Saturday, 21 September 2013

Naib Presiden - Antara Restu Najib Dan Restu Mahathir


Kehadiran ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Shafie Apdal secara bersama dan serentak di hari penamaan calon pemilihan MT UMNO hari ini, tidak diragui lagi merupakan isyarat yang jelas bahawa mereka ini akan berpakat dan saling bergandingan tangan antara satu sama lain.

Walaupun tindakan berpakat itu cuba dinafikan tetapi ia terlihat sukar untuk disembunyikan.

"Kami sebagai penyandang secara bersungguh-sungguh akan mengekalkan jawatan untuk mendokong parti. Kami ada keserasian dan saling mengenali antara satu sama lain," demikian kata Shafie Apdal.

Zahid pula berkata, ketiga-tiga mereka mempunyai keyakinan untuk terus mempertahankan jawatan dan menyifatkan kehadiran Mukhriz sebagai pencabar yang disifatkan mewakili kehendak golongan muda bukanlah suatu masalah dan biarlah perwakilan yang menentukannya.

"Pasal Mukhriz, kami berfikiran terbuka dan berlapang dada. Sebagai penyandang, kami pasrah," kata Zahid lagi.

Hishammuddin dalam nada yang hampir serupa berkata, proses pemilihan kali ini adalah ujian kepada demokrasi dan ramalan yang yang mengatakan salah seorang daripada mereka akan tewas berikutan kehadiran Mukhriz, sama-sekali tidak menggugat keyakinan mereka bertiga untuk mempertahankan jawatan itu.

Di PWTC hari ini, dilaporkan juga ketiga-tiga penyandang itu bukan saja hadir dan mengemukakan borang secara bersama, malah kemudian meninjau pusat penamaan calon juga bersama, sambil bergurau-senda untuk memperlihatkan keakraban mereka.

Ia sekaligus menjadi percakapan bahawa mereka bertindak demikian sebagai menghantar isyarat kepada para perwakilan UMNO, bukan saja tentang kesepakatan antara mereka tetapi juga sebagai pilihan yang dikehendaki dan direstui oleh Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Najib Razak.

Kesepakatan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga penyandang ini bukan saja untuk mempertahankan kedudukan masing-masing tetapi juga sebenarnya untuk menyekat kemaraan Mukhriz daripada memenangi salah satu kerusi Naib Presiden itu.

Najib sebelum ini dilaporkan mahu status quo Naib Presiden UMNO yang sedang disandang oleh Zahid, Hishammuddin dan Shafie dikekalkan dalam pemilihan 19 Oktober depan kerana berpuas hati dengan prestasi mereka, di samping ketiga-tiga mereka juga dianggap sebagai "penurut perintah paling setia" dan mampu berada di barisan paling hadapan untuk mempertahankan kedudukan Najib.

Selain itu, dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hampir pasti tidak ditandingi, Najib juga mahu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang masih mampu mengawal UMNO dan sebab itu beliau mahukan ketiga-tiga penyandang Naib Presiden yang ada dikekalkan.

Apabila Mukhriz mahu bertanding, Zahid lantas menyarankan agar anak Mahathir itu pergi mendapatkan nasihat daripada Najib terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Najib juga dilaporkan tidak begitu gembira dengan keputusan Mukhriz mahu bertanding dan telah memanggil Mukhriz ke pejabatnya untuk memberi nasihat berkenaan perkara itu.

Namun demikian, dilaporkan bahawa dalam pertemuan itu, Mukhriz telah meminta maaf kepada Najib kerana tidak dapat mematuhi nasihat Presiden UMNO agar jangan bertanding Naib Presiden UMNO, sebaliknya menyatakan keinginan untuk terus bertanding berdasarkan sokongan dan respon yang diterimanya.

Khamis lalu, Mukhriz akhirnya mengumumkan hasratnya bertanding Naib Presiden UMNO dengan slogan "Berani Berubah". Sehingga hari ini juga, Mukhriz tidak bercakap mengenai nasihat dan restu daripada Najib kepadanya, sebaliknya hanya berkata, keputusannya bertanding mendapat restu daripadanya bapanya, Mahathir Mohamad.

Dengan pertandingan Naib Presiden UMNO kali ini menjadi enam penjuru dengan penyertaan Isa Samad dan Ali Rustam, gambarannya ialah ketiga-tiga penyandang mendapat restu daripada Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Mukhriz mendapat restu daripada Mahathir, bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri tetapi masih lagi berpengaruh manakala Isa dan Ali, mungkin hanya bersandarkan restu diri sendiri sahaja.

Sekiranya dengan kesepakatan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga penyandang ini mereka terus kekal, bermakna restu Presiden masih ada harganya tetapi sekiranya seorang atau lebih daripadanya yang tewas, ia akan memberi erti bahawa restu Najib tidaklah lagi sekuat restu Mahathir.

Jika Mukhriz berjaya mendapat undi tertinggi pula, isyaratnya restu Najib tidak membawa apa-apa makna lagi.

Sementara menunggu keputusan pada 19 Oktober untuk mengetahui restu siapakah yang paling "power", tempoh kempen selama hampir sebulan untuk perebutan jawatan Naib Presiden UMNO kali ini tentunya menjanjikan kehangatan yang luar biasa tetapi yang pastinya juga, UMNO akan terus sarat dengan pergelutan, perebutan dan persaingan untuk tahun-tahun yang seterusnya.

Lebih-lebih lagi jika Mahathir terus sihat dan panjang umurnya. (SH 21/09/2013)

4 comments:

  1. Salam
    Amat keterlaluan keinginan mukhriz untuk bersaing jawatan naib presiden. .kebencian kepada umno semakin memuncak kerana politik kaum keluarga bangsawan masih menguasai lantai demokrasi umno.

    Silent protes dikalangan org umno masih menebal khususnya terhadap legasi mahathir yang sebenarnya menjadi beban bagi generasi baru umno utk memikulnya.

    Sesak nafas dan sakit hati melihat gelagat anak2 mantan2 menteri terus mendaki dengan mudah dan menongkah langit. .betul kata mahathir umno akan mati kerana adanya ideologi karat mahathir sehingga hari ini.

    ReplyDelete
  2. Mohon berbeza pandangan daripada anon 21 September...

    Apa masalahnya Mukhriz bertanding naib? Melainkan orang-orang yang ada masalah dengan Mahathir atau takut Mukhriz naik atau takut tauke mereka tergolek, ahli-ahli UMNO bawahan macam saya berharap sangat UMNO disulamkan dengan orang muda yang boleh dijadikan sandaran. Bukan Mukhriz saja, KJ juga...

    Menjadi anak orang bangsawan bukan satu dosa. Menjadi anak bangsawan yang masuk politik juga bukan dosa. Yang berdosa ialah jenis manusia yang sakit hati dan dengki tak bersebab kepada mereka. Dan jangan ingat anak bangsawan hanya sesuai dilekapkan dengan anak pemimpin kerajaan. Kalau kebangsawanan diambil kira, Nurul Izah, Nik Abduh, Lim Guan Eng dan Govind Singh Deo itu pun anak bangsawan juga.

    Kalau nak kata Mukhriz mencanak naik kerana dia anak Mahathir pun tak juga walaupun faktor pengaruh bapanya memang ada sedikit sebanyak. Nak jadi ketua pemuda Kubang Pasu dulu pun Mukhriz tak lepas. Tanding Ketua Pemuda pusat pun tak menang.

    Tak kiralah Mahathir hendakkan anak dia jadi apa pun, tapi kalau rakyat tak hendak (dan dengan izin Allah), takkannya boleh. Mukhriz menang di Parlimen Jerlun kerana rakyat hendak. Menang di DUN hari tu pun kerana rakyat hendak.

    Tak tahulah legasi Mahathir itu menjadi beban kepada orang UMNO atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya, ke mana Mahathir pergi pun orang masih kerumun macam tu jugak. Kalau nak kira dia dah bukan ada kuasa pun. Jangan bandingkan dengan PM yang disambut dengan puak bas percuma tu...

    Beban kepada UMNO? Yang menjadi pembawa beban besarnya ialah orang-orang yang mengaku UMNO tetapi mengangkang dan melacurkan perjuangan hanya semata-mata nak dilihat liberal dan relevan (dengan kehendak orang lain!).




    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam soal memimpin, selain dari kewibawaan berpengetahuan, keturunan dari anak siapa juga adalah salah satu faktor untuk menarik perhatian orang ramai supaya memberi sokongan walaupun tidak ada pengalaman mentadbir.

      Tapi dalam soal pemilihan yang sekarang ini baru dikatakan demokrasi, kita mahu semua ahli yang berkelayakan tampil kehadapan calonkan diri sebagai pelapis dan pewaris kerana slogan yang dimainkan adalah "sakit tua".



      Delete
  3. angka tidak tahu berbohong

    org2 melayu lah yg sgt buta dgn angka & mudah dibohong

    beban2 & masaalah2 hidup sejak 80an djlskan dgn angka

    hutang negara melebihi 600bliion
    defisit berturut2 melebihi 13x hingga khari nih

    dolar singapura dulu 1:1
    kini dolar singapura 1:2,63

    Malaysia yg kaya dgn hasil bumi mnjd papa kedana
    singapura yg takde apa2 mnjd lebih kaya drp kita

    nota; singapura ada 'surpluss'/untung lebih 600bliion!
    drp angka..nampaklah beban..nampaklah sape puncanya?????

    ReplyDelete