Tuesday, 12 November 2013

Ahmad Maslan Sepatutnya Minta GLC Tolong Orang Melayu, Bukannya Utusan Melayu


Dalam usaha membantu syarikat Utusan Melayu yang semakin kerugian kerana semakin kurang orang membaca akhbar terbitannya, Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan membuat keputusan menulis surat kepada semua syarikat berkaitan kerajaan atau GLC agar menyalurkan lebih banyak iklan di dalam akhbar tersebut.

Menurut Ahmad Maslan, daripada 35 GLC utama di negara ini, mereka membelanjakan hanya sekitar 3.7 peratus saja daripada keseluruhan peruntukan iklan untuk Utusan Malaysia.

"Ini merupakan perbelanjaan yang terlalu amat sedikit," luahnya dengan kecewa.

Selain Utusan Malaysia, GLC terbabit juga turut diminta menyalurkan lebih banyak iklan untuk akhbar Berita Harian. Kedua-dua akhbar, Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah milik UMNO dan bantuan dalam bentuk iklan itu, menurut Ahmad Maslan lagi, adalah supaya peranan akhbar terbabit untuk kepentingan negara terus dapat dilakukan dengan jayanya.

Tindakan Ahmad Maslan ini segera mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak. Bukan saja pembangkang yang mengecam tindakan itu, bahkan sekutu UJNO dalam BN iaitu MCA turut melahirkan rasa kurang senangnya dengan perkara itu. Jika pembangkang melalui Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tsin menyatakan GLC seharusnya dibebaskan daripada sebarang campurtangan politik kerana ia adalah milik rakyat, MCA melalui Naib Presidennya, Gan Peng Sieu pula berkata, bukan tugas kerajaan atau GLC membantu syarikat media seperti Utusan dan Berita Harian.

Sambil menyifatkan tindakan Ahmad Maslan menulis surat kepada ketua-ketua GLC itu sebagai penyalahgunaan kuasa, MCA juga berkata, syarikat media seharusnya dibenarkan bersaing secara sihat berasaskan kemampuan profesionalisme dan kecekapan tanpa mengharapkan bantuan dan subsidi daripada GLC atau kerajaan.

"Mengarahkan bantuan atau subsidi adalah penghinaan kepada kecekapan dan profesionalisme kakitangan syarikat akhbar terbabit," tambah Naib Presiden MCA itu lagi.

Secara jujurnya tindakan Ahmad Maslan dalam hal ini menampakkan kekeliruan dan kecelaruannya dalam memahami tugas serta peranan GLC kepada rakyat. Dalam pembentangan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera tidak lama dulu, Najib sendiri ada membangkitkan peranan GLC dalam membantu ekonomi Bumiputera dan orang-orang Melayu.

Dalam hal ini Perdana Menteri telah menetapkan usaha membantu orang Melayu ini sebagai salah satu KPI atau penunjuk prestasi pemimpin-pemimpin GLC terbabit yang dilantik oleh kerajaan menduduki jawatan tersebut.

Jika GLC diminta memainkan lebih banyak peranan dalam membantu dan memperkasa ekonomi orang Melayu, tidaklah ada sesiapa yang tersinggung kerana ia memang sewajarnya dilakukan memandangkan secara relatifnya kedudukan mereka masih tertinggal berbanding kaum-kaum lain. Namun demikian dalam usaha memastikan kualiti tidak dikompromi, faktor merit dalam memberikan bantuan atau pertolongan itu tidaklah pula harus diketepikan.

Malangnya, Ahmad Maslan yang pernah berbangga dengan markah CGPA ketika di universiti sebanyak 3.85 dan barangkali antara pemimpin paling pandai dalam pentadbiran Najib, nampaknya telah gagal memahami perkara ini dengan jelas. Najib mahu GLC membantu orang Melayu tetapi beliau menulis surat meminta semua GLC membantu Utusan Melayu.

Mengarahkan GLC membantu Utusan Melayu langsung tidak berkaitan dengan orang Melayu. Ini kerana sejarah Utusan Melayu sebagai pembangkit nasionalisme Melayu hanya tinggal sejarah ketika ini. Ketika ini perjuangan Utusan Melayu tidak lagi ke arah itu, bahkan jalan politik yang dipilihnya dalam memuatkan pemberitaan banyak yang sudah menyimpang daripada semangat kemelayuan.

Bukan saja berita picisan yang sering menjadi bahan beritanya, bahkan ahli politik picisan juga lebih mendapat tempat berbanding sesetengah pemimpin Melayu dan kerajaan.

Utusan Melayu sejak beberapa tahun kebekalangan ini juga lebih menjadi medan menyiarkan berita berunsur seks dan fitnah. Ia juga paling banyak kena saman dan terpaksa memohon maaf serta kerap kali terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak yang menyamannya. Mungkin juga boleh dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai akhbar yang paling banyak kena saman, memohon maaf dan membayar ganti rugi.

Lantaran itu, pembelinya makin merosot. Rakyat tidak lagi membeli Utusan, generasi muda pula mulai "geli" untuk membeli dan membacanya. Malah ramai kakitangannya sendiri yang tidak membaca akhbar itu. Yang tidak mahu membawa pulang ke rumah juga ramai jumlahnya berikutan banyak beritanya yang kurang sesuai dibaca oleh anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Jika ditambah dengan corak majalah Mangga yang diterbitkannya di mana banyak memuatkan gambar seksi dan lucah sehingga sebuah negeri memfatwakan majalah itu sebagai haram dimiliki, agenda nasionalisme Melayu sebenarnya sudah jauh ke laut daripada perjuangan Utusan Melayu.

Lantaran itu, memanglah tidak wajar bagi Ahmad Maslan meminta GLC memberi bantuan dan menyalurkan lebih banyak iklan kepada syarikat itu. Beliau seharusnya lebih memberi fokus kepada membasmi kemiskinan dan memperkasa ekonomi orang-orang Melayu dan bukannya Utusan Melayu. Menyalurkan banyak iklan dalam akhbar yang kurang pembeli dan pembaca juga bertentangan dengan nilai komersial dan menjemurumuskan GLC terbabit kepada kerugian juga.

Tambahan pula dalam banyak GLC juga, perjuangan memperkuat ekonomi orang Melayu ini masih lagi jauh daripada sasarannya. Jika di Petronas pun masih ada masalah untuk membantu peniaga Melayu menjual kerepek dan nasi lemak di stesen-stesen minyak miliknya, ini menandakan kalau pun mahu menulis surat kepada GLC supaya membantu syarikat seperti Utusan Melayu, ia seharusnya menjadi agenda terakhir yang dilakukan oleh Ahmad Maslan.

Dalam menjalankan tanggungjawabnya, banyak tugas lain yang semestinya lebih patut diutamakan. Tulis surat dahulu kepada semua ketua-ketua GLC agar lebih prihatin dan fokus dalam membantu ekonomi orang Melayu, kalau pun mahu juga menuls surat supaya membantu Berita Harian dan Utusan Melayu.

Jika ini dapat dilakukan barulah sesuai dengan CGPA 3.85 yang dibanggakannya itu. (SH 12/11/2013)

7 comments:

  1. Rajin Pak Shahbudin menulis tiap-tiap hari.
    Tak letih ka?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Orang macam Pak Din inilah yang rakyat mahu..kalau asyik baca utusan meloya tu habis orang melayu jadi bodoh..

      Delete
    2. Aku tak suruh pun ko baca utusan meloya..hampez

      Delete
    3. Abg Wan mesti org umngok kan..kan..

      Delete
  2. ini kurang penting skrg...ada yang lebih penting..dari mana mahathir tahu ada agen cia bersama gani patail..? kenapa didedahkan kalau tiada bukti...? benarkah di malaysia boleh putar alam sampai begini...?

    ReplyDelete
  3. Aku kecewa dan kasihan.najib pilih mnteri yg bodoh atau tdk faham dgn mksud transformasi dan mmperkasakan ekonomi bumiputra..
    Sifat kroni msh mnjiwai mreka.

    ReplyDelete
  4. Betullah kata saorang blogger dan di muatnaik gambar kabinet msia di bawah kera-jaan najib yang di penuhi degan menteri menteri berok dan chimpenzee.Nilai sendirilah kebolehan berfikir mereka .

    ReplyDelete