Thursday, 26 July 2012
Mungkinkah Pergolakan Di Sabah Pemangkin Kejatuhan BN?
Beberapa hari yang lalu berlaku pergolakan politik di Sabah yang tentunya menarik untuk diperhatikan. Ia menjadi menarik kerana apa yang berlaku di Sabah itu bukan saja memberi kesan kepada politik negeri bawah bayu itu sahaja tetapi juga kepada perkembangan di Malaysia seluruhnya.
Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing secara tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran dan dijangka akan mengumumkan masa depan politiknya pada Ahad ini.
Tetapi ramai pemerhati meramalkan beliau akan keluar dari UPKO dan seterusnya mengisytiharkan dirinya menyokong Pakatan Rakyat. Di masa yang sama, timbul juga desas-desus sebuah parti baru yang dikenali Barisan Pembaharuan Sabah sedang dalam proses penubuhan dan dijangka diumumkan secara rasmi di di Dalit, Tuaran Ahad ini.
Di masa yang sama, Anwar Ibrahim juga dikhabarkan akan menghadiri satu perhimpunan rakyat di Tuaran, juga Ahad ini.
Berlakunya tiga peristiwa Ahad ini di Tuaran iaitu Wilfred akan mengumumkan masa depan politiknya, desas-desus penubuhan parti baru dan kehadiran Anwar dalam satu perhimpunan khas, tentunya bukan suatu kebetulan atau suratan takdir semata-mata.
Ia adalah perancangan untuk mencetuskan tsunami politik di Sabah dan seterusnya membawa perubahan kepada kedudukan UMNO, BN serta Najib.
Dalam pada itu, di hari yang sama Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi BN Tuaran minggu lalu, seorang lagi pemimpin UMNO Sabah iaitu Lajim Ukim, seorang timbalan menteri kerajaan pusat dan ahli MT UMNO pula mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu.
Lajim sebelum ini telah pun meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Cawangan dan sudah mengumumkan tidak lagi mahu mempertahankan jawatan Ketua UMNO Beaufort yang disandangnya. Sebagaimana Wilfred, Lajim juga sudah dikaitkan dengan Pakatan Rakyat sejak sekian lama dan mempunyai hubungan yang dingin dengan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
Dari segi politiknya, pertemuan seorang timbalan menteri dan ahli MT UMNO dengan Nik Aziz itu pastinya memberi pelbagai makna dan persepsi. Ia bukanlah pertemuan kerana ada program kementerian atau kebetulan ada lawatan rasmi ke Kelantan. Lajim menemui Nik Aziz semata-mata atas kapasiti peribadinya yang ingin berbual dan bertukar-tukar pandangan dengan Mursyidul Am Pas itu.
Di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pula, angin makin kuat bertiup mengatakan bahawa kedua-dua pemimpn itu akan meninggalkan BN dan menyokong PR dalam piliharaya akan datang. Jika Wilfred dikaitkan dengan parti baru, Lajim dikhabarkan kemungkinan akan menyertai Pas atau PKR.
Jika penghijrahan kedua-dua pemimpin itu menjadi nyata, ia tentunya boleh mencetuskan tsunami yang bukan saja boleh merubah senario politik Sabah tetapi juga Malaysia kerana berdasarkan pilihanraya lalu, kemenangan BN banyak disumbangkan oleh jumlah kerusi di Sabah dan Sarawak.
Kebiasaannya selepas dua pemimpin ini mengumumkan menyertai PR, ia akan disusuli pula pemimpin lain dari pelbagai peringkat pula. Jika ini berlaku, perubahan memang sukar ditahan lagi.
Senario di Sabah yang mahu kepada perubahan juga berikutan limpahan maklumat yang diterima oleh rakyat negeri itu. Bersandarkan senario semasa itu, Pengarah UiTM Sabah, Arnold Puyok meramalkan BN Sabah akan tewas lebih daripada 60 peratus kerusi Parlimennya atau sekurang-kurangnya 14 dari 22 kerusi.
Ini bermakna kedudukan Sabah sebagai deposit tetap bagi BN akan berubah. Sejarah politik Sabah memang sudah beberapa kali mengalami perubahan daripada USNO, Berjaya, PBS dan kini UMNO. Atas dasar itu, perubahan kepada PR pula bukanlah sesuatu yang mustahil. Cumanya jika selama ini hanya perubahan peringkat negeri, kali ini ia membabitkan Pusat juga.
UMMO sendiri menyedari hakikat itu. Sebab itu, sebaik tersebarnya berita Wilfred mengumumkan perletakan jawatannya dan mungkin beralih arah, begitu juga dengan Lajim, segera kedengaran bahawa Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan politik ke Sabah Sabtu ini.
Selain meninjau perkembangan semasa politik di negeri itu, tidak mustahil Muhyiddin akan mencari masa berusaha menemui kedua-dua pemimpin itu bagi memujuknya supaya membatalkan segala hasrat untuk bertalak kasih dengan BN itu. Mungkin pelbagai tawaran dan janji akan dilimpahkan supaya kedua mereka terus kekal bersama BN.
UMNO tentunya menyedari kehilangan 7 hingga 10 kerusi sahaja di Sabah sudah merupakan ancaman besar baginya. Lebih-lebih lagi jika perubahan di Sabah itu turut pula menjangkit ke Sarawak yang turut menyebabkan BN hilang beberapa kerusi lagi di negeri pimpinan Taib Mahmud itu.
Kerana itu kebarangkalian timbulnya elemen yang boleh mencetuskan tsunami di Sabah akan cuba dihalang sedaya upaya sebab kemenangan di Sabah dan Sarawaklah talian hayat terakhir bagi BN untuk mempertahankan kuasa.
Jika Wilfred dan Lajim dapat dipujuk, tsunami politik di Sabah mungkin dapat dikurangkan kesannya dan harapan BN untuk terus berkuasa masih ada.
Cumanya, adakah masih laku segala pujuk rayu disisi Wilfred dan Lajim yang sudah dikira veteran dalam politik Sabah itu? (SH 26/07/2012)
No comments:
Post a Comment