Saturday 3 August 2013
Politik Menantu Dan Politik Anak Hantu
Presiden Pas, Haji Hadi Awang tidak pernah tercemar kedudukan dan wibawanya sebelum ini. Tetapi kini kerana menantunya, Zaharudin Muhamad yang juga Ahli Majlis Syura Pas yang didakwa mempunyai pengaruh serta sering campurtangan dalam urusan parti, titik-titik hitam seakan mulai muncul membayangi kepimpinannya.
Ini mungkin sesuatu yang tidak dijangka oleh Haji Hadi sendiri, namun kini orang sudah bercakap macam-macam mengenai kepimpinannya. Semuanya kerana terlihat adanya pengaruh menantu dalam kepimpinannya sejak kebelakangan ini walaupun di zaman mudanya, Haji Hadi merupakan pemimpin yang digeruni dan disanjung tinggi.
Isu ini bermula dengan pertelingkahan beberapa kerusi antara Pas, PKR dan PSM dalam pilihanraya lalu. Di DUN Kota Damansara, Zaharudin dikatakan telah mempengaruhi Haji Hadi agar menandatangai surat watikah kepada calon Pas meskipun telah dipersetujui bahawa kerusi itu ditandingi oleh calon PSM yang menggunakan lambang PKR.
Disebabkan hal itu, kerusi Kota Damansara yang sebelumnya milik PR melalui calonnya, Dr Nasir telah berubah tangan kepada BN. BN seperti menang percuma kerana berlaku pertandingan tiga penjuru di DUN itu.
Di beberapa kerusi DUN di Terengganu yang berlaku pertindihan kerusi antara Pas dengan PKR dan kemudian timbul isu pil kuda dan sebagainya yang dibangkitkan oleh Haji Hadi sebagai alasan mengapa Pas turut meletakkan calonnya, juga dikaitkan dengan pengaruh Zaharudin terhadap bapa mertuanya itu.
Dalam isu Kota Damansara, Zaharudin juga berlaga angin dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mempertahankan konsep pengagihan kerusi yang telah dipersetujui sebelum ini. Pertelingkahan itu berlarutan sehingga sekarang di mana Zaharudin masih mempertahankan hujahnya bahawa tindakan Pas yang turut meletakkan calon bukanlah penyebab calon BN menang di kerusi itu. Beliau memberikan alasan pengundi Kota Damansara adalah "educated" dengan turut mengambil kira latar belakang calon dan sebagainya sebagai asas untuk mengundi dan bukan semata-mata kerana berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Sebenarnya adalah menyedihkan mengapa isu mengenai Karl Max, pil kuda dan sebagainya hanya ditimbulkan di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon sehingga akhirnya telah menggugat persepakatan dalam PR dan menyebabkan bukan saja kekalahan di beberapa kerusi bahkan juga menyebabkan rakyat terus memilih BN kerana BN dilihat lebih berjaya mengurus masalah serta perbezaan dengan lebih baik berbanding PR.
Terbaru, Zaharudin yang dikenali dengan Din Ayam juga membangkitkan adanya golongan yang mahu menjatuhkan Haji Hadi sebagai Presiden Pas dan ini segera dikaitkan dengan usahanya untuk mengekalkan kepimpinan ulama dalam PAS dan cuba mengurangkan pengaruh golongan profesional yang berjiwa Islam yang mulai mengambil tempat dalam parti itu.
Zaharudin turut dikaitkan dengan beberapa tokoh berpendidikan agama dalam parti itu yang ingin ditonjolkannya seperti Nasharuddin Tantawi, Nik Abduh dan sebagainya. Pengaruh golongan profesional yang mulai melebar dalam Pas dikatakan ingin disekat pengaruhnya kerana Zaharudin ingin Pas kekal dengan identiti lamanya.
Tindakannya itu bagaimanapun menyebabkan seorang ahli seumur hidup Pas telah mengemukakan aduan kepada jawatankuasa disiplin parti kerana mendakwa Zaharudin membuat dakwaan tidak berasas dan menimbulkan ketidaktenteraman kepada parti.
Sejauh mana campurtangan dan pengaruh Zaharudin kepada bapa mertuanya sukar dipastikan. Golongan dalam PAS juga berbelah bagi mengenainya tetapi dengan caranya mempertahankan calon PAS bertanding di Kota Damansara sekurang-kurangnya menunjukkan peranannya itu tidak boleh dinafikan.
Walau apa pun peranan dan campurtangan Zaharudin sebagai menantu kepada Haji Hadi, keadaan ini mengingatkan rakyat kepada Khairy Jamaluddin atau KJ di era kepimpinan Pak Lah dahulu. Beliau juga sering didakwa campurtangan dan mempunyai pengaruh kepada kepimpinan Pak Lah sehingga akhirnya ia menjadi isu utama kepada Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah.
Walaupun KJ kini sudah boleh berdiri sendiri dalam politik tanpa dibayangi lagi oleh Pak Lah tetapi kewujudan "eleman budak-budak Tingkat 4" yang dikaitkan dengan KJ dan kaitannya dengan kejatuhan Pak Lah adalah suatu sejarah yang tidak boleh dinafikan dan ianya akan kekal menjadi rujukan sampai bila-bila.
Eleman menantu juga pernah menggerhanai kepimpinan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan apabila menantunya, Ariffahmi Abdul Rahman dilantik sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Pelbagai isu dan persepsi cuba dibangkitkan mengenai kedudukan beliau itu dengan tujuan untuk mencemarkan kepimpinan Nik Aziz, termasuk mengenai amalan kronisme dan nepotisme.
Mujurlah Ariffahmi cepat digugurkan daripada kedudukannya sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Jika tidak, mungkin hingga sekarang, Nik Aziz turut dikaitkan dengan pelbagai isu mengenai peranan dan pengaruh menantunya. Hanya setelah menantunya tiada lagi berdekatan dengan jawatan Menteri Besar yang disandang oleh Nik Aziz, barulah Nik Aziz agak kurang menjadi bahan pertikaian mengenai wibawa dan ketelusan kepimpinannya.
Di dalam UMNO sekarang pula, isu menantu Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin turut menjadi percakapan ramai. Walaupun menantu Muhyiddin ini tidak terlibat dalam politik dan mempengaruhi perjalanan politik bapa mertuanya tetapi penglibatannya dalam beberapa kontrak kerajaan tetap menjadi isu.
Menantu Muhyiddin dikaitkan dengan pembekalan mesin biometrik untuk pemutihan pekerja asing di mana bapa mertuanya adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing. Dalam isu BestariNet kepada sekolah-sekolah seluruh negara, menantu Muhyiddin itu turut dikaitkan dengan konglomerat YTL yang memperolehi kontrak tersebut.
Sedikit-sebanyak imej Muhyiddin sekarang turut tercemar adalah kerana penglibatan menantunya dalam perniagaan yang ada kaitan dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.
Apa pun peranan menantu dalam perjalanan politik bapa mertua masing-masing di Malaysia ini, ia sebenarnya lebih banyak mengundang masalah berbanding mendatangkan kebaikan. Apa yang pernah dialami oleh Pak Lah dan Nik Aziz serta apa yang sedang dihadapi oleh Haji Hadi dan Muhyiddin, menyerlahkan hakikat itu.
Daripada anak menantu, peranan mereka sering bertukar menjadi "anak hantu", dibenci oleh sesetengah orang dan menimbulkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Walaupun menurut kata Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Tantawi bahawa penglibatan menantu ini bukan sesuatu yang asing dan telah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi tetapi tetapi barangkali menantu pemimpin di zaman itu berbeza dengan menantu zaman sekarang dari segi kecintaan kepada dunia dan kuasa.
Dan sebab itulah banyak menantu di zaman Nabi dan di awal perkembangan Islam dahulu dilihat lebih berjaya membantu menyemarakkan lagi obor perjuangan bapa mertua masing-masing berbanding menantu-menantu orang berkuasa di zaman sekarang ini kerana mereka hanya fokus kepada perjuangan semata-mata. Tidak pernah pula terdengar karenah menantu di zaman Nabi yang berlebih-lebihan sehingga menimbulkan kebencian pengikut.
Peranan menantu yang mendatangkan masalah bukan saja berlaku dalam politik tetapi juga dalam kehidupan seharian, terutama jika mertuanya kaya raya serta berada. Sudah banyak kisah-kisah menantu bertukar menjadi anak hantu ini menjadi santapan telinga sejak dulu sehinggalah sekarang tetapi nampaknya ia terus juga berlaku.
Bapa mertua sering malu alah dengan menantu kerana terlalu sayang kepada menantu yang menjaga anak perempuannya dengan baik. Lebih-lebih lagi bila ada cucu, sayang mertua kepada menantu naik berlipat kali ganda. Jika mertua ada kuasa atau kaya raya, keadaan ini sering diambil kesempatan oleh menantu sama ada mengaut faedah atau menonjolkan diri.
Kegagalan bapa mertua mengawal menantu dan memberi muka secara berlebih-lebihan adalah antara punca timbulnya masalah ini. Seringkali mertua menyayangi menantu melebihi kasih sayang kepada parti dan organisasi yang sedang dipimpinnya.
Menantu kepada orang-orang berkuasa pula, seharusnya menyedari kedudukan mereka sebagai menantu bukanlah suatu keistimewaan. Mereka mungkin hanya istimewa dalam keluarga tapi bukan dalam organisasi atau parti. Mereka sepatutnya kekal mencintai dan hanya berkahwin dengan anak pemimpin berkenaan saja bukannya turut mengahwini jawatan bapa mertua masing-masing. (SH 03/08/2013)
Tiada usaha menjatuhkan TGHA dari orang lain melainkan tindakan bodoh Din Ayam sendiri yang akan menjatuhkan TGHA.
ReplyDeleteJika tiada berlaku pertelagahan diantara PAS dan PKR dalam meletakkan calon di Kota Damansara tempoh hari sudah pasti tiada siapa yang mempedulikan Din Ayam sebagai menantu Presiden Pas, Haji Hadi Awang.
ReplyDeleteNasi sudah jadi bubur.... Beliau sudah jadi liabiliti bukan saja pada TGHA tapi kepada parti PAS...Ianya tak ubah seperti selumbar mencucuk jari. Kemunculannya ingin menyelamatkan parti PAS dari dikuasai oleh puak profesional dan juga menjadi bodyguard TGHA agar tiada ahli berupaya menjatuhkan ayah mentuanya telah menjadi bahan jenaka oleh musuh politiik....
Din Ayam mungkin menyangka bahawa ramai rakyat Malaysia menyokong parti PAS kerana ulamak yang ada dalam parti itu, kerana itu puak ulamak harus diberi keutamaan dan menyingkirkan puak profesional dari menguasai parti.
Tapi Din Ayam lupa bahawa rakyat lebih suka pada ulamak dari UMNO Baru kerana ulamak dari parti itu memberi duit pada mereka sedangkan ulamak dari PAS setiap kali membuat ceramah meminta duit dari mereka.
Mungkin juga Din Ayam menyangka bahawa dengan membaca ayat alquran, membaca hadis, dan mendongengkan cerita para nabi dan para sabahat maka orang yang mendengarnya pasti terpesona dan terpengaruh lalu melupakan kesusahan yang mereka tanggong? Sedangkan masaalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berasaskan duit.
Pernahkah kita mendengar puak ulamak dari parti PAS mencadangkan sesuatu pekara berkaitan dengan ekonomi rakyat ? Puak profesional lebih memahami masaalah ekonomi dan puak ini juga mempunyai idea kreatif bagi menyelesaikannya.
Rakyat menyokong PAS kerana puak profesional ini yang sedia menjawab permasalahaan rakyat berasaskan fakta bukan berasaskan ilusi yang ditunjukkan oleh puak ulamak.
Walaupun begitu, ulamak dan profesional memerlukan antara satu sama lain seperti tangan kanan perlukan tangan kiri untuk melaksanakan sesuatu kerja. Jika dipisahkan diantara puak ini maka cacatlah pekerjaan mereka kerana agama memerlukan ekonomi untuk hidup dan ekonomi memerlukan agama untuk maju.
Jika ada yang terpedaya dan kekal bersekongkol dengan ahli seperti Din Ayam dan sekutunya, ada kemungkinan parti PAS akan mereput dari dalam.....insyaalah !