Friday, 23 August 2013

Shahidan, Tajuddin Juga Perlu Akur Arahan Najib


Selepas Nazri Aziz didedahkan meletakkan anaknya sebagai pegawai khas di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, rupa-rupanya terdapat sekurang-kurangnya dua lagi pemimpin yang turut berbuat demikian. Mereka ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kasim yang melantik anaknya, Nur Shafizah sebagai setiausaha sulit dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tajuddin Abd Rahman yang melantik menantunya, Firdaus Mufazal Faiz juga sebagai setiausaha sulitnya.

Tindakan Nazri itu telah mecetuskan kontroversi kerana beliau didakwa mengamalkan nepotisme. Walapun Nazri pada awalnya cuba bertahan dengan tindakannya itu atas alasan gaji anaknya, Nedim tidak dibayar oleh kerajaan tetapi melalui poketnya sendiri, beliau akhirnya akur dengan kesilapan yang telah dilakukannya itu, apatah lagi setelah Najib turut menegur dan menganggap tindakan itu sebagai suatu kesalahan.

Mengenai perlantikan anak Nazri itu, Najib berkata, "secara prinsipnya anak dan ahli keluarga tidak boleh bekerja kementerian tetapi dibolehkan di kawasan Parlimen yang diwakilinya".

Penjelasan Perdana Menteri ini cukup terang untuk difahami, bukan saja oleh Nazri tetapi juga oleh sesiapa saja yang menjadi anggota pentadbiran kerajaan, termasuk Shahidan dan Tajuddin.

Nazri Aziz yang telah ditegur oleh Perdana Menteri bahawa tindakan melantik anaknya itu sebagai melanggar peraturan dan bertentangan dengan pekeliling Perkhidmatan Awam, kemudiannya telah menukar status jawatan anaknya daripada pegawai khas kementerian kepada pegawai khas Ahli Parlimen Padang Rengas (urusan Gen Y).

Namun pendedahan Malaysian Insider bahawa Shahidan dan Tajuddin juga melantik anak dan menantu bekerja di kementerian masing-masing, bahkan jelas dalam jawatan yang dibayar gajinya oleh kerajaan, bukan saja mengejutkan bahkan menimbulkan persoalan tentang keghairahan pemimpin kerajaan terhadap amalan nepotisme yang menjadi kebencian rakyat di seluruh dunia.

Di kala rakyat di kebanyakan negara mengecam amalan nepotisme ini, bahkan ada yang menyebabkan seseorang pemimpin atau kerajaan tumbang kerananya, semuanya itu seolah-olah tidak memberi kesan langsung kepada pemimpin negara ini. Baik yang sudah lama menjadi pemimpin, mahupun yang baru merasa nikmat bergelar timbalan menteri, keinginan terhadap amalan yang dibenci itu seperti tidak pernah ada surutnya.

Yang terdedah mengamalkan perkara itu setakat ini mungkin hanya Nazri, Shahidan dan Tajuddin tetapi tidak mustahil ia sebenarnya turut meluas di kalangan ramai pemimpin kerajaan yang lain. Ia cum belum terdedah saja lagi.

Sementara Shahidan ketika ditanya mengenai perkara itu enggan mengulas panjang dan cuba mengelak daripada terus menjelaskannya, Tajuddin pula menyifatkan pendedahan mengenai menantunya itu sebagai agenda politik murahan.

Dalam laporan yang lain pula, Tajuddin jelas menunjukkan kemarahannya mengenai pendedahan itu sambil mengaitkan dengan pengorbanannya selama hampir 40 tahun dalam parti, termasuk pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA sebelum ini.

Soalnya, apakah kerana sudah berkorban selama 40 tahun dan pernah ditahan ISA, ia merupakan tiket yang menghalalkan nepotisme?

Daripada cara kedua-dua menteri dan timbalan ini menjawab, mereka sebenarnya tahu kesalahan melantik anak dan menantu di kementerian masing-masing tetapi masih mahu menegakkan benang basah atas perlakuan itu.

Walaupun anak Shahidan dan menantu Tajuddin ini belum pernah terkait sebaranf kontroversi sepertimana anak Nazri Aziz tetapi tidak bermakna peraturan dan pekeliling Perkhidmatan Awam boleh dilanggar sesuka hati. Isunya bukanlah sama ada anak, menantu atau ahli keluarga itu terlibat kontroversi atau tidak tetapi selagi ia merupakan ahli keluarga, peraturan itu seharusnya dipatuhi tanpa banyak soal.

Dalam hal ini, Shahidan dan Tajuddin tidak seharusnya terus berdalih atau cuba mempertahankan kesalahan melantik anak dan menantunya itu. Sebaiknya akur dan patuh saja dengan nasihat dan arahan Perdana Menteri yang menjelaskan bahawa ahli keluarga mana-mana menteri tidak boleh bekerja di kementerian.

Berhentilah daripada terus menyusahkan Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan. Tidak guna mereka mempertahankan tindakan itu kerana dibimbangi lagi banyak yang cuba dipertahankan, lagi banyak pendedahan mengenai salah laku anak dan menantunya itu. Sekarang ini pun sudah ada blog-blog yang mula menyeret Tajuddin dengan isu-isu nepotisme yang lain terutama di Bahagian Pasir Salak serta gambar-gambar menantunya dalam pelbagai aksi.

Tidak mustahil jika Shahidan dan Tajuddin cuba mempertahankan lagi anak dan menantu mereka, lagi banyak pendedahan dan gambar-gambar yang akan terdedah kemudiannya. Akhirnya mereka juga yang malu.

Jadi, sebaiknya akur sajalah dengan nasihat serta arahan Perdana Menteri dan mengalahlah sepertimana yang telah dilakukan oleh Nazri Aziz. (SH 23/08/2013)

2 comments:

  1. kes nepotisme ini bukan terhad kpd poli-tikus UMNO yg Menteri/Timbalan Menteri. Ia juga meluas di kalangan poli-tikus UMNO yg memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kerajaan. Saya tahu mengenai satu kes di Perbadanan Harta xxxxxxx Malaysia di mana Pengerusinya menggunakan pengaruh memasukkan menantunya bekerja dgn Perbadanan ini. Pengerusi ini juga membeli ijazah Masters melalui internet. Pengerusi penipu ini juga telah dipilih (dan menang) sebagai ahli Palimen UMNO dlm PRU13.

    ReplyDelete
  2. Mohon siasat, anak lelaki Shahidan juga bekerja di ICU JPM,sedang seronok menabur projek kepada kawan-kawan.

    ReplyDelete