Saturday, 20 April 2013

Disisi Najib, Menjadi Ibrahim Ali Dan Zul Nordin Lebih Dihargai Berbanding Kamilia


Diantara semua calon Bebas yang mengemukakan kertas pencalonan hari ini, Kamilia Ibrahim yang paling menonjol kerana kedudukannya sebagai Naib Ketua Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau yang sebelum ini melahirkan kekecewaan kerana tidak dipilih sebagai calon dan menyifatkan ianya sebagai penghinaan kepada Wanita UMNO, akhirnya memutuskan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar sebagai jalan keluar kepada sengsara yang ditanggungnya.

Sebaik mengesahkan bertanding, Kamilia bukan saja mengumumkan beliau keluar daripada UMNO dan melepaskan semua jawatannya, tetapi tentunya menjadikan jiwanya bertambah tenang selepas ini.

Jika beliau terus kekal di dalam UMNO, batinnya pasti lebih menderita lagi.

Keberanian beliau menunjukkan taringnya yang selama ini disembunyikan dengan bertanding Bebas, sekurang-kurangnya haruslah diberi pujian, lebih-lebih lagi di ketika yang sama UMNO dan BN memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada orang yang lain yang pernah menghina, menentang dan mempersenda UMNO.

Sebelum ini, Zulkifli Nordin yang melompat daripada PKR, diberi penghormatan oleh Najib bertanding atas tiket BN di Shah Alam kerana beliau dianggap rakan mesra kepada BN. Pemilihan beliau, walaupun tidak berapa mengejutkan melihat kepada tindakannya yang kerap membodek dan mengampu Najib serta aktif menyerang Anwar Ibrahim sejak keluar PKR, turut juga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti protes dan tutup bilik gerakan di Shah Alam yang ditandinginya itu.

Tetapi oleh kerana Najib begitu menyanjung dan menghargainya, malah Muhyiddin pula menyifatkan Zul Nordin sebagai calon yang "winnable", segala protes itu dibiarkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja. Zul kekal bertakhta di hati Najib walaupun rekod lamanya menyerang dan mencerca UMNO begitu dahsyat sekali, termasuk tindakannya mengubahsuai lagu UMNO untuk mempersenda UMNO dan Mahathir.

Ramai ahli UMNO marah dan menganggap tindakan Zul Nordin mempersenda lagu UMNO itu perbuatan yang yang biadap dan kurang ajar, malangnya disisi Najib beliau tetap dianggap mulia. Berbanding dengan Kamilia yang mencurahkan khidmat dan pengorbanan sejak puluhan tahun lalu dengan penuh setia dan jujur bersama UMNO, beliau tidak dianggap mulia dihati Najib berbanding Zul Nordin.

Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang bertanding Bebas di Pasir Mas. Semua orang tahu rekod dan kelakuannya selama ini. Beliau telah melompat beberapa kali dan tindakannya keluar masuk UMNO umpama pergi ke tandas saja. Ketika di luar UMNO pula, serangan dan hentamannya terhadap UMNO bukan kepalang lagi. Bukan saja UMNO, semua pemimpin UMNO juga diserang dan dicaci-makinya.

Ibrahim walaupun tidak dipilih bertanding menggunakan tiket BN tetapi tindakan calon BN Pasir Mas, Johan Che Pa yang tidak mengemukakan borang penamaan calon untuk memberi laluan kepada Ibrahim bertanding satu lawan satu dengan Pas, jelas membuktikan calon BN itu memang diarahkan berbuat demikian.

Sejak seminggu lalu bila Ibrahim tidak dinamakan sebagai calon BN, sudah bertebaran SMS dan khabar angin yang mengatakan akan berlaku wayang kulit di Pasir Mas pada hari penamaan calon nanti iaitu dengan sebab-sebab tertentu calon BN dikatakan akan hilang kelayakan bertanding dan akhirnya Ibrahim akan menjadi calon Bebas yang disokong oleh BN. Alasannya wayang kulit sedemikian terpaksa direka kerana kononnya Najib tidak mahu dilihat BN dikaitkan secara langsung dengan Ibrahim yang juga merupakan Presiden Perkasa demi menjaga hati pengundi Cina di seluruh negara.

Dengan terbukti wayang kulit itu menjadi kenyataan dan kekecewaan Ibrahim tidak dipilih sebagai calon BN hanyalah sandiwara saja, sekali lagi disisi Najib, watak seperti Ibrahim ini lebih bernilai dan menyentuh hatinya berbanding kesetiaan Kamilia terhadap UMNO selama ini.

Walaupun UMNO Kelantan dilaporkan kecewa dengan tindakan Johan Che Pa itu tetapi jika tiada arahan daripada Najib, mustahil beliau berani berbuat demikian. Tidak syak lagi Najib memberi arahan kepada Johan supaya jangan menyerahkan borang pencalonan demi untuk memberi laluan karpet merah kepada Ibrahim Ali.

Di mata kasar, tindakan Kamilia bertanding Bebas tidak menguntungkan dirinya. Meskipun sudah mengumumkan keluar UMNO, beliau pasti akan dipecat sekali lagi, selain kehilangan ramai kawan-kawan dan jika ada kontrak atau perniagaan dengan kerajaan, ia juga mungkin terjejas.

Untuk menang sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar juga tampak sukar tetapi dengan rekod 2008 di mana BN hanya menang dengan 1400 undi, perjuangan calon BN di kawasan itu menjadi lebih sukar lagi. Dengan penyertaan Kamilia sebagai calon Bebas, BN hampir pasti akan kehilangan kerusi Kuala Kangsar itu pada kali ini.

Namun sisi yang lain, tindakannya Kamilia ini memberi mesej yang jelas kepada pengundi, bukan saja di Kuala Kangsar tetapi juga di seluruh Malaysia tentang hodohnya wajah UMNO dan tidak beretikanya Najib dalam mengemudi UMNO dan BN. Kesetiaan dan kepatuhan kepada pemimpin dan parti tidak akan mampu mengatasi kehebatan membodek, mengampu dan mencium tangan pemimpin. Mesej ini jika mudah difahami akan memberi kesan penolakan yang besar kepada BN dalam pilihanraya kali ini.

Kamilia mungkin pemimpin kerdil dan tidak ternama tetapi sejarah di Tunisia telah membuktikan bahawa punca utama yang merangsang kebangkitan rakyatnya sehingga kerajaan Ben Ali tumbang ialah bila seorang penjual buah-buahan yang terasa dianiaya oleh kerajaan telah membakar dirinya sebagai tanda protes. Kematian pemuda yang tidak dikenali itulah akhirnya yang menyebabkan rakyat bangkit dan menolak kerajaan Ben Ali.

Kamilia juga sedang membakar dirinya sekarang, dan marilah kita sebagai pengundi yang akan membuat penentuan pada 5 Mei ini, sama-sama bangun menyambut keberanian beliau itu. (SH 20/042013)

4 comments:

  1. This woman Kamila is a very brave woman I salute you!

    ReplyDelete
  2. Tahniah datuk kamilia.... mn lg wanita yg lainnya...masih mnjadi yesman n pencacai umno bn lagi ke

    ReplyDelete
  3. Puan,
    I salute you. It's not easy to leave all that is UMNO: the privileges, the largess, the lucre and corruption. You are now a rebel without a cause; a woman hard done by your leader and you choose to fight... all kudos to you.

    ReplyDelete
  4. Apa yg berlaku di kuala kangsar mmg memeritkan..saya pasti org di kuala sudah pasti terpinga pinga dan berbelah bahagi
    rata rata org kuala mmg bersama BN dan tahu siapa Kamilia dan gerak kerja beliau
    'perang saudara' yg berlaku ini semua salah ini patut diletak 1000% pada najib haramjadah sama sekali dgn zambry
    Sebagai penyokong undi adalah utk BN tapi saya tak akan berdoa utk BN utk menang...ini kali

    ReplyDelete