dan KDN bertindak? Kenapa hanya Mat Sabu yang dijadikan sasaran?

Jawapannya sangat mudah iaitu politik. Zahid melihat dengan menyerang Pas dan Mat Sabu dengan isu Syiah ini, Pas bukan saja diharapkan dapat dikekang kekuatannya, bahkan dapat melonjakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan UMNO dan negara. Bukanlah rahsia lagi, sejak pemilihan UMNO yang lalu lagi, tukang-tukang kempen Zahid telah mendendang lagu merdu ke telinga para perwakilan bahawa Naib Presiden UMNO itu adalah bakal Timbalan Perdana Menteri suatu hari nanti.

Malah ada juga tukang kempennya yang terlebih ghairah mengatakan Zahid bakal Perdana Menteri selepas Najib.

Tidak salah Zahid untuk bercita-cita tinggi dalam karier politiknya, begitu juga tidak menjadi dosa tukang-tukang kempennya mengharapkan Zahid menjadi apa pun, tetapi sebelum beliau melangkah lebih jauh dengan menjadikan KDN sebagai tapak untuk mempopularkan dirinya, ada baiknya beliau menoleh kepada sejarah bahawa kementerian itu bukanlah tapak yang subur untuk meningkatkan karier.

Musa Hitam kecundang dalam kariernya semasa menjadi Menteri Dalam Negeri berikutan peristiwa Memali manakala Hishammuddin pula hampir kalah dalam pemilihan UMNO yang lalu kerana kelemahannya semasa menjadi Menteri Dalam Negeri mengundang cemuhan dan rasa tidak puas hati para perwakilan. Mujur Najib cepat menukarkannya ke Kementerian Pertahanan. Jika terus kekal di KDN, Hishamuddin lebih berpotensi untuk tewas dalam pemilihan itu.

Sebelum itu, Tun Dr Ismail meninggal dunia semasa menjadi TPM dan Menteri Dalam Negeri manakala KDN juga tidak membantu karier Ghazali Shafie walaupun ketegasannya masih disanjung hingga kini.

KDN dalam sejarahnya tidak pernah menjamin kejayaan ahli-ahli politik yang bercita-cita tinggi, sebaliknya sentiasa menjadi tanah yang gersang dan tidak menjanjikan kejayaan untuk meningkat lebih tinggi. Kementerian itu terlihat sesuai untuk mereka yang tiada cita-cita dalam politik atau mereka yang sudah terjamin kedudukannya. Mahathir berjaya mengekalkan kuasanya dan menang dalam banyak cabaran politiknya adalah kerana beliau mengetuai KDN yang mana disitulah berpusatnya kuasa melaksanakan undang-undang.

Pak Lah juga ketika menjadi TPM, turut menjadi Menteri Dalam Negeri tetapi kedudukannya ketika itu sebagai pengganti Mahathir sudah hampir terjamin. Dalam masa yang sama, Pak Lah juga tidak terlihat menjadikan KDN sebagai medan untuknya bermain politik dan mempopularkan diri.

Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad adalah contoh dua Menteri Dalam Negeri yang tiada cita-cita politik lebih tinggi dan ketika era mereka, hampir tiada isu berlebih-lebihan mengenai kementerian itu yang diperguna atau disalahguna untuk kepentingan politik.

Memang diakui KDN adalah antara kementerian yang kanan. Ia bukan saja berpusat banyak kuasa melalui beberapa agensi penting di bawahnya seperti PDRM, Imegresen, Jabatan Pendaftaran dan sebagainya. Melalui KDN juga, banyak terdapat peluang perniagaan, terutama sejak adanya pekerja asing. Ia sentiasa menjadi tumpuan untuk mencari peluang perniagaan, projek dan kontrak manakala sesiapa yang menjadi menterinya sering menjadi buruan ramai.

Ketika Hishamuddin berada di KDN, di sebalik cita-citanya dalam politik diketahui ramai, beliau dilihat gagal mengimbangi antara keperluannya untuk bertindak tegas dan bijaksana dalam beberapa isu seperti perhimpunan haram dan sebagainya serta bagaimana untuk melayan semua pencari-pencari projek yang datang kepadanya.

Lantaran itu, kelemahannya lebih diperhatikan dan dijadikan sasaran.

KDN secara umumnya memperlihatkan ia bukan tapak yang subur atau medan yang sesuai untuk terus menongkah dalam karier politik. Ini kerana kementerian ini memerlukan pemimpin yang bijaksana, tegas dan tiada agenda terselindung di sebaliknya. Ia lebih sesuai untuk mereka yang tiada cita-cita politik atau yang sudah terjamin kedudukannya.

Di peringkat awal mengetuai KDN, Zahid kelihatan tegas terutama dalam aspek pencegahan jenayah dan membanteras jenayah berat. Beliau bertegas dalam isu ISA, Ordinan Darurat, Akta Pencegahan Jenayah dan sebagainya. Lantaran itu, beliau disanjung sehingga mendapat 188 undi daripada 191 bahagian UMNO dalam pemilihan lalu.

Tetapi suara tegasnya mulai tengelam sejak kemenangan itu. Kebelakangan ini, jarang benar suaranya kedengaran meskipun pelbagai jenis jenayah, terutama yang melibatkan pendatang asing sentiasa menghiasi dada-dada akhbar setiap hari.

Isu Syiah yang dibangkitkan Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO adalah bukti jelas ianya bersifat politik dan ingin meraih sokongan kelompok di dalam parti di mana beliau menjadi pemimpin nombor tiganya ketika ini. Jika benar Syiah berkaitan keselamatan negara, Zahid tidak perlu bercakap mengenainya kepada audein UMNO.

Lagi pula, apa ancaman Syiah selama ini? Dan sudah berapa kali huru-hara dicetuskan oleh Mat Sabu melalui Pas? Di dalam Pas, sudah berapa ramai yang menjadi Syiah sejak Mat Sabu menjadi pemimpin nombor dua parti itu?

Kini juga mulai difahami mengapa Najib selepas pilihanraya lalu menukarkan sepupunya, Hishammuddin daripada KDN ke Kementerian Pertahanan. Sejak dipindahkan, serangan dan kecaman kepada Hishammudin banyak berkurangan dan beliau akhirnya berjaya menyelamatkan kedudukannya.

Zahid pula, walaupun di peringkat awalnya disanjung dah dipuja tetapi isu Syiah yang dibangkitkannya mula menerbitkan tompok-tompok hitam dalam kariernya. Selain rakyat biasa mengecam dan menpersendanya dalam isu Syiah ini, kelompok dalam UMNO juga mula meragui ketegasan dan kebijaksanaannya kerana membangkitkan isu tersebut, sehingga seorang blogger dan pengamal media sosial yang terkenal dalam UMNO iaitu Sang Kelambai telah menggelarkannya sebagai seorang lagi "menteri cap ayam" dalam UMNO.

KDN sudah mula menghamparkan laluan sukar bagi perjalanan karier politik Zahid. Sejarah Musa Hitam yang kecundang di tengah jalan dan sejarah Hishammuddin yang kian kehilangan penyokong semasa mengetuai KDN, sedikit demi sedikit sedang menjejaki perjalanan Zahid pula.

Di ketika ini, yang paling tersenyum lebar tentunya ialah Najib dan Hishammuddin. (SH 14/12/2013)

Saturday, 14 December 2013

Dunia Sudah Terbalik, Mat Sabu Pula Diminta Kemuka Bukti!!


Dalam perkembangan terbaru mengenai dakwaan menganut fahaman Syiah yang dilemparkan terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, pegawai agama KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al-Ghari meminta pemimpin Pas itu tampil mengemukakan bukti menafikan dirinya terlibat dengan fahaman itu.

"Kalau kata bukti-bukti ini tidak cukup kuat, sila jawab secara ilmiah untuk menafikan 10 bukti berkenaan. Tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, melalui youtube atau akhbar," kata Dr Zamihan yang namanya turut disebut dalam pendedahan bukti oleh KSU KDN dua hari lalu.

Dalam masa yang sana, beliau juga mengakui 10 bukti (sebenarnya hanya maklumat) yang didedahkan oleh KDN mengenai Mat Sabu hanya boleh dikategorikan sebagai gred B tetapi dalam masa yang sama masih mempunyai bukti gred A yang disimpan dan hanya akan didedahkan jika keadaan memerlukan.

Terlihat ada yang pelik dalam hal ini. Sepatutnya yang perlu mengemukakan bukti adalah pihak yang menuduh, bukannya pihak yang kena tuduh. Jika Zahid Hamidi dan KDN begitu yakin dengan bukti yang mereka ada, mereka seharusnya tidak perlu berlengah lagi untuk menyerahkan bukti yang ada kepada Jakim supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Hanya setelah Mat Sabu ditahan dan didakwa secara rasmi, barulah beliau boleh mengemukakan pembelaan secara rasmi untuk menafikan penglibatannya dalam menganut fahaman Syiah.

Lagi pun, bukankah dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, yang digegak-genpitakan oleh Zahid Hamidi ialah untuk menahan Mat Sabu dengan memberi arahan kepada Jamil Khir supaya segera berbuat demikian?

Jadi apa tunggu lagi?

Kenapa pula sekarang, KDN melalui Dr Zamihan meminta Mat Sabu mengemukakan buktinya? Tanggungjawab mengemukakan bukti adalah pada KDN, bukannya pada Mat Sabu.

Lebih pelik lagi ialah kenyataan Dr Zamihan bahawa Mat Sabu boleh mengemukakan bukti-bukti penafiannya itu sama ada melalui bersemuka dengan KDN, melalui youtube atau akhbar. Setelah 10 maklumat yang didedahkan sebelum ini disifatkan longgar dan tidak kukuh, kenyataan Dr Zamihan ini seakan-akan mengesahkan bahawa KDN tidak berniat sama sekali untuk menahan Mat Sabu, sama ada dengan kerjasama Jakim atau sebaliknya.

Apa yang sebenarnya dimahukan Zahid Hamidi, tetapi menggunakan KDN untuk tujuan tersebut ialah mahu menjadikan Syiah ini sebagai isu politik semata-mata. Jika tidak, masakan Mat Sabu dibenarkan mengemukakan bukti walau melalui akhbar atau youtube sekali pun!

Sudah tentulah jika Mat Sabu melayan permintaan Dr Zamihan ini dengan mengemukakan bukti melalui akhbar atau youtube, Zahid dan KDN akan membalasnya dengan kaedah yang sama juga. Akhirnya meriahlah aktiviti berbalas-balas ini melalui media saja, tidak lebih dari itu.

Dalam masa yang sama, KDN, Ketua Setiausahanya dan Dr Zamihan terlihat sedang dipapan-caturkan untuk mencapai tujuan itu sedangkan isu keselamatan dan akidah yang kononnya menjadi pokoknya sebelum ini, semakin diketepikan. Dalam masa yang sama, jika isu Syiah ini berjaya dimainkan dan digembar-gemburkan melalui media, ia juga diharapkan menjadi pemangkin untuk melonjakkan lagi karier politik Zahid Hamidi yang kebelakangan ini dilihat seperti tidak sabar-sabar ke arah itu.

Ternampak juga bahawa dengan memberi keistimewaan kepada Mat Sabu berhujah mengenai Syiah ini melalui akhbar atau youtube, apa yang diinginkan sebenarnya hanyalah menjadikan ianya ssbagai mainan di media dan perbualan umum sahaja supaya akhirnya Pas diharap dapat dilumpuhkan dan kerjasama dalam PR dapat dikuburkan.

Dengan pengakuan Dr Zamihan bahawa ada bukti gred A dan gred B dalam simpanan KDN, mengukuhkan lagi bahawa isu Syiah ini bukan saja untuk mainan politik, tetapi boleh dilanjutkan lebih masa permainannya dengan mengeluarkan satu demi satu bukti untuk dijawab.

Percubaan menyerang Pas dengan mengaitkan isu Syiah ini juga dilihat untuk mewajarkan lagi tindakan UMNO meminda perlembagaan dengan memasukkan perkaraan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta untuk mengekalkan penguasaan politiknya terhadap kelompok Melayu luar bandar yang telah memberi talian hayat kepada pengekalan kuasanya dalam PRU 13 lalu.

Hanya itu tujuan Zahid membangkitkan isu Syiah ini sebenarnya sedangkan Syiah-Syiah lain hanya dibiarkannya saja sebebas-bebasnya. Jika benar Syiah itu bahawa dari segi akidah dan keselamatan, tindakan seharusnya lebih menyeluruh. Penyebaran fahaman Syiah di pusat-pusat pengajian tinggi tidak pernah diambil tindakan. Jika Zahid sebelum ini membanggakan dirinya di Perhimpunan Agung UMNO bahawa KDN telah menolak permohonan untuk menubuhkan Majlis Syiah Malaysia, tetapi apa tindakannya kepada penganjurnya? Kenapa mereka dibiarkan bebas?

Begitu juga kepada surau dan madrasah yang dipercayai menyebarkan fahaman Syiah, kenapa tiada tindakan selama ini jika benar sudah ada bukti mengenainya.

Sebaliknya Mat Sabu dan Pas juga disasarkan dalam isu Syiah ini. Tentulah sebabnya kerana ada untung lumayan di sebaliknya, bukan saja kepada UMNO tetapi juga kepada masa depan politik Zahid Hamidi sendiri. (SH 14/12/2013)

Friday, 13 December 2013

Soalan Untuk Zahid Hamidi, Bolehkah Mat Sabu Ditahan Dengan 10 Bukti Itu?


Ketika berucap di penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, 7 Disember lalu, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, "Kita tahu siapa pemimpin Syiah dalam Pas.

"Pas, ketepikan perbezaan politik. Ini soal akidah dan keselamatan negara. Kita hairan bagaimana Pas memilih pemimpin Syiah itu untuk menjadi orang nombor dua dalam Pas. Jangan berselindung. Jangan berselindung.

"Datuk Jamil Khir, KDN bagi kuasa, ambil tindakan kepada pemimpin Pas itu," tegasnya seakan memberi arahan kepada menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama.

Mendengar ucapan beliau itu, sudah pastilah sesiapa pun beranggapan bahawa Zahid dan KDN sudah mempunyai cukup bukti untuk menahan orang nombor dua dalam Pas iaitu Mohamad Sabu yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Pas.. Seolah-olah bukti yang ada hanya menunggu masa yang sesuai saja lagi untuk menahannya.

Jamil Khir pula dalam reaksinya kepada arahan Zahid itu berkata, pembuktian kukuh diperlukan kerana Syiah melibatkan iktikad seseorang dan bukan berdasarkan sentimen kepartian semata-mata.

Apabila diasak oleh media kemudiannya, Zahid berkata suatu sidang akhbar khas yang akan dilakukan Ketua Setiausaha KDN, Abdul Rahim Mohamad Radzi  akan diadakan untuk mendedahkan bukti-bukti tersebut. Sebagaimana yang dijanjikan, petang 12 Disember, sidang akhbar itu diadakan dan 10 bukti yang dijanjikan adalah seperti berikut:

1. Mat Sabu pernah menggesa umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan Imam Khomeini melalui tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusof, Khomeini" dalam ruangan Fikrah, akhbar Harakah.

2. Mat Sabu pernah menyatakan kekaguman dan kepimpinan dan perjuangan Khomeini yang mana banyak mencorak pemikiran beliau semasa berucap pada 13 Jun  2011.

3. Pada 2008, ketika mengulas perutusan sempena Hari Krismas bagi penganut Kristian di Malaysia, Mat Sabu telah menggunakan pendekatan ulama Syiah (Imam Khomeini) sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan.

4. Semasa sesi temuramah bersama Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali menjelaskan Mat Sabu merupakan ikon Syiah dan beliau gagal menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Syiah.

5. Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau dan isteri kerap bertemu dengan pemimpin Syiah itu lebih empat hingga lima kali.

6. Beliau telah beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada tahun 2011 yang dikendalikan oleh dua ustaz berfahaman Syiah.

7. Mat Sabu didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar, Wilayah Satun, Selatan Thailand pada 2011 untuk mengunjungi pemimpin Syiah dan menghadiri ramah mesra di sana.

8. Pegawai KDN, Ustaz Zamihan Mat Zin memberitahu, sahabat Mat Sabu selama 20 tahun iaitu C.N Afghani telah menjelaskan Mat Sabu kerap melawat Iran dan pernah terlibat dalam program penghantaran pelajar Malaysia ke Qom, Iran.

9. Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagaimana yang diamalkan oleh penganut Syiah pada satu ceramah di Madrasah Diniah, Arau Perlis pada 2005.

10. Tuan Guru Haji Abdul Rahim dari Sungai Jagung, Pendang Kedah menjelaskan Mat Sabu dilihat menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujud yang merupakan ajaran sinonim dengan fahaman Syiah.

Itulah bukti-bukti yang dimiliki oleh KDN. Persoalan paling utama berdasarkan 10 bukti ini, bolehkah Mat Sabu ditahan sebagaimana ghairahnya Zahid Hamidi memberi arahan kepada Jamil Khir dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu?

Oleh kerana beliau terlihat ghairah mahu menahan Mat Sabu dan bukti-bukti yang didedahkan seharusnyalah ke arah itu dan bukannya bertujuan lain. Jika tidak, bak kata orang Bagan Datoh, "buang karan aje" segala pendedahan ini.

Daripada 10 bukti yang didedahkan, kebanyakannya agak kabur terutama berkaitan kekaguman terhadap Imam Khomeini. Tidak semestinya mengkagumi Khomeini bererti menerima Syiah kerana ramai yang kagum semata-mata kerana perjuangannya menumbangkan regim Shah Iran yang terkenal dengan zalim, boros dan bermewah-mewah.

Di awal kejatuhan regim Shah Iran, ramai yang mengkagumi Khomeini. Seluruh dunia menyanjung dan memujinya. Di negara kita,, di antara pengagum awal Imam Khomeini ialah Ibrahim Ali, Presiden Perkasa dan gambar semasa mudanya bersama Khomeini kini sudah bertaburan di media-media sosial.

Begitu juga kekaguman kepada pemimpin yang lain atau kunjungan ke Iran atau tempat-tempat lain yang dikaitkan dengan Syiah,  tidak semestinya boleh dikaitkan dengan penerimaan fahaman Syiah itu. Boleh jadi kunjungan itu atas dasar persahabatan, persaudaraan dan sebagainya. Ia sama seperti tidak boleh mengaitkan Najib dengan Kristian hanya semata-mata beliau berkunjung ke Vatican City dan bertemu Pope.

Bukti-bukti lain pula perlu disahkan dengan keterangan yang lebih jelas, saksi dan mungkin gambar atau video (jika ada), barulah ia boleh diterima sebagai bukti yang sahih. Dalam masa yang sama, kredibiliti saksi juga harus diambil kira dan cakap-cakap atau cakap- dengar belum dikira bukti yang kukuh.

Memang kita tidak menerima Syiah tetapi kita juga tidak mahu Syiah dijadikan agenda politik semata-mata atau menjadikan KDN alat politik.  Kalau ada bukti yang kukuh, tangkap dan ambillah tindakan. Janganlah jadi seperti ayam yang hanya tahu berkokok tapi tidak peduli siang harinya selepas itu sama ada cerah atau gelap.

Bukti-bukti yang dikemukakan oleh KDN ini juga mengundang respon negatif daripada Saifuddin Abdullah, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang menulis di Twitternya dengan pertanyaan,  "Saya kagum Mandela, Che Guivera, Ghandi, Mother Teresa. Adakah bermakna saya Kristian, komunis, Hindu? Saya juga kagum Khomeini. Adakah saya Syiah?"

Rasanya ramai yang sependapat dengan Saifuddin bahawa kekaguman terhadap seseorang tokoh tidak boleh dijadikan sandaran kukuh untuk menuduh seseorang itu sudah menerima fahaman yang dibawa tokoh itu.  Banyak sebab yang dibolehkan untuk mengkagumi seseorang tokoh tanpa melibatkan pegangan akidah sebenarnya.

Sementara Mat Sabu menafikan semua dakwaan KDN terhadapnya dan menganggapnya sebagai fitnah semata-mata serta bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, Zahid dalam masa yang sama haruslah juga membuktikan bahawa bukti-bukti yang ada mampu menahan Mat Sabu dan beliau benar-benar seorang yang mementingkan akidah umat Islam dan keselamatan negara.

Inilah tanggungjawab Zahid dan hutang yang mesti dilunaskannya kepada rakyat Malaysia dalam isu Syiah ini.

Rakyat mahukan kata-katanya dibuktikan, bukan sekadar mendedahkan maklumat yang longgar dan bersifat serangan politik semata-mata. Jika hanya itu niat Zahid, bermakna beliau sedang cuba mengalih perhatian umum daripada pelbagai isu yang sedang berlaku dalam negara dan dalam masa yang sama juga seakan memberi rezeki "durian runtuh" kepada Mat Sabu melalui saman mahkamah yang bakal dikemukakannya nanti.  (SH 12/12/2013).