Friday, 26 April 2013

Mahathir, Daim Kembali Menguasai UMNO?


Mahathir akhirnya bersuara mempertahankan tindakan BN mencalonkan pemimpin Perkasa mewakilinya dalam pilihanraya ini atas alasan NGO itu menyokong UMNO meskipun tindakan itu mengundang risiko berkurangnya sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Walaupun Mahathir hanya menyebut mengenai Zulkifli Nordin secara langsung dalam isu ini tetapi adalah dipercayai ianya juga melibatkan Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas.

Tindakan Mahathir mempertahankan calon dari Perkasa ini mengesahkan andaian banyak pihak bahawa adanya campurtangan beliau sehingga membuatkan calon BN Pasir Mas, Johan Che Pa tidak mengemukakan borang pencalonannya dan seterusnya memberi laluan kepada Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas untuk berhadapan satu lawan satu dengan Pas dan mendapat sokongan daripada UMNO.

Apabila namanya tidak disebut sebagai calon mewakili BN di Pasir Mas, Ibrahim Ali dikatakan telah menghubungi Mahathir yang ketika itu berada di London kerana menghadiri majlis pengkebumian bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcer.

Ibrahim telah meluahkan rasa kecewanya kepada Mahathir sambil menganggap Najib telah mungkir janji terhadapnya kerana pernah memberi jaminan bahawa beliau akan diberi peluang bertanding mewakili BN di Pasir Mas.

Adalah difahamkan, Mahathir kemudiannya telah menghubungi Daim Zainuddin supaya segera bertemu dengan Najib dan menyampaikan mesejnya yang mahukan Ibrahim dijadikan calon, Setelah Daim bertemu dengan Najib dan memaklumkan hasil pertemuannya dengan Mahathir, bekas Perdana Menteri itu sendiri telah menghubungi Ibrahim dan mengatakan semuanya telah diselesaikan.

Apabila akhirnya Johan Che Pa menarik diri dan memberi ruang kepada Ibrahim berlawan satu lawan satu dengan Pas, peranan dan campurtangan Mahathir segera diperkatakan sebagai puncanya. Mahathir bukan saja mempunyai hubungan rapat dengan Perkasa dan beberapa kali menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh NGO itu, bahkan juga pernah mencadangkan kepada Najib agar Ibrahim dipilih sebagai calon.

Lebih dari itu, Mahathir juga berjanji akan turun berkempen membantu Ibrahim Ali di Pasir Mas.

Kini bukan saja Mahathir berjaya mengotakan kota-katanya itu, malah secara tidak langsung memperlihatkan kecenderungannya untuk menguasai semula UMNO yang kini dipimpin oleh Najib. Setelah berkuasa selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri dengan Daim menjadi panglima paling kanannya, gandingan itu seakan muncul kembali menunjukkan taringnya.

Dalam kempen yang sedang berjalan sekarang, Mahathir dilihat sama sibuk dengan Najib berkempen untuk UMNO dan BN. Walaupun sudah beberapa kali beliau menyatakan bahawa tindakannya hanyalah untuk membalas jasa UMNO, namun kecenderungan untuk menguasai UMNO terlihat bergerak seiring dengannya.

Yang paling ingin dimenangkannya, selain BN di peringkat Pusat, ialah BN di peringkat negeri Kedah kerana ianya akan memberi laluan kepada anaknya, Mukhriz menjadi Menteri Besar di negeri jelapang padi itu.

Mahathir memang diketahui aktif menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat sejak beberapa tahun lalu manakala Daim pula muncul beberapa bulan kebelakangan ini dengan tindakan yang sama. Walaupun keduanya seakan mempertahankan Najib dan menyarang Anwar, sasaran yang sebenarnya ialah penguasaan terhadap UMNO.

Dengan adanya calon-calon dari Perkasa yang  diketengahkan dan Mukhriz yang cuba dimenangkan, selain masih ada pemimpin UMNO sendiri yang berkiblatkannya, Mahathir dan Daim dipercayai akan memainkan peranan yang lebih besar dalam UMNO selepas pilihanraya nanti. (SH 26/04/2013)

No comments:

Post a Comment