Saturday, 17 August 2013

Nazri Aziz Mula Jadi Beban Kepada UMNO?


Tidak sampai dua hari, PM Najib terpaksa menukar pendiriannya berhubung tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang melantik anaknya sebagai pegawai khasnya di kementerian itu.

Jika semalam Najib menyatakan tidak menjadi salahnya Nazri berbuat demikian asalkan tidak melibatkan pembayaran gaji oleh kerajaan tetapi hari ini beliau mengubah kenyataannya itu dengan mengatakan ahli keluarga menteri hanya boleh diletakkan sebagai pembantu di kawasan Parlimen masing-masing dan bukannya di kementerian.

"Inilah prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh diletakkan di pejabat menteri," katanya.

Tindakan Nazri melantik anaknya sebagai pegawai khas telah mengundang keresahan orangramai, bukan saja kerana anaknya, Nedim itu terlibat dengan kontroversi sebelum ini, bahkan cara Nazri mempertahankan anaknya memperlihatkan keangkuhannya yang melampau.

Selain mengatakan anaknya tidak dibayar gaji oleh kerajaan, sebaliknya melalui duit poketnya sendiri, Nazri dengan nada sombongnya juga berkata, "ini kementerian saya, saya boleh boleh lantik sesiapa saja."

Dalam hal ini Nazri barangkali terlupa bahawa kementerian bukanlah milik individu. Kementerian bukan seperti syarikat sendirian berhad. Kementerian adalah milik kerajaan dan menteri duduk di situ hanyalah atas ehsan Perdana Menteri melantiknya setelah beliau dipilih sebagai wakil rakyat.

Hanya setelah menjadi wakil rakyat atau dewan negara, barulah seseorang itu boleh dilantik sebagai menteri. Ini menjadikan seseorang menteri sebenarnya sentiasa terikat kepada sokongan dan undi rakyat. Selagi rakyat menyokongnya, dapatlah jadi menteri tetapi setelah tidak lagi mendapat sokongan rakyat, kedudukan menteri terpaksa dilepaskan dan kementerian juga kena ditinggalkan.

Jadi, janganlah sombong dan bongkak sangat kerana dapat jadi menteri seolah-olah boleh melakukan apa saja. Ingatlah bahawa menjadi menteri adalah atas pertanggungjawaban bersama sebagai sebuah kerajaan setelah diberi mandat oleh rakyat. Jika menteri bersikap sombong dan angkuh, parti dan kerajaan yang akan menerima kesan penolakan daripada rakyat.

Oleh sebab itu, menjadi seorang pemimpin dan menteri haruslah menjauhi sikap sombong dan angkuh bagi memastikan sokongan rakyat berterusan. Pemimpin yang bersikap sombong, angkuh dan enggan menerima teguran adalah beban kepada parti dan kerajan.

Tindakan Najib yang terpaksa mengubah pendirian dan menjadi flip-flop berhubung keputusan Nazri melantik anaknya itu, walaupun mengundang persepsi yang berbagai mengenai kefahaman Perdana Menteri sendiri berhubung perlantikan ahli keluarga oleh seseorang menteri, tetapi secara nyata menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Nazri itu adalah salah.

Cumanya, mungkin atas sebab-sebab tertentu dan hubungan peribadi yang agak lama, Najib segan memberitahu secara terus-terang agar Nazri mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu.

Dengan meletakkan anaknya duduk di kementerian, walaupun gajinya dibayar oleh bapanya sendiri tetapi sudah tentu pelbagai kemudahan kerajaan akan turut digunakannya. Lagi pula meletakkan anak dan ahli keluarga sendiri di di kementerian di mana bapanya menjadi menteri, turut juga mengundang persepsi yang tidak baik kepada rakyat dan kakitangan kementerian itu sendiri.

Rakyat akan melihat menteri mengamalkan nepotisme manakala kakitangan kementerian pula menjadi serba-salah dalam menjalankan tugasnya terutama jika ada permintaan yang melibatkan pemberian kontrak dan peluang perniagaan.

Dalam isu Nazri ini, beliau sebenarnya lebih banyak dikecam oleh pihak dalam UMNO sendiri berhubung tindakannya itu. Pelbagai peringkat dalam UMNO secara terbuka meluahkan rasa kurang senang dengan perkara itu. Blogger dan pengendali laman sosial pro UMNO juga tidak henti-henti mengkritik beliau sambil mengaitkan dengan beberapa kenyataannya yang berbaur angkuh dan sombong setiap kali isu mengenai anaknya itu menjadi kontroversi.

Sebelum ini isu mengenai anaknya yang dikaitkan dengan tauke balak, Michael Cina, Nazri juga bingkas mempertahankan anaknya itu dengan nada yang juga sombong dan angkuh. Kali ini, timbul lagi isu anaknya, sombong dan angkuhnya tetap sama juga.

Nazri dilihat seperti tidak memahami kedudukannya sebagai pemimpin dan menteri yang seharusnya sentiasa bersikap rendah diri, mesra rakyat dan menjauhi sama-sekali sifat sombomg dan angkuh, lebih-lebih lagi kemenangan BN dalam pilihanraya umum lalu tidaklah sebesar mana.

Najib sendiri berulangkali mengingatkan pemimpin UMNO dan kerajaan supaya sentiasa mengamalkan sikap-sikap terpuji dan menjauhi amalan yang tidak disukai oleh rakyat, berikutan kesedarannya bahawa kedudukan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti jauh lebih getir jika pemimpinnya tidak berubah sikap.

Namun Nazri nampaknya, baik sebelum pilihanraya, apatah lagi selepas pilihanraya ini apabila dipindahkan ke kementerian yang penuh warna-warni, sikapnya semakin jauh daripada amalan pemimpin yang diharapkan oleh rakyat. Tidak hairanlah bukan saja parti lawan yang mengkritiknya, bahkan kritikan daripada dalam UMNO sendiri ternampak semakin melebar.

Dengan kenyataan Najib hari ini bahawa anggota keluarga tidak boleh berada di pejabat menteri, mesej Najib adalah jelas agar Nazri segera mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu. Jika ingin dikekalkan juga jawatan pegawai khasnya, letakkanlah di kawasan Parlimennya di Padang Rengas dan bukan lagi di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Najib barangkali sudah menerima maklumbalas yang negatif daripada UMNO sendiri mengenai tindakan Nazri itu sehingga kenyataannya berubah berbanding semalam. Jika semalam, beliau macam bersetuju dengan tindakan Nazri itu, kenyataannya hari ini tentunya lebih mudah difahami oleh Nazri. Yang pastinya, tiada alasan lagi untuk Nazri terus berdalih mempertahankan anaknya itu. (SH 17/08/2013)


6 comments:

  1. Dalam parti UMNO Baru beliau adalah diantara orang yang bijak pandai dan beliau juga individu yang diberi kepercayaan mempertahankan kuasa kepimpinan Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak.

    Patut kah kita mengingatkan Nazri Aziz bahawa apa jua kementerian dalam kerajaan BN itu bukan milik individu. ?

    Nazri Aziz orang lama, segala rahsia pemimpin disekelilingnya tersimpan dengan elok dalam poketnya. Oleh kerana itu dia tidak takut malah dengan nada biadap beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian pelancungan itu adalah miliknya...ikut suka dia apa dia nak buat. Dan dolik-dalik dalam kenyataannya yang lain tidak lebih untuk memperbodohkan orang yang mempersoalkan tindakannya.

    Persoalannya, siapa yang berani mengambil tindakan terhadapnya ?

    Rujuk pada perdana menteri, orang itu juga mempunyai masaalah peribadi yang lebih hebat dengan “KEMENTERIAN LAKI BINI”. Nak mengadu pada ahli UMNO.... mereka terlampau bangang ...‘Tun Mahathir kata’ pemimpin bersin pun dia orang akan bertepok tangan.

    Akhirnya orang luar akan bernyanyi dengan ahli UMNO Baru diperhimpunan agong mereka nanti dengan lagu ‘Siluncai terjun dengan labu-labunya...biarkan, biarkan ’


    ReplyDelete
  2. Susah betul nak cari menteri Umno yg berakhlak... mungkin dah tak ada rasanya. Tak ada beza dengan tokey judi haram... lebih kurang sama dengan pemilik pusat maksiat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy syurkan kpd menteri2 yg slh guna duit rakyat tu letak lah jwtan, sebelum dosa jdi byk, dn taubat,minta ampon dgn rakyat jelata ya...duit rakyat bukan utk kyakan kaum keluarga ya,ingat tu, tak kan msuk syurga tahu...

      Delete
  3. Bila lagi Nazri nak ketengahkan legasinya?. Sekarang lah masanya. Kalau Tun Hussain Onn ada Hisyamuddin, Tun Razak ada Najib dan Mahathir ada Mukhriz, Pak Lah ada Khairi, Lim Kit Siang ada Lim Guan Eng, Anwar ada Nurulizzah dan Ustaz Nik Aziz ada Nik Abduh.....mana tahan Nazri tengok dan telan air liur saja. Tu yang buat Najib serba salah. Memang susah ketam nak ajar anaknya berjalan betul!

    ReplyDelete
  4. Orang-orang lain semua anak ke menantu menang melalui pilihanraya,tapi yg ni .............

    ReplyDelete
  5. Kenapalah zaman ini susah sangat nak diketengahkan menteri-menteri yang amanah dan insaf dengan kesusuahan hidup rakyat, tak macam zaman Tun Rzak/Tun Ismail dulu ....bagaimanalah dengan nasib anak cucu kita nanti....

    ReplyDelete