Friday, 27 December 2013

Saranan Mahathir Bukti Najib Mengurus Negara Secara Salah


Selepas beberapa pihak tampil menyatakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad akhirnya turut bersuara dengan nada yang serupa.

Dalam tulisan di blognya, Mahathir berkata, dalam menangani beban kewangan negara dan keperluan menambah sumber pendapatan, kerajaan sepatutnya mengurangkan kos pengeluaran dan bukannya menaikkan harga barangan yang tentunya akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Mengenai kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus yang diputuskan kerajaaan pula, beliau berkata, kenaikan itu seharusnya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya secara mendadak kerana ia akan membebankan pengguna domestik, selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri.

Pandangan dan saranan Mahathir ini jelas bertentangan dengan pendekatan Najib dalam mengurus negara selama ini yang lebih melihat instrumen cukai dan subsidi sebagai sumber menambah pendapatan negara. Beberapa cukai bakal dinaikkan manakala subsidi pula dalam perancangan untuk dihapuskan sama-sekali dengan alasan ia tidak baik untuk perkembangan ekonomi secara keseluruhannya.

Semua pendekatan Najib ini lebih menjurus kepada meningkatnya harga barangan pengguna.

Dalam masa yang sama, dalam usaha menghapus subsidi dan mahu penghapusannya diterima, hanya susbsidi yang melibatkan rakyat mahu dihapuskan sedangkan subsidi yang turut diterima oleh syarikat-syarikat besar dan kroni, tidak terlihat pula mahu diusik. Kalau dipotong pun, barangkali merupakan langkah terakhir sekali.

Sepanjang Najib mempertahankan apa yang dilakukannya, tidak pernah sekali pun tergambar iltizam mahu mengurangkan kos, mengambil langkah jimat-cermat serta mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan. Semua beban hanya mahu diletakkan di bahu rakyat semata-mata.

Dengan saranan Mahathir agar kerajaan mengurangkan kos pengeluaran, walaupun gambarannya bersifat analogi, tetapi adalah jelas ianya bermaksud agar kerajaan menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu sebelum mahu mengambil lebih banyak daripada saku rakyat dan menaikkan kos kehidupan mereka.

Sebagai sebuah kerajaan, seharusnya itulah yang patut dilakukan oleh Najib kerana terus-terusan membebankan kehidupan rakyat dah kemudian mencipta pelbagai alasan untuk menghalalkannya, bukanlah tindakan yang bijak dan terpuji. Kerajaan yang sebegini adalah kerajaan yang cacat dan sudah hilang upaya dalam pemikiran dan kebijaksanaannya.

Melalui saranan Mahathir ini juga, ia dengan sendirinya menolak hujah Pengerusi Felda, Isa Samad bahawa kenaikan harga barang bukanlah salah UMNO tetapi merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia dan tidak dapat dielakkan oleh mana-mana kerajaan.

Ini kerana, dengan mengurangkan kos, tahu berjimat-cermat dan mengawal ketirisan, tiada sebab barangan tidak boleh dijual dengan harga yang sama atau lebih rendah lagi. Jika kos tidak mahu dikurangkan dan langkah berjimat tidak diusahakan sedangkan sebagai sebuah kerajaan ianya boleh dilakukan oleh UMNO melalui iltizan para pemimpinnya, sudah tentulah memang salah UMNO jika harga barangan terus meningkat.

Dalam hal ini, Mahathir telah menunjukkan jalan yang mudah dan praktikal untuk dilakukan oleh Najib iaitu kurangkan kos, berjimat-cermat, kawal ketirisan dan naikkan sesuatu secara berperingkat-peringkat agar rakyat tidak terasa bebannya.

Persoalannya, selama ini dimanakah peranan Pemandu, Idris Jala, Omar Ong, puluhan pegawai dan penasihat Perdana Menteri, con-sultan dan con-setan yang direkodkan telah dibayar sebanyak RM7.2 bilion oleh kerajaan sepanjang lima tahun yang lalu serta penasihat kiri dan kanan dalam menasihati Najib supaya menguruskan negara ini dengan cara yang betul?

Nampaknya Najib dan kerajaan perlu terus disekolahkan dalam mentadbir negara ini!! (SH 27/12/2013)

4 comments:

  1. Consultant yg diambil pandangannya ialah Rosmah, tu pasal jadi lagu ni!

    ReplyDelete
  2. kalau dah tak memgurus. bagi pd yg lebih arif dan yg tak pandai tu tak reti2letak jawatan,,,

    ReplyDelete
  3. Kalau letak jawatan kempislah kantung...sape nak???

    ReplyDelete
  4. Saranan TDM ini merupakan saranan dari pihak rakyat sejak dahulu lagi..tiada apa yang nak dihairankan..logik yang mudah..hanya bila TDM suarakan, seperti dengan tiba-tiba saranan rakyat menjadi seolah-olah idea TDM yang original.

    ReplyDelete