Monday, 13 May 2013
Di Sebalik 1Malaysia, Najib Juga Membakar Sentimen Perkauman
Hari ini 13 Mei 2013, bermakna sudah 44 tahun peristiwa 13 Mei 1969 telah berlalu. Sepatutnya dalam tempoh 44 tahun ini kita semua sudah melupakan peristiwa berdarah itu dan sama-sama bergerak, tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa, ke arah suatu matlamat memajukan negara dan menjadikan negara ini lebih aman.
Tetapi malangnya, hari ini, sentimen perkauman terus dibakar dan rasa kecurigaan antara kaum bagai mahu dihasut semula. Semuanya kerana kepentingan politik kepartian dan kebetulan pilihanraya baru saja berlaku, maka keputusan pilihanraya kali ini telah dijadikan alasan untuk membangkitkan semula sentimen perkauman itu untuk menafikan kesilapan dan kelemahan sendiri.
Bermula ketika kempen pilihanraya lagi di mana Mahathir telah menuduh Lim Kit Siang sebagai rasis dan menggambarkan tindakannya bertanding di Gelang Patah sebagai usaha menebalkan lagi semangat itu, ia kemudian merebak dalam suasana kempen dengan semakin ramai orang cuba membangkitkan semangat yang sama.
Sebaik keputusan diumumkan pula, Najib juga terseret dengan sentimen perkauman yang sama walaupun sebelumnya mengasaskan gagasan 1Malaysia yang dilihat sebagai usaha merapatkan hubungan antara kaum di negara ini. Komen awal Najib bahawa keputusan pilihanraya kali ini merupakan kesan daripasa tsunami Cina sebenarnya mengecewakan banyak pihak yang cintakan perpaduan dan ingin melihat ikatan hubungan antara kaum menjadi lebih erat lagi.
Hanya semata-mata kerana calon-calon MCA dan Gerakan ramai yang kecundang, Najib segera menyalahkan pengundi Cina dalam hal itu dan menganggapnya sebagai penolakan terhadap Melayu. Mahathir pula dengan nada yang lebih keras menyifatkan pengundi Cina telah menolak huluran tangan persabahatan daripada Melayu.
Kedua pemimpin inilah yang mula-mula merobek persefahaman kaum dan membakar sentimen itu untuk menafikan hakikatnya bahawa BN semakin ditolak oleh rakyat. Penolakan pengundi Cina sebenarnya hanyalah kepada BN, bukannya kepada Melayu. Kit Siang menang di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14 ribu bukan semata-mata kerana sokongan pengundi Cina tetapi juga daripada pengundi Melayu. Rafizi menang besar di Pandan, Arif Sabri di Raub dan beberapa calon Melayu PR di kawasan pengundi Cina membuktikan pengundi Cina tidak menolak pemimpin Melayu dan persahabatan dengan Melayu. Mereka hanya menolak BN walaupun calon BN itu Cina.
Sementara PR tidak pernah membangkitkan isu perkauman dalam kempennya tetapi lebih banyak membangkitkan isu rasuah, kenaikan harga barang, tata kelola kerajaan yang lemah dan sebagainya, UMNO dan BN tidak mahu menerima hakikat bahawa mereka ditolak bukan kerana kaitannya dengan Melayu atau kaum tetapi kerana isu-isu lain yang berkaitan kerajaan dan dan kepimpinan yang dipertikaikan rakyat.
Untuk meredakan ketegangan, Najib yang banyak berdiam selepas menuduh tsunami Cina, ketika ulangtahun UMNO baru-baru ini berkata pula bahawa UMNO bukanlah parti rasis dan telah bertindak adil terhadap kaum-kaum lain juga. Malangnya kenyataan beliau itu gagal meredakan api yang telah dibakarnya.
Di ketika pengundi Cina berdiam diri dan MCA serta Gerakan juga tidak mahu membalas api perkauman yang dipercikkan itu, ramai pula pemimpin Melayu bertindak terus-terusan membakarnya. Selain Zulkifli Nordin yang kalah di Shah Alam cuba mengungkit kembali peristiwa 13 Mei, forum-forum terbuka yang membincangkan keputusan pilihanraya lalu turut terjebak ke arah aliran yang sama.
Dalam sebuah forum semalam, seorang hakim pencen, Mohd Nor Abdullah cuba lagi menyiram minyak keatas sentimen perkauman dengan menuduh keputusan pilihanraya lalu memperlihatkan kaum Cina yang ingin mengambil alih kuasa politik pula setelah menguasai ekonomi sebelumnya, sambil mengingatkan bahawa orang Melayu akan bangkit melawannya di suatu ketika nanti.
Amat menghairankan bagaimana seorang bekas hakim boleh mengeluarkan kenyataan sebodoh ini dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Apa yang dimahukankannya? Apakah beliau mahu hubungan antara kaum sentiasa tegang dan bermasam muka sepanjang masa?
Selepas ini mungkin lebih banyak lagi forum yang serupa akan dianjurkan. Maka akan tertonjol lagi tokoh-tokoh yang sebelum ini tidak pernah menyumbang apa-apa kepada keharmonian kaum, muncul di dada- dada media dengan pandangan yang rasis seolah-olah merekalah pejuang bangsa dengan mengapi-apikan semangat perkauman seolah-olah juga hubungan kaum di negara ini sudah berada di tahap yang begitu parah sedangkan di mana-mana hubungan kaum masih kelihatan erat dan tidak menjejaskan apa-apa.
Melayu dan Cina masih boleh duduk semeja, yang berjiran pula tetap bertegur sapa seperti biasa. Tidak ada pula orang Melayu yang bekerja di syarikat Cina yang dibuang kerja, malah tiada juga orang Melayu dan Cina yang bergaduh di sini-sana.
Yang kelihatan nazak akibat daripada keputusan pilihanraya lalu adalah parti-parti politik tertentu yang berasaskan kaum saja. Sebagaimana cadangan hakim pencen itu juga yang mahu sekolah vernakular dimansuhkan kerana bertentangan dengan perlembagaan, sebenarnya sudah sampai masanya juga parti-parti berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC dimansuhkan sama jika benar serius inginkan penyatuan kaum.
Amatlah malang sementara kita semua diminta bergerak ke hadapan dan mementingkan negara, dan Najib sendiri melalui dasar 1Malaysianya meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan bangsa, tiba-tiba hanya kerana keputusan piliharaya yang tidak memihak kepadanya, Najib dan UMNO telah membakulsampahkan dasar 1Malaysia itu sendiri dan seperti ingin melihat semuanya dimusnahkan melalui keegoan terhadap bangsa dan kaum masing-masing.
Malang juga sebenarnya kerana peristiwa 13 Mei yang sepatutnya menjadi batu sempadan agar kita semua tidak mengulangi kesilapan yang sama, di mana semakin ramai yang terlibat dalam peristiwa berdarah itu juga sudah tiada lagi di dunia ini, akhirnya 13 Mei hanya menjadi alat untuk menambahburukkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.
Walaupun ada pemimpin UMNO seperti Shahrir Samad dan Saifuddin Abdullah menolak hujah tsunami Cina dan tindakan membakar semangat perkauman, hakikatnya ramai pemimpin UMNO lainnya berdiam diri mengenainya. Malah akhbar yang berada dibawah ketiak UMNO, Utusan juga tidak henti-henti memarakkan lagi api perkauman ini.
Akhirnya kita boleh menilai di mana Najib sebenarnya. (SH13/05/2013)
salam saudara shahbudin ,
ReplyDeleteagak malang pemimpin seperti shahrir, saifuddin & kj berada didalam parti yg salah..pemimpin seperti ini la patut berada & bersama dgn rafizi,khalid samad,tony pua dll..
Salam Saudara Shahbudin,
ReplyDeleteDi sebalik perpaduan, orang UMNO tidak mungkin mengekalkan kuasa mereka seperti apa yang dilafaskan di mana mana blog yang dapat melihat muslihat UMNO.. UMNO wujud dan berkuasa disebabkan dapat menwujudkan sentiment perkauman yang menebal sehingga dapat menakutkan setengah2 orang melayu dan cina yang masih mempercayai bahawa UMNO la yang dapat mengawal kestabilan Negara sedangkan mereka la yang merompak dan menyamun hak2 serta kemahuan kebanyakan rakyat jelata, di sini sebagai seorang Cina, orang Cina tak sama sekali menolak kepimpinan orang Melayu sebab orang cina sudah matang dan mengetahui Perlembagaan, Sistem Beraja, keistimewaan orang Melayu, ditentukan oleh kepandaian, kebijakksaan serta kematangan Pemimpin Bangsa Melayu pada masa yang akan datang, Orang Cina sebenarnya menolak Bangsa BN sepenuhnya untuk masa depan yang lebih cerah untuk Rakyat Malaysia...orang Cina juga percaya jika tidak, bangsa yang akan mengambil alih Malaysia berkemungkinan bangsa yang diberikan Kad Pengenalan di mana mendapat hak mengundi...
Terimakasih