Tuesday, 7 May 2013

Tidak Mengundi BN Tidak Bermakna Berlaku Polarisasi Kaum


Sebaik saja keputusan pilihanraya diumumkan malam Ahad lalu, Najib lantas menyelar sikap pengundi Cina yang cenderung tidak mengundi BN. BN banyak kalah di kawasan pengundi campuran di mana MCA dan Gerakan gagal lagi kali ini. Daripada 133 kerusi yang dimenangi BN, 109 daripadanya dimenangi oleh UMNO yang memperlihatkan penguasaan BN terhadap pengundi Melayu dan luar bandar saja.

Kejayaan menguasai kelompok pengundi Melayu itu sebahagiannya adalah disebabkan kempen melaga-lagakan Pas dengan DAP,  selain sikap tegar kebanyakan pengundi Melayu itu sendiri. Ini menjadikan BN dapat menewaskan calon PR di banyak kerusi di Kedah dan Perak terutamanya.

Tetapi yang paling mengecewakan Najib dalam pilihanraya kali ini ialah keputusan pengundi Cina yang tidak memihak kepada BN. Beliau menganggapnya sebagai  polarisasi kaum dan tsunami Cina telah berlaku.

Keghairahan Najib bercakap mengenai sikap pengundi Cina itu sebaik saja keputusan pilihanraya diumumkan memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Beliau seharusnya memperolehi data dan maklumat lengkap terlebih dahulu sebelum membuka mulut mengenainya.

Kalau pun mahu bercakap dan meluahkan kekecewaannya, beliau seharusnya lebih berjiwa besar dengan menuturkan perkataan yang lebih lembut manis. Ini kerana apa yang dilakukan oleh pengundi Cina itu bukanlah suatu kesalahan, jauh sekali sebagai jenayah.

Memang diakui pengundi Cina tidak memihak kepada BN tetapi tidak bermakna mereka tidak menyokong Melayu. Mereka hanya tidak menyokong BN kerana isu-isu lain seperti rasuah, kepimpinan, ekonomi, mahukan perubahan dan sebagainya.

Lagi pula yang pengundi Cina tolak kebanyakannya adalah calon Cina juga seperti daripada MCA dan Gerakan. Pengundi Cina tidak terbukti kukuh menolak calon UMNO kerana UMNO masih mampu menang di 109 kawasan Parlimen.

Dalam konteks yang lain, jika benar pengundi Cina menolak Melayu, bagaimana pula calon-calon Melayu dalam PR masih boleh menang dan mendapat sokongan daripada mereka seperti Rafizi di Pandan dan Arif Sabri di Raub?

Maknanya, pengundi Cina tidak menolak Melayu dan tiada polarisasi kaum berlaku. Mereka hanya menolak BN kerana yakin dengan kerajaan dan juga tidak lagi meyakini dengan kewibawaan MCA dan Gerakan sebagai angggota komponen gabungan itu.

Sikap Najib dan BN mempertikaikan pendirian pengundi Cina juga menunjukkan seolah-olah mengundi selain BN merupakan suatu dosa yang besar sehingga segala sumbangan dan pemberian kerajaan selama ini harus diungkit-ungkit dan mereka dilabel sebagai rakyat yang tidak mengenang budi.

Ini jelas memperlihatkan ketidakmatangan dalam berpolitik. Memilih dan mengundi mana-mana parti adalah hak setiap rakyat dan tugas kerajaan adalah menjalankan amanah yang ada di bahu mereka. Jika dengan tugas, pemberian dan sumbangan yang diberikan, sokongan yang diharapkan tidak juga kunjung tiba, kajian haruslah dilakukan untuk mengenalpasti apa sebenarnya yang dimahukan mereka.

Setidak-tidaknya usaha mendekati mereka harus dilipatgandakan lagi, bukannya menyelar dan menghentam mereka.

Sikap dan pendirian pengundi Cina yang tidak memihak BN ini tidak jauh bezanya seperti pengundi Melayu bandar dan pengundi muda yang lebih cenderung kepada PR berbanding BN.  Pendirian mereka ini banyak dipengaruhi oleh akses maklumat yang lebih menyeluruh dan mereka merupakan kelompok yang mengetahui lebih banyak perkara berbanding penduduk di luar bandar.

Tetapi mereka juga tidak boleh dituduh sebagai Melayu yang lupa diri atau Melayu yang tidak menyokong Melayu. Tidak menyokong UMNO dan BN tidak sesekali bermakna tidak menyokong Melayu atau anti Melayu.

Walaupun Najib memperkenalkan dasar 1Malaysia tetapi beliau tidak bolehlah mengharapkan dalam tempoh 4 tahun ia mampu dicapai dengan sempurna. Memang setakat  ini dasar itu gagal menarik sokongan pengundi Cina kepada BN dan kerajaan tetapi usaha hendaklah diperbaiki lagi jika ingin terus mendapatkan sokongan mereka.

Selain penambahbaikan melalui usaha kerajaan, MCA dan Gerakan juga harus melakukan rombakan serta penjenamaan semula untuk menarik hati pengundi Cina terhadap BN. Dengan imej kedua parti itu sekarang, tentunya mereka lebih memilih DAP dan PKR yang dilihat lebih agresif dan pragmatik dalam menggerakkan halatujunya.

Kecenderungan membuat tuduhan melulu, tanpa kajian dan hanya melihat apa yang ada di permukaan saja dalam isu pengundi Cina ini, tanpa mahu memperbaiki kesilapan dan kelemahan sendiri, pasti akan mengundang bahaya yang lebih besar kepada BN  dalam PRU 14 nanti. (SH 07/05/2013)

1 comment:

  1. saya rasa najib dan che det berlakon saja,projek projek dan tanah tanah habis semua bagi cina mca,gerakan dll.ni nak membodohkan org melayu umno dari perkara yg sebenar cth PKFZ

    ReplyDelete