Saturday, 23 November 2013
Kemenangan Yang Tidak Menggembirakan UMNO
Pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden Pas sudah pun diketahui. Mat Sabu akhirnya berjaya mengekalkan jawatannya setelah menewaskan pencabarnya, Nik Amar Nik Abdullah dengan 588 undi berbalas 490. Setelah Haji Hadi Awang menang tanpa betanding bagi jawatan Presiden sebelum ini, bermakna gandingan ulama dan bukan ulama kekal menerajui kepimpinan Pas bagi tempoh dua tahun akan datang lagi.
Gandingan Haji Hadi dan Mat Sabu ini bakal memastikan Pas mampu terus memberi cabaran yang meyakinkan kepada UMNO menjelang pilihanraya umum akan datang. Hujah ini tidaklah bermakna Nik Amar bukan pemimpin yang baik untuk Pas tetapi dengan watak dan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan sekarang, barangkali beliau lebih sesuai untuk Pas Kelantan berbanding Pas Pusat.
Tetapi berbeza dengan Mat Sabu, watak dan kehebatannya dalam berpidato serta energinya yang agak luar biasa berceramah ke seluruh negara tanpa lelah, kekalnya beliau sebagai pemimpin nombor dua Pas ini menjadikan Pas terus segar di mata rakyat. Gandingannya dengan Haji Hadi pula bagaikan pelengkap kepada usaha parti itu meraih sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Bagaimanapun kemenangan Mat Sabu ini pastinya paling tidak menggembirakan UMNO. UMNO terlihat lebih suka Nik Amar menang jawatan nombor dua ini kerana jika beliau menang, beliau pasti tidak selincah Mat Sabu berceramah dan mengulas pelbagai isu yang berlaku dalan UMNO dan kerajaan.
Sebab itu, UMNO memang mengharapkan Mat Sabu kalah. Ramai pemimpin UMNO, sama ada secara terbuka atau dalam diam, sebenarnya lebih suka Nik Amar menang berbanding Mat Sabu. Bukanlah kerana mereka sayangkan Nik Amar atau pun cintakan golongan ulama, tetapi kerana ada keuntungan daripadanya.
Melalui Utusan Malaysia pula, usaha meracuni pemikiran perwakilan Pas sudah lama kedengaran bahawa Pas kononnya mesti kembali kepada kepimpinan ulama dan berpegang teguh dengan matlamat asal penubuhannnya. Pas juga cuba diyakinkan bahawa orang Melayu lebih menerimanya jika kepimpinannya diterajui oleh golongan ulama kembali.
Melalui bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang telah dipecat, Dr Hasan Ali, nada yang sama juga kedengaran. Beliau kerapkali bersuara mahukan golongan ulama memimpin Pas serta meminta perwakilan menolak golongan bukan ulama yang dikaitkannya Anwar Ibrahim yang kononnya mula menguasai Pas sekarang ini.
Tidak cukup dengan itu, bekas Menteri Penerangan dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Zainuddin Maidin, jarum untuk meracuni fikiran perwakikan Pas lebih dahsyat lagi. Beliau yang dikenali dengan Zam cuba menakutkan Pas bahawa Mat Sabu tidak mustahil akan menjadi presiden parti itu jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada Haji Hadi dalam tempoh terdekat ini.
Maknanya, UMNO melalui pelbagai saluran yang digunakannya hampir sepakat menolak Mat Sabu dan lebih mengharapkan Nik Amar memenangi jawatan itu.
Namun kekalnya Mat Sabu sebagai gandingan kepada Haji Hadi mengesahkan bahawa perwakilan Pas sama-sekali tidak termakan dengan cucukan jarum-jarum halus itu. Mereka terus mengekalkan Mat Sabu kerana yakin beliau adalah gandingan terbaik bersama Haji Hadi dalam memimpin Pas ketika ini.
Gandingan mereka berdua ini dipercayai bukan saja mampu mengekalkan sokongan pelbagai lapisan masyarakat terhadap parti itu tetapi juga akan menjadikan Pas terus segar dan ke depan dalam menangani pelbagai isu semasa yang silih berganti berlaku sekarang ini.
Dalam masa yang saja, kedudukan Pas dalam PR juga tidak banyak terjejas. Ini bukanlah bermakna Mat Sabu pro Anwar atau DAP tetapi beliau mempunyai pemikiran politik yang lebih serasi dengan Haji Hadi dan Nik Aziz dalam konteks kerjasama dengan DAP dan PKR ini serta lebih memahami realiti politik majmuk bahawa untuk memberi saingan kepada UMNO dan BN, Pas tidak seharusnya bersendirian. Sebagaimana UMNO bergabung dengan MCA, MIC dan berbagai parti lain, untuk menumbangkan UMNO, Pas juga sebenarnya perlu berkawan dengan parti-parti lain.
Ini tentunya berbeza dengan Nik Amar yang awal-awal sudah memberi bayangan perlunya dikaji kerjasama dengan PKR dan DAP, tanpa menilai bahawa kerana adanya kerjasama dengan parti-parti lainlah PAS mampu menang lebih kerusi di Selangor dan dapat menduduki kerusi Menteri Besar Perak pada 2008 dahulu.
Kemenangan Mat Sabu bersama sebahagian besar kumpulan bukan ulama bagi jawatan AJK Pusat juga menyaksikan bahawa perwakilan Pas masih rasional dalam mengejar cita-cita mengambil alih kuasa bersama PR dalam pilihanraya ke 14 akan datang. Jika ditambah dengan keputusan jawatan Naib Presiden esok di mana sekurang-kurangnya dua pemenangnya dari golongan bukan ulama, tidak diragui lagi bahawa Pas bakal memberi saingan yang tidak menggembirakan bagi UMNO untuk tahun-tahun seterusnya.
Dengan campuran ulama, profesional dan aktivis terus menerajui kepimpinan Pas serta struktur dalam PR juga tidak banyak berubah, gabungan pembangkang ini dilihat mampu memberi saingan yang seimbang dan akan terus berlawan dengan UMNO dan BN di tanah yang hampir sama rata dalam pilihanraya akan datang.
Akhirnya, apabila persaingan menjadi seimbang dan sama rata untuk memperolehi kuasa, yang untung dan mendapat banyak manfaatnya tidak lain ialah rakyat juga. (SH 23/11/2013)
Tuan,
ReplyDeletePada firasat saya, inilah kemenangan yang dinanti nantikan oleh UMNO. Apabila UMNO memuji muji Nasharudin dan Nik Amar yang dikatakan mewakili golongan ulamak, makanya ianya pasti bermaksud bahawa UMNO mengharapkan keputusan seperti hari ini.
Sejak bila UMNO setuju supaya ulama menduduki kepimpinan ni? Teringat pd arwah Ishak Baharom (Mufti Selangor ketika itu), tiada seorangpun juak2 UMNO menyebelahi arwah pd masa tu.
ReplyDeleteUMNO tahu dan kenal siapa pak lebai pak lebai dalam PAS yang perlu dinaikkan. Pak lebai pak lebai jenis ini mudah untuk digula gulakan oleh UMNO kerana mereka mereka ini belum pernah teruji dibelakang jerjak besi sebagaimana Mat Sabu dan sebahagian pejuang lain. Pengalaman lepas ( di tempat saya di Kedah ) membuktikan segelintir tok lebai ini menjadi bisu tiba tiba selepas pertama kali keluar dari tahanan politik. UMNO tahu sangat memang terdapat segelintir tok lebai tok lebai dalam PAS yang mempunyai angan angan peribadi yang tinggi. Golongan inilah yang mendapat pembelaan dari UMNO kononnya atas dasar UMNO utamakan ulama dan Islam.
ReplyDeleteAhli ahli PAS jangan tertipu. Pejuang sebenar akan sanggup mencemar duli turun ke bawah bersama rakyat baik dijalanan mahu pun dimana mana perhimpunan. Pernahkah pak lebai pak lebai spesis ini melakukannya?. Apa yang sering dilihat ialah pak lebai pak lebai ini tak ubah seperti pahlawan yang hanya mampu berpencak dan bertempik di puncak, sedangkan musuh musuh merempuh rakyat di tanah rata dan lembah. Jenis apa pahlawan dan pejuang begini ?.
Pilihlah pejuang dan pahlawan yang bercakap serupa bikin. Jangan hanya memilih mereka yang hanya bijak main sentimen, kata kata, hadis dan ayat alquran semata mata tapi sama sekali tidak berani berada di barisan hadapan.
UMNO memang sukakan sangat golongan pejuang spesis ini memegang teraju utama PAS kerana UMNO tahu ilmu penunduk bagi melemahkan golongan ini dan seterusnya parti PAS itu sendiri.