Thursday, 13 March 2014
Antara Rosmah Dan Wan Azizah
Dalam dunia politik Malaysia, hanya terdapat dua pemimpin yang wataknya serta isterinya sering menjadi perbualan ramai iaitu Perdana Menteri, Najib Razak dengan isterinya, Rosmah Mansor dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Rosmah hanyalah seorang isteri dan suri rumah tetapi sering membayangi penampilan suaminya manakala Wan Azizah adalah Presiden PKR tetapi sentiasa mengalah dengan penampilan suaminya yang merupakan Ketua UMUM PKR serta Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
Sebelum Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998, Wan Azizah hanyalah seorang suri rumah yang barangkali tidak pernah terfikir untuk melibatkan diri dalam dunia politik sehingga sejauh ini. Beliau ketika itu hanyalah seorang peneman kepada suaminya di majlis-majlis rasmi dan lebih banyak tersenyum dari berkata-kata.
Wataknya sebagai isteri seorang pemimpin yang sentiasa menyokong perjalanan karier suaminya tidak banyak beza dengan penampilan yang ditonjolkan oleh Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada Mahathir Mohamad. Beliau hanya menonjolkan dirinya setelah suaminya dipenjarakan.
Hanya setelah Anwar dipenjarakan dan terlihat keperluan untuk beliau menggalas perjuangan reformasi yang diasaskan oleh suaminya, Wan Azizah kemudian terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam politik melalui PKR yang ditubuhkannya bersama pengikut-pengikut Anwar yang meninggalkan UMNO.
Beliau menjadi Presiden PKR sejak parti itu ditubuhkan dan berpeluang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh serta Ketua Pembangkang di Parlimen.
Kali ini, setelah melepaskan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 2011 untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding semula di kawasan itu dan lebih banyak menyerahkan kerja-kerja politik untuk digalas oleh Anwar, Wan Azizah kembali semula bertanding di DUN Kajang berikutan Anwar yang berhasrat bertanding di situ dihalang oleh keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapatinya bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan dihukum penjara selama lima tahun.
Dengan bertanding di Kajang, sekali lagi Wan Azizah menunjukkan ketaatannya sebagai seorang isteri dan pejuang reformasi yang masih belum selesai.
Jika tidak kerana Anwar dihalang daripada bertanding, Wan Azizah bukan saja akan mengundurkan diri sebagai Presiden PKR pada pemilihan Mei ini, bahkan lebih selesa mengharungi sisa-sisa usianya sebagai suri rumah sahaja. Walaupun masih kekal untuk memberi laluan kepada Anwar pula menerajui PKR, Wan Azizah yang kini sibuk berkempen sedang ditunggu dengan tugas baru sebagai ADUN Kajang pula.
Berbeza pula dengan Rosmah Mansor, beliau berkahwin dengan Najib ketika anak Tun Razak itu sudah menjadi menteri. Ketika Najib menjadi menteri pula, kelibat Rosmah jarang kelihatan walaupun ada juga sesekali beliau muncul menemani suaminya di beberapa majlis rasmi. Hanya ketika Najib mengadakan jamuan bertemu penyokong-penyokongnya di kediaman mereka, barulah selalu wajah Rosmah yang mesra dan suka bergaul kerap kelihatan.
Tetapi setelah Najib menjadi Perdana Menteri, penonjolan Rosmah agak luar biasa. Di akhbar dan tv, wajah dan beritanya kerap muncul. Beliau juga mengasaskan Permata yang membolehkannya mendapat peruntukan khas beratus juta daripada kerajaan dan kerap mempromosikan program pendidikan untuk kanak-kanak itu di dalam dan luar negara.
Rosmah juga lebih selesa dengan gelaran First Lady berbanding gelaran biasa isteri Perdana Menteri dan mengadakan Persidangan Wanita-Wanita Pertama Sedunia untuk membiasakan masyarakat dunia dengan gelaran barunya itu. Beliau juga kerap hadir ke pelbagai persidangan peringkat antarabangsa dengan membawa gelaran First Lady serta menggunakan kemudahan jet kerajaan.
Dalam masa yang sama, beliau juga menjadi satu-satunya isteri Perdana Menteri yang pernah turun berkempen secara langsung membantu UMNO dan BN dalam pilihanraya. Jika ketika Najib sekadar menteri biasa, kekerapan Rosmah menemani suaminya tidak sekerap mana, tetapi setelah bergelar Perdana Menteri pula beliau jarang membiarkan Najib muncul keseorangan.
Rosmah akhirnya berjaya membentuk persepsi sebagai wanita yang berkuasa. Bukan saja pemimpin UMNO kerap memuji dan menjemputnya untuk merasmikan pelbagai acara, Najib sendiri memuji Rosmah dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tentang peranan yang pernah dimainkannya untuk kepentingan negara. Mereka yang mencium tangannya juga ramai, walaupun sesetengahnya lebih berusia daripadanya.
Lalu melekatlah tanggapan bahawa beliau benar-benar berkuasa dalam negara ini, meskipun hakikatnya Rosmah hanyalah seorang suri rumah sahaja.
Apabila Wan Azizah bertanding semula di Kajang, beliau lalu dikatakan menghidupkan semula amalan nepotisme. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin malah melabelnya sebagai boneka kepada Anwar yang tidak seharusnya diberikan rasa simpati oleh pengundi DUN Kajang pada 23 Mac ini.
Jika benar pun ini merupakan sebahagian daripada nepotisme tetapi haruslah disedari bahawa kemunculan Wan Azizah dalam dunia politik tidak sesekali melalui permaidani merah seperti mana ahli keluarga pemimpin UMNO yang lain. Laluannya penuh dengan darah, air mata dah kerikil-kerikil tajam. Hanya kerana hasrat Anwar bertanding di Kajang "dikejangkan" melalui keputusan Mahkamah Rayuan, maka muncullah Wan Azizah sebagai pengganti.
Jika Anwar tidak dipecat oleh Mahathir, beliau mungkin akan kekal dengan peranannya sebagai suri rumah, peneman dan pendokong di belakang tabir kerjaya suaminya. Begitu juga jika KajangMove ini tidak dihalang melalui keputusan mahkamah, Wan Azizah tentunya lebih selesa berada di rumah.
Hanya atas nama perjuangan, meneruskan reformasi dan keinginan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dan negara, maka tercatatlah nama Wan Azizah sebagai salah seorang pejuang politik yang tidak pernah pun terfikir untuk diceburinya suatu ketika dahulu.
Jika KJ mengatakan Wan Azizah hanyalah boneka kepada Anwar tetapi yang membanggakan kita ialah beliau tidak pernah "membonekakan" kedudukan dan jawatan suaminya seperti mana wanita yang seorang lagi itu. (SH 13/03/2014)
Hebat ulasan tuan.sy slalu brfikir..adakah pemimpin2 umno atau ahli2 umno mmg buta hati dn miskin jiwa dlm melihat situasi yg sebenarnya.mereka brcakap seolah2 org yg mndengar itu buta hati dn miskin jiwa seperti mereka juga.dlm era teknologi dihujung jari mereka masih cuba mmperbodohkan org lain dgn sgala kebodohan mereka.rosmah mansor@bik mama hnyalah jelmaan imelda marcos.ada pemimpin2 dn menteri umno tua yg sanggup mnjatuhkan maruah diri mncium tgn rosmah mansur yg bkn muhrim semata2 utk pangkat dn harta.manusia makin gila...
ReplyDeleteBro...mmg benar apa yang ditulis tapi Big mama supporter boleh terima ke komen u? Tak takut dengan Ali tinju dgn gang2 nya? Nanti dibuat senaman bontot kat depan umah u..Perkasa..Perkida..Bomoh 1Malaysia semuanya akan datang attack u dgn buluh rejam..heee
ReplyDeleteOrang yang bodoh memang begitu tuan.mahu tonjol diri ke depan dan cuba menunjuk kebolehan. Tetapi sifat bodoh itu bertambah terserlah. Najib dapat kelapa yg telah ditebuk tupai, banyak yang lompong.
ReplyDeleteSeseorang yang baik dan bagus umpama ubi dan mengikut resmi padi berbanding yang bodoh seumpama tin kosong dan meriam buluh.
First Lady konon. Kah kah kah. Perasannya anak kampung yang dibuang saudara sendiri. Loya tekak aku tuan!
Ramai dikalangan pemimpin umno yg buta mata, buta telinga dan buta hati. Sifat sombong menjulang...ingat apa yg dimiliki tidak ada yg kekal. Mereka memerintah negara sungguh pelek sekali...ajaib...orang yg mengaku bunuh dibebaskan....msia...msia
ReplyDeleteSaudara Shah anda seorang bekas pemimpin umno yg celek...terus menulis benda yg hak...syabas tuan
ReplyDeleteSalam Tuan,
ReplyDeleteUlasan yang bernas dan tepat.
Iskandar
syabas saudara Shahbudin,
ReplyDeleteTak semua pemimpin yang berfikiran terbuka dan lantang sebagaimana anda. dan seorang lagi ialah saudara Kadir Jasin yang begitu lantang bersuara. Suara Rakyat Suara Keramat..