Thursday, 4 July 2013
Kalau Inginkan Durian Runtuh, Menangkanlah PAS Di Kuala Besut!!
Bahang pilihanraya kecil DUN Kuala Besut sudah mula dirasai oleh semua pihak. Walaupun SPR hanya akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundinya tetapi semua pihak, baik UMNO mahupun PAS iaitu parti yang bakal bertanding di kerusi itu seperti sudah melonjak semangat masing-masing untuk memenangi kawasan itu.
Bahkan jika pilihanraya itu diadakan pada bulan puasa pun, semangat mereka tetap sama.
Di pihak PR, pada peringkat awalnya seperti nampak kecelaruan dengan PAS dan PKR masing-masing mahu meletakkan calonnya manakala DAP pula menyarankan agar dipulaukan pilihanraya walaupun jelas dalam pilihanraya umum lalu kawasan itu ditandingi oleh PAS. Sama ada semua itu suatu strategi atau percubaan melemahkan semangat musuh tetapi kini nampaknya semua sudah sepakat bahawa PAS yang sepatutnya meletakkan calonnya di Kuala Besut itu.
UMNO pula sudah mengumumkan Muhyiddin Yassin sebagai Pengarah Pilihanrayanya dengan dibantu oleh Idris Jusoh selaku timbalannya. Beberapa nama bakal calon juga sudah mula kedengaran. Meskipun perlantikan Idris mungkin disebabkan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Besut tetapi cakap-cakap sudah mula kedengaran bahawa UMNO telah mengenepikan Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu dari sebarang peranan dalam pilihanraya kecil ini.
Dengan tiadanya peranan khusus untuk Ahmad Said dalam pilihanraya ini, beliau mungkin hanya menjadi pengiring kepada mana-mana pemimpin pusat yang turun berkempen ke kawasan itu nanti, suatu peranan yang jauh lebih kecil kerana biasanya seorang Menteri Besar akan dijadikan Timbalan Pengarah dalam pilihanraya kecil.
Bagi kedua-kedua pihak, UMNO dan Pas, mereka akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Dengan BN menguasai DUN Terengganu pada nisbah 17-15 kerusi sebelum ini, mereka mahu memenangi semula kerusi itu bagi mengekalkan kelebihan dua kerusi yang dimenanginya. Bagi PAS pula, mereka mahu memenanginya kerana ia akan menjadikan kedukan kerusi DUN Terengganu menjadi 16-16, suatu senario yang boleh memberikan pelbagai implikasi dari segi tafsiran undang-undang, Perlembagaan dan kuasa Sultan.
Jika kedudukan seri berlarutan dan menimbulkan suasana yang tidak aman, DUN Terengganu kemungkinan akan dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya peringkat negeri diadakan dan seterusnya untuk memilih siapakah pemenang yang sebenarnya. Dalam hal ini, jika dilihat dari sudut momentum, UMNO tentunya akan kecut perut manakala PAS melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menguasai negeri itu.
Walaupun BN menang di Kuala Besut dalam PRU 13 lalu dengN majoriti 2,434 undi melalui calonnya, Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar tetapi orang-orang Kuala Besut berkata, kemenangan BN ketika itu banyak disumbangkan oleh peribadinya yang disukai ramai. Lagi pula lawannya adalah dari muslimah Pas, Puan Nafisah.
PAS bukan saja bersemengat untuk memenangi DUN Kuala Besut bagi menggoncang kedudukan kerajaan Negeri Terengganu tetapi juga berdasarkan sejarah bahawa parti itu pernah memenangi kawasan itu beberapa kali sebelum ini. Kali terakhir PAS menang di situ ialah pada pilihanraya 1999, iaitu ketika PAS menguasai negeri Terenganu.
Ini menunjukkan Kuala Besut bukanlah kebal buat UMNO dan BN. Jika PAS meletakkan calon yang betul, diterima ramai dan diikuti dengan cara serta strategi kempen yang betul juga, memenangi Kuala Besut bukanlah mustahil. Tambahan pula, belum apa-apa, PAS sudah pun mendapat bonus kempen apabila Ahmad Said disisihkan oleh UMNO sendiri dalam pilihanraya ini.
Penyisihan Ahmad Said ini tentunya boleh dijadikan modal yang baik dalam kempen. Pilihanraya kecil ini antara lainnya ialah untuk mempertahan kedudukan kerajaan negeri dan Ahmad Said daripada terus tidak stabil, tetapi oleh kerana Menteri Besar sendiri diketepikan, ia tentulah juga membawa maksud bahawa UMNO tidak meyakini sepenuhnya kepimpinan dan kewibawaan beliau untuk terus mentadbir negeri itu.
Dalam hal ini, bukan saja pengundi atas pagar boleh diracuni keyakinannya dalam isu penyisihan Ahmad Said, bahkan iman politik orang UMNO juga boleh tergoncang dibuatnya, terutamanya penyokong kuat Menteri Besar.
Selain itu, dengan kedudukan yang kritikal antara UMNO dan PAS di Terengganu sekarang dan masing-masing ingin memenangi kawasan itu, sudah tentulah pelbagai jenis habuan, pembangunan dan durian runtuh akan dinikmati oleh pengundi Kuala Besut sepanjang kempen pilihanraya berlangsung. Jika pilihanraya diadakan pada bulan puasa, pengundi Kuala Besut pastinya akan menikmati kemeriahan yang berpanjangan di bulan puasa ini. Jika orang di tempat mencari-cari Lailatul Qadar dan memohon doa dimurahkan rezeki, pengundi Kuala Besut mungkin tidak menang tangan menadah rezeki yang melimpah.
Pada Hari Raya ini pula, pengundi Kuala Besut mungkin menjadi rakyat Malaysia paling mewah dan bergaya berbanding di tempat-tempat lain.
Tidak diragukan lagi, terutamanya UMNO dan BN, mereka akan berusaha memenangi DUN Kuala Besut ini dengan apa cara sekali pun. Peruntukan pembangunan, habuan, jamuan berbuka puasa, morey, sahur besar-besaran dan pelbagai durian runtuh lainnya akan diturunkan silih berganti. Muhyiddin dan menteri-menteri kabinet juga akan sentiasa kelihatan di Kuala Besut membawa pelbagai peruntukan dari kementerian masing-masing.
Pendek kata, orang Kuala Besut akan menjadi anak emas kepada kerajaan wassatiyah Najib.
Itu baru semasa kempen di Kual Besut. Andainya jika PAS menang di Kuala Besut dan kedudukan jumlah kerusi DUN menjadi seri 16-16, sikap murah hati kerajaan Pusat akan lebih berganda lagi. Jika pilihanraya peringkat negeri terpaksa diadakan untuk menentukan siapakah pemenang yang sebenar, sekali lagi kerajaan Pusat akan berbelanja habis-habisan untuk memastikan mereka kekal berkuasa. Dengan kedudukan seri dan sama-sama kuat itu, tentulah UMNO yang menguasai kerajaan Pusat akan berbelanja semahunya dan akhirnya seluruh rakyat Terengganu menikmati untungnya.
Andainya jika kemenangan PAS di Kuala tidak mengubah atau menggugat kedudukan kerajaan negeri berikutan UMNO mempunyai kelebihan undi Speaker dan Menteri Besar baru tidak perlu dilantik berikutan Menteri Besar sudah mengangkat sumpah di hadapan Sultan, untuk tempoh lima tahun menjelang pilihanraya akan datang, rakyat Terengganu juga akan dijaga serta dibelai sebaik-baiknya untuk memastikan kuasa dalam genggaman tidak terlepas. Sekali lagi, dalam tempoh lima tahun rakyat Terengganu akan mewah dengan rezeki, habuan dan ganjaran. Durian runtuh yang berganda-ganda akan dinikmati pula.
Seluruh pengundi dan kawasan pilihanraya di Terengganu akan dijaga bagai si tua kaya yang baru dapat menikah dengan perempuan muda. Malah Ahmad Said yang selama ini kerap kali bersikap gedebe pun mungkin berubah menjadi seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa.
Ini bermakna pilihanraya kecil Kuala Besut yang pertama diadakan selepas PRU 13 memberi banyak kelebihan jika pengundi kawasan itu tahu menggunakan kuasa mengundi yang ada di tangan masing-masing dengan bijaksana. Fikirkan untuk kebaikan Kuala Besut dan juga untuk seluruh Terengganu. (SH 04/07/2013)
Tiada jalan lain yang boleh membantu BN menang dikawasan itu melainkan dengan merasuah sebahagian pengundi yang berpengaruh seperti yang dilakukan ketika pilihanraya yang lalu.
ReplyDeleteOrang disitu ramai yang menyokong kerajaan perpaduan maka mereka lebih suka melihat duit dari mencari jalan menuju ke syurga.
Semuga segelintir ahli PAS yang terbabit dengan pilihan raya kecil itu tidak menyamar sebagai pejuang sedangkan mereka adalah pengkhianat parti... Jika hadi tidak telan pil kuda sila awasi mereka !
JIka BN menang dikawasan ini bukanlah kerana faktor rasuah tetapi faktor salah pilih calon. Macamana PAS akan menang jika dihantar insan yang STROKE untuk berlawan TOMOI dengan yang gah? Tiada faktor yang membolehkan PAS menang di PRK DUN Kuala Besut jika Calon dipilih hanyalah berdasarkan DIA KAYA? ALIM...takat sembahyang lima waktu....taraf pendidikan........SPM yang tenat.......Bukan setakat Yes No Alright tidak tahu...yang pasti berhujah MELAYU pun belum tentu keluar dari mulut tokeh ikan atau Kontrakter ini di DUN . Jika ini terjadi.....untuk apa seorang wakil rakyat dipilih? Pimpinan perlu serius mencari PEJUANG,PEMAIN politik yang berkaliber mewakili DUN KUALA BESUT!
ReplyDelete