Friday, 27 July 2012
Anwar Dan Najib Sama-Sama Makin Hampir...
Ketika ini isu politik paling panas ialah mengenai dua Ahli Parlimen Sabah, Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing yang dijangka akan meninggalkan BN dan menubuhkan parti baru, Angkatan Perubahan Sabah pada 29 Julai ini. Sebagai tanda parti baru ini akan bekerjasama dengan PR, maka Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan Lim Kit Siang turut dijemput ke majlis pelancaran parti itu yang akan diadakan di Tuaran, Sabah.
Tindakan dua Ahli Parlimen ini, seorang daripadanya berjawatan timbalan menteri dan Ahli MT UMNO, keluar daripada BN dan menyokong PR tentulah merupakan pukulan paling mengaiabkan yang terpaksa diterima oleh Najib.
Lebih menarik, bersekali dengan tindakan dua Ahli Parlimen itu keluar BN, beberapa nama turut disebut akan menyertai mereka, antaranya dua bekas menteri, Kasitah Kadam dan Osu Sukam.
Jika ini berlaku, tidak mustahil beberapa lagi tokoh politik tempatan Sabah akan turut meninggalkan BN. Ini kerana kesemua mereka terbabit adalah tokoh yang dianggap pernah berpengaruh di negeri itu, setidak-tidaknya tentu mereka ada pengikut tersendiri yang akan mengikut langkah mereka itu.
Kesan daripada ini, arus perubahan dalam politik Sabah adalah sesuatu yang sukar ditolak, kecuali pucuk pimpinan BN berbuat sesuatu untuk menanganinya. Dengan berlakunya perubahan di Sabah, percikannya pasti memberi kesan juga kepada suasana politik negara secara keseluruhannya.
Dalam masa yang sama, keluar pula kajian terbaru oleh Merdeka Center yang memperlihatkan rating Najib di mata rakyat menurun lagi 1 peratus kepada 64 peratus berbanding 65 peratus pada Mei lalu.
Dalam segi kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan pula, kajian itu menunjukkan ia merosot 6 peratus di mana kini tahap puas hati rakyat hanya 42 peratus sahaja.
Jika pada pilihanraya 2008 di mana BN hilang majoriti dua pertiga, rating Pak Lah di mata rakyat ketika itu ialah 72 peratus. Dengan rating Najib hanya 64 peratus dan tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan pula sekadar 42 peratus, sudah tentu mudah dijangka ke mana UMNO dan BN terhumban dalam pilihanraya kali ini.
Dari segi isu pula, tawaran terbaru PR untuk menghapuskan duti eksais kenderaan dan seterusnya menyaksikan penurunan ketara harga kereta yang kini menjadi keperluan semua orang, sekali lagi kedudukan PR berada di kedudukan yang selesa di hati rakyat.
Golongan muda yang selama ini begitu mengidam untuk memiliki kereta import tetapi tidak mampu lantaran cukai dan duti eksais yang tinggi, kini tentunya tidak sabar untuk merubah kerajaan dan menjadikan impian selama ini menjadi kenyataan.
Sebelum dari itu, PR juga telah mengemukakan pelbagai tawaran menarik untuk rakyat seperti penurunan harga minyak, kajian semula tarif letrik, penghapusan hutang PTPTN, permit teksi individu untuk pemandu teksi serta pelbagai lagi.
Tawaran harga kereta yang lebih murah ini pastinya melonjakkan lagi sokongan rakyat terhadap PR.
Dari segi politik, pelbagai tawaran yang dikemukakan itu tidak dinafikan berjaya menambat serta memikat hati rakyat berbanding Najib yang hanya menawarkan bantuan rakyat 1 Malaysia bernilai RM500, Klinik 1 Malaysia, Kedai Runcit 1 Malaysia, Kedai Kain 1 Malaysia dan seumpamanya yang lebih bersifat lipstik dari segi kesan merata yang bakal diterima rakyat.
Dan jika dilihat pendedahan demi pendedahan yang dibuat mengenai salah laku, skandal dan penyelewengan pemimpin UMNO dan kerajaan termasuk Najib sendiri sejak kebelakangan ini, kedudukan UMNO dan BN sebenarnya jauh kebih jelek di mata rakyat.
Kiranya momentum ini berterusan dan apa yang berlaku di Sabah bermula Ahad ini merupakan petanda kedudukan "deposit tetap" Sabah dan Sarawak yang selama ini dibanggakan BN juga bakal berakhir, maka tidak syak lagi Anwar makin selesa menghampiri kerusi Perdana Menteri manakala Najib pula kian hampir kepada kerusi Ketua Pembangkang. (SH 27/07/2012)
No comments:
Post a Comment