Wednesday, 10 April 2013

Apakah Nasib Katak-Katak Politik Dalam PRU 13 Ini?


Sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media, Najib selaku Pengerusi BN dijangka akan mengumumkan senarai calon BN dalam tempoh beberapa hari ini. Ia mungkin hujung minggu ini atau awal minggu depan. Berbanding PR, mereka sudah pun mengumumkan sebahagian besar nama-nama yang bakal bertanding sejak beberapa hari lalu.

Sementara para pemimpin UMNO berdebar menunggu sama ada nama mereka dipilih sebagai calon atau tidak, terdapat golongan lain yang turut berdebar sama. Mereka ini sama berharap agar dipilih sebagai calon mewakili BN.

Mereka ini ialah kalangan Ahli Parlimen dan Adun yang menang dalam pilihanraya lalu atas tiket Pas dan Pkr tetapi kemudiannya mengambil keputusan meninggalkan perjuangan yang menaikkan nama mereka, lalu menjadi wakil rakyat Bebas yang mesra kepada UMNO dan kepimpinan Najib. Antara yang popular ialah Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Zaharin Hashim, Wee Choo Keong, Dr Hassan Ali, Gobalakrishnan dan beberapa nama lagi yang tidak begitu popular dan tenggelam sebaik saja beralih rakit.

Dua Adun dari Perak yang menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang iaitu Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi juga termasuk dalam kelompok itu. Ahli Parlimen Pas dari Bachok, Nasharuddin Mat Isa yang sangat mesra dengan Najib juga tentunya berdebar menanti sama ada namanya masih ada di hati Perdana Menteri atau bakal dilupakan begitu sahaja.

Sejak Najib menjadi Perdana Menteri, kelompok pelompat politik atau juga mesra dengan panggilan katak oleh masyarakat, sering saja mewarnai dunia politik negara dengan pelbagai berita sensasi terutama yang berupa serangan kepada pembangkang dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Suratkhabar dan tv pula bagaikan tidak sah jika tidak menyiarkan berita mengenai mereka.

Dalam mempertahankan Najib, UMNO dan kerajaan pula, golongan yang beralih kiblat politik ini terlihat lebih lantang dan ke depan berbanding pemimpin UMNO sendiri. Di ketika ramai pemimpin UMNO hanya berdiam diri semasa Najib diserang dengan pelbagai serangan, kelompok inilah yang sering ke depan mempertahankan dan menjadi pembela kepada Perdana Menteri.

Menjelang hari penamaan calon 20 April ini dan hari pengundian pada 5 Mei depan, nasib dan timbul tenggelam mereka ini mulai menjadi percakapan ramai, bukan saja di kalangan ahli dan pemimpin UMNO tetapi juga di kalangan rakyat biasa. Ramai yang berminat untuk mengetahui untung nasib dan timbul tenggelam mereka ini setelah bertahun-tahun mereka menjadi pembela kepada Najib dan kerajaan. Ramai yang ingin tahu sama ada mereka ini terus boleh melompat selepas ini atau hanya duduk di gua-gua yang sunyi.

Sehingga ini, belum ada kata putus mengenai mereka meskipun Najib seperti memberi bayangan kemungkinan ada seorang dua daripada mereka ini yang bakal dipilih bertanding menggunakan tiket BN dalam pilihanraya akan datang. Menyedari kemungkinan ada pemimpin UMNO yang kecil hati dan kecewa dengan pemilihan mereka itu, Najib menyetakan, kalau mahu merajuk pun biarlah selama 24 jam saja, selepas itu turunlah bekerja bagi memastikan kemenangan BN.

Siapa di kalangan katak-katak politik ini yang akan terpilih menjadi calon BN, masih lagi samar-samar. Hanya Ibrahim Ali yang paling ke depan berharap beliau akan dipilih kali ini. Beliau telah mengadakan beberapa perjumpaan menggunakan NGO Perkasanya untuk menunjukkan keseriusan ke arah itu dan juga telah berjaya meyakinkan Mahathir untuk bercakap melobinya supaya beliau turut dipilih oleh Najib sebagai calon BN di Pasir Mas.

Ibrahim Ali dikhabarkan sudah mempersiapkan jenteranya dan akan meletakkan jawatan sebagai Presiden Perkasa dalam sehari dua ini bagi memberi fokus kepada usahanya bertanding itu.

Gobalakrishnan pula secara terbuka seakan-akan merayu agar beliau dipilih untuk bertanding mewakili BN pula di kerusi lamanya di Padang Serai, Kedah atas alasan sejak beralih kiblat, beliau telah mengadakan 300 program yang melibatkan lebih 10 ribu pengundi di kawasannya untuk menyokong dasar kepimpinan Najib.

Zulkifli Noordin dan pula tidak banyak bercakap mengenai masa depannya, tetapi ada laporan mengatakan beliau bakal diletakkan bertanding mewakili BN di Shah Alam, Selangor. Yang lain-lain hanya berdiam diri, mungkin Dr Hassan Ali pula sedang berdoa atau berusaha cara lain agar namanya turut dipilih oleh Najib sebagai calon dalam pilihanraya ini.

Nasharuddin Mat Isa juga disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon berdasarkan keakraban hubungannya dengan Najib dan beliau juga sudah beberapa kali mengikuti rombongan Najib ke luar negara. Jika beliau dipilih bertanding mewakili BN, ia tentunya merupakan sejarah kerana Nasharuddin masih merupakan ahli Pas.

Perkara yang menjadi persoalan juga, sanggupkah ahli dan pemimpin UMNO di sesuatu kawasan itu menerima dengan rela hati golongan katak dan pelompat politik ini sebagai bakal Ahli Parlimen atau ADUN mereka?

Jika Ibrahim Ali bertanding di Pasir Mas misalnya, bolehkah ahli dan pemimpin UMNO menerimanya dan bekerja untuk memenangkannya sedangkan dalam pilihanraya lalu Ibrahim bertanding atas tiket Pas? Lebih dari itu beliau bukannya ahli UMNO.

Begitu juga jika Zulkifli Noordin dicalonkan di Shah Alam atau Dr Hassan Ali di Gombak misalnya, bagaimanakah pula penerimaan ahli dan pemimpin di kedua-dua kawasan itu? Bolehkah pemimpin UMNO di kedua kawasan itu hanya merajuk selama 24 jam sedangkan mereka telah bertungkus-lumus untuk UMNO sejak sekian lamanya dan sesetengahnya sudah mengidam untuk menjadi wakil rakyat sejak bertahun-tahun yang lalu?

Bolehkah juga ahli UMNO menerima dengan hati terbuka jika Nasharuddin Mat Isa yang masih merupakan ahli Pas dipilih sebagai calon BN di mana-mana kawasan nanti?

Meskipun sejak tiga empat tahun ini, ramai ahli UMNO yang menyokong dan bersama-sama dengan NGO yang diterajui oleh Ibrahim Ali, Dr Hassan Ali dan Zulkifli Noordin dalam beberapa isu mereka ditonjolkan, realitinya ia tidak bermakna mereka juga sanggup menerima pemimpin-pemimpin itu sebagai calon wakil rakyat mewakili UMNO dan BN.

Dalam isu pemilihan wakil rakyat Bebas sebagai calon BN, kemungkinan ada yang merajuk dan berkecil hati memang tidak boleh dielakkan. Yang penting juga ialah sama ada yang merajuk itu boleh dipujuk atau mereka berpendirian biarlah sama-sama berputih mata akhirnya.

Kenyataan Najib yang memberi bayangan kemungkinan ada wakil rakyat Bebas akan dipilih bertanding mewakili BN menunjukkan beliau memang berasa terhutang budi dengan pengorbanan mereka selama ini. Berapa orang yang bakal dipilih mungkin bergantung kepada kesesuaian kawasan dan kemampuan calon itu sendiri.

Secara realitinya, memilih mereka yang pernah melompat parti ini sebagai calon dan mengenepikan pemimpin UMNO sendiri ada baik dan buruknya. Daripada satu segi, memilih mereka membawa makna bahawa Najib seorang pemimpin yang budiman dan mengenang budi tetapi kesan buruknya juga banyak. Ia akan mendedahkan kepada sabotaj, kecil hati, merajuk, tutup bilik gerakan dan seterusnya mengecilkan ruang untuk mencapai kemenangan.

Jika Najib ada pilihan, pemimpin dan ahli UMNO juga tahu membuat pilihan. (SH 10/04/2013)






2 comments:

  1. Salam Tuan,

    Jika calon katak diletakkan dimana pun semuanya akan mengalami kekalahan,kerana mereka telah menderhaka kepada rakyat. Rakyat sudah membuat keputusan yang calon-calon katak akan dikalahkan ditangan rakyat juga kerana mengkianat. Tiada satu pun akan terlepas dari dosa yang mereka lakukan. Jangan buang masa dengan calon-calon katak kerana rakyat masih berdendam dengan mereka!

    ReplyDelete
  2. Macam mana dengan Ustaz NASA kita...kalau masih jadi calon maknanya PAS parti yang bengang.

    ReplyDelete