Tuesday, 21 May 2013

Zahid Hamidi Dilanda Kecelaruan Akut


Di antara menteri kabinet yang dilantik Najib Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi yang dilihat paling menonjol. Hampir semua orang bercakap mengenainya dirinya. Sebaik diumumkan bertukar jawatan dengan Hishammuddin dan kemudian menyarankan agar rakyat yang tidak setuju dengan sistem politik negara ini dan lebih menggemari sistem undi popular agar berpindah ke negara yang mengamalkan sistem tersebut, namanya mula meniti dari bibir ke bibir kebanyakan rakyat.

Apabila kemudiannya beliau membidas Anwar dengan mengatakan negara ini bukan bapa Anwar yang punya sebagai jawapan balas kepada kenyataan Anwar terdahulunya yang mengatakan negara ini bukan bapa Zahid yang punya sehingga dia boleh berkata sesuka hati mengenai hak demokrasi yang diamalkan rakyat, nama Zahid makin menjadi sebutan.

Kemudian apabila seorang reformis pelajar, Adam Adli ditahan dibawah Akta Hasutan, ia juga dikaitkan dengan pendekatan Zahid yang mahu membawa era ketegasan dalam bertindak dalam memimpin kementerian barunya. Sebelum itu juga beliau ada memberi amaran kepada mereka yang cuba menghuru-harakan negara ini bahawa tindakan yang bersesuaian akan diambil segera.

Zahid kemudian memberi amaran portal berita Malaysiakini yang didakwanya memutarbelitkan kenyataannya dengan ketegasan, jangan main api dengan saya. Dari seorang yang mesra media sebelum ini, Zahid seolah-olah ingin bergaduh dengan media secara tiba-tiba.

Zahid juga bertegas dengan Lim Guan Eng yang mahu beliau meninta maaf berikutan kenyataannya yang dilihat angkuh dan sombong dengan menyarankan rakyat negara ini berpindah ke negara lain dengan mengatakan Lim Guan Eng yang sepatutnya meminta maaf kepadanya.

Terdapat juga laporan yang menyebut Zahid meminta golongan yang mahu menjatuhkan kerajaan melalui rampasan kuasa dan demonstasi jalanan supaya tidak lupa bahawa tindakan itu tidak demokratik dan mereka perlu menerima keputusan pilihanraya lalu seadanya kerana dakwanya Ketua Menteri Pulau Pinang itu salah tafsir terhadap kenyataannya.

Dalam beberapa isu yang berlaku sehari dua ini, Zahid juga turut bercakap, mengulas dan memberi amaran. Gambar wajahnya yang garang dan sedang marah sambil mengangkat tangan seolah-olah memberi amaran, menghiasai kebanyakan portal berita, blog dan laman sosial. Ada yang memuji dan banyak pula yang mempertikaikannya.

Tidak dinafikan lagi bahawa Zahid paling banyak bercakap dengan media berbanding menteri-menteri lainnya. Malah melebihi keaktifan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga nampaknya. Jika dikira penahanan Adam Adli kerana adanya arahan beliau sebagai menteri, Zahid juga dikira menteri yang paling cekap bertindak.

Bagi golongan pro UMNO yang kecewa dengan menteri terdahulu, mereka memuji Zahid dengan ketegasan ini. Bagi golongan pro pembangkang pula, Zahid dilihat terlalu keras yang sekaligus dikatakan melambangkan keangkuhan serta kesombongannya dengan kuasa sedangkan beliau juga sepatutnya menunjukkan nilai toleransi dan berhemah dalam tindakannya terhadap rakyat.

Apa yang cuba ditonjolkan Zahid ini, tidak diragukan lagi bahawa beliau sedang dalam kecelaruan sebaik memegang kementerian baru ini. Beliau menyedari ada tekanan dan harapan yang mahukan beliau lebih banyak bertindak dan tidak sekadar memberi amaran. Jika memberi amaran, ia mesti dipastikan disusuli dengan tindakan.

Beban yang ditinggalkan menteri sebelumnya, Hishammuddin sehingga digelar Menteri Amaran Dalam Negeri, dilihat amat mengganggu Zahid. Beliau cuba keluar daripada persepsi itu dan mahu disanjung dalam masa yang sama. Tambahan pula sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini, Zahid juga dilihat tidak berbuat apa-apa yang boleh dianggap baru dan menggembirakan rakyat. Penekanannya hanya kepada askar wataniah dan meneruskan kejayaan Pameran Lima di Langkawi sahaja.

Kerana itu, selain banyak isu yang sedang berlaku, jawatan baru yang diberikan Najib ini dilihat sesuai untuknya memenuhi semua perkara itu. Tetapi tindakan Zahid dilihat amat berlebih-lebihan. Beliau lebih lajak dari laju. Hanya dalam masa beberapa hari saja beliau sudah mengundang banyak polemik berikutan pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya.

Memang tugas beliau menjaga keamanan dan keselamatan negara melalui kementerian yang diterajuinya. Selain keamanan politik, keamanan dan keselamatan negara dari dari segi jenayah juga harus diambil kira. Ia lebih melibatkan rakyat terbanyak, bahkan kes jenayah yang dilaporkan di media amat menakutkan rakyat seolah-olah penjenayah dan orang jahat ini ada di mana-mana saja.

Zahid harus lebih memberi penekanan kepada aspek ini jika ingin rakyat gembira dengannya. Tetapi Zahid lebih nampak keamanan politik saja.

Keghairahan Zahid dalam memberi kenyataan dalam pelbagai perkara sebenarnya juga terlalu awal. Belum pun sampai seminggu beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Dalam Negeri dan sudah tentu beliau juga belum diberi taklimat sepenuhnya tentang pelbagai agensi yang ada di bawah KDN itu. Pegawai tinggi di kementerian dan ketua di setiap agensi juga belum dikenalinya lagi. Setakat ini mungkin hanya Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara saja yang baru dikenalinya.

Sebelum mahu mengeluarkan taring sebenar sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid sepatutnya mendengar taklimat penuh mengenai kementerian itu terlebih dahulu. Kenal dan fahami tugas serta peranan setiap agensi dibawah kementeriannya terlebih dahulu. Berbual dan jalin hubungan yang erat dengan setiap pemimpin agensi di bawah kementeriannya juga.

Ini tidak, belum pun faham sedalamnya kementerian itu dan mengenali orang-orang penting di sekelilingnya, Zahid sudah bertindak lebih dari sepatutnya. Pastinya beliau juga belum lagi berpeluang mempengerusikan mesyuarat pasca kabinetnya.

Zahid jangan terlalu gopoh mahu menonjolkan diri dan mempamerkan dirinya lebih hebat daripada Hishammuddin. Memang rakyat mahu beliau bertegas dan berani tetapi haruslah ada kebijaksanaan serta berhemah tinggi. Harus juga mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika tidak, beliau lebih dilihat sedang mengalami kecelaruan yang serius, kronik atau akut dalam tugasnya.

Akhirnya mungkin beliau lebih mengecewekan berbanding Hishammuddin. (SH 21/05/2013)

5 comments:

  1. salah sati wayar menteri ini telah putus

    ReplyDelete
  2. Tapi cuma satu, Anwar Ibrahim dah putus kesemua sekali. Heran, ada manusia sanggup ber'ketua'kan manusia yang terang-terang munafik tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau putus semua wayar dah jelas siapa dia, tapi kalau putus satu wayar nak kenalnya agak susah sikit, macam abdullah ubai zaman Rasullullah dulu, solat dibelakang Rasulullah lagi tapi "double munafik" rupanya macam kumpulan perjuangan melayu tu....

      Delete
  3. Pernahkah anda melihat Azizan bekas MB Kedah melayan wartawan ?

    Kata-kata biadap yang dikeluarkan oleh Zahid terhadap rakyat Malaysia itu sebenarnya adalah sikap orang yang berpenyakit. Disebabkan tekanan penyakit yang ditanggong itu maka mereka lalai mengawal emosi ketika berhujah dengan orang yang mahu menduga dalam mencari maklumat.

    Walau pun mereka berpenyakit namun tiada siapa yang akan mengaku bahawa mereka sedang sakit. Sebagai contoh, adakah Azizan sewaktu menjawatan MB Kedah pernah mengaku bahawa beliau sedang menangong penyakit walaupun sudah beberapa kali tersungkur kebumi ?

    Sebenarnya Zahid perlu pergi bercuti bagi merehatkan kepalanya padat dengan permasaalahan. Lagi pula, tunjuk kuasa guna PDRM bagi menzalimi rakyat tidak menakutkan rakyat tapi akan menghuru-harakan keadaan.

    ReplyDelete
  4. itu lah kelebihan pemimpin melayu UMNO. bongkak dan tak bertamadun.terasa diri hebat jadi bolih bla sama zahid ya....

    ReplyDelete