Monday, 13 October 2014

Untuk Menang PRU 14, KJ Perlu Dinobatkan Terus Sebagai PM Ganti Najib


Dalam tulisannya, wartawan veteran A Kadir Jasin menulis, "Kalau ditakdirkan Mohd Najib terpaksa berundur sebelum pilihanraya umum akan datang, pasangan Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi adalah alternatif yang logik.

"Tetapi kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom timbalan perdana menteri, maka jawatan PM mungkin jatuh kepada Hishammuddin Hussein dan dalam situasi itu, Khairy Jamaluddin berpotensi menjadi TPM."

Sambil mengakui Khairy Jamaluddin merupakan pemimpin pelapis paling menonjol dalam UMNO, A Kadir Jasin menambah lagi, "Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk akal pun boleh berlaku. Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy di tempat yang penting dalam senario politik dan kepimpinan negara untuk dekad ini."

Masalah utama yang dihadapi oleh UMNO dan BN sejak dua pilihanraya lalu ialah penolakan pengundi Melayu di kawasan bandar, separa bandar, golongan muda dan terpelajar. Pengundi bukan Melayu yang terdiri daripada Cina dan India pula kira-kira 80 peratus menolak terus calon-calon BN.

Jika dalam pilihanraya 2008, BN hilang majoriti dua pertiga dengan hanya memenangi 140 kerusi tetapi dalam pilihanraya 2013, kerusi BN bukan saja terus menyusut kepada 133 tetapi turut kehilangan undi popular dengan hanya meraih 48 peratus berbanding PR 52 peratus.

Secara mudahnya, ia adalah petanda jelas bahawa kepimpinan Najib Razak sudah tidak popular di kalangan pengundi. Dengan imej Najib terus merudum melalui pelbagai isu, kenyataannya yang meminta pengundi Cina yang menyokong PR agar tidak menuntut macam-macam daripada kerajaan, pastilah menggelapkan lagi harapan BN untuk mendapat sokongan mereka.

Setelah sebelum ini bercakap "I help you, you help me" kepada pengundi Cina, kenyataan terbaru Najib itu memburukkan lagi harapan BN dalam pilihanraya akan datang. Tanpa sokongan pengundi Cina dan India manakala pengundi Melayu pula makin ketara berpecahnya, kemenangan semakin tipis untuk diraih.

Alternatif terbaik ialah Najib perlu mengundurkan diri dengan segera demi masa depan UMNO dan BN.

Dalam konteks ini, hanya KJ yang mampu mengembalikan sokongan pengundi bandar, separa bandar, golongan muda dan terpelajar ke pangkuan BN. Ini kerana beliaulah pemimpin UMNO paling menonjol yang boleh diterima oleh golongan itu. Imejnya sebagai orang muda, terbuka, berpendidikan dan liberal adalah adunan yang cocok dan sesuai bagi mereka.

Untuk itu, KJ bukan saja harus diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi seharusnya terus dilonjakkan ke singgahsana Seri Perdana. Bukankah Kadir Jasin menyatakan, "Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk akal pun boleh berlaku." Nah, apalagi...

Dengan berzumba, boleh menari di pentas, ghairah dengan program FitMalaysia, sanggup ke gereja melancarkan buku dan banyak lagi pendekatannya yang bersifat moden, kontemporari dan terbuka, tidak syak lagi beliau adalah idola pengundi bandar, separa bandar, golongan muda dan terpelajar tadi.

Disebabkah sikap dan pendirian liberalnya juga, pengundi bukan Melayu pasti lebih senang dan selesa menerimanya. Dengan adanya KJ, pengundi bukan Melayu tidak memerlukan lagi DAP dan PKR dalam memenuhi kehendak mereka kerana UMNO, BN dan kerajaan di bawah pimpinannya sedia bertolak-ansur dengan pelbagai tuntutan mereka. Berduyun-duyunlah mereka kembali mengundi BN nanti.

Meskipun bersikap liberal, terbuka dan moden, KJ juga sebenarnya tiada masalah untuk mengekalkan sokongan luar bandar dan kampung-kampung terhadap UMNO dan BN kerana ia boleh diselesaikan dengan pemberian sedikit tunai atau sehelai dua kain batik dan pelikat menjelang hari membuang undi.

Lagi pula pengundi kampung dan luar bandar yang kurang pendidikan ini hanya mahu UMNO terus kekal berkuasa saja. Apa itu liberalisme, keterbukaan dan merit bukannya mereka faham sangat. Dapat seratus dua bersama kain batik dan pelikat, menjeritlah mereka "Hidup Melayu" siang dan malam.

Dengan demikian, melalui sokongan pengundi bandar, separa bandar, golongan muda, terpelajar, bukan Melayu yang terdiri daripada Cina dan India serta mengekalkan penguasaan sokongan tradisional di luar bandar, era kegemilangan UMNO dan BN pun berulang kembali.

Era akan datang adalah zaman liberal dan terbuka. Walaupun Najib juga liberal, tetapi KJ jauh lebih liberal lagi. Bergaya moden, penampilan ranggi, selalu berstoking warna pink, petah,bijak, terbuka dan mempunyai pemikiran liberal tahap tinggi adalah kelebihan yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pemimpin, termasuk Najib sekali pun.

Lupakanlah Muhyiddin dan Zahid Hamidi untuk menggantikan Najib kerana kedua-duanya adalah pemimpin berjiwa Melayu yang hanya mampu menang di kawasan luar bandar, kampung pedalaman dan di kalangan pakcik dan makcik Felda saja. Muhyiddin dan Zahid hanyalah jaguh kampung.

Gandingan Muhyiddin dan Zahid tidak akan merubah kedudukan pengundi bandar, separa bandar, golongan muda dan terpelajar kepada UMNO dan BN. Golongan ini anti perkauman dan mana mungkin boleh menerima Muhyiddin dan Zahid yang berjiwa Melayu itu.

Pengundi bukan Melayu akan lebih menjauhi BN jika Muhyiddin dan Zahid memimpin negara ini kerana mereka mahukan pemimpin negara yang benar-benar liberal dan selalu menyebut istilah merit, liberal dan keterbukaan setiap kali memberi ucapan.

Hishammuddin pula, walaupun sama liberalnya dengan Najib tetapi ramai yang melihatnya sebagai lembik dan tidak tegas. Kadang-kadang cuba juga menunjuk jiwa Melayunya dengan menghunus keris, namun mudah pula mengalah apabila digertak.

Jika Hishammuddin yang menjadi Perdana Menteri dan Khairy sebagai timbalannya, ia tidak akan merubah banyak wajah dan potensi BN berbanding kiranya KJ menjadi Perdana Menteri dan Hihammuddin sebagai timbalannya.

Mukhriz Mahathir juga tiada kemampun untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu, pengundi bandar separa bandar, golongan muda dan terpelajar kerana imej ayahnya yang dikenali sebagai ultra Melayu. Pengundi Melayu mungkin menerimanya dengan baik tetapi pengundi bukan Melayu tetap ke kiri.

Untuk memacu kejayaan BN dalam PRU 14 nanti, hanyalah KJ pilihan terbaik bagi UMNO dan BN. Dalam tempoh yang bersisa sebelum pilihanraya akan datang, jika ingin terus berkuasa, UMNO haruslah mengusahakan sedaya mungkin agar Najib segera meletakkan jawatan dan digantikan dengan KJ menjadi Perdana Menteri.

Lupakankah Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin atau Mukhriz. Lupakanlah juga soal kekananan atau senioriti dalam parti kerana KJ sebenarnya adalah anugerah Tuhan untuk UMNO dan BN. (SH 13/10/2014).

8 comments:

  1. Jangan percaya agen mamak kutty.percayakan orang ini umpama percaya kepada menteri cap ayam.Ini semua angan2 sekadar untuk menutup kelemahan menteri tua dan cap ayam dalam be end.Seribu satu masalah dalam pentadbiran be end jalannya cuma satu, meyakinkan rakyat bahawa ada juga golongan muda dalam be end tapi bab kepintaran fan kejujuran bagus korang tanya hasan malik.

    ReplyDelete
  2. Jangan berzumba...elok lagi menari lenggang kang kong ala umngok..

    ReplyDelete
  3. KJ kera jantan nak jadi TPM,alamatnya tujuh keturunan melayu akan jadi papa kedana.

    ReplyDelete
  4. Kadir Jasin nak bagitahu lahhhh...menteri2 dlm cabinet Najib adalah orang2 yg paling teruk sekali...sehinggakan Khairy, menantu Pak Lah tu dianggap paling baik. Pendek kata:

    ' dlm Kerajaan yang mengandungi orang2 denggu, orang separuh denggu pun dikira hebat'. Itu lah hakikatnya tahap pemimpin Umno sekarang yg melayu2 bodoh pi undi untuk jadi menteri.

    ReplyDelete
  5. Tiada rotan maka akar pun berguna juga...... KJ sejauh mata memandang lebih baik dari Najib. Pemimpin muda yang berani dan sentiasa membuat keputusan yang segera demi survival politik beliau. KJ adalah menantu Pak Lah yang berjasa membebaskan Anwar dari Sg Buluh atas pertuduhan Salah Guna Kuasa (bukannya Liwat). Memang KJ layak berbanding menteri UMNO yang lain dan lebih layak dari Najib bini Rosmah. Pujian ini kalau tidak termasuk parti pembangkang dan sekiranya termasuk pembangkang yang dilihat 100% boleh menggantikan Najib adalah Hadi Awe. Sikap flip-flop dan U-turn seperti minyak naik dan harga kereta diturunkan adalah begitu sinonim dengan mereka berdua.

    ReplyDelete
  6. Kadir Jasin acah-acah nama KJ dulu, pastu Mukhriz pulak. Ini semua sudah dirancang, sedang dalam perlaksanaan.

    ReplyDelete
  7. peril ke kat Kadir jasin kot tu , patut tahu dia promote agenja tun m saja, jangan serious sangat . kalau pm najib nak berhenti , banyak lagi calon veteran dan wibawa dalam umno seperti tok pa, husni, saifuddin yang bolih , mereka tak banyak baggage.........atau kerajaan unity government bersama pebangkang .....atau pon terus ke pakatan raayat

    ReplyDelete
  8. at least kj tak ada isu moral yang teruk..kalo dia buat benda x senonoh at least dia pandai simpan...x macam mr x buka tuala pun depan kawan..

    ReplyDelete