Monday, 19 May 2014

Lebih Baik Shahrizat Tidak Turun Ke Teluk Intan


Keceluparan Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil menyerang calon muda DAP bagi pilihanraya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya dengan melabelkannya sebagai boneka yang diperalatkan oleh DAP, bukan saja mengundang serangan balas daripada parti itu tetapi cara kempen ala 70an itu juga membuatkan kelompok UMNO sendiri rasa tidak selesa dengannya.

Sementara Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Shahrizat itu sebagai taktik kotor untuk mematahkan semangat golongan muda untuk berkecimpung lebih aktif dalam politik, Dyana Sofya pula mengatakan kemenangannya nanti akan menjadikan beliau wanita paling muda menjadi Ahli Parlimen yang mana keadaan itu tidak mungkin berlaku jika menyertai UMNO.

Sambil itu, beliau juga menyifatkan kenyataan Shahrizat itu menunjukkan kegagalannya melonjakkan golongan wanita kepada kedudukan yang sewajarnya dalam politik negara ini serta meminta belajar dari ibunya yang juga merupakan aktivis Wanita UMNO tetapi merestui dan sentiasa menyokongnya.

Dalam kelompok UMNO pula, tidak kurang yang meluat dengan kenyataan Shahrizat itu berikutan beliau bukan saja terpalit dengan isu lembu NFC yang membuatkannya tidak relevan lagi, tetapi juga kerana cara serangan itu seolah-olah tidak menunjukkan kematangannya dalam politik.

Di laman sosial begitu banyak kecaman dan sindiran dilemparkan terhadapnya oleh kelompok UMNO sendiri yang menyifatkan Shahrizat sepatutnya memfokuskan untuk menarik pengundi Melayu Teluk Intan menyokong calon BN, Mah Siew Keong dan bukannya menyentuh isu berkaitan peribadi calon DAP itu.

Kedudukan Dyana Sofya dalam DAP tidak seharusnya dipertikaikan lagi kerana beliau sudah lama menyertai parti itu dan juga ini bukanlah kali pertama calon Melayu dipertaruhkan sebagai calon. Dalam pilihanraya lalu, ada dua calon Melayu diketengahkan iaitu Arif Sabri Abdul Aziz di Raub dan Zairil Khir Johari di Bukit Bendera.

Apa yang berbeza hanyalah keberanian DAP mengenengahkan seorang yang baru berusia 27 tahun sebagai calon sedangkan ia begitu asing bagi UMNO dan BN. Keberanian DAP juga ialah kerana menukar calon Teluk Intan daripada Cina kepada Melayu.

Atas semua petunjuk itu, perletakan calon Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai boneka oleh Shahrizat.

Shahrizat juga diminta melihat ke dalam struktur Wanita UMNO sendiri iaitu berapa ramaikah golongan muda yang berpotensi daripada Puteri UMNO diterima dengan baik menyertai pergerakan itu dan diberi peluang sebagai calon dalam pilihanraya umum lalu.

Lebih itu, Shahrizat yang sudah berusia senja dan terpalit pula dengan isu lembu NFC tetapi tetap mahu bergayut dengan kuasa sebagai Ketua Wanita UMNO meskipun menyedari kecaman terhadapnya datang dari setiap penjuru, adalah suatu penonjolan sikap yang jelas menghalang bakat-bakat baru daripada terus tumbuh dan bercambah.

Jika beliau mempunyai kesedaran terhadap pentingnya memberi peluang dan ruang kepada bakat-bakat baru, Shahrizat tentulah tidak berlengah untuk mengundurkan diri dan memilih baki usia yang tinggal untuk bersama keluarga dan anak cucunya saja.

Menyedari calon BN di Teluk Intan sudah berusia dah kitar semula pula, Shahrizat sepatutnya berbangga dan cuba mengaplikasikannya ke dalam Wanita UMNO yang sedang dipimpinnya, dan bukan menyerang perkembangan yang sihat itu. Kalau pun mahu berkempen, beliau sepatutnya menumpukan kepada isu tempatan Teluk Intan yang mungkin asing bagi Dyana Sofya serta serangan kepada ideologi parti DAP itu.

Adalah amat malang jika Shahrizat dan Wanita UMNO terus berkempen ala tahun 70-an seperti itu sedangkan dunia sudah banyak berubah dan cara berfikir generasi sekarang juga tidak lagi seperti dulu. Jika Shahrizat terus dengan stail dan gaya lamanya berkempen di Teluk Intan ini sedangkan PR dan DAP sedang menawarkan perubahan dan pembaharuan, nescaya pilihanraya kecil ini tidak menjanjikan kemenangan kepada BN.

Wanita UMNO sebagai golongan ibu bukan saja harus menonjolkan sikap lebih matang, malah dengan penonjolan calon muda oleh DAP itu, inilah masanya untuk mereka dan lain-lain parti komponen BN segera menggembleng tenaga muda daripada Pemuda dan Puteri untuk memainkan peranan lebih aktif dalam gerak kerja pilihanraya ini.

Masih belum terlambat untuk menonjolkan bahawa UMNO dan BN tidak kekurangan tenaga muda daripada kalangan Pemuda dan Puteri walaupun mungkin ada sindiran kedengaran bahawa calon BN di Teluk Intan itu bukan lagi muda dan kitar semula pula.

Kecuali jika Shahrizat sedia mendiamkan sedikit mulutnya daripada banyak berbicara yang bukan-bukan atau yang terkeluar daripada konteks menambahkan undi, dengan isu peribadi yang banyak memaliti dirinya serta gaya fikirnya yang masih tidak berubah, sebenarnya jauh lebih baik jika beliau tidak turun berkempen ke Teluk Intan nanti.

Tanpa karut-marut yang keluar daripada mulutnya, BN mungkin mempunyai sedikit peluang untuk memenangi pilihanraya kecil ini berbanding jika beliau terus membebel dan menonjolkan dirinya yang semakin tidak digemari itu, kekalahan menjadi lebih pasti akhirnya. (SH 19/05/2014)

5 comments:

  1. Biar la dia turun membantu berkempen di sana...kita tengok berapa banyak lembu lembu akan datang mendengar celoteh dongengnya sambil memakan rumput

    ReplyDelete
  2. klau dia turun kempen...jangan lupa bawa daging lembu.. sedekah2 lah pada mereka2 yang memerlukan.

    ReplyDelete
  3. Ramai Puteri Umno yang bukan puteri lagi dianaktirikan oleh wanita umno kerana orang-orang berusia senja seperti shahrizat yang mahu terus berkuasa. Peremajaan umno yang dilaung-laungkan hanya retorik. Untuk tutup malu dengan perubahan yang dilakun oleh parti lain, itu yang merapu meraban tu....

    ReplyDelete
  4. Dia ni betina madras,mengaku melayu.Bangsa muka tak malu.Hutang duit lembu bila nak bayar.dah bayar bolehlah cakap.Tak bayar lagi hantar dia balik India saja.Ptui...

    ReplyDelete