Sunday, 4 August 2013
UMNO Sudah Ada 'Future PM' Rupanya...
Di sebalik kemeriahan umat Islam menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Fitri yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi, ahli-ahli UMNO juga sibuk dengan pemilihan parti yang akan diadakan pada 5 Oktober depan. Sementara ada cawangan-cawangan UMNO dalam fasa mengadakan persidangan tahunan masing-masing dan memilih pemimpin di peringkat bahagian selepas itu, tumpuan sebenarnya tetap terarah kepada pemilihan pemimpin di peringkat pusat.
Berbagai nama sedang dijaja untuk dinaikkan pangkat, dikekalkan kedudukan dan tidak kurang juga ada beberapa nama yang lain mahu disingkirkan. Coffee house, lobi hotel, kopitiam dan restoran mamak mula menjadi tempat mengatur untuk menaik dan menjatuhkan pemimpin.
Walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden belum pasti sama ada akan dipertandingkan atau tidak dan desakan kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan terus kedengaran di sana sini, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin masih lagi membisu mengenai jawatan yang bakal ditandinginya.
Ini menjadikan kedudukan dua jawatan tertinggi itu terus menjadi teka-teki, meskipun pada hakikatnya ramai yang sangsi akan keupayaan Muhyiddin untuk bertanding jawatan Presiden UMNO. Dari segi keupayaan, kemampuan dan wibawa sebagai pemimpin, Muhyiddin tidak ada kurangnya berbanding Najib, cuma masalah utama yang membelenggu Muhyiddin ialah sikapnya yang tidak kenal orang, sedikit sombong dan tidak ramai penyokong setia.
Penyokong dan pengikut Muhyiddin sering datang silih berganti mengikut keadaan dan penyokongnya yang benar-benar setia pula hanya boleh dibilang dengan jari. Perjalanan politik Muhyiddin selama ini hampir 70 peratus ditentukan oleh nasib semata-mata, bukan kerana kesetiaan penyokong terhadapnya.
Beliau pernah menang dan kalah jawatan Naib Presiden UMNO. Beliau juga pernah hampir keseorangan dan ditinggalkan ramai kawan-kawan politiknya. Tetapi nasib sentiasa menyebelahinya. Jika tidak kerana tindakannya mendesak Pak Lah berundur awal dan Ali Rustam pula dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009 dulu, kedudukannya hari ini mungkin bukan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Setelah empat tahun menjadi Timbalan Perdana Menteri, kedudukan penyokongnya tidak juga bertambah dengan mendadak. Masih ramai ahli dan pemimpin UMNO yang menganggapnya sebagai sombong. Berbanding ketika Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri, ghairah ahli UMNO terhadap bekas Perdana Menteri itu jauh lebih tinggi berbanding Muhyiddin.
Semuanya kerana sikap dan sifat semulajadinya. Beliau jarang tersenyum dan lebih sering mempamerkan wajah masamnya sehingga dilihat tidak mempunyai kemesraan dengan orangramai. Beliau juga selalu tidak kenal dengan orang walaupun orang itu pernah ditemuinya sebelum ini.
Satu-satunya nasib yang mungkin menyebelahinya sekali lagi ialah jika Mahathir dan Daim menyebelahinya. Tetapi sehingga ini keadaan itu ternampak sukar kerana Mahathir dan Daim, walaupun mengkritik dan tidak setuju dengan banyak perkara mengenai Najib, namun masih lagi menyokong kepimpinannya sebagai Perdana Menteri.
Kebarangkalian yang hampir pasti setakat ini ialah Muhyiddin tidak mempunyai cukup keberanian dan kekuatan untuk mencabar Najib walaupun mungkin nafsu dan ghairahnya mahu menetap di Seri Perdana sentiasa ada. Beliau mungkin memilih untuk terus kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri saja.
Tengku Razaleigh yang disebut oleh banyak pihak mungkin mencabar Najib, juga turut belum memberi kata putusnya sehingga ini. Dalam masa yang sama, ada juga pihak lain mencadangkan agar Ku Li bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini kerana peluangnya dianggap lebih baik lagi bagi jawatan itu.
Dengan keadaan ini, jawatan yang paling menjadi tumpuan setakat ini ialah Naib Presiden UMNO. Sementara Zahid Hamidi dilaporkan oleh media sebelum ini bahawa beliau, Hishammudin dan Shafie Afdal hanya akan mempertahankan jawatan Naib Presiden dan tidak membenarkan diri masing-masing bergerak ke atas atau ke bawah, perebutan jawatan itu nampaknya tetap menjadi tumpuan beberapa pemimpin UMNO yang lain.
Antara yang dilaporkan berminat ialah Pengerusi Felda, Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan Salleh Tun Said Keruak. Beberapa pemimpin UMNO yang lain seperti Menteri Besar Johor, Khaled Nordin, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob, turut disebut-sebut akan turut menyertai persaingan Naib Presiden UMNO kali ini.
Meskipun di antara ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi dikatakan berada di kedudukan paling selesa untuk mengekalkan jawatannya berikutan kemesraannya yang tinggi dengan orang-orang UMNO, sikapnya yang pemurah dan suka menolong sesiapa saja yang datang menemuinya. Perubahan jawatannya dari Menteri Pertahanan kepada Menteri Dalam Negeri yang kemudian diiringi dengan pendirian terbukanya terhadap pengekalan Akta Hasutan dan Undang-undang Darurat, telah melonjakkan lagi sokongan terhadapnya daripada kalangan akar umbi UMNO.
Kebijaksanaan Zahid menunjukkan dirinya lebih pro Melayu dalam pelbagai isu yang muncul kebelakangan ini turut menambahkan lagi cahayata terang di hujung terowong perjalanan politik Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berbanding lain-lain pesaingnya.
Bagaimanapun, kedudukan Hishammuddin tidak boleh dipandang mudah untuk menyaingi Zahid Hamidi. Beliau bukan saja mempunyai ramai penyokong dan pengikut setia tetapi kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri dan sepupu kepada Najib, turut memberi kelebihan kepadanya.
Lebih-lebih lagi, dalam tempoh masa hanya dua bulan saja lagi sebelum tarikh pemilihan pada 5 Oktober depan, sudah ada tukang-tukang kempen yang menjaja cerita tentang perlunya Hishammuddin terus dikekalkan bagi jawatan Naib Presiden UNNO kerana beliau dikatakan bakal PM masa depan Malaysia selepas ini.
Kedudukan Muhyiddin yang lebih berusia daripada Najib dijadikan sandaran untuk menonjolkan Hishammuddin lebih layak sebagai pengganti. Di kalangan Naib Presiden yang lain, walaupun Zahid lebih popular tetapi beliau juga dikatakan lebih berusia daripada Najib. Shafie Afdal pula, kerana beliau datang dari Sabah, peluangnya untuk menjadi pemimpin pelapis negara dikatakan hampir tipis.
Ini menjadikan Hishammuddin dikatakan satu-satunya pelapis terbaik untuk menggantikan Najib. Beliau lebih muda daripada Najib, sekarang memegang dua portfolio kementerian iaitu Pertahanan dan Pengangkutan yang menggambarkan signal jelas daripada Najib ke arah itu, selain darahnya sebagai sepupu Najib dan anak bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn dianggap sebagai kelebihan juga.
Menjelang hari-hari terakhir kempen, adalah dipercayai kempen mewar-warkan Hishammudin sebagai calon bakal Perdana Menteri akan lebih jelas kedengaran lagi, walaupun terdapat juga sesetengah kalangan dalam UMNO yang tidak menggemari beliau dan mahukan beliau diketepikan kali ini. Namun dengan beberapa kelebihan memihak kepada Hishammuddin, selain beliau juga memiliki kekuatan penyokong dan sumber kewangan yang kukuh, menyingkirkan beliau tidaklah semudah yang dijangka.
Apatah lagi terdapat juga kecenderungan untuk menjadikan pemilihan UMNO kali ini sebagai proses memilih pemimpin pelapis bagi menghadapi pilihanraya umum ke 14 nanti. Dan di sinilah Hishammuddin mengambil peluang untuk menonjolkan dirinya.
Tetapi jika Mukhriz Mahathir juga menyertai pertandingan Naib Presiden kali ini, bermakna bertambah seorang lagi anak bekas Perdana Menteri sedang meneroka laluan untuk berada di barisan utama kepimpinan UMNO. Dengan Najib sudah mencapai kedudukan klimaksnya, Hishammuddin dan Mukhriz seperti sedang dipersiapkan untuk mengambil alih baton yang seterusnya dalam UMNO dan negara. (SH 04/08/2013)
Para perwakilan tidak perlu menggunakan otak waras untuk berfikir bagi menilai calon mana yang sesuai kerana dalam pemilihan itu tidak memerlukan akal yang cerdik. Cadang dan sokong saja seperti yang telah ditetapkan dan selepas itu berseronoklah dengan hadiah yang diberikan.
ReplyDeleteJika menggunakan akal yang waras, pasti mereka akan dapat melihat setiap wajah yang bertanding itu mempunyai prestasi buruk sama ada dalam atau diluar kerajaan BN. Kewibawaannya tidak sesuai langsung diangkat sebagai pemimpin.
Alangkah bagusnya kalau kita dapat menyebut nama diantara mereka yang tidak terlibat salah guna kuasa, buruk kelaku dan tidak terlibat dalam penyelewengan, ketirisan, dan rasuah... alangkah bagusnya.
Tapi ia kekal malang kerana semua ahli terpaksa berbohong. Bercakap benar akan disiksa seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim....
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
ReplyDeleteKami ingin memohon jasa baik untuk link 'Rakyat News' dalam senarai blog pilihan di blog anda.
Sekian. Terima Kasih
Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Rakyat News.
Maaf Zahir dan Batin
RAKYAT NEWS
http://www.rakyatnews.my/
Untuk memperkukuhkan UMNO, kedua-dua jawatan teratas sepatutnya tidak dipertandingkan. DS Najib perlu menjadi PM sekurang-kurangnya dua penggal lagi (termasuk penggal sekarang) dan digantikan dengan DS Hishamuddin selepas itu. Itulah jalan terbaik yang ada sekarang. Pada masa itu jawatan TPM patut diberi kepada pemimpin2 muda.
ReplyDeletehisamudin amaran nak jadi PM , hancur negara....
ReplyDelete