Monday, 21 October 2013

Kesian Ali Rustam, Dulu Cina Kencing Dia, Sekarang UMNO Melaka Pula...


Bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam mungkin antara ahli politik paling bernasib malang di negara ini. Walaupun bintang politiknya pernah menyinar, berjaya memimpin negeri Melaka selama 13 tahun dan cerita-cerita kejayaannya membangunkan negeri itu sering menjadi sebutan, tetapi kebelakangan ini bintangnya sering saja diselaputi kabus tebal.

Ini menjadikan laluannya untuk terus mendaki ke puncak seakan-akan sudah tersekat, meskipun semangat dan keghairahannya dalam usia 64 tahun sekarang ini tidak pernah padam. Namun kekalahannya dalam pertandingan Naib Presiden UMNO baru-baru ini dengan hanya mengutip 7 undi, barangkali merupakan petunjuk yang jelas kepadanya bahawa memilih jalan persaraan adalah pilihan yang terbaik selepas ini.

Ali Rustam sebelum ini diramalkan oleh banyak pihak mampu memberi cabaran dalam persaingan Naib Presiden ini berikutan beliau merupakan seorang pemimpin yang peramah, pemurah serta prihatin kepada akar umbi. Di mana saja ada kenduri, jemputan rumah terbuka, kematian dan sebagainya, kelibatnya jarang tidak kelihatan. Jemputan yang diterimanya daripada kawan-kawan dan akar umbi UMNO dari utara, pantai timur, selatan tanahair serta Sabah juga jarang dihampakannya.

Beliau sebolehnya cuba memenuhi semua jemputan yang diterimanya sehingga apabila melihat beliau selalu ada di merata-rata negeri, ramai yang musykil dan bertanya, bilakah sebenarnya beliau mempunyai masa untuk tidur dan berehat?

Ketika menjadi Ketua Menteri Melaka, kediaman rasminya sudah mula dikunjungi orangramai seawal Subuh lagi. Pelbagai jenis dan ragam manusia yang datang mahu berjumpa dan mengadu masalah dengannya. Dan setiap hari beliau melayan semua tetamunya itu dengan ramah dan senyum.

Sementara menunggu dapat bertemu dengannya pula, juadah sarapan pagi sentiasa terhidang untuk dinikmati seadanya. Jarang benar sesiapa yang berhajat untuk bertemu dengannya di Seri Bendahara ketika itu, akan pulang dengan hampa kersna sekurang-kurangnya masalah yang mahu diadukan akan dapat diluahkan sama ada sambil beliau berjalan menuju ke keretanya untuk ke pejabat atau ketika beliau sudah duduk dalam keretanya.

Itulah kelebihan Ali Rustam yang jarang ada pada pemimpin-pemimpin di negeri lain. Sebab itu, apabila beliau bertanding Naib Presiden, ramai yang menjangka kehadirannya mampu memberi cabaran dan kejutan. Tambahan pula setelah beliau kalah di Parlimen Bukit Katil, mungkin lebih ramai ahli UMNO yang bersimpati dengannya.

Lebih dari itu, beliau juga seakan-akan dihalang apabila bertanding jawatan Timbalan Presiden pada 2009 lalu lalu semata-mata untuk memberi laluan kepada Muhyiddin memenangi jawatan itu sedangkan ketika itu Ali Rustam jauh lebih popular dan menjadi pilihan majoriti perwakilan.

Atas dasar itu, penyertaannya kali ini dirasakan mampu memberi saingan yang kuat kepada calon-calon lain, di tambah pula dengan tindakannya menimbulkan isu berkaitan Melayu dan Cina di saat-saat akhir beberapa hari sebelum pengundian.

Tetapi nampaknya semua itu tidak berlaku. Keputusan 7 undi yang diperolehinya agak mengejutkan. Ahli UMNO nampaknya bukannya bersimpati, tetapi sampai hati tidak memberi undi dan melupakan jasa-jasanya selama ini. Turut tidak memberinya undi ialah ahli dan perwakilan UMNO dari negeri Melaka yang pernah dipimpinnya sebelum ini.

Daripada 6 UMNO bahagian yang ada di Melaka, Ali Rustam hanya mendapat satu saja iaitu daripada Bukit Katil yang dipimpinnya. Lima bahagian lain langsung tidak memberi undi dan tidak mengenang jasanya sedangkan sebelum ini beliaulah tempat ahli-ahli UMNO Melaka mengadu, kediamannyalah yang selalu dikunjungi dan tangannya jugalah yang tidak henti-henti dicium olrh mereka.

Sebab itu apabila beliau meluahkan rasa kecewanya kerana hanya memperolehi satu undi daripada negeri Melaka, perasaannya itu tidak sukar untuk difahami. Benih padi yang ditanamnya tetapi hanya lalang yang tumbuh, susu yang selalu diberinya tetapi tuba yang diterimanya sebagai balasan.

Realiti politik selalunya begitulah. Pemimpin ketika berkuasa umpama gula dan ahli UMNO pula umpama semut-semut yang dahaga. Setelah tidak bergula lagi, semua semut-semut segera melarikan diri dan mencari balang gula yang lain pula.

Ali Rustam kini menerima apa yang pernah dialami oleh bekas PM, Mahathir beberapa tahun lalu. Setelah menjadi PM selama 22 tahun tetapi apabila tidak lagi memegang apa-apa jawatan, hasratnya untuk menjadi perwakilan Kubang Pasu pun tidak kesampaian berikutan tidak mendapat sokongan dan dikalahkan oleh mereka yang sebelum ini menyokong dan berpaut dengannya.

Sebelum kekecewaan kalah dalam pertandingan Naib Presiden ini, Ali juga menerima nasib malang apabila turut kecundang dalam pilihanraya lalu di Parlimen Bukit Katil kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar. Jika tidak kalah dalam pilihanraya umum lalu, hari ini beliau mungkin sekurang-kurangnya berjawatan timbalan menteri dan undi yang diterimanya barangkali tidaklah serendah 7 undi.

Jika dalam pilihanraya umum lalu, Ali menyalahkan pengundi Cina atas kekalahannya dan menganggap kaum itu tidak mengenang budi dan jasa yang disumbangkannya selama ini, dalam pemilihan UMNO ini budi dan jasanya seperti tidak dikenang oleh ahli UMNO negeri Melaka sendiri. Bagi ahli UMNO Melaka, Ali Rustam bukan lagi pemimpin yang mempunyai gula dan tiada keperluan lagi untuk memberi memberikan apa-apa undi kepadanya.

Kalau dulu beliau kena kencing dengan pengundi Cina, kali ini orang UMNO Melaka turut kencing kepadanya. (SH 21/10/2013)

4 comments:

  1. Begitulah nasib pemimpin UMNO. Habis manis sepah dibuang. Sekiranya mereka berpegang kepada prinsip perjuangan yang jujur dan ikhlas tanpa rasa kecewa pastinya akan disanjung.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Seorang pemimpin yang ikhlas membantu rakyat tidak akan kecewa walau menang atau kalah, kerana bukan habuan dunia yg diharapkan tapi pahla dan reda allah, ukurlah pemimpin anda sama ada mereka mempunyai sifat di atas.

      Delete
  2. Ali ni bagus juga bantu org tapi itu hakikat yg dia kena terima..memang tak nafikan beliau memang rajin bekerja..mgkn ada perkara yg kita tak nampak..hanya Allah yg Maha mengetahui..apa2 pun beliau berani berani bertanding dan uji kemampuan..

    ReplyDelete
  3. ITU CERITA UNTUK MEMBURUK BANGSA CINA TETAPI HARUS TIDAK TAHU UMNO PARTI MELAYU YANG MENHANCURKAN DIA SEBENARNYA.

    ReplyDelete