Wednesday, 17 July 2013

Kalau Nak Tahu Apa Terjadi Bila Kedudukan 16-16, Jadikanlah Ia Kenyataan


Pilihanraya kecil DUN Kuala Besut mula membahang panas kempennya. Tidak saja panas dengan isu tempatan dan pembangunan segera yang didatangkan ke kawasan itu, malah isu-isu peribadi turut mula mengambil tempatnya. Tidak dipedulikan sama ada bulan Ramadan atau tidak, kempen pilihanraya tetap sama rentak dan iramanya selagi matlamatnya ialah untuk mencari kemenangan.

Di Kuala Besut ini, tidak saja BN yang mula menggunakan kelemahan peribadi dan keluarga calon lawan sebagai bahan kempen, sebaliknya Pas juga turut mengguna kelemahan dan sisi tidak baik calon BN untuk mencari kemenangan. Hakikatnya, kedua-dua pihak lebih kurang sama dalam strategi kempennya.

Tetapi yang paling menarik ialah berkenaan dengan kedudukan kerusi di DUN Terengganu jika Pas berjaya memenangi pilihanrayaa kecil ini. Dalam pilihanraya lalu BN memenangi 17 kerusi manakala PR menang 15 dan dalam pilihanraya kecil ini Pas berusaha untuk memenanginya bagi menjadikan kedudukan 16-16.

Kedudukan jumlah kerusi seri tidak pernah berlaku sebelum ini di mana-mana negeri. Ramai yang ingin tahu apa akan berlaku selepas itu. Apakah Menteri Besar akan bertukar? Apakah Sultan Terengganu boleh menentukan siapa Menteri Besar pilihan baginda? Atau adakah kedudukan DUN Terengganu akan tergantung? Mungkinkah pilihanraya negeri akan diadakan untuk mencari pemenang sebenar?

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku bila kedudukan menjadi 16-16 tetapi sehingga ini tiada siapa yang pasti apa keadaannya yang sebenar. Sementara Pas menjadikan 16-16 Terengganu Baru sebagai antara bahan kempennya, BN pula nampaknya sangat berusaha keras untuk memastikan Kuala Besut ini kekal ditangan mereka dan kedudukan kekal 17-15.

Pas melalui Naib Presidennnya, Sallahuddin Ayub menaruh keyakinan bahawa kedudukan Menteri Besar akan bertukar tangan dan memihak kepada mereka jika kedudukan menjadi 16-16. Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai perkara itu, cuma memberi jaminan jika kerusi Menteri Besar berjaya diperolehi banyak permasalahan tanah di negeri itu akan diselesaikan.

Tetapi bagi Idris Jusoh, Ketua UMNO Besut dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Kuala Besut pula mempunyai tafsiran lain. Beliau berkata, jika kedudukan 16-16, kerusi Menteri Besar akan kekal ditangan BN kerana kelebihan undi Speaker yang memihak kepada mereka. Namun hujah itu ditentang oleh Dr Zulkifli Ahmad dari Pas yang menyatakan undi Speaker tidak boleh dipakai dalam penentuan kedudukan Menteri Besar.

Ahmad Maslan pula meminta pengundi Kuala Besut supaya terus memilih BN bagi mengelakkan DUN Terengganu menjadi tergantung dan membawa kepada ketidakstabilan politik di negeri itu.

SPR yang menguruskan perjalanan pilihanraya juga tiada jawapan jika kedudukan menjadi 16-16. Pengerusinya, Aziz Yusof dilaporkan berkata, jika kedudukan menjadi seri, ia bukan lagi tanggungjawab mereka menentukan apa yang berlaku selepas itu.

Najib dan Muhyiddin pula tidak memberi ulasan setakat ini jika kedudukan menjadi 16-16 itu. Muhyiddin yang menjadi Pengarah pilihanraya kecil ini hanya mahukan kemenangan dan seolah-olah tidak mahu memikirkan mengenai kedudukan 16-16 itu. Walaupun pemimpin UMNO yang lain banyak yang bercakap mengenainya tetapi tiada yang sekata. Pandangan mereka berbeza-beza dan ini menunjukkan mereka bercakap ikut sedap mulut saja tanpa memahami tafsiran sebenar mengenai undang-undang dan Perlembagaan.

Apa pun, sehingga ini tafsiran mengenai kedudukan 16-16 ini adalah lebih mengikut kepentingan parti masing-masing. Pas mentafsirkan dengan menjuruskannya kepada keadaan yang mungkin memihak kepada mereka, begitu juga dengan BN lebih memberi tafsiran yang turut menyebelahi mereka.

Hakikatnya tiada siapa yang jelas dan pasti mengenai apa yang bakal berlaku jika kedudukan DUN menjadi seri. Tiada rujukan yang boleh diguna kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Sama ada ia terpulang kepada kuasa Sultan Terengganu atau tafsiran undang-undang dan Perlembagaan akan dibuat oleh Peguam Negara atau Perdana Menteri mempunyai kuasa memberi nasihat kepada Sultan atau pelbagai kemungkinan lain, semuanya tiada kepastian.

Semuanya masih kabur dan tidak jelas. Tetapi yang jelas dan pastinya PAS sangat mahukan keddukan 16-16 itu menjadi kenyataan manakala UMNO dan BN pula jelas dan pasti tidak mahu kedudukan seri itu berlaku.

Tanpa ada niat untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi sekadar untuk menguji sistem demokrasi dan menambah kematangan dalam berpolitik di negara ini, ada baiknya jika kedudukan 16-16 ini dijadikan kenyataan. Hanya setelah itu barulah kita tahu apa sebenarnya yang berlaku supaya ia boleh menjadi rujukan di lain-lain masa.

Ia juga akan memberi ruang untuk undang-undang dan Perlembagaan diberi tafsiran yang lebih jelas dan ini merupakan sesuatu yang amat berguna untuk generasi akan datang. Sama ada selepas kedudukan 16-16 itu, Sultan mempunyai kuasa memilih Menteri Besar, Menteri Besar sedia ada akan kekal atau perlu pilihanraya negeri atau sebagainya, semuanya akan terjawab dengan sendirinya.

Dalam hal ini pengundi Kuala Besut pada 24 Julai ini sebenarnya mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar mengundi untuk memilih seorang ADUN saja. Mereka mampu memberi sumbangan besar kepada rakyat dan negara dari segi kematangan berpolitik dan pengamalan sistem demokrasi dan Raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.(SH 17/07/2013)

4 comments:

  1. Bisa terjadi apa-apa saja termasuk bubar DUN

    ReplyDelete
  2. Apapun terjadi semoga segalanya berasakan perlembagaan yang dipersetujui bersama...

    ReplyDelete
  3. Nanti yg tak mau ikut perlembagaan kita dah tau dah mesti punya umno..macam yg terjadi rampasan kuasa di perak. Dah memang kerja umno penjenayah.

    ReplyDelete
  4. tang aku pasti.ungkapan NATANG pasti akan keluar jika Pas menang,

    ReplyDelete