Friday, 6 December 2013
Hentikanlah Gelak Ketawa, Zahid Hamidi Pula Janganlah Melawak Lagi
Perhimpunan Agung UMNO tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kali ini perhimpunan tahunan parti terbesar orang-orang Melayu itu diadakan dalam suasana beberapa negeri mengalami banjir besar dan puluhan ribu rakyat terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing serta tinggal di pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
Negeri-negeri yang paling teruk mengalami banjir tahun ini ialah Terengganu, Kelantan, Johor dan Pahang.
Namun demikian, sebagaimana lazim dan sudah menjadi kebiasaan sejak dulu lagi, Perhimpunan Agung UMNO adalah umpama hari raya bagi orang-orang UMNO. Di sinilah mereka bergembira, bertemu kawan-kawan lama daripada serata negeri, berbual-bual dan ketawa dengan penuh suka.
Bagi mereka daripada luar Kuala Lumpur pula, ada juga yang seperti "lembu baru lepas dari kandang" setiap kali tibanya perhimpunan tahunan ini. Sepanjang perhimpunan UMNO berlangsung, Kuala Lumpur macam orang UMNO yang punya, di mana ada kelibat mereka dan dapat didengar suaranya.
Jika yang menjadi pemerhati sibuk berkeliaran, berbual-bual dan bertemu rakan di sekitar PWTC ini, para perwakilan yang berada di dalam Dewan Merdeka pula begitu asyik mendengar ucapan-ucapan perbahasan sepanjang tiga hari perhimpunan ini diadakan.
Perwakilan yang berpeluang berucap biasanya akan mengambil peluang ini menonjolkan kehebatan pidato masing-masing sambil membangkitkan pelbagai isu semasa yang sedang berlaku. Ada yang memuji pemimpin, mengecam pihak pembangkang, mempertikaikan peranan parti-parti komponen dalam BN serta menyerang kaum-kaum lain.
Di sebalik semua itu, biasanya akan diselitkan juga dengan lawak jenaka, gurau senda dan usik-mengusik kepada pemimpin tertentu. Sebagaimana biasa, tahun ini juga tidak terkecuali perkara yang sama turut berlaku. Dewan Merdeka sering kali bergema dengan hilai ketawa dan tepuk sorak apabila sesuatu isu yang dibangkitkan itu menyentap urat ketawa masing-masing.
Tambahan pula, Perhimpunan Agung UMNO tahun ini merupakan perhimpinan pasca pilihanraya dan pemilihan UMNO. Jadi tiada lagi perkara-perkara yang boleh menyebabkan stress dan ketegangan. Yang menang pilihanraya, yang dapat jawatan dan yang menang pemilihan UMNO, semuanya sedang bergembira sekarang manakala yang kalah dan kecundang pula, sebahagian besarnya sudah dapat menerima hakikat kekalahan itu.
Mereka juga turut bergembira dalam perhimpunan kali ini, walaupun mungkin tidak segembira pihak yang menang dan sedang dijulang.
Namun dalam semua perwakilan, pemerhati dan pembahas bergembira dalam perhimpunan UMNO kali ini, sewajarnya mereka mengingati insan lain yang sedang berduka dan tidak dapat bergembira kerana ditimpa musibah banjir ini. Pemidato yang berucap hendaklah mengurangkan cerita-cerita lucu dan lucah yang membangkitkan berderainya ketawa para perwakilan.
Oleh kerana memang mustahil untuk menunda perhimpunan yang sudah lama dirancang, maka tumpukanlah sepenuhnya perbasasan kepada isu-isu yang membina dan untuk kepentingan bersama. Tahun ini bukanlah perhimpunan untuk bergelak ketawa dan berlawak jenaka kerana adanya manusia lain yang sebangsa, seagama dan sewarganegara sedang bergelut dan berjuang untuk memastikan keselamatan anggota keluarga serta harta benda.
Pemerhati pula, dalam riang berjumpa kawan lama dan mencari kawan baru, ingatlah juga rakan-rakan yang sedang ditimpa banjir ini. Berpada-padalah dalam mahu ketawa dan bergembira.
Kepada pemimpin, perwakilan dan pemerhati daripada negeri-negeri yang sedang ditimpa banjir, kalau boleh kembalilah segera ke tempat masing-masing dan bersama-samalah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Sekadar duduk dalam Dewan Merdeka yang dingin sambil mendengar ucapan, lebih baiklah dipeluk dingin air hujan yang sedang turun tidak henti-henti di beberapa negeri sambil menghulurkan bantuan apa yang patut kepada mangsa banjir.
Dan esok ketika ucapan penggulungan nanti, janganlah ada pemimpin yang berucap berlebih-lebih dalam melawak dan membuat para perwakilan ketawa. Jika semalam Najib terpaksa meninggalkan perhimpunan dan hari ini pula Muhyiddin berbuat demikian, janganlah di majlis penutup dan ucapan penggulungan petang esok, berlebih-lebih ketawa dan membuat lawak jenaka.
Tunjukkanlah simpati yang berterusan kepada mangsa banjir ini. Ketawa dan bergembira tentu saja boleh menyinggung perasaan mereka yang sedang bersedih meninggalkan rumah dan terpaksa tidur di pusat-pusat pemindahan.
Kalau dalam perhimpunan sebelum ini, pemimpin yang paling banyak membuat orang ketawa dan suka melawak ialah Zahid Hamidi yang baru saja menang Naib Presiden UMNO dua kali berturut-turut dengan undi terbanyak. Semua orang diusik dan dijadikannya bahan ketawa, dari perwakilan, pemerhati, orang hidup, orang mati, Shafie Apdal yang berketurunan Bajau Laut, Hishammuddin yang berketurunan Turki sehinggalah kepada Najib pun diusiknya.
Tetapi untuk tahun ini diharap Zahid tidak lagi membawa cerita-cerita lawak dan jenaka untuk menghiburkan warga UMNO yang mendengar ucapannya. Selain orangramai ingin melihat beliau bercakap tentang perkara-perkara yang penting dan tegas dalam pelbagai isu yang sedang berlaku berkaitan fungsi kementerian yang sedang diterajuinya, beliau juga seharusnya menunjukkan rasa simpati dan bersama-sama memahami penderitaan dan kesusahan yang sedang ditanggung oleh puluhan ribu mangsa banjir ini.
Kalau ada cerita-cerita lawak yang sudah disiapkannya, simpanlah untuk tahun depan. Kalau ada juga niat untuk mengusik mana-mana pemimpin UMNO dalam ucapan penggulungannya, batalkan sajalah hasrat itu. Lagi pula seorang rakan status qounya dalam Naib Presiden, Hishammuddin sedang terlantar di hospital kerana baru saja menjalani pembedahan arterinya yang tersumbat.
Jadi, memang tidak sesuai untuk bergelak ketawa dan membuat lawak jenaka. Tahun ini bukanlah perhimpunan untuk berhari raya sepertimana tahun-tahun sebelumnya. (SH 06/12/2013)
Nelson Mendela meninggal dunia pada masa PAU. Satu dunia menggenang jasa Mendela kerana tidak rasis, tidak anti mana-mana satu, walau pun di penjara oleh mereka selama 27 tahun! Dan UMNO? Parti rasis. Golongan orang yang mengutamakan ketuanan. Yang mengguna majoriti untuk menindas minoriti. Yang utamakan tamak haloba dan kurang keadilan!
ReplyDelete