Tuesday, 1 April 2014
Maklumat MH370 Berbelit Lagi, Tapi Perlukah Kita Diam Saja?
Semakin lama misi pencarian pesawat MH370 berjalan, cara kerajaan menangani dan mengendalikan insiden ini semakin kalut dan mengelirukan. Bukan saja waris dan anggota keluarga yang jadi keliru dan marah, rakyat kita sendiri turut bingung dibuatnya.
Dalam tragedi yang melibatkan 239 nyawa ini, apa dimahukan oleh semua pihak ialah kebenaran dan bersikap telus tentang apa yang sebenarnya berlaku. Jangan cuba menyembunyikan maklumat, bersikap main-main, menyelitkan unsur retorik politik atau dilihat tidak serius kepada penderitaan waris mangsa serta anggota keluarga yang terlibat.
Setelah semalam Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein menafikan bahawa Najib pernah mengatakan MH370 telah terhempas dan semua penumpangnya terkorban sedangkan pengumuman Perdana Menteri bahawa pesawat itu didapati berakhir di sebuah kawasan terpencil dan jauh dari landasan di selatan Lautan Hindi, sambil menyatakan rasa sedih, membawa usul takziah di Parlimen dan memaklumkan Majlis Fatwa akan menetapkan tarikh sembahyang jenazah ghaib, adalah sama maksud dengan ianya telah terhempas dan penumpangnya turut terkorban, tidak berapa lama kemudian berlaku lagi percanggahan maklumat.
Kali ini melibatkan perbualan terakhir antara kokpit dengan pusat kawalan udara di Subang. Sebelum ini kerajaan memaklumkan perbualan terakhir daripada kokpit MH370 ialah "Allright good night" dan telah dikenalpasti diucapkan oleh pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid tetapi semalam Kementerian Pengangkutan menjelaskan ayat terakhir ialah "good night malaysian 370" dan tidak dikenalpasti siapa yang mengucapkannya.
Kenapakah maklumat yang sebegitu mudah pun boleh bercanggah hanya dalam beberapa hari? Jika maklumat yang begitu senang pun kerajaan tidak boleh memberikannya secara tepat, apakah jaminan maklumat lain turut tidak bercanggah juga?
Apakah ini memperlihatkan sikap tidak serius dan main-main dalam memproses maklumat?
Sebelum ini juga, beberapa maklumat yang diberikan kerajaan turut bercanggah dan tidak tepat. Ketika awal tragedi ini berlaku iaitu pada 8 Mac, kerajaan memaklumkan pesawat itu didapati terputus hubungan dan hilang di perairan Vietnam. Namun setelah pencarian berskala besar mula digerakkan di Laut China Selatan, diumumkan pula maklumat bahawa radar TUDM telah mengesan pesawat itu berpatah balik daripada laluan asalnya.
Najib sendiri ketika mengumumkannya seminggu kemudian iaitu pada 15 Mac mengesahkan bahawa pesawat itu telah berpatah balik, mematikan semua alat komunikasi dan dipercayai menghala ke sempadan Kazashtan dan Turkmenistan atau Lautan Hindi. Sejak itu pencarian beralih daripada Laut China Selatan ke Lautan Hindi pula.
Seminggu pencarian dilakukan di Lautan Hindi, tetapi tiada apa yang ditemui. Pada 24 Mac, Najib muncul lagi membuat pengumuman berdasarkan penemuian satelit Immarsat bahawa MH370 telah berakhir di sebuah kawasan sunyi yang jauh daripada sebarang landasan di selatan Lautan Hindi, berhampiran barat daya Perth.
Berita itu diterima dengan sedih oleh seluruh dunia, lebih-lebih lagi anggota keluarga dan waris mangsa, namun selepas lebih seminggu daripada pengumuman Najib itu, tiada juga sebarang kesan, sama ada serpihan pesawat atau cebisan mayat yang ditemui. Ini menjadikan waris keluarga mula sangsi dengan kesahihan pengumuman Najib itu, tambahan pula kemudian Immarsat tampil menjelaskan bahawa kesimpulan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi bukannya datang daripada mereka tetapi dilakukan oleh kerajaan Malaysia sendiri.
Dengan tiada sebarang bukti kukuh atau penemuan bahawa pesawat itu telah terhempas atau penumpangnya terkorban sedangkan Najib sudah membuat pengumuman yang jelas maksudnya sedemikian, memanglah waris penumpang berhak untuk berada marah dan menunjukkan protes tetapi tindakan Hishammuddin menafikan apa yang diperkatakan oleh Najib bukanlah jawapan yang mahu didengar oleh mereka.
Jawapan dan penafian Hishammuddin itu adalah jawapan politik untuk menyelamatkan abang sepupunya, Najib sedangkan waris mangsa tidak berminat pun dengan sebarang agenda politik ketika ini. Apa yang mereka mahukan ialah maklumat yang tepat.
Setelah misi pencarian memasuki hari ke 25 dan masih tiada sebarang bukti kukuh ditemui, sama ada pesawat itu terhempas atau berakhir di Lautan, teori terhempas atau dirampas mula bercampur-baur. Ada yang percaya ia terhempas tetapi ramai juga yang percaya pesawat itu sebenarnya dirampas.
Apa pun teorinya, apa yang dimahukan tetap kebenaran. Apabila rakyat mempertikaikan maklumat tidak tepat dan bercanggah yang diberikan oleh kerajaan, ia bukanlah bermakna mereka ini tidak menyokong segala usaha pencarian itu. Mengkritik dan membidas bukan bermakna tidak menyokong segala usaha kerajaan tetapi yang dipertikaikan ialah sikap berdolak-dalik sesetengah pemimpin dalam banyak perkara berkaitan isu ini turut menjejaskan nama baik negara di mata dunia.
Apa yang kita mahukan ialah mereka yang diberikan tanggungjawab ini agar bersikap lebih profesional dan memberi keutamaan kepada waris mangsa. Jika Perdana Menteri atau sesiapa saja didapati memberikan maklumat tidak tepat atau menyinggung perasaan waris mangsa, mengakulah dengan baik dan tiada salahnya meminta maaf.
Meminta maaf lebih mengharumkan nama negara daripada menafi dengan ayat yang berbelit-belit.
Kalaulah nanti didapati pesawat itu tidak terhempas atau kalau terhempas pun bukan di Lautan Hindi, persoalan yang timbul ialah apakah pula agaknya jawapan Hishammuddin ketika itu? Apakah semua kenyataan Najib sebelum ini bakal dinafikan juga?
Sebab itu teguran dan kritikan banyak pihak, termasuk di blog dan media sosial, terhadap cara kerajaan menguruskan tragedi ini bukanlah bermakna rakyat tidak mahu bersatu hati dengan kerajaan, tetapi teguran dan kritikan adalah peringatan supaya kerajaan sentiasa berhati-hati dan hanya maklumat yang disahihkan ketepatannya saja disalurkan kepada orang ramai.
Pengkritik hanya mahukan kebenaran dan keutamaan adalah nama baik negara.
Ini bukanlah medan untuk bermain politik dan menyokong Najib atau Hishammuddin secara membabi buta sebagaimana pertembungan dalam politik kepartian atau pilihanraya. (01/04/2014)
Meteka mulakan dan biarlah mereka pandai-pandai menutupnya - kita mungkin perlu memberi mereka sedikit lagi masa sebelum membuat satu kesimpulan.
ReplyDeleteSeandainya semua itu wayang, agenda tersembunyi - lambat laun belang mereka akan terbongkar.
Sebab itulah gamaknya muhyiddin hanya menjadi 'pemerhati' dan lain2 menteri turun menjauhkan diri.
Warning gred A:
ReplyDeleteAwww ... Peliis lah, you all boleh spekulet apa pun, tapi jangan you coba nak kacau sepupu I tu. Nanti nahas I kerjakan you tau, aww .. aww
Benda ni bukan senang beb. Bukan boleh main-main. Maklumat2 yang ada semua melalui satelit. Bukan kita je yang binggung, dunia pun turut binggung mencari nya. Nak sembunyi ke benda. Nyawa orang pun nak sembunyi ke. Ada mas bertan-tan ke dalam pesawat tu. Ada duit berbilion2 ke di dalam nya. Tak ada yang istimewa pun. Ia penerbangan biasa je. Tidak ada orang dalam dunia ini yang tahu mengapa pesawat itu berpatah balik dan hilang di lautan hindi. Kalau kita tahu, tak payah lah susah2 panggil orang lain tolong cari sama. Ini tidak, duk pikir itu dok pikir ini. Salahkan orang itu, salahkan orang ini. Macam orang tak ingat tuhan. Cubalah sama2 berdoa dan minta pada Allah permudahkan pencarian ini. Dapatkan kotak hitam dulu, baru lah kita tahu apa sebenarnya yang terjadi. Ni belum apa2 lagi dah macam2 ahli nujum yang timbul pula.
ReplyDeleteMungkin Kerajaan Malaysia harus menerima cadangan DAP MP Lim Lip Eng agar melantik panglima tentera dari kalangan parti PR kerana kemampuan mereka mengatasi semua masaalah.
ReplyDeleteManalah tahu kot-kot kalau berjaya.