Tuesday, 25 February 2014
Jangan Beri Publisiti Pada Pelampau, Apakah Najib Menujukannya Pada Perkasa?
Dalam usaha menjayakan rekonsilasi nasional yang akan diumum serta dilaksanakan beberapa bulan lagi yang antara lainnya diharapkan membantu memberi inspirasi kepada rakyat untuk saling hormat-menghormati dan berhubung sesama sendiri serta seterusnya menjadikan perpaduan dan keadaan negara menjadi lebih baik, Perdana Menteri, Najib Razak juga menggesa media dan media sosial agar tidak memberi publisiti kepada penghasut yang selalu mengeluarkan kenyataan melampau.
Beliau berkata, memberi publisiti kepada kumpulan pelampau boleh memecah-belahkan kepercayaan antara kumpulan etnik dan oleh yang demikian, sebarang publisiti tidak harus diberikan kepada kumpulan tersebut.
Tambah Najib lagi, kenyataan demi kenyataan yang sering dikeluarkan oleh kumpulan pelampau ini tidak perlu dikecam, sebaliknya tindakan terbaik ialah "tidak mempedulikannya dan jangan beri publisiti".
Menjelang pilihanraya kecil DUN Kajang yang bahangnya mulai terasa dan mungkin juga memberi kesan kepada kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri selepas ini, rekonsilasi nasional ini memberi tafsiran yang pelbagai di kalangan rakyat. Sementara ada yang menganggapnya ssbagai bukti menunjukkan betapa Najib sentiasa memandang ke hadapan demi kepentingan negara, kelompok yang lain pula melihat ianya sebagai strategi politik untuk memastikannya berada lebih lama lagi di kerusi empuk Perdana Menteri.
Sama ada atas nama rekonsilasi, konsensus atau apa saja tetapi ianya tidak dinafikan memberi ruang kepada Najib untuk mendekati dan berbaik-baik dengan pimpinan Pakatan Rakyat, apatah lagi jika selepas ini Anwar Ibrahim mempunyai tapak yang lebih kukuh sebagai MB Selangor, hubungan saling berbaik mungkin boleh dimanfaatkan untuk berbagai kepentingan.
Dengan tapak kukuh yang dimiliki Anwar dan memberi lebih potensi untuk memenangi PRU 14, dalam masa yang sama ia juga memberi tekanan kepada Najib dalam mempertahankan kedudukannya kerana golongan kanan dalam UMNO yang masih menggunakan pengaruh Mahathir Mohamad pasti saja mahukan Najib diundurkan bagi digantikan dengan pemimpin lain pula.
Oleh itu, rekonsilasi ini boleh juga merupakan perisai bagi Najib dari serangan dalam UMNO sendiri.
Apatah lagi dalam masa Najib mahu melaksanakan rekonsilasi ini, beliau turut juga juga mengecam golongan pelampau yang dianggapnya hanya mahukan publisiti yang diidam-idamkan bagi melakukan pelbagai tuntutan.
Dalam mana-mana komuniti pun, golongan pelampau ini sentiasa wujud. Di negara kita, baik dalam masyaraka Melayu, Cina mahupun India, kumpulan pelampau ini sentiasa ada. Tetapi dari sekian banyak golongan yang boleh dianggap pelampau dan kerap mendapat publisiti, Perkasa yang diterajui oleh Ibrahim Ali adalah berada di kedudukan paling depan sekali.
Ini kerana Perkasa bukan saja aktif menuntut macam-macam perkara dan memberi reaksi hampir dalam semua isu termasuk mahu membakar Bible yang mengandungi nama Allah, bahkan Perkasa juga merupakan NGO yang paling banyak mendapat publisiti media. Di dalam akhbar Utusan Malaysia misalnya, hampir setiap hari ada saja berita mengenai NGO itu, bahkan akhbar itu seolah-olah hilang serinya jika tiada berita mengenai Perkasa didalamnya.
Sebelum pilihanraya lalu, sementara Najib menjaja dasar 1Malaysia tetapi di masa yang sama beliau juga memberi ruang untuk mendekati kelompok yang boleh dianggap pelampau semata-mata untuk mendapatkan undi. Bukan saja Perkasa yang didekatinya, malah Dong Ziong dan Hindraf juga cuba dijadikan rakan karib kerajaan.
Akhirnya, bukan saja hubungan baik dengan Dong Ziong tidak menjadi, bahkan ikatan kasih dengan Hindraf juga sudah terlerai. Perkasa yang dulunya banyak memuji Najib dan kerajaan juga mulai berubah nada sebaik pilihanraya berakhir kerana kecewa dengan kelemahan dan sikap tolak ansur yang keterlaluan oleh kerajaan.
Di suatu ketika Perkasa malah menyatakan mereka kini bersikap berkecuali terhadap Najib dan kerajaan. Namun di masa yang sama, Perkasa tetap mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
Dengan melaungkan rekonsilasi dan di masa yang sana mahukan golongan pelampau tidak terus-terusan diberikan publisiti, Najib seolah-olah sedang membaling dua ekor burung dengan seketul batu. Selain untuk kepentingan negara dan menyelamatkan kedudukannya, beliau juga ingin menjauhi golongan yang boleh menyusahkannya.
Najib seperti mulai menyedari bahawa Perkasa lebih menyusahkannya, bukan saja dalam pelbagai tuntutan dan ugutan mahu membakar Bible, malah terbaru ini NGO itu juga menolak penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang diinisiatifkan Najib. Lebih dari itu, Perkasa turut menubuhkan badan sendiri yang menyerupai MKPN untuk membincangkan isu perpaduan mengikut acuan mereka sendiri.
Tidak diragui, jika dibiarkan berterusan sambil publisiti meluas yang diperolehinya, Perkasa adalah ancaman bukan saja kepada Najib tetapi juga kepada kestabilan pelbagai etnik di negara ini.
Jika selama ini Perkasa mendapat dana daripada kerajaan dan publisiti melimpah daripada Utusan khususnya, dengan petunjuk yang diberikan Najib ini, era itu mungkin akan berakhir tidak lama lagi. (SH 25/02/2014)
salam Tuan, saya melihat Perkasa ini lebih kepada satu pertubuhan tin kosong saja.Entah bila munculnya,dan bukan popular pun Pemimpin-pemimpin mereka masuk bertanding PRU.Tiada sekor pun yang menang.Jadi kesimpulannya, Perkasa tak layak jadi jurucakap pada sesiapa pun.
ReplyDeletekepada yg lemah & perkasa, mereka ni mcm parasit kpd masyarakat brbilang kaum. smpai masanya kita tolak pemakiran sempit spt mereka
ReplyDelete