Sunday, 10 November 2013

Zahid Perlu Bersuara Dan Membuktikan Ketegasannya Bukan Pura-Pura


Sejak bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dilaporkan sedang memberi tekanan kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan memanggil beberapa individu penting ke rumahnya untuk membincangkan perkara itu pada Ogos lalu, semakin ramai yang bercakap mengenainya. Dengan tindakan terbaru Peguam Negara tidak memfailkan rayuan dalam kes yang melibatkan bekas Presiden MCA, Ling Liong Sik dalam skandal PKFZ, sekali lagi kecaman terhadapnya turut bertambah.

Tindakan Peguam Negara tidak memfailkan rayuan dalam kes yang berprofil tinggi ini mengulangi apa yang dilakukannya dalam kes rakan karib Najib, Razak Baginda yang dibebaskan mahkamah kerana dituduh membunuh Altantuya Sharibuu, suatu gambaran seolah-olah mereka berpuas hati dengan keputusan yang tidak memihak kepada pendakwaraya itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menggesa Peguam Negara menjelaskan kepada umum tentang kewajarannya tidak memfailkan rayuan dalam kes melibatkan Ling Liong Sik itu memandangkan ia merupakan kes yang menjadi perhatian umum.

Dalam kes tekanan kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan mengaitkannya dalam pelbagai perbuatan salah saku, kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan adanya pengintip CIA diambil bekerja dengannya, selain bekas pegawai kanan polid, Mat Zain Ibrahim dan peguam terkenal, Shafie Abdullah yang dipanggil Mahathir ke rumah, turut dijemput ialah Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.

Ketika ditanyakan tentang pengintip CIA di pejabat Peguam Negara itu, Zahid dilaporkan berjanji akan menyiasat dan akan memaklumkan kepada Mahathir sebaik mengetahui kedudukan sebenarnya.

Dalam reaksinya mengenai maklumat yang diperolehi oleh Mahathir bahawa ada pengintip CIA bekerja di pejabat Peguam Negara, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap berdiam diri Najib mengenai perkara itu sedangkan ianya adalah isu besar yang melibatkan kepentingan negara

Dalam masa yang sama, Anwar juga menggesa kedudukan Ghani direhatkan buat sementara untuk membolehkan siasatan dijalankan bagi mencari kebenaran di sebalik pelbagai dakwaan negatif terhadapnya itu.

Selain Najib yang diminta bersuara dan menjelaskan kepada umum pelbagai isu berkaitan Peguam Negara ini, turut dituntut untuk bersuara sama oleh Anwar ialah Zahid Hamidi, bukan saja atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi juga kerana beliau merupakan salah seorang individu yang telah dipanggil ke rumahnya oleh Mahathir.

Sekali imbas, sikap berdiam diri Najib dalam isu melibatkan Ghani ini memang sukar difahami, lebih-lebih lagi dalam zaman ledakan teknologi maklumat ini di mana beliau mempunyai banyak saluran untuk menjelaskan perkara itu kepada umum, kecualilah memang tindakan itu disengajakan untuk melindungi sesuatu kepentingan.

Ramai yang berkata, Najib akan terus melindungi Ghani biar bagaimana banyak sekalipun isu negatif dikaitkan kerana Peguam Negara itu mempunyai banyak maklumat mengenainya, termsuk dalam kes pembunuhan Altantuya dan pembelian kapal selam Scorpene. Sejauh mana perkara itu benar tidaklah dapat dibuktikan tetapi itulah percakapan orangramai yang bukan saja menjadi tajuk perbualan di kedai kopi di kampung-kampung tetapi juga di kediaman mewah orang-orang kenamaan serta di meja makan bersalut emas di istana golongan diraja.

Oleh yang demikian, menurut mereka yang arif dan bijak pandai dalam perkara ini, selagi boleh berdiam diri dan menutup mulutnya, Najib dipercayai akan terus berbuat demikian. Jika Najib membuka mulutnya, ia umpama memberi ruang untuk menjerat dirinya.

Tetapi bagaimana dengan Zahid Hamidi yang sebelum ini begitu lantang dan tegas dan baru saja menang bergaya sebagai Naib Presiden UMNO? Apakah lantang dan tegasnya hanya sebelum memperolehi undi saja?

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid dipercayai tidak mempunyai kepentingan dalam melindungi sesiapa dalam isu yang melibatkan Peguam Negara ini. Mahathir sendiri dipercayai memanggil beliau ke rumahnya adalah kerana beliau yakin dan tertarik dengan ketegasan Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri, lalu menyampaikan maklumat yang diketahuinya dan mahukan Zahid bertindak mengenainya.

Harapan rakyat dan ahli UMNO terhadap Zahid juga amat tinggi. Setelah menunjukkan ketegasannya dalam pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat dan menunjukkan keberanian untuk tidak menyokong dan mengikut telunjuk Najib secara membabi buta sepertimana yang ditunjukkannya dalam mempertahankan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat, harapan rakyat sebenarnya tidaklah sekadar beliau memperolehi undi tertinggi untuk jawatan Naib Presiden UMNO saja.

Ramai yang mahukan beliau terus menunjukkan ketegasan dan keberaniannya demi kepentingan rakyat dan kebenaran. Harapan orangramai juga dengan kemenangan melalui undi tertinggi itu, ketegasan dan keberaniannya tetap sama dan tidak menyusut. Memang diakui sejak berakhirnya pemilihan UMNO, suara tegas Zahid tidak lagi kedengaran dan seakan-akan sudah tenggelam. Mungkin kerana tiada isu yang memerlukan ketegasannya, maka keadaan itu berlaku tetapi isu yang melibatkan Peguam Negara ini adalah medan terbaik untuk Zahid menunjukkan kewibawaan sebenar dirinya.

Setelah lebih seminggu isu ini menjadi perbualan ramai, tetapi sehingga ini masih belum ada sebarang respon daripada Zahid lagi. Jika Najib yang masih berdiam diri, ia mungkin boleh difahami tetapi Zahid tiada alasan untuk turut berdiam diri sama seperti Najib.

Jika pun Najib yang ingin dilindunginya, beliau haruslah ssdar bahawa kepentingan negara dan rakyat jauh lebih afdal dan besar pahalanya untuk dijunjung.

Beliau perlu bersuara bukan saja atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri tetapi juga kerana beliau antara orang yang dipanggil oleh Mahathir untuk berbincang mengenainya dan kemudian berjanji untuk menyiasatnya. Lebih dari itu, suara tegas dan berani Zahid juga ditunggu untuk membuktikan ketegasan, keberanian dan kelantangannya sebelum ini bukanlah pura-pura dan hanya untuk meraih undi semata-mata. (SH 10/11/2013)

3 comments:

  1. Tuan, saya hairan mengapa orang umno mengundi Zahid?Dia seorang yang lemah dan penakut, sebaris dengan hishammudin awww...

    ReplyDelete
  2. Sebelum ini memang Zahid tunjuk garang, tegas konon sebab nk menang naib presiden. Bila dah dapat lain pula jadinya. Itulah wajah sebenar pemimpin UMNO. Pentingkan diri sendiri.

    ReplyDelete
  3. sblm ni bukan main nak gani patail dibekukan..last last..sy hanya mndengar...tapi tak ada bukti...woi orang tua...jgn ckp lah klau tk ada bukti..mesti inilah blasan untuk orang penipu macam mahathir...siapa sumber penipuan mahathir ni..?

    ReplyDelete