Saturday, 6 April 2013

Kerusi Wangsa Maju Sebenarnya Umpan MCA Untuk Perangkap Najib


Kedatangan Muhyiddin Yassin ke Wangsa Maju semalam( Jumaat) mungkin membawa petanda gembira buat Shafei Abdullah dan UMNO Wangsa Maju yang berjuang sejak empat tahun lalu untuk mengembalikan kerusi itu daripada MCA kepada UMNO. Harapan untuk melihat BN meletakkan calon UMNO di kerusi itu nampaknya kembali cerah, bukan saja dengan kehadiran Muhyiddin itu tetapi juga melalui ucapan yang dilafazkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu.

Dalam ucapannya Muhyiddin berkata, "kita mahu rakyat menyokong kita tak kira siapa pun calon di Wangsa Maju ini. Kalau Shafei jadi calon, okey. Kalau calon lain pun, okey."

Apatah lagi ketibaan Muhyiddin disambut dengan sekumpulan kira-kira 30 orang yang sudah dipersiapkan oleh Shafei dengan pelbagai sepanduk dan poster yang ditulis dengan bermacam ungkapan yang memberi gambaran UMNO dan pengundi di situ mahukannya dipilih sebagai calon di Wangsa Maju.

Ucapan Muhyiddin yang seolah-olah memberi bayangan kerusi Wangsa Maju akan dikembalikan kepada UMNO tentulah membuatkan Shafei begitu gembira dan riak wajahnya di majlis itu yang sentiasa tersenyum lebar, membayangkan hakikat itu.

Di atas kertas, dilihat perjuangan Shafei dan UMNO Wangsa Maju sudah berjaya dan MCA akhirnya akur untuk mengembalikan kerusi Wangsa Maju kepada UMNO. Walaupun Ketua MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look masih mahu berjuang untuk mengekalkan kerusi itu di tangan MCA tetapi Presiden MCA, Chua Soi Lek dikhabarkan tiada halangan melakukan pertukaran jika itu yang dimahukan oleh UMNO.

Bersama kerusi Wangsa Maju yang dituntut oleh UMNO, kerusi lain ialah Kuantan di Pahang. Menyedari desakan UMNO begitu kuat di Wangsa Maju dan Kuantan dan calon MCA pula kalah di kedua-dua kerusi itu dalam pilihanraya 2008 lalu, Chua Soi Lek dikatakan bersedia untuk menukarkannya dengan kerusi lain. Bermakna kerusi Wangsa Maju dan Kuantan diserahkan kepada UMNO dan UMNO mesti menyerahkan dua kerusinya yang lain kepada MCA.

Sekali imbas, nampaknya cara berpolitik MCA itu kelihatan matang dan mereka benar-benar rakan kongsi yang sejati kepada UMNO dalam BN.

Tetapi sumber lain memberitahu, tuntutan MCA sebenarnya lebih daripada itu. MCA juga dikatakan, melalui persetujuan menyerahkan kembali kerusi Wangsa Maju dan Kuantan kepada UMNO, turut mahukan Najib menerima sepenuhnya senarai calon yang akan dikemukakannya dalam pilihanraya nanti termasuk meletakkan calon baru di Pandan yang kini dipegang oleh bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat.

Chua dan Ong kini sedang berperang secara terbuka dan isu calon Pandan turut menjadi polemik sejak sekian lama. Sementara Chua menyatakan Ong akan digugurkan dan digantikan dengan orang lain, Ong pula ada memberitahu beliau telah mendapat persetujuan Najib untuk kekal sebagai calon BN di Pandan.

Ketakutan Chua terhadap Ong yang menjadi musuhnya dalam MCA kini nampaknya bakal berlarutan sehingga ke pilihanraya umum dan Chua jelas seorang yang licik dan cuba membawa agenda MCAnya dalam pilihanraya ini dengan menjadikan Najib sebagai pemutus untuk menyingkirkan musuh politiknya itu daripada terus menggugatnya.

Sehingga ini, isu calon BN di Pandan masih lagi tergantung biarpun MCA Pandan juga mahukan Ong Tee Keat dikekalkan sebagai calonnya dan pengundi juga melihat beliau sebagai calon yang boleh menang di situ, apatah lagi calon PKR yang bakal dihadapi bukan calang-calang orangnya iaitu Rafizi Ramli. Tetapi Chua tetap mahukan musuh politiknya itu diketepikan.

Selain isu calon di Pandan, terdapat juga beberapa kerusi lain yang menjadi fokus Chua Soi Lek melaksanakan agendanya mengenepikan musuh-musuh politiknya melalui pilihanraya ini dan seterusnya memastikan kedudukannya makin kukuh dalam parti itu.

Sebagaimana isu calon Pandan belum ada kata putus dari Najib, kedudukan calon di Wangsa Maju juga belum muktamad lagi. Bayangan yang diberikan Muhyiddin belum lagi membolehkan Shafei tersenyum sepenuhnya kerana Najib perlu menyelesaikan perkara itu dengan Chua Soi Lek terlebih dahulu. Kedatangan Muhyiddin mungkin hanya membawa berita separuh gembira.

Hanya jika Najib bersetuju menggugurkan Ong Tee Keat dan menerima sepenuhnya senarai calon MCA yang dikemukakan oleh Chua Soi Lek, barulah kedudukan Shafei boleh dianggap sudah terjamin. Jika Najib masih juga mahukan Ong sebagai calon di Pandan, sesuai dengan kedudukannya sebagai calon boleh menang dan bersesuaian pula dengan kehendak MCA Pandan, bukan saja isu pertukaran kerusi di Wangsa Maju dan Kuantan yang akan menjadi masalah, malah mungkin berlarutan kepada memungkinkan berlakunya hubungan dingin antara Najib dan Chua.

Tercetusnya hubungan dingin antara UMNO dengan MCA dan Najib dengan Chua tentulah membahayakan masa depan BN dan Najib sendiri dalam pilihanraya ini yang masih bergelut untuk meraih sokongan bagi memastikan kemenangan yang selesa.

Dilema Najib kini ialah sama ada mahu memberi peluang kepada Shafei, Setiausaha Politiknya bertanding di Wangsa Maju atau beliau terpaksa memenuhi tuntutan Chua yang mahukan senarai calon MCA diterima tanpa soal termasuk menggugurkan Ong Tee Keat dan seterusnya memungkinkan kerusi Pandan dengan mudah dapat dimenangi oleh Rafizi, seorang strategis dan orang kanan Anwar yang banyak mendedahkan skandal dalam kerajaan sebelum ini.

Sama ada menerima atau menolak tuntutan Chua Soi Lek, semua keputusan kini hanyalah di tangan Najib. (SH 06/04/2013)



1 comment:

  1. X kisah mana2 pihak Melayu harus bertanding di Wangsa Maju...harus ada calon Melayu Islam...ini kawasan majoriti Melayu...jgn tunduk dgn desakan MCA...kalo letak calon cina pun konpem kalah teruk...sekurang2nya calon UMNO msh ada harapan.......Shabudin najis politik yg dibuang UMNO...ko x de integriti lagi nk ckp psl politik

    ReplyDelete