Monday, 20 May 2013

Pas Lebih Dihormati Jika Tidak Bergabung Dengan UMNO


Meskipun Presiden Pas, Haji Hadi Awang telah menegaskan bahawa parti itu tidak sekali-kali akan bergabung dengan UMNO, tetapi masih ada suara-suara kecil yang mahu kedua-dua parti itu bergabung. Pelbagai alasan diberikan untuk menjustifikasikan penggabungan itu, antaranya untuk kepentingan Melayu, memertabatkan Islam dan bagi yang ekstremis pula melihat hanya dengan penggabungan itu saja dapat menghantar karier politik Anwar Ibrahim ke titik kematian.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berulangkali mahukan orang Melayu dan Islam di negara ini menjadikan matlamat penyatuan Pas dengan UMNO sebagai usaha yang berterusan demi kepentingan umat dan Islam. Dr Hassan Ali yang sudah dipecat dari Pas juga mahu penyatuan itu menjadi realiti suatu hari nanti.

Dalam UMNO juga ramai yang melihat keperluan kepada penyatuan itu. Berbagai hujah dan alasan turut diberikan. Alasan yang paling banyak ialah demi kepentingan Islam dan Melayu dan agar bangsa lain tidak sewenang-wenangnya berbuat sesuatu di negara ini.

Bagi yang melihat Anwar sebagai ancaman kepada UMNO pula merasakan hanya dengan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat sajalah karier politik Ketua Pembangkang yang masih gigih memburu Putrajaya itu dapat dititiknoktahkan.

Sementara Pas makin didesak agar menerima huluran tangan penyatuan itu, pemimpin Pas pula kekal dengan pendirian bahawa tiada keperluan ke arah itu. Haji Hadi mengatakan UMNO dalam keadaan hampir lemas dan sekiranya Pas mendekati mereka, dibimbangi Pas juga akan turut ditarik tengelam sama.

Mursyidul Am Pas, Nik Aziz pula sejak dulu kekal dengan pendiriannya bahawa penyatuan hanya munasabah dilakukan jika UMNO bersedia meninggalkan perjuangan kebangsaannya dan menerima Islam sebagai arah tujunya yang baru. Pemimpin yang lainnya juga berpendirian hampir sama walaupun sebelum pilihanraya lalu terdapat kecenderungan sesetengah pemimpinnya terhadap idea penyatuan itu.

Ada juga yang berhujah bahawa dengan BN memiliki 133 kerusi Parlimen dan sekiranya Pas yang mempunyai 21 kerusi bergabung dengan BN ia akan menjadikan BN memiliki 154 kerusi, sekaligus melompat daripada majoriti mudah kepada kedudukan majoriti dua pertiga. Kononnya dengan kedudukan itu, maruah Islam dan Melayu akan meningkat serta sentiasa dapat dipertahankan.

Benarkah hakikat itu?

Dalam sejarahnya, usaha penyatuan ini seringkali kedengaran hanya di ketika UMNO lemah. Di ketika UMNO kuat, bukan saja penyatuan itu ditolak, bahkan Pas sentiasa diperlekeh dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan yang bertujuan menghakis kepercayaan umum terhadap parti itu.

Sebelum pilihanraya yang lalu lagi, suara ke arah penyatuan ini sudah kedengaran. Sebabnya amat jelas iaitu UNNO sedang dalam kedudukan 50-50 ketika itu. Selepas pilihanraya, dengan keputusan yang menyaksikan BN tidak berupaya menambah baik kedudukannya berbanding 2008, suara perpaduan dan penyatuan ini sekali lagi didendangkan.

Sebabnya juga jelas iaitu bukan saja kerana UMNO dan BN terus di kedudukannya yang lemah tetapi juga untuk menonjolkan kepada umum seolah-olah UMNO itu cintakan perpaduan.

Dalam situasi politik pasca pilihanraya ini, tidak diragui lagi bahawa idea penyatuan Pas dengan UMNO hanyalah untuk menguntungkan UMNO dan BN semata-mata. Ia tidak memberi keuuntungan kepada Pas, jauh sekali untuk mendatangkan keuntungan kepada rakyat.

Dengan bergabung bersama UMNO, Pas terpaksa akur dengan kuasa dan keangkuhan pemimpin-pemimpin UMNO. Pas hanya akan menjadi pak turut kepada pelbagai dasar dan pendekatan baru yang cuba diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan parti itu menggenggam kuasanya.

Sebaliknya melalui majoriti mudah yang ada sekarang, para pemimpin UMNO dan kerajaan terpaksa melipatgandakan usaha menunaikan kehendak rakyat. Mereka terpaksa menjadi rajin turun padang berbanding sebelumnya. Penyatuan Pas dengan UMNO hanya akan menyebabkan BN mempunyai kuasa dua pertiga dan ini menyebabkan berlakunya kecenderungan membuli rakyat.

Berbanding ketika UMNO dan BN memperolehi majoriti dua pertiga dengan keadaannya selepas 2008, terbukti bahawa dengan majoriti mudah menyebabkan mereka lebih prihatin, rajin turun padang serta pemurah kepada rakyat. Program bantuan dan kemudahan untuk rakyat didapati lebih banyak berbanding sebelumnya.

Kedudukan Pas kekal bersama Pakatan Rakyat sebenarnya jauh lebih bermanfaat, bukan saja untuk parti itu tetapi juga untuk kemaslahatan umum dan kepentingan rakyat, berbanding jika memilih jalan penyatuan dengan UMNO. Peranan check and balance juga dapat dilakukan dengan lebih berkesan melalui kedudukannya yang ada sekarang yang akhirnya rakyat juga menikmati manfaatnya.

Pas kini sudah menguasai Kelantan dan menjadi majoriti dalam kerajaan negeri Selangor. Ini menunjukkan penerimaan rakyat luar bandar dan bandar terhadap Pas menjadi semakin baik. Apa yang perlu dilakukan Pas hanyalah memperbaiki beberapa kelemahan tertentu dalam organisasinya dan kekal menjadi pesaing kepada UMNO. Kedudukannya sebagai alternatif kepada UMNO harus dikekalkan. Bersatu dengan UMNO hanya akan menyebabkannya tenggelam.

Sama ada dapat menggenggam kuasa dan menawan Putrajaya, ia harus dijadikan pilihan kedua. Jika berjaya, Alhamdulillah tetapi jika tidak berjaya, peranannya sebagai pengimbang serta tukang check and balance kepada sang penguasa tetap ada.

Dan ia jauh lebih berwibawa daripada memilih jalan penyatuan dengan UMNO. (SH 20/05/2013)

4 comments:

  1. Hi Shahbudin,

    Indeed a very good article again, as I believe and my opinion, if the Old Guard still within PAS, chances of UMNO to court PAS will be difficult, but if Leader like Nik Aziz or Hadi Awang retired due to old ages, then I see the possibilities of UMNO and PAS get married, I can imagine what UMNO can offer to PAS materiality indeed are irresistible just liked MCA and MIC received even being treated like a D.....so thank you again, and I hope this message if well read by PAS members...

    ReplyDelete
  2. Andai kata PAS bergabung dgn Umno dan sebilangan PKR dan DAP juga masuk BN... adakah anwar terkubur ??

    Jawapan saya TIDAK...

    Walaupun Anwar katakan ditendang keluar dr PKR, Anwar boleh tubuh parti baru dan akan memenangi kawasan2 bandar dan kubu2 kuat PR yang sedia ada...

    Rakyat lah penentu halatuju negara ini, bukan parti PAS, DAP dan PKR ataupun UMNO......

    Jangan pandang remeh kemampuan pemimpin 2 rakyat...
    Golongan mata duitan mungkin ada dalam ketiga2 parti PR dan kalau ingin mereka bole berambus...

    Sejarah menunjukkan kesemua orang2 ini kalah teruk lepas keluar dari parti 2 pembangkang...

    Call it by any name ABU, Gerakan Anti Samyvellu (GAS), ABCD, anti Mahathir, Reformasi or watever...

    Hassan Ali, Ezam, Chandra Muzaffar, Tunku Aziz, Hee Yit Foong, Zaharin dan mungkin orang2 seperti Azmin , Zuraida dan Haron Din mungkin lebih suka nak dapat habuan dari UMNO... tapi kena ingat... Kuasa Rakyat Kuasa Keramat...

    Jangan sampai satu hari nanti, kalau masih UMNO tak tumbang, rakyat semakin restless.... dan gerakan bertukar ker fasa lain...

    ReplyDelete
  3. Tanpa pengaruh PKR dan DAP dalam pakatan rakyat tiada siapa yang mempedulikan parti PAS walaupun dalam parti itu ramai ulamak yang dah nampak pintu syurga. Rakyat bergabong dengan parti itu bukan kerana agama islam tapi kerana kebencian mereka terhadap pemerintahan parti BN.

    Paling seronok dilihat apabila pemimpin PAS bertelagah sesama sendiri nak tunjuk siapa lebih hebat mentadbir yang akhirnya dalam pilihanraya yang lepas mereka serahkan kerajaan negeri Kedah pada BN dengan penuh kesabaran dan kesyukuran.... Bodoh tidak boleh diajar, pandai tidak boleh diikut !

    Di Selangor ada kedengaran tentang hasutan supaya parti PAS tunjuk hero kuasai kerajaan negeri kerana mereka telah berjaya memiliki 15 kerusi DUN disamping berpura-pura tidak bersekongkol dengan puak 'UG' menghuru-harakan keadaan yang akhirnya pengundi menyerahkan Kota Damansara kepada BN.

    Pemimpin UMNO BN amat menyukai pemimpin parti itu kerana mereka mudah dirasuk syaitan yang menjadikan mereka tak ubah seperti 'kaduk naik junjung'.

    Berwaspada.... berserban dan berjubah belum tentu ulamak tapi mungkin bangla jual agama.

    ReplyDelete
  4. bersatu untuk kebaikan adalah tindakan yang baik.... umpama suami isteri bercerai dan rujuk semula... demi kebaikan dan masa depan anak2... untuk terus kekal bahagia selepas rujuk kene lah maafkan kesalahan masing2... jangan duk ungkit2... jgn cari salah sesiapa... demi untuk bersatu buang yang keruh amik yang jernih... terlalu banyak alasan... sebenarnya lebih kepada takut hilang kuasa memimpin...

    ReplyDelete