Friday, 29 March 2013

Ahli UMNO Lebih Berani Daripada Presiden UMNO


Di banyak tempat sekarang ini, perang poster sudah bermula. Bukan saja poster parti-parti pembangkang PR yang menunjukkan kesungguhan luar biasa mereka untuk menawan Putrajaya yang kelihatan berkibar megah, poster dan gambar dacing juga kelihatan di mana-mana seolah-olah Parlimen sudah dibubarkan. Keadaan ini kelihatan agar luar biasa berbanding pilihanraya sebelum ini di mana poster BN hanya banyak dipasang setelah Parlimen dibubarkan. Tetapi kali ini sebelum Najib membubarkan Parlimen lagi, perang poster sudah bermula.

Jika parti-parti pembangkang seperti Pas, Pkr dan DAP yang ghairah memasang poster di tepi-tepi jalan, di atas pokok dan di puncak bukit, ia tidaklah terlalu menghairankan kerana pilihanraya kali ini disifatkan peluang terbaik untuk mereka. Maka usaha dan kesungguhan dari awal lagi bukanlah sesuatu yang pelik.

Namun agak pelik juga bila UMNO dan BN turut berbuat demikian. Kebanjiran poster-poster BN ketika ini sudah mula kelihatan di pasang di beberapa jalan utama di sekitar WP, Selangor, Perak dan beberapa negeri lainnya. Poster yang memaparkan gambar calon juga turut kelihatan seolah-oleh mereka sudah pasti dipilih semula.

Walaupun DUN Negeri Sembilan sudah terbubar secara automatik dan tempoh lima tahun Parlimen juga sudah hampir berakhir, Najib masih lagi takut untuk membubarkan Parlimen. Kemeriahan perang poster ini juga masih lagi tidak merangsang keberanian Najib.

Sudah beberapa tarikh diramalkan Najib akan membubarkan Parlimen, tapi semuanya meleset. Terbaru Parlimen dikatakan akan dibubarkan selepas Jumaat hari ini, 29 Mac. Ada juga yang berkata pembubaran Parlimen akan dilakukan selepas LIMA yang berakhir 30 Mac ini. Entah betul entah tidak, tunggu sajalah. Selagi semangat berani tidak menjelma dalam diri Najib, selagi itulah Parlimen tidak akan dibubarkan.

Dengan berlakunya perang poster di banyak tempat sekarang ini, memperlihatkan seolah-olah ahli UMNO lebih berani daripada Najib sendiri. Mereka sudah berani memasang poster dan bersedia menghadapi pilihanraya walaupun Najib masih dalam ketakutan.

Keberanian itu juga seperti mereka sedang memerli Najib supaya segera membubarkan Parlimen. Bagi kebanyakan ahli UMNO, apa mahu ditunggu lagi. Jika dikira daripada tarikh mengundi pada pilihanraya lalu iaitu 8 Mac 2008, tempohnya sudah pun melebihi lima tahun. Tarikh 28 April yang dianggap rasmi sebagai genap lima tahun hanyalah berdasarkan tarikh sidang Parlimen yang pertama diadakan dan bukannya tarikh pilihanraya diadakan.

Lagi pula DUN Negeri Sembilan juga sudah terbubar dengan sendirinya. Bukan saja mengadakan pilihanraya begitu hampir dengan tempoh lima tahun sebagai memalukan Najib, bahkan tidak membubarkan Parlimen setelah sesebuah DUN terbubar juga amat mengaibkan bagi seorang Perdana Menteri sebenarnya. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Nama Najib akan tercatat dalam Hari Ini Dalam Sejarah dalam konteks ini.

Tetapi yang jelasnya, lagi lambat Parlimen dibubarkan, beban yang ditanggung Najib juga semakin berat. Pelbagai isu yang muncul kebelakangan ini menampakkan semuanya tidak memihak kepada Najib dan BN. Dalam masa yang sama, semangat parti-parti pembangkang juga semakin tinggi dan meningkat hari demi hari. Keyakinan mereka bahawa perubahan pasti akan berlaku kali ini menjadikan semangat dan daya juang mereka tidak pernah menurun.

Walaupun Mahathir yang diharapkan Najib akan membantunya dalam memastikan kemenangan BN kali ini, kadangkala bekas PM itu juga menyusahkannya. Sejak kebelakangan ini Mahathir banyak menyokong program dan dasar Najib, termasuk sanggup merasmikan buku biografi Rosmah Mansor dan menyatakan keadaan di mana DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya tidak akan memberi kesan kepada BN walaupun ianya sebenarnya boleh dipertikaikan.

Mahathir juga sudah pergi ke banyak tempat berkempen memastikan supaya BN dipilih semula. Tetapi di ketika beliau pergi ke banyak tempat dan bercakap banyak perkara, kadang-kadang beliau juga menyusahkan Najib. Kenyataannya baru-baru ini yang menyatakan Najib terpaksa berundur jika gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihanraya akan datang sama-sekali tidak membantu Najib.

Kenyataan ini memperlihatkan bahawa Mahathir sudah mula memberi signal kepada pertukaran pemimpin selepas pilihanraya nanti. Ia menyerlahkan lagi hakikat Najib sebagai pemimpin yang lemah dan mesti ditukar. Meskipun Mahathir mulai diterima secara berbelah bagi oleh rakyat, namun pengaruhnya dalam UMNO masih ada. Cakapnya tentu saja mempengaruhi pemikiran kebanyakan ahli UMNO.

Oleh yang demikian, jika Mahathir sudah mula bercakap soal Najib perlu berundur, maka ianya akan menimbulkan perasaan berbelah bagi ahli UMNO terhadap Najib sendiri. Mereka mungkin berusaha untuk memastikan kemenangan BN tetapi bila-bila masa boleh menolak Najib selepas itu.

Najib tentunya tidak gembira dengan kenyataan Mahathir itu. Dalam keadaan pilihanraya makin hampir, kenyataan Mahathir itu tidak membantu Najib langsung. Ia hanya menguntungkan pesaing Najib dalam UMNO iaitu Muhyiddin Yassin yang hanya menunggu detik dan ketika yang sesuai untuk mengangkat kaki kanannya melangkah naik setakuk lagi dalam hireaki UMNO dan kerajaan.

Lagi lama Najib menangguh pilihanraya, mungkin lagi banyak bahana yang menimpanya. Mahathir juga mungkin bercakap macam-macam perkara lagi yang turut menyusahkan Najib, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Semua ini berpunca daripada sifat penakut Najib. Jika beliau ada keberanian terhadap Mahathir dan tidak takut pula mengadakan pilihanraya lebih awal, semua ini mungkin tidak berlaku. (SH 29/03/2013)





3 comments:

  1. Tulisan Tuan Shahbudin mengesahkan lagi betapa Najib ini seorang yang bacul dan dayus. Banyak rentetan kejadian dari dulu sampai sekarang memperlihatkan bahawa PM Njib Razak ini sama sekali tidak layak memimpin rakyat Malaysia. Rakyat memerlukan seorang PM dan pemimpin yang tidak saja jujur dan amanah malah seorang yang berani, tegas dan mempunyai prinsip yang jelas, tidak flip flop.

    Ingatkah anda ketika operasi lalang di era Mahathir Mohamad. Pertikaian Najib selaku pemuda UMNO dengan pemuda MC diketuai Lee Kim Sai ketika itu telah menyebabkan ramai pemimpin pembangkang yang tidak bersalah terpaksa merengkok dalam penjara. Walhal Najib ketika itu melarikan diri ke luar negara. Cukup jelas manusia bernama Najib Mohamad ini adalah seorang bacul dan dayus sejak dulu sampailah sekarang. Dalam rumah tangga, suami yang dayus adalah seorang pemimpin rumah tangga yang hina malah dimurkai Allah.

    Maka tidak mustahil jika ketika Malaysia dalam masalah, orang yang sama ini akan menyelamatkan diri beliau ke luar negara. Rakyatlah yang akan menghadapi kesulitan sedangkan tatkal Malaysia kembali aman, manusia bernama Najib ini akan kembali untuk meraih kekayaan peribadi sebanyak mungkin. Janganlah selamanya membiarkan diri anda dipermainkan kerana sesungguhnya Najib bin Razak ini sama sekali tidak layak dan tidak berhak diberi mandat untuk memerintah Malaysia termasuklah parti yang diwakilinya.

    ReplyDelete
  2. Saya rasa untuk mengelakkan kekalahan BN dan mengelakkan rakyat tertunggu-tunggu, lebih baik Najib umumkan saja pembubaran TETAPI BN tidak perlu bertanding PRU kali ini..jadi BN pun tak kalah, rakyat pun jadi lega..amacam?

    ReplyDelete
  3. Saya jangka PM akan umum pembubaran semasa beliau di Mekah untuk mengerjekan UMRAH. Oleh itu bersiap sedialah semua rakyat Malaysia yang layak mengundi bagi memastikan kemenangan PAKATAN RAKYAT. Kerana PR kuat BR1M kami dapat dan kemaraan AES dapat disekat.

    ReplyDelete