Friday, 1 March 2013

Macam-Macam Runtuh, Petanda Era BN Juga Bakal Runtuh!


Sebuah jambatan yang sedang dalam pembinaan runtuh berhampiran Putrajaya semalam. Sebelum ini berlaku juga tanah runtuh, bumbung stadium runtuh, rumah di lereng bukit runtuh dan macam-macam lagi yang runtuh.

Jika mahu dikira dengan moral dan akhlak yang turut runtuh setiap hari, negara kita mungkin dikira tempat yang paling banyak sekali berlaku perkara-perkara runtuh.

Beberapa hari sebelum itu, bekas penyiasat persendirian yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, P Balasubramaniam muncul untuk kali pertama di Dewan Perhimpunan Cina Selangor mendedahkan rentetan cerita mengenai peristiwa yang melibatkan rakan karib Najib iaitu Razak Baginda. Tujuannya tidak lain ialah untuk meruntuhkan imej dan moral Najib menjelang pilihanraya umum ini.

Beliau yang sejak beberapa tahun melarikan diri ke India selepas menukar akuan bersumpahnya, kini bersumpah sekali lagi sambil memegang kitab suci agama Hindu, Bhagawad Gita bahawa akuan bersumpah pertamanya yang mengaitkan nama Najib dalam kes pembunuhan Antantuya adalah benar manakala akuan bersumpah kedua yang dipaksakan keatasnya adalah palsu.

Beliau juga bertekad kepulangannya kali ini ialah untuk membantu Pakatan Rakyat menumbangkan BN. Tidak dapat tidak, dengan kepulangan Bala dan pendedahan yang dilakukannya itu serta disiarkan pula secara meluas di media internet, nama baik dan imej Perdana Menteri turut runtuh di mata umum.

Lebih-lebih lagi, sehingga hari Najib tidak berani berkata apa-apa mengenainya. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak.

Sebelum Bala, usahawan karpet Deepak Jaikishan turut meruntuhkan imej serta wibawa Najib dengan pelbagai dakwaan yang mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya, Rosmah Mansor.

Walaupun pelbagai dakwaan dibuat oleh Deepak termasuk menuduh secara langsung berkaitan pemberian rasuah kepada keluarga Najib, sehingga ini tidak ada keberanian di pihak Najib untuk bertindak balas. Di mata rakyat, terutama pengundi muda dan mereka yang berpendidikan, nama Najib telah runtuh kerananya. Dan jawapan Najib yang sekadar berkata, Deepak bukanlah individu yang boleh dipercayai, tidak memadai untuk memulihkan semula nama baiknya yang telah diruntuhkan itu.

Selain itu, Najib juga dikaitkan dengan pelbagai dakwaan lain sepanjang kepimpinannya. Dari salah guna kuasa, mengamalkan kronisme dan nepotisme, pembaziran dan kemewahan isteri serta keluarga dan macam-macam lagi. Di antara enam Perdana Menteri yang telah memerintah Malaysia, Najib tergolong paling banyak masalah berbanding lima yang berkuasa sebelumnya.

Saban masa ada saja dakwaan baru ditimbulkan berkaitan diri dan kepimpinannya. Kadang-kadang orang turut hairan bagaimana beliau boleh relaks dan mampu menampilkan "muka sardinnya" terhadap semua dakwaan itu. Beliau seolah-olah pemimpin yang tidak ada perasaan. Katalah apa saja kepadanya, beliau seolah-olah tidak terkesan kerananya.

Dengan pelbagai dakwaan yang timbul terhadap Najib selama ini, imej beliau sebenarnya sudah lama runtuh. Rakyat tidak lagi menilai beliau sebagai pemimpin yang baik, bahkan penuh dengan masalah. Walaupun ayahnya Tun Razak disanjung sehingga kini, tetapi Najib nampaknya tidak mewarisi kebijaksaan dan kehebatan seperti ayahnya itu.

Imej dan wibawanya sebagai Perdana Menteri yang telah runtuh itu seperti tidak mampu dipulihkan lagi. Kajian Merdeka Center sendiri mendapati popularitinya sentiasa turun dari semasa ke semasa. Dari hari ke hari, kedudukan UMNO dan BN pula menjadi bertambah pudar di mata rakyat, sebahagian besarnya kerana penolakan terhadap kepimpinan dan masalah yang dibawa oleh Najib sekeluarga.

UMNO seperti tidak habis-habis menanggung masalah yang yang dibawa oleh Najib dan keluarganya. Setiap hari sumbangan yang dijaja hanyalah bantuan BR1M bernilai RM500 tetapi hari-hari juga ahli dan penyokong UMNO kena menepis pelbagai dakwaan yang timbul yang melibatkan Najib dan Rosmah. RM500 bukan saja tidak cukup untuk belanja dapur selama setahun tetapi juga tidak cukup untuk membasahkan tekak yang sentiasa kering untuk membalas dakwaan Deepak dan Bala.

Runtuhnya pelbagai binaan kebelakangan ini mungkin saja secara kebetulan atau mungkin ada kaitan dengan unsur-unsur rasuah dalam pemberian projek itu sehingga ia menjadi tidak berkualiti dan mudah runtuh. Tetapi runtuhnya imej dan wibawa Najib adalah kerana kelemahan dan salahnya sendiri.

Namun semakin banyak yang runtuh sejak kebelakangan ini secara tidak langsung memberi rangsangan kepada rakyat untuk melihat era pemerintahan UMNO dan BN yang telah berkuasa sejak 55 tahun turut runtuh dalam PRU 13 ini. (SH 01/03/2013)

2 comments:

  1. Bagi yang belum mendengar sendiri dakwaan dari mulut Bala...sila taip link http://goo.gl/1St0w ini ke web browser anda ( atau copy & paste ).

    Para blogger UMNO WAJIB mendesak Najib dan pimpinan UMNO membawa kes tuduhan ini ke mahkamah!. Jadilah jantan seperti Husam Musa yang menyaman Kickdefella atau PapaGomo ( Papa Gomo sudah sah blogger bacul macam PM Najib yang beliau sanjung sanjung itu ).

    PM Najib borek Blogger rintik. PM Najib bacul Blogger UMNO dayus. Padan sangat laa tu.

    Fr Pattani Warrior

    ReplyDelete
  2. Mohon laluan sebentar.
    Schomi Oil Tools etc(syarikat minyak & gas), CIMB dan FELDA adakah milik Najib dan keluarga?

    ReplyDelete