Wednesday, 15 August 2012
Bila Pun Tarikh Pilihanraya, UMNO Tetap Ghruyup!
Najib kini dijangka melambatkan lagi tarikh pilihanraya umum. Sebelum ini ramai yang menjangka ia akan diadakan sebelum Oktober ini kerana selepas itu akan bermula musim haji, diikuti musim peperiksaan, cuti hujung tahun dan kemungkinan banjir di beberapa negeri yang tentunya menyulitkan untuk diadakan pilihanraya.
Tetapi sebelum Oktober pun jika Najib mahu memanggil pilihanraya ia tentunya selepas 28 September, tarikh pembentangan Belanjawan 2013 yang sudah ditetapkan. Melalui belanjawan ini, Najib dijangka mengumumkan beberapa gula-gula dan pemberian yang manis-manis untuk rakyat. Maka logiklah jika pilihanraya mahu diadakan selepas itu.
Tetapi risikonya ialah ia akan bertembung dengan musim haji. Walaupun sebelum ini Najib ada berkata tidak salah mengadakan pilihanraya di musim haji dan ia juga pernah dilakukan di zaman Tun Hussein Onn duku tetapi dengan pengakuan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini yang membayangkan tidak mungkin Najib mengadakan pilihanraya di musim haji, bermakna tarikh pilihanraya akan ditunda lagi.
Oleh kerana selepas Oktober akan bermula pula musim peperiksaan, kemudian musim orang bercuti dan musim banjir, agak tidak sesuai diadakan pilihanraya ketika itu. Kemungkinan Najib akan mengadakan piliharaya pada tahun hadapan adalah paling logik.
Apakah dengan menunda tarikh pilihanraya ini memberi kelebihan kepada UNNO dan BN?
Realitinya lagi lama tarikh pilihanraya ditangguh, ia lebih membebankan Najib, UMNO dan BN. Ini kerana semakin banyak ruang masa diberi, semakin banyak isu yang berjaya dibongkar oleh PR. Semakin banyak masa juga, PR semakin agresif menawarkan pelbagai tawaran yang menarik hati rakyat.
Dari segi isu, disebabkan ruang masa, maka munculnya isu Shafie Afdal dengan Zahida Rafik, kemudian diikuti isu lembu NFC yang melibatkan Shahrizat Jalil, penganugerahan beberapa projek kerajaan kepada beberapa anak menteri dan kemudian isu projek LRT Ampang yang membabitkan Najib sendiri.
Dari segi tawaran kepada rakyat pula, jika sebelum ini PR hanya menawarkan penurunan harga minyak, kajian semula tarif letrik dan pengurusan kerajaan yang lebih baik tetapi kini muncul pula tawaran penghapusan hutang PTPTN dan janji penurunan harga kereta melalui penghapusan duti eksais kenderaan.
Jika lebih masa diberi, entah berapa banyak lagi isu dan tawaran yang memikat hati rakyat akan muncul di persada politik negara ini oleh PR.
Dan dari semua isu yang muncul pula, semuanya tidak dimenangi oleh UMNO. Jadi bermain dengan masa hanya merugikan Najib saja.
Dalam masa yang sama, Najib dan UMNO juga cuba menimbulkan beberapa isu untuk menggegarkan perpaduan antara parti-parti dalam PR dan menggoncang keyakinan rakyat tetapi nampaknya semua isu yang ditimbulkan itu umpama embun pagi yang kemudian hilang apabila timbulnya sinar matahari. Langsung tidak berbekas di hati rakyat.
Dari isu moral Anwar, isu pemecatan Dr Hassan Ali yang kemudian menubuhkan Jati, masalah yang dibangkitkan di Kedah dan Selangor sehinggalah kepada yang terbaru isu hudud dan haram mengundi DAP, semuanya tidak meninggalkan kesan dan akhirnya mudah dipatahkan. UMNO malah dimalukan dengan isu-isu tersebut.
Serangan PR kepada kubu-kubu BN juga semakin hebat akhir-akhir ini. Sabah kini menjadi tumpuan selepas Lajim dan Wilfred mencetuskan arus yang cuba menggugat BN. Selepas Hari Raya ini, Lajim sendiri memberi pengakuan sekurang-kurangnya tiga lagi pemimpin BN Sabah akan mengisytiharkan sokongan kepada PR. Jika trend penghijrahan ini berterusan, BN akan kehilangan banyak kerusi di Sabah berbanding pilihanraya 2008 lalu di mana mereka memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen di negeri itu.
Di Sarawak juga trend penolakan terhadap BN semakin kuat. Jika dalam pilihanraya 2008, BN mampu memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu, kali ini memadai jika 6 atau 7 kerusi lagi jatuh ke tangan PR berdasarkan momentum piliharaya negeri tahun lalu yang menyaksikan PR mampu menang 15 kerusi DUN.
PR juga kini memberi tumpuan kepada Johor. Dalam piliharaya 2008, BN menang 25 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri itu. Dalam piliharaya akan datang ini dengan Sallahuddin Ayub dan Lim Kit Siang dijangka turun bertanding di Johor di sampimg Dr Chua Jui Meng yang sentiasa bekerja keras, tidaklah mustahil 5 atau 6 kerusi Parlimen mampu dimenangi oleh PR.
Semakin lama Najib menangguh pilihanraya, bermakna PR mempunyai cukup masa untuk memperkuat jentera dan pengaruh di negeri-negeri tersebut.
Berdasarkan piliharaya 2008, PR menang 81 daripada 222 kerusi Parlimen. Walaupun beberapa Ahli Parlimen PR kemudiannya melompat menjadi Bebas yang menyokong BN tetapi hakikatnya harapan UMNO untuk merampasnya dalam pilihanraya akan datang ini tetap sukar.
Dalam pilihanraya kali ini, PR bukan saja mungkin mengekalkan 81 kerusi yang dimenanginya dulu, bahkan tidak mustahil memperolehi beberapa kerusi tambahan lagi.
Jika ini berlaku dan disertai pula dengan kejayaan PR menawan antara 25 hingga 30 kerusi yang meliputi Johor, Sabah dan Sarawak, harus diakui nafas UMNO dan BN akan terhenti setakat PRU 13 ini sahaja. Najib pula akan mengakhiri Teori RAHMAN yang popular itu.
Ini bermakna semakin lama pilihanraya ditangguh, kedudukan UMNO dan BN tidak pula menjadi lebih baik. Sama ada pilihanraya diadakan pada September, Oktober atau diinjak kepada tahun depan, UMNO nampaknya tetap akan ghruyup (kuyup) juga.
UMNO sebenarnya sudah menjadi sebuah parti yang rosak dan sakit. Ia penuh dengan masalah dan segala macam penyakit yang tidak boleh dibaiki lagi. Mempercepat atau melambatkan tarikh pilihanraya, keputusannya tetap sama.
Rakyat kebanyakannya sudah membuat pilihan dan ketetapan. Dan jika benar seperti kata Mahfuz Omar bahawa penangguhan tarikh pilihanraya ini kerana Najib sudah mendapat laporan daripada perisikan polis dan tentera bahawa BN sukar mencapai kemenangan dan kerajaan akan bertukar tangan, tindakan melewatkan tarikh pilihanraya hanyalah semata-mata membolehkan Najib boleh duduk lebih lama beberapa bulan lagi di kerusi empuk Perdana Menteri saja, bukannya mengubah kekalahan kepada kemenangan. ( SH 15/08/2012)
No comments:
Post a Comment