Tuesday, 31 July 2018

Di SEBALIK CUBAAN MENGHINA, MAT SABU LEBIH MULIA BERBANDING NAJIB


Siapa pun yang menonton video ucapan Najib Razak ketika berkempen di Sungai Kandis yang intipatinya memperlekeh serta menghina Mohamad Sabu selaku Menteri Pertahanan, pasti akan geleng kepala dan mengucap panjang dibuatnya.


Begitukah perilaku dan akhlak seorang bekas Perdana Menteri?


Adakah Najib sebenarnya sedang mengalami gangguan mental sejak kehilangan kuasa dan ditolak rakyat pada PRU14 yang lalu?


Pernahkah Najib menilai dan mencermin siapa dirinya terlebih dahulu sebelum berbuat begitu?


Sesuatu yang Najib harus sedari ialah Mohamad Sabu atau Mat Sabu baru tidak sampai dua bulan menjadi Menteri Pertahanan dan oleh yang demikian, adalah terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap dirinya.


Bolehkah Najib mengingat kembali bagaimana kedudukan beliau ketika dua bulan menjadi timbalan menteri dahulu iaitu jawatan awalnya dalam kerajaan?


Siapakah agaknya yang lebih kartun jika dibuat perbandingan antara kedua-duanya?


Masih lupakah Najib bagaimana ucapannya ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO dahulu yang sering menjadi bahan ketawa ramai?


Lagi pula, sebelum Najib mahu terus memperlekeh dan menghina orang lain dengan gelaran kartun dan sebagainya, lupakah bagaimana sebelum pilihanraya lalu beliau hampir setiap hari berbuat perkara yang sama terhadap Tun Mahathir Mohamad, terutama berkaitan usianya yang sudah mencecah usia 93 tahun?


Tetapi, apa jadi akhirnya?


Bukankah beliau kecundang dan tewas  di tangan lelaki tua yang sudah berusia 93 tahun itu?


Dalam hal ini, meskipun Mat Sabu masih baru sebagai menteri, tetapi harus diakui beliau adalah pejuang rakyat yang punyai ramai peminat dan disanjung rakyat.


Jika antara Najib dan Mat Sabu muncul di khalayak ramai ketika ini, sudah pasti Menteri  Pertahanan itu akan menjadi tumpuan dan lebih ramai yang ingin bergambar atau berselfie dengannya.


Sedarkah Najib hakikat itu?


Selain itu, sebelum mahu memperlekeh dan menghina orang lain, Najib juga seharusnya sedar bahawa beliau adalah sosok yang paling dibenci rakyat ketika ini sehingga riwayat kuasa UMNO berakhir di bawah kepimpinannya.


Dengan dakwaan terkait dalam skandal kewangan 1MDB yang bernilai berbilion ringgit, selain di kediamannya dijumpai wang tunai, barang kemas dan beg tangan mewah yang dianggarkan bernilai lebih satu bilion ringgit, Najib sepatutnya insaf  bahawa Mat Sabu jauh lebih mulia berbanding dirinya.


Pernahkah dalam sejarah negara sejak merdeka, kita ada pemimpin sebegitu rupa?


Yang nyata, dengan perilaku dan akhlak yang ditunjukkan Najib terhadap Mat Sabu ini, beliau akan terus membuatkan rakyat tambah benci terhadapnya, jauh sekali untuk bersimpati dengan nasibnya yang bakal berdepan lebih banyak pendakwaan di mahkamah serta mungkin mengakhiri kehidupan di penjara sebagai hukuman. (ShahbudinHusin 31/07/2018)

AZMIN AKAN MENANG, KECUALI.....


Sehingga ini, meskipun masih berteka-teki, tidak ternampak tanda-tanda atau asas yang kukuh untuk Azmin Ali mahu mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden PKR.


Sebaliknya, dalam pengesahan yang akan dibuatnya selepas pilihanraya kecil Sungai Kandis 4 Ogos nanti, Azmin dipercayai akan hanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang disandangnya sekarang.


Di mata kasar, siapa pun dapat merasakan peluangnya adalah lebih cerah untuk mengekalkan jawatan tersebut berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli.


Dengan kedudukannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, suatu jawatan kanan dalam kabinet, ditambah dengan semalam dilantik pula sebagai Pengarah Khazanah, entiti pelaburan utama kerajaan, Azmin dilihat sedang dipupuk dan dilatih untuk ditonjolkan sebagai pemimpin negara pada masa depan.


Dengan yang demikian, orang-orang yang waras akan merasakan Azmin adalah aset yang baik untuk dikekalkan demi masa depan parti dan boleh menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.


Dalam hal ini, ia tidaklah bermakna Azmin mahu mendahului atau mencantas Anwar bagi jawatan tersebut.


Azmin tentunya lebih sedar bahawa  harapan rakyat, khususnya ahli serta pendokong PKR serta Pakatan Harapan amnya ialah untuk melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu berbanding dirinya.


Sementelah dengan usianya yang jauh lebih muda berbanding Anwar, Azmin rasanya tiada masalah untuk sedikit bersabar dalam mengejar jangkauan karier politiknya itu.


Oleh itu, berbanding Rafizi yang agak terkebelakang dari segi kedudukan dalam kerajaan, Azmin nampaknya tidak ada masalah untuk memenangi pertandingan itu nanti.


Sementara Rafizi, walaupun turut diakui ada bakat kepimpinan yang tidak kurang baiknya, beliau dirasakan tidaklah lebih menyerlah kepimpinannya berbanding Azmin, meskipun gerakan kempen dan publisiti mengenainya lebih menonjol di peringkat awal ini.


Malah, ramai merasakan adalah lebih baik bagi Rafizi untuk berada di lapisan lain daripada cuba menandingi atau mahu menjatuhkan Azmin agar PKR sentiasa dilihat kukuh dengan barisan kepimpinan yang sentiasa ada kesinambungannya selepas Anwar.


Namun, tindakan Rafizi mencabar Azmin boleh juga menzahirkan pelbagai tafsiran lain, khususnya berkaitan pilihan atau kecenderungan Anwar berhubung kedua-dua pemimpin itu.


Adakah Anwar masih mempercayai Azmin?


Atau Anwar kini lebih mempercayai Rafizi berbanding Azmin?


Jika Anwar masih mempercayai kedua-dua bakat muda itu demi masa depan PKR, beliau semestinya tidak memihak atau mencampuri proses pemilihan kali ini, sebaliknya membiarkan sepenuhnya proses demokrasi berjalan dengan baik.


Dengan yang demikian, ahli-ahli PKR akan dapat membuat pertimbangan atau kewarasan sepenuhnya dalam membuat pilihan.


Tetapi, jika Anwar campurtangan dengan memihak kepada Rafizi atau merasakan Azmin kini adalah proksi Tun Mahathir untuk mengenepikannya daripada kerusi Perdana Menteri, kemungkinan untuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dapat dijatuhkan adalah cerah sekali.


Meskipun Azmin turut mempunyai ramai pengikut dan penyokongnya dalam PKR, tetapi harus diakui bahawa Anwar adalah ibarat institusi dalam parti itu.


Hitam kata Anwar, maka hitamlah pilihan majoriti ahli dalam PKR.


Lantaran itu, kiranya Anwar benar-benar memihak dan tidak lagi mempercayai Azmin, Rafizi akan berjaya memenangi perebutan jawatan Itu nanti.


Namun, dengan Rafizi berjaya menumbangkan Azmin, PKR lebih berisiko akan terpecah dua dan tidak mustahil akan turut menipiskan sama peluang Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir. (ShahbudinHusin 31/07/2018)

Monday, 30 July 2018

BAGUS BILA PEMIMPIN DAP CEPAT MINTA MAAF, TAPI JANGAN DIULANGI LAGI


Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran akhirnya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mendakwa orang Melayu adalah pendatang di negara ini.


"Saya sepenuhnya memohon maaf terhadap pihak yang terluka dan menarik balik ucapan ofensif tersebut," kata M Kula yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia.


Sebelum itu, Adun DAP Bercham, Ong Boon Piow juga memohon maaf atas kritikannya terhadap Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik yang mendesak Perdana Menteri agar mengkaji semula kedudukan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebagai anggota kabinet.


Ong sebelumnya mengkritik Dr. Mazlee yang menyebut tiada peruntukan untuk sekolah menengah persendirian Cina kerana ia bukan bertaraf sekolah kerajaan.


Meskipun sudah  meminta maaf, sikap kedua-dua pemimpin DAP itu jelas telah menimbulkan keresahan ramai kerana tergambar ada sentimen perkauman yang nyata di sebalik kenyataan mereka.


Harus diakui bahawa dalam negara ini, hal-hal yang berkaitan Melayu dan Bumiputera adalah perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Ia tidak harus disentuh dan diusik lagi, terutama oleh pemimpin kaum lain.


Apalagi oleh DAP yang merupakan sebuah parti demokratik dan berbilang bangsa yang selama ini selalu menonjolkan sikap anti kepada perkauman dalam penampilannya.


Dalam kes mengenai keturunan orang Melayu, hakikat sejarah sudah jelas mengenai perkara itu dan membangkitkan sesuatu yang berlawanan daripadanya hanya akan mengundang kontroversi dan permusuhan yang mungkin berpanjangan.


Begitu juga dengan bantuan untuk sekolah, kerajaan selama ini memang meletakkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan India sebagai sekolah yang menerima bantuan, tetapi bagi sekolah persendirian, bantuannya sudah tentu mengikut keperluan atau jika ada permintaan.


Ia sama seperti sekolah agama persendirian, sekolah Arab dan sebagainya yang juga ada diberikan bantuan oleh kerajaan berdasarkan keperluan atau permintaan.


Tetapi untuk mana-mana pemimpin mendesak agar bantuan kepada sekolah menengah persendirian Cina adalah sesuatu yang wajib memang agak keterlaluan kerana sekolah persendirian itu sendiri sudah mengenakan bayaran yang agak mahal kepada pelajar-pelajarnya.


Dalam kes melibat M Kula dan Ong, memang baik dan boleh dipuji apabila kedua-dua pemimpin DAP berkenaan cepat-cepat meminta maaf sebelum kontroversi yang timbul bertambah parah.


Namun, yang lebih penting ialah agar mereka dan sesiapa juga, baik daripada DAP atau lain-lain parti, agar tidak lagi semudahnya membangkitkan isu-isu yang bercorak perkauman di masa-masa akan datang.


Biar UMNO atau mereka yang sealiran dengannya saja yang kekal dengan sikap perkauman sempit yang kita sendiri sudah saksikan ianya semakin ditolak oleh rakyat. 


Keputusan PRU14 yang lalu adalah bukti jelas bagaimana rakyat sebenarnya telah menolak politik perkauman yang sempit dan tidak beretika yang selama bertahun-tahun dimainkan dijadikan modal untuk terus berkuasa. 


Rakyat kini mahukan Malaysia Baru yang lebih baik dan lebih harmoni untuk semua orang melalui kerajaan baru Pakatan Harapan.


Untuk itu, sementara PKR, Bersatu dan Amanah boleh bertolak ansur dan tidak memainkan sentimen kaum masing-masing secara keterlaluan demi menjaga keharmonian bersama, DAP juga seharusnya mempunyai sikap yang sama.


Malaysia ini adalah sebuah negara yang unik dengan pelbagai kaum ada di dalamnya, tetapi jangan dilupa mengenai kedudukan Melayu dan Bumiputera yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh Raja-Raja Melayu.


Semua kaum pada hakikatnya ada hak dan bahagian masing-masing dalam negara ini,mcuma permintaan atau desakan terhadap sesuatu perkara yang melibatkan kaum itu biarlah dilakukan secara beradab dan berhemah serta jangan sesekali menyinggung kedudukan kaum-kaum lain.


Jika Malaysia Baru ini tidak dijaga dengan baik, penantian dan usaha selama 60 tahun untuk melihat tumbangnya UMNO tidak akan bermakna apa-apa lagi buat kita semua. (ShahbudinHusin 30/07/2018)

PAKATAN HARAPAN PERLU BUANG VIRUS PEROSAK INSPIRASI RAKYAT


Ramai yang ingin melihat dan mengimpikan Negara Malaysia yang cemerlang urustadbir, berintegriti tinggi, pembahagian kekayaan yang adil, kehidupan rakyat yang rukun, harmoni dan damai. Dengan itu akan lahirnya semangat patriotik dan cintakan negara.  

Menjunjung perlembagaan dan menghormati apa yang patut dihormati. Untuk inspirasi itulah, rakyat pelbagai kaum dan latar pemikiran berusaha memenangkan Pakatan Harapan (PH). 

Hari kemenangan mereka merupakan hari kegembiraan rakyat, samaada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung. Sementara penyokong korupsi menangisi kemenangan itu. 

Selepas menang, nampaknya terdapat dalam kalangan pimpinan PH itu mereka yang bukan merupakan pembawa inspirasi rakyat sebaliknya virus yang merosakkan masa depan negara. 

Mereka sepatutnya menumpukan kepada isu-isu bagaimana mengukuhkan semula rakyat selepas PRU, malangnya mereka sibuk dengan isu yang boleh membawa kepada krisis perkauman dan agama. 

Sepatutnya ditumpukan kepada urustadbir dan pembentukan sistem pentadbiran yang membawa impak kepada integriti tinggi dan perpaduan kalangan rakyat. 

Maka, yang terlibat dengan pengganas LTTE sibuk mahu menghantar pendakwah muslim ke India. Ada pula yang viral 'Melayu sebagai pendatang'. Ada pula yang minta menteri Melayu yang tidak mahu tunaikan hasrat kaumnya letak jawatan. 

Pelbagai tuntutan yang bersifat pada waktu yang masih di awal kemenangan. Macam-macam lagi tingkahlaku yang membakar perasaan perkauman dalam dada rakyat. 

Mereka itu merupakan virus dalam PH yang mesti dibuang segera. Hari demi hari perasaan kecewa dan dendam perkauman mula diserapkan. Dari rasa gembira dengan PH mula menjadi rasisme yang tinggi. 

Setiap saat kita melihat perasaan ingin bangkit dalam kalangan majoriti rakyat membalas tindak tanduk perkauman mula merebak. Jika tidak dibuang virus-virus ini dalam PH, di bawah pentadbiran baharu ini boleh membawa kepada konflik perkauman dalam negara ini yang sukar diubati nanti. 

Bak kata pepatah YANG DIKEJAR TIDAK DAPAT, YANG DIKENDUNG BERCICIRAN.


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis.

Sunday, 29 July 2018

APAKAH AZMIN TIDAK BANTU ANWAR JADI PERDANA MENTERI?


Salah satu alasan yang diberikan oleh Rafizi Ramli mengenai keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR ialah unfuk memastikan Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri.


Kata beliau, untuk jadi Perdana Menteri, Anwar perlu mendapat mandat yang penuh daripada parti.


Jawatan Timbalan Presiden PKR kini dipegang Azmin Ali dan beliau belum memutuskan sama ada mengekalkan jawatan itu atau cuba menaikkan dirinya setakuk lagi dengan bertanding jawatan Presiden.


Jika Azmin memutuskan untuk mengekalkan dirinya di kerusi tersebut, ia akan menyaksikan pertembungan yang dijangka sengit antara beliau dengan Rafizi.

Dalam waktu yang sama, Anwar sudah pun memutuskan untuk bertanding jawatan Presiden PKR yang kini dipegang oleh isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Ini bermakna Azmin akan berdepan dengan Anwar sekiranya beliau membuat keputusan bertanding jawatan Presiden PKR.


Melihat kepada alasan Rafizi untuk mewajarkannya bertanding jawatan nombor dua dalam PKR itu, timbul persoalan apakah hanya dengan beliau menduduki jawatan itu saja maka Anwar dapat jadi Perdana Menteri?


Bukankah persetujuan bahawa Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah perkara yang sudah dipersetujui oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan?


Apakah Azmin tidak membantu Anwar jadi Perdana Menteri?


Kalau Azmin menang lagi sebagai Timbalan Presiden PKR, apakah peluang Anwar untuk jadi Perdana Menteri bakal tergugat?


Siapa yang Azmin akan bantu untuk jadi Perdana Menteri sekiranya beliau berjaya menewaskan Rafizi nanti? (ShahbudinHusin 29/07/2018).

SETELAH PAS SOKONG UMNO, KE MANA HALA PENGUNDI BUKAN MELAYU DI SUNGAI KANDIS?


Semalam Najib Razak turun lagi ke Sungai Kandis untuk berkempen bagi calon BN, Lokman Noor Adam dan ini adalah kedatangannya buat kali kedua setakat ini.


Kehadiran Najib turun berkempen ini agak ganjil dan menghairankan, seolah-olah tidak sedar beliau telah ditolak rakyat dan merupakan punca utama kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum 9 Mei lalu.


Apakah tujuan Najib turun berkempen dan menyibuk lagi di Sungai Kandis?


Bukankah, selepas meletakkan jawatan dan ditolak rakyat dan jadi sejarah ketika ini, Najib sebaiknya berdiam diri saja serta menumpukan sepenuh perhatiannya kepada kes mahkamah yang sedang dihadapinya?


Adakah dengan turun berkempen itu Najib serius mahu membantu kemenangan atau  sebenarnya ingin melihat calon BN dapat kekalahan yang lebih besar?


Jika calon BN menang, adakah nantinya Najib akan mendakwa beliau adalah  penyumbang utamanya? 


Kalau kalah BN pula, adakah Najib akan tersenyum akhirnya kerana UMNO dan BN yang dipimpin Zahid Hamidi tidaklah lebih baik dan diterima rakyat selepas ketiadaannya?


Bermakna, dalam apa juga keputusan yang bakal menjelma di Sungai Kandis nanti, Najib sudah sedia dengan perangkapnya yang akan dua-dua mengena.


Sedarkah Zahid Hamidi akan hal ini?


Tidak mustahil, sebelum 4 Ogos nanti, Najib akan turun lagi berkempen di Sungai Kandis, walaupun seperti dalam dua kedatangannya sebelum ini, tiada seorang pun pemimpin UMNO Pusat yang hadir menemaninya.


Dalam waktu yang sama, semakin dekat hari pengundian, muslihat Pas tidak turun bertanding di Sungai Kandis akhirnya terdedah juga apabila parti itu kini secara terbuka menyokong calon BN.


Daripada gegak gempita sejak penubuhannya mahu menjadi lawan UMNO, Pas kini secara automatik adalah kawan kepada UMNO. Daripada mahu menjadi pengganti kepada UMNO, Pas kini juga adalah teman sejati UMNO.


Amat malang sebenarnya kerana perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Pas ini berlaku ketika UMNO sudah pun hilang kuasa dan digelar parti penyamun oleh kebanyakan rakyat negara ini.


Bukankah jika tidak sibuk nak jadi "king maker" dan sedia bergabung dengan UMNO sebelum PRU14 dulu, Pas hari ini sudah pun jadi sebahagian daripada kerajaan?


Apakah dengan sokongan terbuka Pas ini, ahli dan penyokong akar umbinya yang selama berpuluh tahun ditarbiah dan ditanam dengan kepercayaan bahawa UMNO adalah parti taghut, assabiyah dan kafir akan sedia memberikan undi kepada BN?


Atau lebih ramai yang akan memboikot dan tidak keluar mengundi?


Apalah  gandingan UMNO dan Pas yang begitu diagungkan di Sungai Kandis ketika ini, bermakna BN tidak lagi memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu yang merangkumi 12 peratus Cina dan 16 peratus India?


Bolehkah BN menang dengan sokongan Pas semata-mata dan tanpa undi bukan Melayu? (ShahbudinHusin 29/07/2018)

Saturday, 28 July 2018

ALAMAK...APAKAH PAS PERLU MASUK BN SECARA RASMI?

Pagi tadi, dalam satu perhimpunan di Kuala Lumpur kononnya untuk mempertahankan hak Melayu dan Islam, tapi sebenarnya salah satu program kempen untuk Sungai Kandis, seorang pemimpin Pas dengan tegas mengulangi pendirian untuk melihat agar calon BN menang dalam pilihanraya kecil itu.


"Sikap kita ialah kita nak HARAPAN kalah di Sungai Kandis. Ada yang tidak setuju?


"Kalau setuju HARAPAN kalah, pengundi Pas nak undi macam mana?


"Takkan nak ajar ABC (satu persatu). Rakyat di depan sudah cerdik," kata Nasruddin Hassan, Ketua Penerangan Pas sambil disambut dengan teriakan "undi UMNO"  oleh sebahagian hadirin.


Walaupun tidak turun berkempen bersama-sama dengan UMNO di Sungai Kandis, pendirian Pas nampaknya jelas memihak kepada parti itu.


Itu cerita pagi tadi, tapi malam ini lain pula yang terjadi.


Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, UMNO perlu berdikari atas kekuatan sendiri dan tidak harus bergantung kepada undi Pas untuk memenangi pilihanraya kecil ini.

"Kerjasama adalah baik, tetapi UMNO perlu berdikari daripada mengharapkan sokongan Pas untuk diterima masyarakat. 


"Kenapa kita perlu bergantung kepada parti lain?" soal beliau ketika turut berkempen di Sungai Kandis.


Alamak...tak malukah Pas?


Atau selepas ini Pas perlu memohon secara rasmi untuk menyertai BN? (ShahbudinHusin 28/07/2018)

MERIAHLAH PROGRAM, MESYUARAT DAN KEMPEN PILIHANRAYA UMNO SELEPAS INI DENGAN BUDAK2 SEKOLAH!!!


Dalam satu keputusan yang membuatkan kita bingung kepala, mesyuarat MT UMNO semalam memutuskan untuk menurunkan had umur menjadi ahli UMNO daripada 18 tahun kepada 16 tahun.


Bermakna, selepas ini budak-budak sekolah dalam tingkatan 4 sudah pun boleh menjadi ahli UMNO, berperanan sebagai pekerja parti, berkempen ketika pilihanraya, menghadiri atau menjadi perwakilan dalam mesyuarat cawangan serta bahagian, memenuhkan dewan bagi semua program parti serta sebagai alat mudah mencukupkan korum dalam mesyuarat.


Dalam usia yang sepatutnya mereka belajar dan menimba ilmu, tidak mustahil budak-budak sekolah ini akan diumpan oleh pemimpin dewasa dengan pelbagai janji dan harapan untuk menyertai UMNO bagi menunjukkan parti itu kononnya mendapat sambutan daripada generasi muda.


Tetapi, budak-budak sekolah itu sebenarnya hanyalah dijadikan alat oleh  pemimpin tertentu di peringkat cawangan dan bahagian untuk kepentingan politik mereka saja.


Sudah tentu akhirnya ramailah ibu bapa dan guru-guru yang akan pening kepala dibuatnya kerana lebih ramai budak-budak sekolah lebih berminat bercakap tentang politik, menyokong pemimpin tertentu, melobi menjadi perwakilan di peringkat cawangan dan bahagian berbanding mentelaah buku sekolah atau menumpu kepada peperiksaan.


Presiden UMNO, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keputusan  membenarkan mereka yang berusia 16 tahun menjadi ahli UMNO ini diambil sebagai memenuhi hasrat akar umbi serta untuk memastikan perubahan dalam parti itu.


Entahlah labu...akar umbi mana sebenarnya yang mahu budak-budak sekolah seawal tingkatan 4 ini terlibat dalam politik?


Apakah Zahid Hamidi dan para pemimpinnya, sejak UMNO tidak lagi berkuasa sekarang ini, sudah hilang pertimbangan dalam membuat keputusan yang betul?


Apa pun alasannya, keputusan terbaru UMNO ini paling tidak munasabah serta tidak wajar sama sekali.


Had umur 18 tahun sebelum ini dikira sudah memadai kerana dalam usia itu mereka sudah menamatkan persekolahan di peringkat menengah atau baru habis SPM dan tiada masalah lagi jika terlibat dalam politik.


Namun, dengan seawal 16 tahun atau dalam tingkatan 4 sudah dibenarkan menjadi ahli UMNO, kesan buruk lebih banyak berbanding baiknya.


Selain ia akan merosakkan minat budak-budak sekolah terhadap pelajaran jika diumpan oleh pemimpin UMNO yang lebih dewasa untuk menyertai politik, bahkan tidak mustahil, sesuai dengan semakin menurunkan minat orang dewasa dan mereka yang berpelajaran terhadap UMNO, akhirnya nanti hanya budak-budak sekolah saja yang akan memeriahkan politik UMNO.


Mesyuarat cawangan atau bahagian, program parti, kempen pilihanraya dan sebagainya - semuanya selepas ini akan penuh dengan budak-budak sekolah belaka.


Inikah pencapaian terhebat Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO? (ShahbudinHusin 28/07/2018)

Friday, 27 July 2018

SIAPA YANG SOKONG AZMIN?


Sejak Rafizi Ramli mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, seorang demi seorang pemimpin tampil memberi sokongan kepadanya.


Pertandingan itu dijangka menyaksikan beliau bertembung dengan Azmin Ali, bekas Menteri Besar Selangor yang kini merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda PKR yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa adalah antara yang paling awal tampil menyatakan sokongan kepada Rafizi.


Kemudian, beberapa nama lain lagi turut dispekulasikan akan memihak sama kepada Rafizi, antaranya Willian Leong (Ahli Parlimen Selayang), S Kesavan (Ahli Parlimen Sungai Siput), Akmal Nasir (Ahli Parlimen Johor Bahru), Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan), Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga, Selangor) serta beberapa yang lain.


Malah, Nurul Izzah yang dijangka akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR juga diberitakan akan bersama dalam kem Rafizi dalam pemilihan kali ini.


Dalam sidang akhbar Rafizi Ahad ini di mana beliau akan mengumumkan secara rasmi pengesahannya bertanding itu, dijangka lebih ramai pemimpin PKR lain akan tampil secara terbuka memberi sokongan kepadanya.


Lalu, siapa yang akan menyokong Azmin Ali?


Adakah akan wujud suatu gerakan yang lebih besar untuk menolak Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu? (ShahbudinHusin 27/07/2018)

RAFIZI TANDING TIMBALAN PRESIDEN, CUBAAN ANWAR SINGKIR AZMIN?


Sementara Azmin Ali masih menimbang-nimbang dan belum lagi membuat keputusan jawatan mana yang mahu ditandinginya, Rafizi Ramli sebaliknya lebih dulu mengumumkan pengesahannya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan September ini.


Dengan perkembangan ini, jika Azmin mahu mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang disandangnya, bermakna pertandingan akan menyaksikan pertembungannya dengan Rafizi yang sekarang merupakan Naib Presiden PKR.


Sebaliknya, kalau Azmin memutuskan untuk bertanding jawatan Presiden, beliau akan berhadapan dengan Anwar Ibrahim yang kini sudah sah mengumumkan bertanding jawatan tersebut.


Apakah pilihan Azmin? 

Walaupun Anwar masih merupakan tokoh yang dhormati dalam PKR, apatah lagi kedudukannya sebagai bakal Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad, hasrat beliau untuk menduduki kerusi Presiden PKR yang selama ini dipegang oleh isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail ialah tidak lain untuk mengukuhkan lagi cengkamannya dalam parti itu.


Ikut logik, jika beliau kekal sebagai Ketua Umum PKR sekali pun dan dalam masa yang sama sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, ia sama sekali tidak menggugat kedudukannya sebagai bakal pengganti kepada Tun Mahathir untuk jawatan Perdana Menteri.


Namun, dengan tiba-tiba Anwar mahu mengisi kerusi Presiden PKR, gambarannya ialah beliau ada sedikit kecurigaan terhadap kesetiaan atau ketakutan kepada kemungkinan Azmin akan menggugatnya di masa-masa depan.


Lebih-lebih lagi Azmin kini adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, suatu jawatan kanan dalam kerajaan dan bukan lagi sebagai Menteri Besar Selangor.


Diberitakan bahawa dalam susunan kabinet baru-baru ini, nama Azmin tidak disenaraikan langsung oleh PKR sebagai salah seorang calon menteri kabinet atas kefahaman beliau sudah pun memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.


Meskipun perlantikannya mengejutkan PKR, tetapi ia dalam waktu yang sama menunjukkan keyakinan Tun Mahathir terhadap kewibawaan Azmin dalam mentadbir Selangor selama ini serta mahu bakatnya diperluaskan lagi di perintkat Pusat.


Yang turut mengejutkan juga, Azmin difahamkan tidak berunding sama sekali mengenai perlantikan itu dengan Anwar, sebaliknya beliau terus saja menerima tawaran jawatan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu.


Dengan itu, Anwar difahamkan ada berasa sedikit terguris hati dengan Azmin.


Dengan Anwar sudah sah bertanding jawatan Presiden PKR dan menyusul pula Rafizi mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, Azmin kini seolah-olah sedang diasak untuk diketepikan berikutan kecurigaan yang kian bercambah terhadapnya.


Dalam hal ini, pilihan terbaik bagi Azmin ialah mengekalkan jawatan Timbalan Presiden yang sedang disandangnya kerana berdasarkan reputasi dan kedudukannya dalam kerajaan sekarang, peluangnya memenangi jawatan itu jauh lebih baik berbanding Rafizi.


Azmin hanya mungkin tergugat untuk mengekalkan jawatannya jika Anwar bersungguh-sungguh dan secara terbuka menyokong Rafizi. 


Tetapi, tindakan itu bukan saja merbahaya kepada Anwar, malah memungkinkan berlakunya perpecahan yang berpanjangan dalam PKR selepas ini.


Sebaliknya, jika dengan pengumuman lebih awal oleh Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden itu membuatkan Azmin memutuskan bertanding jawatan Presiden PKR, sebenarnya itulah yang ditunggu-tunggu oleh Anwar dan kumpulannya.


Ia bukan saja akan menyaksikan serangan habisan-habisan  oleh Anwar dan kumpulannya untuk mengenepikan Azmin, malah mungkin  akan disusuli dengan pelbagai serangan lain yang lagi.


Logiknya juga, terlalu sukar buat Azmin untuk mencabar Anwar bagi kerusi Presiden PKR itu.


Namun, jika itu yang berlaku, yang pasti akhirnya Rafizi akan menang percuma sebagai Timbalan Presiden PKR.


Sudahnya nanti, Anwar dan kumpulannya akan menguasai sepenuhnya PKR.


Maka, bertahan di kedudukan nombor dua dalam parti adalah pilihan terbaik buat Azmin demi masa depannya. (ShahbudinHusin 27/07/2018)

Thursday, 26 July 2018

MEMANG PATUT KJ TOLAK TIGA TAWARAN ZAHID HAMIDI.....


Semalam ada dilaporkan bahawa Khairy Jamaluddin atau KJ telah menolak tiga tawaran yang pernah dibuat oleh Zahid Hamidi kepadanya.


Tawaran pertama ialah agar beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk bergandingan dengan dengannya berikutan keputusan Hishammuddin Hussein tidak mahu bertanding sebarang jawatan dalam UMNO.


Namun, menurut kata Zahid Hamidi, KJ menolak tawaran itu dengan mengatakan dia hanya mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO saja.


Sebaliknya, alih-alih kemudian, KJ mengumumkan bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Zahid Hamidi dan seorang lagi calon, Tengku Razaleigh Hamzah.


Dalam pertandingan tersebut, jawatan Presiden UMNO dimenangi oleh Zahid Hamidi.


Tawaran kedua yang ditolak KJ ialah sebagai Setiausaha Agung BN yang ditawarkan oleh Zahid Hamidi sebaik saja beliau memenangi jawatan Presiden UMNO yang seterusnya secara automatik akan menjadikannya sebagai Pengerusi BN.


Tawaran ketiga ialah sebagai Ketua Penerangan UMNO yang juga ditolak oleh KJ.


Walaupun Zahid Hamidi tampaknya kecewa dengan penolakan itu, tetapi KJ memberi alasan beliau berbuat demikian ialah kerana ingin menjadi suara yang kritikal menegur parti daripada luar lingkungan kepimpinan.


Dari segi satu segi, tindakan KJ menolak tawaran itu mungkin dilihat merugikan masa depannya sendiri, tetapi jika diamat-amati, ia adalah keputusan yang terbaik buat dirinya.


Semua orang yang tahu dan kenal Zahid Hamidi  sedar serta mengakui Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah pemimpin yang lemah, tiada wibawa dan terburuk dalam sejarah semua Presiden yang pernah UMNO miliki.


Apatah lagi dengan kedudukan UMNO sebagai pembangkang buat pertama kalinya sekarang ini, terlalu sukar dan suatu keajaiban yang betul-betul ajaib jika mengharapkan beliau mampu memulihkan UMNO serta membawa parti itu memenangi pilihanraya akan datang.


Tidak cukup dengan masalah dan kemelut UMNO yang bertimbun-timbun akibat peninggalan daripada Najib, beban dan masalah dirinya sendiri turut menyukarkan lagi tumbuh serta bercambahnya keyakinan rakyat terhadap parti yang sedang dipimpinnya ketika ini.


Malah, jika dibuat perbandingan dengan Najib yang hanya bermasalah setelah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Zahid Hamidi sebaliknya sudah pun sedia bersarang dengan pelbagai isu dan masalah sebelum pun beliau memenangi jawatan Presiden UMNO lagi.


Untuk itu, tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2021 adalah cabaran yang berat buat Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO. Kemungkinan beliau gagal memulihkan parti dan mendapat kepercayaan rakyat menjelang pilihanraya umum pada 2023 adalah amat tinggi sekali.


Apatah lagi, Zahid Hamidi terus dibayangi oleh wajah Najib Razak sepanjang masa yang seolah-olah beliau tidak lebih hanyalah proksi kepada bekas Perdana Menteri yang telah tumbang dan ditolak rakyat itu.


Jika Najib sendiri sudah ditolak rakyat, di manakah munasabahnya seorang yang hanya dilihat sebagai proksi Najib mampu mendapat sokongan yang lebih baik?


Oleh yang demikian, keputusan KJ berada di luar kepimpinan UMNO dan menjadi suara yang kritikal adalah tepat serta wajar sekali. Beliau kini bebas menegur salah dan silap kepimpinan UMNO, baik Zahid Hamidi atau sesiapa sekali pun.


Bahkan dengan keberanian KJ terus menegur, mengkritik serta berbeza pendapat seperti keputusannya tidak menyertai UMNO keluar Dewan ketika membantah perlantikan Speaker baru-baru ini, sokongan terhadapnya pasti akan sentiasa meningkat.


Dan dalam pemilihan UMNO yang akan diadakan sekali lagi pada tahun 2021 iaitu kira-kira dua tahun sebelum PRU15 yang dijangka pada 2023, kedudukan UMNO yang dijangka tidak berubah akibat daripada kepimpinan Zahid Hamidi yang lemah, ia adalah merupakan peluang terbaik untuk KJ sekali lagi bertanding jawatan Presiden UMNO.


Makna kata, keputusan menolak semua tawaran Zahid Hamidi baru-baru ini bukan saja suatu keputusan yang betul dan tepat, malah suatu kelebihan untuk KJ "menolak"  Presiden UMNO itu daripada kerusi yang sedang didudukinya.  (ShahbudinHusin 26/07/2018)

DARIPADA 222 AHLI PARLIMEN YANG ADA, JIKA 26 ORANG PUN TAK MAMPU BERADA DALAM DEWAN, BAIKLAH SEMUA LETAK JAWATAN DENGAN SEGERA!!!


Sejak dahulu lagi, kejadian tidak cukup korum ketika sidang Parlimen memang kerap berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang asing.


Baik ketika era pemerintahan BN, mahupun setelah negara ditadbir oleh Pakatan Harapan sekarang, perkara itu nampaknya tetap berlaku.


Ini bermakna, soal tidak hadir atau ponteng Parlimen tidak ada kena mengena dengan parti mana yang memerintah, tetapi lebih kepada sikap dan rasa tanggungjawab Ahli Parlimen itu sendiri. 


Tidak kira ketika era BN atau pun PH, yang tidak hadir bukan saja Ahli Parlimen kerajaan, tetapi juga pembangkang.


Pelbagai peringatan, teguran dan kritikan selalu kita dengar setiap kali kejadian tidak cukup korum itu berlaku dan menjadi perbualan dalam masyarakat.


Malah, pelbagai cadangan, saranan dan syor juga akan kedengaran untuk membendung agar ia tidak berlaku lagi, antaranya  pemotongan elaun dan sebagainya.


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri turut memberi peringatan kepada menteri, timbalan menteri dan Ahli-Ahli Parlimen mengenai perkara itu.


Tidak cukup dengan segala teguran, saranan dan syor, untuk mengelakkan kejadian tidak cukup korum itu daripada terus berlaku, mesyuarat kabinet menteri-menteri juga dialih daripada hari Rabu kepada Jumaat.


Tujuaannya ialah supaya mereka yang ada jawatan menteri tidak ada alasan untuk tidak hadir ke Parlimen.


Sebenarnya jika setiap Ahli Parlimen menganggap tugas hadir ke Parlimen itu sebagai sebahagian kerja mereka, tidak ada sebab mereka tidak hadir atau sesuka hati ponteng begitu saja.


Apabila Ahli Parlimen tidak hadir ke Parlimen, ia adalah sama seperti seseorang yang ponteng kerja atau tidak datang ke pejabat. 


Apakah hukumnya gaji dan pendapatan yang mereka terima?


Jika Ahli-Ahli Parlimen itu pernah marah kepada anak-anak mereka yang ponteng kerja atau ponteng sekolah misalnya, mengapa mereka sendiri melakukan tabiat buruk itu?


Menukar mesyuarat kabinet daripada hari Rabu kepada hari Jumaat semasa sidang Parlimen bagi memastikan kejadian tidak cukup korum tidak berlaku, bukanlah tindakan yang praktikal dan wajar untuk mengatasi masalah ponteng di kalangan Ahli-Ahli Parlimen.


Jumlah Ahli Parlimen adalah seramai 222 orang dan mereka yang dilantik sebagai menteri  tidak sampai pun 50 orang jumlahnya, sementara korum minima untuk membolehkan sidang Parlimen diadakan dan loceng tidak dibunyikan oleh Speaker hanyalah 26 orang saja.


Diulang sekali lagi - korum hanya 26 orang Ahli Parlimen sahaja!!


Jika pun ketika mesyuarat kabinet ada Ahli Parlimen yang berjawatan menteri tidak dapat hadir ke Parlimen, bermakna ada kira-kira 172 orang Ahli Parlimen lain yang tidak terikat dengan tugas rasmi kerajaan dan boleh hadir ke Parlimen seperti biasa.


Kalau dicampur dengan Ahli Parlimen yang menjadi timbalan menteri yang mungkin ada program kerajaan, mesyuarat dan sebagainya serta ditambah lagi dengan Ahli Parlimen tanpa jawatan dalam kerajaan dan pembangkang yang mungkin ada urusan di luar negara atau di kawasan masing-masing yang katalah jumlahnya  seramai 100 orang, bererti ada seramai 72 orang lagi lebihannya yang boleh kekal berada di Parlimen.


Apakah daripada jumlah itu, tidak boleh seramai 50 atau 40 orang Ahli Parlimen berada di Parlimen?


Lagi pula, sidang Parlimen bukan diadakan sepanjang tahun, sebaliknya hanya kira-kita empat sesi dalam setahun yang tempohnya hanya sebulan lebih sikit saja bagi setiap sesi.


Jika sekadar duduk di kerusi empuk Parlimen yang selesa dan berhawa dingin sambil dibayar lagi elaun kehadiran dan penginapan, berpakaian pula kot yang mahal, itu pun tidak boleh juga memenuhkan korum yang minimanya hanya 26 orang, memanglah Ahli Parlimen yang ada ini merupakan jenis manusia paling tak berguna dan tak bertanggungjawab sekali dalam masyarakat kita.


Oleh itu, jika ditukar mesyuarat kabinet kepada hari Jumaat sekali pun, tetapi Ahli-Ahli Parlimen yang ada kekal dengan sikap tiada rasa tanggungjawab, tidak ada perasaan malu dan memang jenis tak guna, masalah tidak cukup korum akan terus berlaku sampai bila-bila.


Apa yang penting setiap parti harus mewajibkan kepada Ahli Parlimen masing-masing untuk mesti hadir setiap kali sessi Parlimen diadakan serta jika boleh, mengambil bahagian dengan aktif, kecuali ada hal-hal kecemasan yang tidak boleh dielakkan  atau lebih baik letak jawatan saja daripada terus memalukan nama negara. (ShahbudinHusin 26/07/2018)