Tuesday, 15 October 2013
KJ Tolak Undi Popular Kerana Mahu Khairul Azwan Jadi Naibnya?
Keputusan muktamad siapa pemenang yang sebenar bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO bakal ditentukan melalui undi popular. Ini berikutan dua calonnya iaitu Khairul Azwan Harun dan Jamawi Jaafar masing-masing memperolehi 73 undi daripada bahagian-bahagian yang membuat pilihan pada Sabtu lalu.
Berikutan itu, Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Tajol Rosli memutuskan bahawa undi popular daripada 73 bahagian yang diperolehi oleh kedua-dua calon itu akan dikira bagi memutuskan siapa pemenang bagi jawatan kedua tertinggi dalam Pergerakan Pemuda UMNO itu.
Oleh kerana ia melibatkan pengiraan jumlah undi yang banyak, maka proses penjumlahan itu hanya akan dibuat selepas Hari Raya Haji nanti.
Namun belum pun lama pengumuman itu dibuat, KJ yang sudah pun ditabalkan sebagai Ketua Pemuda UMNO bagi penggal kedua dengan memperolehi 189 undi seakan tidak bersetuju dengan penentuan melalui undi popular itu, sebaliknya mahu penentuannya dibuat melalui undi daripada Pemuda UMNO Gelang Patah yang tidak bermesyuarat pada 12 Oktober lalu berikutan wujudnya pertikaian dalaman sehingga menyebabkan ianya ditangguhkan.
Tarikh mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Gelang Patah akan dijalankan dalam masa yang terdekat ini, tetapi belum ditentukan tarikhnya.
Kenapa KJ menolak sistem undi popular dan mahukan penentuan dibuat melalui undi Gelang Patah?
Sejak keputusan pilihanraya lalu yang menyaksikan BN kalah undi popular kepada Pakatan Rakyat, undi popular seperti hantu yang menakutkan bagi pemimpin-pemimpin UMNO. Walaupun UMNO melaksanakan sistem pemilihan daripada undi akar umbi tetapi sistem undi popular tidak digunakan, sebaliknya kaedah electoral college atau 1 bahagian 1 undi yang dipilih.
Tidak disangka pula KJ yang kelihatan gagah dan berani pun rupa-rupanya fobia juga dengan sistem undi popular ini. Seharusnya apabila Jawatankuasa Pemilihan sudah memutuskan mahu menentukan pemenang antara Khairul Azwan dan Jamawi melalui kaedah undi popular, KJ tidak perlu campurtangan lagi.
Tindakan KJ yang mahukan undi daripada Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah dipilih untuk menentukan siapa bakal naibnya dan membawa isu itu kepada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor agar pandangannya itu diterima, tidak lebih menunjukkan percubaannya untuk campurtangan dalam proses pemilihan serta menunjukkan kecondongan kepada salah seorang daripada dua calon yang mendapat undi seri itu.
Jika sebelum ini hanya cakap-cakap saja yang mengatakan beliau mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, tetapi kini dengan tindakannya mencadangkan undi Gelang Patah dipilih sebagai penentu, maka dakwaan sebelum ini hampir menunjukkan kebenarannnya.
Kalau benar beliau bersikap berkecuali, beliau sepatutnya akur saja dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan itu dan menerima siapa saja naibnya yang bakal ditentukan melalui undi popular itu.
Jika undi popular kedua-dua calon itu dikira, besar kemungkinan Jamawi akan menjadi pemenangnya. Ini kerana sebagai calon dari Sabah yang mendapat banyak sokongan daripada negeri itu, kelebihan tentunya lebih memihak kepada Jamawi yang juga merupakan pegawai khas kepada Shafie Apdal berikutan UMNO bahagian-bahagian di Sabah mempunyai jumlah cawangan yang lebih banyak daripada UMNO di Semenanjung.
Dengan jumlah cawangan yang lebih banyak itu, bermakna undi popular untuk Jamawi juga lebih besar.
Tetapi jika kemenangan diputuskan melalui undi daripada Gelang Patah, peluang Khairul Azwan memenanginya pula lebih besar lagi. Ini kerana KJ sudah mendapat mandat yang besar sebagai Ketua Pemuda UMNO dan undi daripada Pemuda Gelang Patah tentunya lebih mungkin untuk memihak kepada calon yang disenangi dan dikehendaki oleh KJ.
Sebagaimana disebut sebelum ini bahawa kaedah electoral college ini lebih memihak kepada calon yang ada jawatan dalam kerajaan, maka dengan kedudukan KJ sebagai Menteri Belia dan Sukan dan sudah disahkan memenangi jawatan Ketua Pemuda serta diperkatakan ramai mengenai kecondongannya terhadap Khairul Azwan, maka tidak mungkin Pemuda Gelang Patah berani bertindak melawan arus.
Sudah tersebar dakwaan dan cakap-cakap bahawa tindakan KJ mahukan undi Gelang Patah dijadikan penentuan kerana mahu menghalang kemenangan Jamawi sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.
Seharusnya dalam soal penentuan pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda ini, KJ tidak perlu campurtangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan memutuskannya. Jika kaedah undi popular yang sudah diputuskan, beliau harus menerimanya dengan selamba dan hati yang terbuka.
Apabila beliau cuba campurtangan dan mencadangkan perkara yang lain, lalu terserlahlah apa yang cuba disembunyikannya selama ini. (SH 15/10/2013)
Khairul Azwan (KA) sebenarnya seorang yg gagal di peringkat bahagian cuma gah di peringkat pusat sahaja apabila di lantik sebagai ketua pemuda umno negeri.
ReplyDeleteContoh ketara ketika pilihanraya ke 13,peranan KA langsung tidak ada di parlimen Pasir Salak sehingga ketua bahagian melakukan inisetif dgn menggunakan ngo untuk memainkan peranan sebagai gerakan pemuda,alasan yg di beri terlalu sebuk dgn program pemuda negeri dan program Menteri Besar.
Kalau inilah pilihan untuk Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat yg di sukai oleh KJ tidak mustahil pru 14 nanti UMNO menemui kegagalan dlm gerakan menarik pengundi muda.
KA lebih senang meletakan diri nya dlm kelompok atasan tanpa ambil peduli dgn akar umbi kerana itu telah membuktikan kejayaan beliau mengumpul kekayaan dlm waktu yg singkat krn itulah beliau berhabisan untuk meletakan dirinya dalam kedudukan jawatan kedua tertinggi pemuda.
Siapalah sangat KA jika di kaji latarbelakang diri dan keluarganya Bapanya hanyalah bekas ceo pknp dan adakah itu kemungkinan menyebabkan beliau kaya raya dlm masa yg singkat atau hubungan akrab beliau dgn Datuk Zainol Fazli sebagai org kepercayaan MB???
Malanglah bagi pemuda kalau mebuat pilihan KA sebagai naib ketua pemuda umno pusat.