Monday, 13 August 2012
Penerimaan Melayu Kepada DAP Menakutkan UMNO
Tindakan UMNO melalui media rasminya Utusan Malaysia, memainkan isu mengundi DAP sebagai haram sebenarnya tidak lebih menggambarkan ketakutan parti itu terhadap kerjasama antara Pas, DAP dan Pkr yang dilihat semakin baik dan mantap menjelang pilihanraya akan datang ini. Bagi UMNO yang sejak dulu membina kuasa bersama MCA dan MIC, ketakutan mereka ialah jika PAS juga boleh membina persahabatan politik yang erat dengan kaum Cina dan India.
Sebab itu dengan termetrainya ikatan antara Pas,DAP dan Pkr melalui Pakatan Rakyat ini, ia adalah sesuatu yang membimbangkan UMNO. UMNO memikirkan hubungan dengan kaum-kaum lain di negara ini adalah hak ekslusif mereka saja sementara jika pihak lain berbuat demikian ia akan dikritik dan dilabelkan sebagai haram.
Dalam piliharanraya umum sebelum ini, antara sebab kemenangan UMNO dan BN adalah kerana kejayaan mereka meretakkan hubungan tersebut. Kepada kaum Cina, Pas digambarkan sebagai pelampau Islam dan menolak hubungan dengan bukan Islam. Kepada pengundi Melayu pula, DAP digambarkan sebagai chauvinis Cina, anti Islam, anti Raja dan malah didakwa ingin menukar agama rasmi daripada Islam kepada Kristian.
Sejak bertahun-tahun lamanya dakyah itu berjalan dengan jayanya dilakukan melalui ucapan pemimpin UMNO serta bantuan media-media yang dikawalnya.
Menjelang piliharaya ini di mana terlihat bahawa pegangan kuasa UNNO dan BN bagaikan telur di hujung tanduk, percubaan mengapi-apikan sentimen agama dan kaum ini kembali bergema. Ia jelas menggambarkan kedudukan UMNO yang semakin genting sebenarnya.
Meskipun penolakan rakyat terhadap UMNO adalah kerana isu-isu seperti kepimpinan yang lemah, rasuah, nepotisme, kronisme dan sebagainya tetapi semua itu tidak diperbaiki dengan bersungguh-sungguh, sebaliknya cara mudah melalui sentimen kaum dan agama sentiasa direka untuk mengekalkan kuasa yang ada.
Jika UMNO cukup kuat dan diterima rakyat melalui pelbagai program transformasi Najib serta segala macam pemberian tunai yang dirasuahkan kepada rakyat selama ini, sudah tentu sentimen agama dan kaum ini tidak dimainkan. Ini kerana memainkan sentimen agama dan kaum itu bukan sahaja memalukan Najib sendiri yang gah memekik slogan 1Malaysianya tetapi juga menggambarkan perjalanan negara ini sedang bergerak ke belakang di mana isu kaum dan agama masih menjadi senjata murahan untuk menakluk kuasa.
Hanya kerajaan zaman silam dan era perang saja yang kebanyakannya tertegak atas isu kaum, bangsa dan agama sebaliknya kerajaan moden seharusnya berdiri atas isu seperti keadilan, ekonomi, kepimpinan, rasuah dan seumpamanya.
Hujah yang digunakan oleh UMNO melalui seorang ulama pondok dari Kelantan yang secara celupar mengatakan haram mengundi DAP semata-mata atas isu hudud sedangkan MCA, rakan karib UMNO juga menolak hudud malah menghina hukum Allah itu dengan pelbagai dakwaan lain tidak pula diambil kira. Dalam waktu yang sama, Najib sendiri bertegas bahawa hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini. Dengan ini, jelas bahawa hujah ulama pondok itu tidak berpijak di bumi nyata dan hanya berdasarkan hukum yang berpilih-pilih untuk kepentingan UMNO.
Sebelum timbulnya dakwaan mengundi DAP sebagai haram, beberapa dakwaan lain berkaitan DAP juga sudah pun ditimbulkan. Antaranya ialah DAP anti Melayu, DAP anti Raja, DAP anti Islam malah ada yang tergamak memperbodohkan rakyat dengan dakwaan bahawa bakal Perdana Menteri daripada Pakatan Rakyat ialah bangsa Cina daripada DAP.
Hakikat bahawa DAP hanya bertanding 66 kerusi Parlimen saja langsung tidak diambil kira, begitu juga pengakuan kerap kali oleh DAP sendiri bahawa mereka bukan saja menerima kedudukan Melayu dan Islam malah Perdana Menteri juga mesti daripada bangsa Melayu yang beragama Islam.
Walaupun tidak semua rakyat boleh diperbodohkan, khususnya dengan wujudnya media baru yang menghalang media tradisional milik UMNO terus-menerus melakukan pembohongan tetapi nampaknya UMNO tetap berusaha bukan saja memecahkan ikatan antara Pas dan DAP ini tetapi juga terus berusaha meyakinkan agar pengundi Melayu menolak DAP.
Bagi UMNO, jika pengundi Melayu dapat menerima DAP sebagaimana pengundi Melayu boleh menerima MCA, malapetaka bakal menantinya dalam pilihanraya akan datang ini. Sebab itu, UMNO tidak akan berhenti memainkan isu DAP ini walaupun hakikatnya dunia sudah semakin berubah yang menyaksikan penembusan maklumat makin merata dan makin ramai orang Melayu juga yang menyertai DAP.
Menjelang pilihanraya yang semakin hampir, segala program transformasi Najib yang dulunya dibanggakan tidak lagi kedengaran diperkatakan. UMNO kini lebih sibuk menyerang hubungan Pas dengan DAP dengan pelbagai dakwaan dan bayangan igauan semata-mata untuk meretakkan hubungan saling memberi dan menerima yang dilihat semakin kental antara kedua parti itu.
Jika Pas dan DAP dapat menjalin hubungan yang baik ini sebagaimana UMNO dengan MCA dan MIC, itulah ketakutan sebenar UMNO dan BN.
Dan selagi hubungan itu tidak berjaya diretakkan, selagi itulah Najib tidak terjumpa tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya umum. (SH 13/08/2012)
No comments:
Post a Comment