Monday, 4 August 2014

Sebelum Jadi Kupang Tembaga, Undurlah Lid...


Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim kini nampaknya sedang diasak daripada segenap penjuru agar sedia melepaskan jawatannya bagi membolehkan penggantiannya dengan Dr Wah Azizah Wan Ismail menjadi kenyataan. Beliau yang sebelum ini agak berdegil tidak mahu meletakkan jawatan, lebih-lebih lagi setelah mendapat sokongan moral daripada Pas, semakin terperosok ke dinding akibat serangan terbuka daripada partinya sendiri.

PKR yang semakin terdesak untuk memastikan Khalid akhirnya sedia meletakkan jawatan, hari ini telah mengambil langkah yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana parti sebelum ini apabila Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution membangkitkan tentang intergriti dan masalah disiplin yang dihadapi oleh Menteri Besar Selangor itu.

Intergriti Khalid dipersoalkan berhubung penjualan tanah kerajaan negeri dan pemberian kontrak kepada sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengannya. Selain itu, isu hutangnya bernilai RM70 juta dengan sebuah bank yang turut didakwa sudah selesai, dikaitkan secara langsung dengan penjualan tanah dan pemberian kontrak itu.

Isu disiplin yang dikaitkan dengannya pula ialah kehadirannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR yang sangat mengecewakan iaitu daripada hanya 42 kali daripada 136 mesyuarat sejak PR memerintah Selangor.

Meskipun Khalid menafikan dakwaan berkaitan rasuah dan penyelesaiannya hutangnya itu, sambil meminta agar dilaporkan kepada SPRM dan Bank Negara, hakikatnya Khalid kini sedang berdepan permusuhan terbuka daripada partinya sendiri. Sebarang penafian, laporan kepada SPRM dan Bank Negara sudah tidak membawa banyak makna lagi kerana cerita mengenainya sudah pun tersebar ke seluruh pelusuk negeri. Orang lebih cenderung mempercayai cerita ini daripada mendengar penafiannya.

Oleh kerana Saifuddin selaku Setiausaha Agung sudah membangkitkan isu intergriti dan disiplin ini secara terbuka, adalah jelas bahawa pendedahan ini direstui oleh PKR dan seluruh pimpinannya. Tidak guna lagi Khalid mahu mempertahankan dirinya kerana apabila beliau berlawan dengan organisasi, ruang untuknya menang sangat tipis.

Selain namanya sudah mulai tercemar, kegagalannya hadir dalam banyak mesyuarat parti juga menunjukkan beliau bukanlah pendokong parti yang sejati dan barangkali ada keghairahan lain yang lebih menggamitnya berbanding memperjuangkan parti. Lagi pula, tiada cemerlangnya sebagai pemimpin kalau kehadiran dalam mesyuarat sebegitu rupa.

Dalam masa yang sama, sudah timbul juga kemungkinan ura-ura beliau bakal dipecat jika terus berdegil tidak mahu mengundurkan diri sebagaimana yang dikehendaki oleh parti. Sebenarnya PKR boleh saja memecat Khalid atas pelbagai dakwaan seperti ingkar arahan parti berikutan keengganannya berundur itu.

Jika sampai dipecat akhirnya, ia tentulah lebih memalukan Khalid. Reputasi dan nama baiknya akan hancur sama sekali. Haji Hadi dan Pas yang selama ini mempertahankannya pun sudah tiada ruang lagi untuk membelanya. Kiranya bukan lagi menjadi ahli PKR, sudah tentulah Pas akan bersetuju tempatnya itu digantikan oleh Dr Wan Azizah.

Pas tentulah lebih mengutamakan parti berbanding individu dan sokongan yang diberikan oleh Haji Hadi sebelum ini pun adalah bersandarkan jika beliau masih ahli PKR.

UMNO yang selama ini berdiri teguh bersamanya juga akan turut hilang entah ke mana kerana ketika itu beliau sudah tidak bermanfaat apa-apa lagi. UMNO sedar bahawa kerjasama dengan Khalid seorang diri tidak mampu menghasilkan apa-apa.

Apa yang UMNO dan Kerajaan Pusat kehendaki iaitu MOU mengenai air dan pembinaan Projek Langat 2 sudah pun diperolehi dan ketika ini ia sudah memadai bagi mereka.

Di ketika yang sama, desakan pelbagai pihak agar Khalid berundur juga semakin kuat dan menyeluruh gemanya. Jika dulu hanya melibatkan orang-orang politik daripada PKR dan DAP, kini sudah ada ketua-ketua kampung juga yang tampil mendesaknya agar berundur.

Jika dibiarkan masa berlalu, mungkin lebih banyak kelompok dalam masyarakat seperti JKKK, penghulu, ketua kampung pencen, suri rumah, penghuni setinggan, penganggur dan sebagainya turut berani dan mengambil kesempatan menonjolkan diri mendesaknya turut berundur sama. Lebih haru jadinya nanti...

Semakin lama Khalid berdegil tidak mahu berundur, nilai dirinya semakin tidak berharga lagi. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa beliau sepatutnya sedar bahawa dirinya secara individu tidak mampu melonjakkannya ke jawatan Menteri Besar Selangor, sebaliknya partilah yang meletakkannya di situ. Oleh itu, apabila parti menghendakinya berundur, beliau hendaklah akur tanpa banyak alasan.

Khalid kini sudah mula mendapat jawapan akibat sikap degilnya itu. Dengan PKR sendiri membangkitkan soal intergriti dan disiplin serta kemungkinan akan dipecat jika terus menunjukkan keras hati, Khalid mungkin akan terbiar keseorangan akhirnya.

Jika dipecat, setelah nama dan reputasinya dijejaskan dengan teruk, tiada siapa lagi yang akan sudi berdamping dengannya. Membubarkan DUN Selangor juga mungkin sudah terlambat kerana tiada sesiapa lagi berdiri di belakangnya. UMNO juga akan melihatnya sebagai menyusahkan kerana ketika ini UMNO tiada potensi untuk menang jika pilihanraya negeri diadakan.

UMNO Selangor yang baru kalah teruk dalam pilihanraya lalu, lebih bersedia bertarung semula dalam pilihanraya 2018 berbanding pilihanraya mengejut. Jika kalah lagi dalam pilihanraya mengejut, UMNO Selangor tiada peluang untuk bangkit lagi. Oleh itu, sambil memulihkan semangatnya, UMNO lebih suka menunggu saja pilihanraya umum nanti berbanding pilihanraya negeri secara mengejut.

Sebelum terasak lebih rapat ke dinding, didedahkan dengan macam-macam isu yang memalukan dan akhirnya menjadi kupang tembaga - tidak bernilai walau sesen pun di mata masyarakat, adalah lebih baik Khalid berundur secara baik dan terhormat. Sekurang-kurang namanya akan dikenang dan disebut juga sekali-sekala. (SH 04/08/2014)

5 comments:

  1. Kenapa Khalid berdegil?
    Sudah tentu dia ada percaturan tersendiri...dan tentunya menentang Anwar, malah menentang keseluruhan pembangkang tentunya Khalid mempunyai sebab dan kekuatan sendiri, ada kegilaan yg melandanya.

    Sewajarnya kita memberi ruang dan peluang kerana anwar sudah mewarnai pentas politik sebelum ini dng pelbagai persepsi termasuk yg buruk. Rekod itu menyebabkan Anwar sukar menumpaskan Khalid secara bersendirian.

    Akhirnya rakyat Selangor lah penentu sebenar, bukanmkita! !!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hebatnya khalid macam kluangman.Nak lawan tauke?Tunggu sehari dua lagi dia akan dipancung.Alasan-alasannya dah tak berguna sebab rakyat sudah tahu perangainya burok macam pemimpin umno.

      Delete
  2. Tetapi bukan zizah yg jd MB!! Pas mengong! Tak nak ke jwatan MB???

    ReplyDelete
  3. Ramai yang tak sedar kemelut menteri besar Selangor berlarutan tidak dapat diselesaikan dengan cepat dan lancar kerana PKR hanya mempunyai 14 kerusi DUN.

    Oleh kerana itu mereka terpaksa menunggu parti yang banyak kerusi DUN bermesyuarat pada 10hb. Ogos, untuk buat keputusan siapa yang layak jadi menteri besar Selangor.

    Khalid Ibrahim guna kesempatan itu berselindung disebalik pengaruh PAS dan Hadi Awang tanpa segan silu bersuara dengan tegas mempertahankan Khalid agar beliau kekal sebagai menteri besar biar pun Khalid tidak disukai oleh partinya sendiri.

    Kita patut puji Khalid Ibrahim kerana dia telah berjaya mempermain dan memperbodohkan arahan Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi negeri Selangor dan juga Wan Azizah sebagai presiden parti PKR.

    Dan sekarang cuba mempermainkan lagi benang basahnya dengan mencabar pemimpin PKR agar membuat laporan SPRM kerana dia tahu Najib akan membersihkan diri nya dari rasuah, jika diikut kerenahnya laporan itu pula akan jadi senjata makan tuan.

    Jual tanah sudah, perjanjian air selesai, hutang perbadi juga sudah langsai. Saya percaya Khalid sudah bertekad akan berkerat rotan, berpatah arang terhadap parti PKR.

    Beliau tidak perlukan Pakatan Rakyat lagi, kecuali untuk memusnahkan nya pula dengan harapan UMNO Baru akan menerimanya sebagai ahli parti itu semula.

    Walaupun Khalid terus diapi-apikan oleh pencacai pro UMNO Baru mempertahankan kedudukannya, Anwar Ibrahim dikira bernasib baik kerana para pengundi di seluruh Selangor masih mahu memberi peluang kepada PKR untuk terus menerajui Pakatan Rakyat biarpun PAS ada ura-ura untuk keluar dari gabongan itu.

    Belajarlah dari kesilapan, kesalahan dan kelemahan yang ditunjukkan oleh Khalid Ibrahim dan ahli parti yang lainnya itu sebagai pengajaran bahawa selepas ini PKR akan menjadi parti yang mampu berdiri diatas keupayaan dirinya sendiri tanpa perlu menunggu orang luar untuk buat keputusan.

    ReplyDelete
  4. anak murid Mahadey kutty yang telah dilatih untuk meninggal nama dalam lipatan sejarah negara, jika sesorang pemimpin meninggalkan legasi jawatan segala kerja buat baik mereka akan dikenang tapai Khalid dan Mahadey telah berlaku sebaliknya, segala kebaikan telah tengelam dek kerakusan kuasa yang dimiliki,sebagai contoh Mahadey dengan projek IC pada pendatang di Sabah telah mencemarkan jaya Mahadey diSabah, dan bagitu juag dengan Khalid ini,jasa dia dengan rakyat selangor memang ada tapi tidak bagitu terdedah dengan sebab kegilaan kuasa kemut belanja itulah sebabnya pemimpin parti dia bersuara,jadi kita tunggulah nanti kesudahan berakhirnya hidup Khalid dalam parti yang membawa dia naik kekemuncak kejayaannya setelah jatuh tersungkur dibelasah oleh Mahadey.

    ReplyDelete