Wednesday, 5 June 2013
Hishammuddin Lebih Matang Daripada Zahid Hamidi
Sementara banyak pihak menyuarakan pendapat agar tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan UMNO pada pemilihan hujung tahun ini, Naib Presiden UMNO Hishammuddin Hussein nampaknya bersikap lebih terbuka dan matang serta memahami bahawa UMNO tidak seharusnya lagi dikawal serta ditentukan oleh orang yang berada di atas sahaja.
Beliau yang baru dilantik sebagai Menteri Pertahanan berkata, hanya perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO yang paling layak menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO mahu dipertandingkan atau tidak.
Katanya, semua proses meminda perlembagaan parti, termasuk proses mahu membenarkan lebih ramai perwakilan akar umbi mengundi pada pemilihan nanti adalah dibuat bagi menjadikan parti itu menjadi lebih telus dan inklusif.
Akhirnya, kata beliau, semuanya terpulang kepada para perwakilan namun ia perlu dibuat agar UMNO kekal kuat.
Sikap dan pendirian Hishammuddin ini sekaligus menolak pendirian dan sikap UMNO Negeri Sembilan yang telah membuat resolusi agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO ini tidak dipertandingkan atas alasan kononnya demi perpaduan dan persiapan menghadapi PRU 14.
Pendirian UMNO Negeri Sembilan itu juga disokong oleh beberapa pemimpin UMNO yang lain, termasuk seorang lagi Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. Najib yang sedar kedudukannya belum pasti selamat berikutan keputusan piliharaya yang tidak begitu memberangsangkan, bagaimanapun menyatakan kesediaan jika ada sesiapa yang mahu mencabarnya.
Meskipun demikian, sikap dan pendirian ahli UMNO di peringkat akar umbi nampak nyata berbeza. Ramai yang bercakap soal pertandingan dan mahu semangat demokrasi dalam UMNO disuburkan dengan semangat pertandingan yang sihat demi memilih pemimpin yang terbaik di antara yang baik-baik.
Kenyataan Hishammuddin yang menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan dan bukannya mana-mana pemimpin yang berhak menentukan sama ada pertandingan itu mahu diadakan atau tidak, jelas merupakan bidasan kepada resolusi UMNO Negeri Sembilan dan sesiapa juga yang menyokongnya.
Setelah kali terakhir UMNO menyaksikan pertandingan jawatan Presiden pada 1987 iaitu kira-kira 26 tahun yang lalu, kini ramai yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan itu dibiarkan ada berlaku pertandingan. Tambahan pula, membenarkan sesiapa bertanding juga adalah selari dengan semangat dan hasrat Najib sendiri meminta perlembagaan dan peraturan baru yang melibatkan lebih ramai ahli dibenarkan membuat keputusan mengenai pucuk pimpinan parti berbanding hanya kira-kira 2,500 perwakilan bahagian sebelum ini.
Selain kira-kira 145,000 ahli peringkat cawangan akan menentukan pucuk pimpinan kali ini, sesiapa yang mahu bertanding juga tidak lagi terikat dengan kouta pencalonan tertentu, sebaliknya mereka yang berhasrat untuk bertanding hanya perlu mendaftarkan namanya saja di Ibu Pejabat UMNO.
Berikutan prestasi BN lebih buruk berbanding 2008, timbul cakap-cakap bahawa Muhyiddin bakal mencabar Najib bagi memberi nafas baru yang lebih segar kepada UMNO dan BN bagi menghadapi PRU 14 nanti. Beberapa nama juga turut disebut sebagai bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO yang akan dikosongkan oleh Muhyiddin, antaranya Zahid Hamidi dan Hishammuddin.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, nama Khaled Nordin, Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin, selain Shafie Afdal yang akan mengekalkan jawatan, adalah antara nama-nama yang mula disebut bakal bersaing merebut jawatan ketiga tertinggi itu.
Walaupun sehingga ini belum ada mana-mana pihak tampil mengesahkan mahu bertanding tetapi jelas tergambar mood ahli di peringkat bawahan ialah mereka mahukan adanya pertandingan di semua jawatan utama kali ini.
Sementara ada pemimpin yang tidak mahu adanya pertandingan, sikap dan pendirian Hishammuddin yang menyerahkan perkara itu kepada perwakilan menentukannya haruslah diberikan pujian kerana ianya menunjukkan beliau memahami kehendak ahli di peringkat akar umbi. Berbanding Zahid juga, Hishammuddin ternampak lebih matang dalam hal ini meskipun ketika menjadi Menteri Dalam Negeri dulu, beliau banyak dikecam dan dipertikaikan.
Kecaman dan sindiran banyak pihak terhadapnya sebelum ini, serta pertukaran ke Kementerian Pertahanan barangkali telah mengubah pemikirannya menjadi seorang pemimpin yang lebih baik dan memahami hasrat orang bawahan.
Sikap Hishammuddin itu juga menunjukkan beliau telah berubah dan mahu nasib pemimpin ditentukan oleh ahli UMNO peringkat akar umbi, sesuai dengan slogan Najib "rebah jika tidak berubah" sementara Zahid pula nampaknya lebih selesa dengan sikap lama yang hanya mahu ahli bawahan mendengar serta mengikut kata pemimpin atasan.(SH 05/06/2013)
No comments:
Post a Comment