Saturday, 26 January 2013

Kenapa Hanya 4 Pemimpin BN Disytihar Tidak Bersih?


Ramai yang tertanya-tanya siapakah empat pemimpin BN yang tidak berjaya melepasi tapisan SPRM serta dianggap tidak bersih dan dinasihat digugurkan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang ini. Mereka itu, sebagaimana yang dilaporkan oleh Sinar Harian, ialah dua menteri, seorang menteri besar dan seorang lagi ketua menteri.

Sinar Harian yang dilaporkan memetik sumber-sumber memberitahu, bahawa keempat-empat pemimpin itu didapati gagal melepasi tapisan SPRM kerana mempunyai masalah undang-undang dan akan memberi implikasi kepada parti jika dicalonkan.

Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut parti mana dan negeri mana asal keempat-empat pemimpin itu.

Ramai juga yang tertanya-tanya, jika sudah dianggap tidak bersih dan ada masalah dengan undang-undang oleh SPRM, kenapa keempat-empat pemimpin itu tidak didakwa saja di mahkamah?

Sebenarnya banyak lagi persoalan dan tanda-tanya yang timbul di sebaliknya berita mengenai empat pemimpin BN yang didakwa gagal melepasi tapisan SPRM itu. Meskipun usaha itu dianggap berniat baik tetapi ia dianggap tidak praktikal dan lebih terdedah kepada masalah lain yang lebih merimaskan.

Dalam usaha untuk mencapai kemenangan dan memastikan calonnya benar-benar bersih, BN sebelum ini dilaporkan telah menghantar nama bakal calon mereka kepada SPRM untuk dinilai sebelum diputuskan untuk dipilih sebagai calon. Pakatan Rakyat pula sejak awal menolak kaedah ini kerana tidak meyakini agensi itu.

Berikutan pendedahan Sinar Harian itu, selain ramai yang ingin mengetahui siapakah empat pemimpin BN yang bakal digugurkan itu, ramai juga hairan kenapa empat saja pemimpin BN yang dikategorikan sebagai kotor dan tidak layak lagi bertanding?

Secara sinis, ramai yang beranggapan bahawa jika BN benar-benar ikhlas mahu memilih pemimpin yang bersih dan tidak ada cacat-celanya dan SPRM pula berfungsi seadil-adilnya, sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pemimpin yang ada sekarang perlu digugurkan.

Ini kerana bukan lagi menjadi rahsia bahawa kebanyakan pemimpin yang ada sekarang sering saja terpalit dengan pelbagai isu dan masalah seperti mengumpul kekayaan, salah guna kuasa, mengutamakan kroni, diheret oleh masalah yang ditimbulkan oleh anak dan isteri serta pelbagai cacat-cela lainnya.

Mencari pemimpin UMNO dan BN yang benar-benar bersih, jujur serta ikhlas dalam ertikata yang sebenar pada realitinya amatlah sukar dan ia umpama mencari setitik air di gurun yang kontang.

Masalah yang melibatkan mereka itu pula seringkali menjadi bahan pendedahan dalam pelbagai media baru berserta dengan bukti-buktinya sekali. Dan ia memang sesuatu yang bukan saja tidak dapat dinafikan oleh mereka yang terbabit, malah menjadi percakapan rakyat di mana-mana.

Jadi, bagaimana hanya empat saja yang gagal melepasi tapisan SPRM? Bagaimana dengan yang lain? Adakah menteri, menteri besar dan ketua menteri yang lain benar-benar bersih?

Lantaran itu ada yang agak sinikal berkata, Najib dan Muhyiddin pun belum tentu bersih dan layak bertanding lagi jika istilah bersih itu mahu dipraktikkan dengan sejujurnya dan SPRM menjalankan tapisan yang betul kerana kedua pemimpin itu pun tidak sunyi daripada pelbagai dakwaan berkaitan kebersihan mereka sebagai pemimpin.

Dalam masa yang sama, terdapat juga kebimbangan di kalangan pemimpin UMNO sendiri terhadap kaedah BN menggunakan SPRM untuk menilai moral dan kebersihan seseorang yang bakal dipilih sebagai calon. Ia hanya dianggap sebagai cara mudah bagi Najib untuk menggugurkan seseorang dengan menggunakan SPRM sebagai sandaran.

Tetapi ia juga mendedahkan BN kepada unsur sabotaj yang lebih parah. Pemimpin yang digugurkan itu tentunya berasa malu dan maruah mereka bagai dicalarkan kerana pengguguran itu secara langsung membuktikan mereka bukannya pemimpin yang bersih. Ramai yang pastinya tidak dapat menerima kaedah ini, lebih-lebih lagi jika didapati ada rakan sendiri yang diketahui sama-sama tidak bersih dan kotor macam mereka juga, terus dipilih sebagai calon nanti.

Mereka yang digugurkan ini tidak akan berdiam diri, kata seorang pemimpin UMNO dengan penuh keyakinan.

Akhirnya, usaha untuk menampilkan calon yang bersih yang diharapkan membawa kemenangan tidak juga menemui kejayaan. Ini kerana jika pemimpin bertaraf menteri, menteri besar atau ketua menteri yang melakukan sabotaj ketika pilihanraya, kesannya tentulah lebih besar berbanding sabotaj ahli biasa di peringkat cawangan dan bahagian.

Lebih dari itu, kaedah menggunakan SPRM ini untuk menggugurkan seseorang pemimpin lebih menunjukkan kelemahan Najib sendiri sebagai peneraju. Sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti, jika mahu menggugurkan seseorang menteri, menteri besar atau ketua menteri, beliau sepatutnya memanggil mereka dan mengadakan perbincangan secara baik mengenainya dan bukannya menggunakan helah lain.

Disamping terdedah kepada sabotaj yang lebih parah, kaedah menggunakan penilaian SPRM ini juga mendedahkan Najib, UMNO dan BN kepada pelbagai masalah lain yang saling kait-mengait dan akhirnya lebih merosakkan imej sendiri.

Lebih dari itu, Najib dengan pelbagai masalahnya juga akan terus menjadi bahan momokan, sindiran serta mainan nakal rakyat kerana daripada semua pemimpin yang ada, harus diakui bahawa beliaulah yang paling banyak terpalit dengan pelbagai isu. (SH 26/01/2013)






Thursday, 24 January 2013

Idris Haron Bakal Ketua Menteri Melaka?



Apabila Ali Rustam baru-baru ini mengesahkan keinginannya untuk bertanding kerusi Parlimen pula dalam pilihanraya akan datang, jawatan Ketua Menteri Melaka yang disandangnya sejak 1999, mula menjadi rebutan dan perhatian beberapa tokoh politik negeri itu.

Ali Rustam berkata, beliau sudah pun memaklumkan hasratnya itu kepada Najib dan kini terserah kepada Najib untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak hasratnya itu.

Antara nama-nama yang disebut bakal menggantikan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka ialah Idris Haron, Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Exco Kerajaan Negeri, Ahmad Hamzah dan Mat Sirat Abu, Ahli Parlimen Bukit Katil yang merupakan orang kepercayaan Ali Rustam.

Sebelum menjadi Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam juga pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dan kembalinya beliau bertanding kerusi Parlimen, harapannya tentulah beliau diberikan jawatan menteri penuh atau sekurang-kurangnya timbalan menteri andainya BN mampu mengekalkan kuasanya selepas PRU 13 ini.

Sebagai Pengerusi UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bukit Katil, jika permintaannya untuk bertanding kerusi Parlimen ditunaikan oleh Najib, beliau mungkin bertukar kerusi dengan Mat Sirat. Ini akan menjadikan Ali bertanding di Parlimen Bukit Katil dan Mat Sirat pula bertanding di kerusi DUN yang sekarang ini dipegang oleh Ali Rustam.

Di antara ketiga-tiga nama yang disebut bakal menggantikan Ali Rustam itu, Idris Haron yang juga ahli MT UMNO diketahui paling kuat melobi Najib bagi mendapatkan jawatan tersebut. Beliau kini dikatakan menggunakan pengaruh seorang ahli MT iaitu Azeez Rahim, Pengerusi Kelab Putra UMNO untuk tujuan tersebut.

Azeez yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan Rosmah dikatakan sedang memainkan peranannya untuk meyakinkan Najib bahawa Idris Haron adalah pilihan yang sesuai dan tepat untuk menggantikan tempat Ali Rustam itu.

Melalui Kelab Putra UMNO yang diterajuinya dan banyak memainkan peranan memberi bantuan kemanusiaan ke pelbagai negara di dunia, Azeez telah berjaya menjalin hubungan dengan rapat dengan Najib melalui NGO yang diterajuinya itu. Ditambah dengan perwatakannya yang mudah mesra, Azeez kini dikenali antara pemimpin UMNO yang mempunyai hubungan rapat serta akses terus dengan Najib dan boleh bercakap banyak perkara dengan Perdana Menteri.

Kelebihan yang dimilikinya itu kini sedang dimanfaatkan oleh Idris Haron untuk membantunya menjadi Ketua Menteri Melaka.

Kedudukannya sebagai pemimpin muda dijadikan alasan utama, sesuai dengan arus semasa yang mahukan lebih ramai pemimpin muda diberikan tempat dan peluang menggantikan pemimpin-pemimpin lama.

Idris Haron sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tetapi digugurkan sebaik Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009 lalu. Menyedari bahawa dirinya bukan dalam lingkungan "orang-orang Najib" dan masih dicop mempunyai hubungan yang rapat dengan KJ sebelum ini, Idris terpaksa menggunakan pengaruh Azeez Rahim bagi memudahkan laluannya mengisi jawatan Ketua Menteri Melaka itu.

Sementara Ali Rustam pula, walaupun masih berdiam diri dan tidak pernah menyebut sesiapa sebagai bakal penggantinya, tetapi beliau dikhabarkan lebih menyenangi Ahmad Hamzah, Ketua UMNO Jasin dan Exco Kerajaan Negeri sejak sekian lama, sebagai penggantinya.

Walaupun sudah berusia tetapi faktor pengalaman dan berjiwa tenang menjadi kelebihan kepada Ahmad Hamzah yang menjadikan beliau lebih disenangi oleh Ali Rustam untuk menggantikan tempatnya itu.

Satu lagi faktor kelebihan Ahmad Hamzah ialah beliau merupakan menantu Allahyarham Tun Ghafar Baba dan pemilihannya mungkin sebagai salah satu cara mengenang jasa serta membalas budi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain Ahmad Hamzah, Ali Rustam juga berkemungkinan melobi kepada Najib supaya meletakkan seseorang yang boleh dikawal dan dipercayai sepenuhnya untuk menggantikan tempatnya itu. Jika itu yang dilakukannya, Ali Rustam pastinya melobi Mat Sirat yang kini menjadi Ahli Parlimen Bukit Katil. Sebelum itu, Mat Sirat pernah menjadi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik Ali Rustam dan diketahui umum sebagai orang yang paling dipercayainya di Melaka.

Sementara itu, hasrat Ali Rustam bertanding kerusi Parlimen juga berkemungkinan untuk membolehkannya bertanding jawatan yang lebih kanan dalam pemilihan UMNO yang bakal diadakan penghujung tahun ini.

Beliau yang dalam pemilihan lalu dibatalkan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO atas dakwaan salah laku oleh Jawatankuasa Disiplin, mungkin kembali untuk bersaing merebut sekurang-kurangnya jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini. (SH 24/01/2013).






Wednesday, 23 January 2013

Najib, Satu-Satunya PM Yang Takut Dengan Pilihanraya


Ambo nak umum dah, itulah ayat terbaru yang dilafazkan Najib mengenai tarikh PRU 13. Sebelum ini, sudah beberapa kali beliau cuba memberi bayangan tentang tarikh pilihanraya akan diadakan. Pihak pembangkang pula cuba meneka beberapa tarikh yang difikirkan logik untuk Najib membubarkan Parlimen.

Tetapi semua tekaan dan ramalan itu tidak menjadi kenyataan.

Apabila beberapa hari lepas, Najib sekali lagi membayangkan tentang tarikh pilihanraya, rakyat sebenarnya tidak lagi teruja. Jauh sekali merasa suspen dan terkejut.

Tarikh piliharaya kali ini bagi rakyat sudah jadi anti klimaks. Tiada sesiapa pun yang stim dengan bayangan tarikh pilihanraya yang disebutkan Najib itu.

Ini kerana inilah kali pertama sejak Allah SWT menciptakan pilihanraya untuk Malaysia, ia diadakan di penghujung tempoh atau akhirnya mungkin terbubar dengan sendirinya. Sebelum ini pilihanraya biasanya diadakan dalam tempoh tiga tahun lebih selepas pilihanraya sebelumnya atau sekurang-kurangnya setahun lagi sebelum tempohnya berakhir.

Di era pentadbiran Mahathir, beliau biasanya mengadakan pilihanraya umum sekurang-kurangya setahun sebelum tempoh edahnya berakhir, biar bagaimana getir sekali pun cabaran politik yang dihadapinya. Pilihanraya 1990 dan 1999 misalnya, ia diadakan ketika suhu politik sedang mendidih ketika itu.

Di era Pak Lah juga begitu, selepas mengambil alih pentadbiran daripada Mahathir pada 2003, hanya beberapa bulan selepas itu beliau mengadakan pilihanraya iaitu pada 2004. Pilihanraya 2008 juga diadakan ketika Pak Lah panas dengan pelbagai isu serangan daripada Mahathir.

Hakikatnya, mereka tidak takut mengadakan pilihanraya dan tidak menganjak tarikhnya sehingga ke penghujung tempoh.

Hanya Najib yang kelihatan takut mengadakan pilihanraya. Tarikh akhir Parlimen dibubarkan ialah 28 April depan dan sekiranya Najib masih takut memilih tarikh untuk mengadakan pilihanraya, Parlimen akan terbubar dengan sendirinya pada 29 April itu.

Tetapi ada juga beberapa Dewan Undangan Negeri atau DUN yang tarikh luputnya lebih awalnya daripada itu. DUN Johor yang paling awal tarikh matinya iaitu 21 Mac. Bermakna jika selepas 21 Mac, tarikh pilihanraya tidak diumumkan, DUN Johor juga terbubar dengan sendirinya.

Ini bermakna bila pilihanraya mesti diadakan sudah boleh dijangka.

Sebab itu, tarikh piliharaya kali ini tidak lagi mendatangkan suspen atau stim kepada rakyat. Walaupun tarikh tepatnya tidak diketahui tetapi tempoh ia diadakan sudah boleh diramalkan. Ia umpama seseorang yang sedang nazak di hospital sejak sekian lama dan hanya hidup kerana mesin bantuan hayat, bila ia akan meninggal dunia tidak lagi mendatangkan kejutan atau kesedihan kepada saudara mara dan kenalan terdekatnya.

Orang hanya terkejut bila seseorang itu tiba-tiba meninggal dunia tanpa dikhabarkan sakit sebelumnya.

Begitulah juga dengan PRU 13 ini, meskipun Najib cuba memberi bayangan baru mengenai tarikhnya, tiada sesiapa lagi yang teruja. Rakyat sudah tahu sebelum 21 Mac ini atau 28 April ini ia mesti diadakan walaupun sudah beberapa tarikh dihebohkan sebagai pilihan Najib untuk membubarkan Parlimen. Antaranya 15 Februari, 22 Februari dan sebagainya.

Bila pun tarikh pilihanraya tidak lagi penting dan mendatangkan stim. Ia sudah anti klimaks kerana rakyat sudah tahu tarikh matinya Parlimen yang ada sekarang. Najib merupakan satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang takut dengan pilihanraya dan melanjutkan tempoh pembubaran Parlimen semata-mata untuk duduk lebih lama sebagai Perdana Menteri.

Jika kelewatan pembubaran Parlimen itu untuk menyelesaikan isu dan masalah yang berlaku, mungkin juga ia difahami. Malangnya Najib tidak cuba pun menyelesaikan masalah dan isu yang berlaku itu, beliau hanya cuba menutupnya dengan mencipta isu lain saja. Banyak isu hanya dibiarkannya dan tidak mahu diselesaikan. Isu-isu berkaitan dirinya juga tidak mahu dijawab. Jawapan terhadap dakwaan Deepak juga sekadar melepaskan batuk di tangga manakala Rosmah pula menjawabnya dengan helah, " saya terlalu sibuk".

Bagi rakyat, tarikh pilihanraya ini tidak lagi penting. Apa yang penting ialah memberi pengajaran kepada kerajaan yang sedang memerintah sekarang. Walaupun BN sudah hilang majoriti dua pertiga, ramai yang merasakan suara majoriti kerajaan yang ada sekarang perlu dikurangjan lagi atau ditukarkan terus atas nama perubahan.

Jika tidak diubah, BN tidak akan berubah sampai bila-bila.

Bagi Pakatan Rakyat juga, jika pun mereka diberi mandat kali ini, rakyat tidak akan memberinya mandat yang selesa. Rakyat menyedari bahawa Anwar dan PR banyak memberi janji-janji yang mengagumkan. Ia mungkin boleh dilaksanakan dan mungkin juga gagal. Rakyat dalam hal ini amat berhati-hati. Jika Anwar dan PR gagal menunaikan janjinya setelah diberi kuasa, melalui kemenangan tipis yang diberikan nanti, ia lebih mudah ditukar semula selepas itu.

Walaupun Najib dan ramai pemimpin BN meminta mereka diberi mandat dua pertiga, rakyat tidak sebodoh itu kali ini. Pelbagai jenis bantuan, BR1M, BROOOM dan gula-gula yang diumumkan kerajaan adalah bukti nyata bahawa kemenangan yang tipis bagi mana-mana kerajaan akan menghasilkan manfaat yang berganda bagi rakyat.

Jika dulu pilihanraya adalah medium untuk pemimpin dan parti politik mendapatkan mandapat daripada rakyat, PRU 13 ini pula adalah medan untuk rakyat mendapat hak mereka yang sewajarnya daripada kerajaan yang setiap lima tahun bergantung kepada undi mereka.

Rakyat memang tidak stim dan teruja bila tarikh pilihanraya, tetapi mereka sedang berbunga-bunga untuk mengutip hasil yang maksima daripada pilihanraya nanti. (SH 23/01/2013)

Monday, 21 January 2013

Mahathir Mula Menyusahkan Masa Depan Anaknya, Mukhriz


Lagi berkenaan Mahathir. Dalam cubaan membersihkan namanya yang mula dikaitkan dengan pemberian kira-kira 200,000 kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah untuk kepentingan politik UMNO pada tahun 1994, bekas Perdana Menteri itu tidak saja mengaitkan Tunku Abdul Rahman yang dituduh lebih teruk daripada, bahkan beliau turut mencadangkan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI berkenaan dengannya.

Ketika Mahathir membandingkan kesalahannya dengan Tunku pun sudah ramai yang geleng kepala, apabila beliau mencadangkan turut ditubuhkan RCI berkenaan dengannya, ramai yang bertanya, apa sudah jadi dengan Mahathir sekarang ini?

Siapa yang mahu diseretnya dalam RCI sebelum merdeka itu? Kalau pun ingin membersihkan dirinya daripada kesalahan itu, tindakannya kali ini dianggap amat keterlaluan. Kenapa begitu jauh terlajaknya kali ini?

Apakah beliau sudah nyanyuk? Adakah Mahathir lupa bahawa beliau pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan tentunya lebih arif tentang perbezaan pemberian kad pengenalan yang dilakukannya pada 1994 dengan apa yang pernah dilakukan oleh Tunku dahulu.

Walaupun untuk menyelamatkan diri dan mengelak daripada dianggap bersalah, mengaitkan dengan Tunku adalah perbuatan keji dari segi moral, apalagi mencadangkan penubuhan RCI mengenainya.

Akibat daripada itu, Mahatahir kini bukan saja diserang oleh pelbagai pihak yang mula menpersoalkan kewajarannya berbuat demikian, tindakan beliau itu turut mengundang
perasaan kurang senang di kalangan kaum Cina dan India.

Mempersoalkan pemberian kad pengenalan datuk nenek kaum Cina dan India yang ada sekarang samalah seperti mempersoalkan kewarganegaraan mereka. Ia tentunya menghiris perasaan kedua-dua kaum itu, apatah lagi ia tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa sebelum ini.

Dalam suasana menjelang pilihanraya yang hampir tiba dan sokongan kaum Cina dan India begitu diperlukan oleh BN, tindakan Mahathir ini jelas menyusahkan semua orang. Sehingga ini MIC melalui salah seorang pemimpinnya, Vell Pari telah secara terbuka mengkritik Mahathir atas tindakannya yang dianggap bersifat perkauman itu.

Pemimpin MIC itu turut menyarankan supaya Mahathir menutup mulut dan menjadi pesara yang baik seperti pemimpin-pemimpin yang mengisytiharkan dirinya sudah bersara.

Jika Vell Pari, anak Samy Vellu mula berani membidas Mahathir, tidak mustahil MCA, Gerakan dan NGO berkaitan kaum Cina turut bersuara juga selepas ini. Jika itu berlaku, hubungan kaum akan kembali renggang dan 1Malaysia yang dicanang Najib sudah tidak bermakna lagi.

Beberapa pihak turut mengecam Mahathir kerana mengaitkan nama Tunku. Pihak pembangkang dan mereka yang arif tentang sejarah negara, turut mengecam Mahathir dalam hal ini.

Mahathir, dalam isu kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah ini, bukan saja mula menyusahkan Najib, UMNO dan BN tetapi mula dianggap beban kepada usaha BN mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang ini.

Penubuhan RCI ini telah lama diluluskan penubuhannya oleh kabinet tetapi hanya baru sekarang ia berfungsi. Ada dakwaan mengatakan ia sebahagian perancangan Najib untuk menutup mulut Mahathir dan supaya bekas Perdana Menteri itu tidak terlalu mengganggu pentadbirannya kerana beliau tahu Projek IC ini didalangi oleh Mahathir.

Dan untuk melepaskan diri, Mahathir tidak saja mengaitkan kesalahannya dengan Tunku Abdul Rahman, tetapi turut mencadangkan penubuhan RCI berkaitan dengannya. Mahathir dalam hal ini jelas mahu membalas dendam kepada Najib kerana melalui dakwaannya terhadap Tunku dan mencadangkan RCI itu akan menyebabkan makin berkurangnya sokongan kaum Cina dan India kepada BN.

Tindakan Mahathr cuba menyusahkan Najib boleh difahami kerana beliau sejak kebelakangan ini didapati lebih cenderung mahu mempromosi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti bagi mengganti Najib yang dianggapnya lemah dan banyak masalah. Beberapa petunjuk ke arah itu semakin jelas dan dapat dibaca oleh sesiapa saja.

Tetapi tindakan terbaru Mahathir ini turut mendatangkan kesusahan kepada masa depan politiknya anaknya sendiri, Mukhriz yang kini menjadi timbalan menteri dan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah. Secara langsung dan tidak langsung, langkah politik Mukhriz menjadi tersekat dan beliau juga mula dipandang serong oleh ramai orang akibat kelakuan melampau bapanya itu.

Orang Melayu yang melihat Tunku sebagai pejuang yang berjasa dan memerdekakan negara sama-sekali tidak dapat menerima Tunku dipersalahkan dalam memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India yang telah dipersetujui dengan British sebelum kemerdekaan itu. Oleh kerana Mukhriz satu-satunya waris Mahathir dalam politik, kepercayaan ramai kepadanya turut menurun akibat daripada itu.

Kaum Cina dan India yang tersinggung dengan keceluparan Mahathir itu, pastinya turut kecewa dan sekali lagi, Mukhriz juga yang akan menanggung akibatnya.

Jika orang lain menanggung beban politik kerana kesalahan atau tingkah yang tidak kena daripada anak dan isteri, Mukhriz pula sebaliknya. Beliau menanggung beban daripada karenah tidak sudah-sudah bapanya sendiri.

Selagi Mahathir ada dengan wataknya yang ada sekarang, Mukhriz juga terhalang untuk menonjolkan kebolehan sebenar serta bakatnya sebagai pemimpin sedangkan beliau diceburkan dalam politik adalah dengan matlamat menyambung warisan kepimpinan bapanya.

Kerana karenah bapanya itu, Mukhriz tidak berupaya menonjol seperti Hang Tuah yang suka membodek dan mengampu dan tidak juga mampu menjadi seperti Hang Jebat yang berani menegur dan bersuara. Mukhriz sekadar mampu menjadi seperti Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang kehadirannya tidak dirasakan oleh sesiapa, ada tidak menambah, dibuang tidak mengurang.

Dalam hal ini, jika Mahathir berdiam diri, ia jauh lebih baik untuk masa depan anaknya itu. Lagi banyak Mahathir bercakap, beliau bukan saja menyusahkan Najib, UMNO, BN, MCA, MIC dan lain-lainnya tetapi turut menyusahkan masa depan anak kesayangannya sendiri.(SH 21/01/2013).

Saturday, 19 January 2013

Anwar Mahu Menumbangkan BN, Mahathir Pula Mahu Menumbangkan Najib


Apabila Mahathir menyifatkan kerajaan yang dipimpin Najib sekarang berada dalam keadaan lemah sehingga takut menggunakan kuasa, ia membawa tafsiran dengan maksud yang pelbagai. Lebih-lebih ia dikeluarkan di saat-saat Najib sedang bertarung antara "hidup dan mati" dalam PRU 13 yang mesti diadakan sebelum 28 April ini.

Dengan mengambil contoh Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dihapuskan oleh kepimpinan Najib kerana tekanan kuat daripada pelbagai pihak, Mahathir memberikan logik yang mudah iaitu " Apa yang dimalukan sangat dengan ISA?".

Bagi Mahathir, tindakan Najib menghapuskan ISA dan menggantikan dengan undang-undang lain adalah suatu kesilapan kerana kuasa besar seperti Amerika sendiri akhirnya menggubal undang-undang yang lebih keras dan zalim daripada ISA untuk menangani pengganas serta mewujudkan Kem Tahanan Guantanamo.

Tidak syak lagi bagi Mahathir, beberapa tindakan Najib yang antaranya menghapuskan ISA adalah bukti kepimpinannya yang lemah dan takut dengan kuasa.

Sebagai seorang yang masih berpengaruh, baik dalam UMNO mahupun di kalangan rakyat biasa, secara umumnya kenyataan Mahathir itu langsung tidak membantu UMNO dan BN. Ia seperti memperlekeh dan mengajak rakyat menolak kepimpinan Najib.

Jika benar Mahathir mahu melihat BN menang dalam pilihanraya akan datang, kenyataan seumpama itu tentunya tidak wajar dikeluarkan olehnya kerana ia boleh menambahkan lagi kekeliruan di kalangan pengundi atas pagar dan juga di kalangan ahli UMNO sendiri.

Sepertimana yang diketahui, salah satu sebab keputusan buruk pilihanraya 2008 ialah kerana serangan Mahathir yang berterusan kepada kepimpinan Pak Lah berikutan wujudnya anasir "budak-budak tingkat 4" yang didakwanya mempengaruhi kepimpinan Pak Lah ketika itu.

Serangannya yang berterusan sehingga keluar UMNO menyebabkan ramai ahli UMNO dan pengundi atas pagar terpengaruh dengannya, lantas bertindak mengundi pembangkang, merosakkan undi atau memboikot pilihanraya 2008 itu. Akhirnya BN hanya menang 140 kerusi Parlimen, hilang majoriti dua pertiga dan Pak Lah didesak berundur.

Walaupun pada mulanya Mahathir menyokong Najib tetapi kelemahan Najib yang amat ketara dan serta wujudnya campurtangan Rosmah dalam pelbagai aspek pentadbiran kerajaan menyebabkan Mahathir akhir-akhir ini seperti memperpelihatkan sikapnya yang turut bosan dengan kepimpinan Najib.

Jika majoriti rakyat melihat pelbagai karenah Rosmah sebagai lebih teruk daripada karenah "budak-budak tingkat 4" ketika era Pak Lah, sudah tentu Mahathir juga turut "getik" dengan apa yang berlaku sekarang.

Tindakan Mahathir mengkritik kepimpinan Najib yang disifatkannya lemah dan takut menggunakan kuasa, adalah gambaran bahawa anak Tun Razak itu bukanlah seorang pemimpin yang bijaksana. Mesej Mahathir ialah mahukan Najib ditukar dan digantikan dengan pemimpin lain yang lebih bijaksana, tahu menggunakan kuasa dan dipercayainya.

Meskipun Anwar dan Pakatan Rakyat sedang berjuang untuk turut merebut kuasa dalam PRU 13 akan datang, Mahathir sebenarnya tidak memihak kepada mereka. Jika Anwar mahu menumbangkan BN, Mahathir sebenarnya hanya mahu menukar Najib.

Apa yang dilakukan Mahathir sekarang ialah permulaan kepada apa yang bakal berlaku selepas pilihanraya umum nanti. Meskipun sekarang kedudukan seperti 50-50 antara BN dan PR tetapi Mahathir seperti meyakini BN akan mampu mengekalkan kuasa berdasarkan strategi akhir dan kuasa wang yang dimiliki oleh BN.

Dengan pelbagai kelemahan Najib yang sudah dipaparkan untuk tatapan rakyat selama ini, berlambaknya isu yang gagal ditangani, beban daripada Rosmah yang masih berterusan disamping dakwaan terbaru oleh Deepak Jaikishan, jelas meletakkan Najib dalam keadaan yang sukar untuk memperolehi lebih daripada 120 kerusi Parlimen.

Dengan ramalan hanya itu jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh BN atau tidak lebih daripada 140 kerusi, kedudukan UMNO dan kerajaan tentulah lebih parah lagi jika beliau terus menjadi penerajunya.

Kenyataan Mahathir yang mula menyebut kerajaan dipimpin Najib sebagai lemah dan takut menggunakan kuasa adalah isyarat yang jelas supaya kedudukan Najib turut diubah jika mahukan sebuah kerajaan yang kuat di masa akan datang.

Di dalam UMNO sendiri, kenyataan Mahathir yang menyifatkan kerajaan Najib sebagai lemah dan takut menggunakan kuasa, mula diperkatakan oleh pelbagai peringkat kepimpinan. Ada yang setuju dengan Mahathir dan tidak kurang yang menyatakan tidak wajar Mahathir mengeluarkan kritikan seumpama itu sekarang ini.

Tetapi secara nyatanya, oleh kerana Mahathir masih mempunyai pengaruh dalam UMNO dan sebahagian yang lain tetap menganggapnya sebagai idola, kiblat ahli UMNO sudah mulai berpecah sekarang ini. Najib tidak lagi dianggap kiblat yang satu.

Kritikan rakyat, pengundi atas pagar dan ahli UMNO sendiri terhadap Najib yang dianggap lemah oleh Mahathir itu menjadi semakin ketara akhir-akhir ini. Ia boleh didengari di kedai kopi, lobi hotel, di laman sosial dan di mana-mana, bahkan kadangkala di dalam Bangunan UMNO sendiri kritikan itu boleh didengari.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin tentulah orang yang paling bernasib baik jika arus perubahan yang sedang hangat diperkatakan dalam UMNO sekarang ini menjadi kenyataan. Ia sama seperti bernasib baiknya Najib ketika berlaku arus perubahan menolak Pak Lah dahulu.

Tidak dapat tidak, Muhyiddin adalah orang yang diharapkan untuk mengganti tempat Najib jika berlakunya perubahan walaupun Muhyiddin bukanlah sesempurna yang diharapkan. Beliau juga ada kelemahan dan masalahnya, tapi kepimpinan Muhyiddin mungkin lebih baik daripada Najib dan beliau juga bukan seorang yang takut menggunakan kuasa.

Dua tiga hari yang lalu Muhyiddin berada di Amerika Syarikat atas urusan rasmi tetapi sudah ramai yang bercakap tentang liputan media yang lebih hebat diperolehi oleh Muhyiddin berbanding Najib. TV3 misalnya memberi ruang liputan yang lebih lama untuk program lawatan Muhyiddin ke AS itu berbanding liputan untuk program Najib di dalam negara.

Bila ini berlaku dan orangramai bercakap mengenainya, selalunya ia akan menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi apabila ia dimulakan oleh Mahathir. Mahathir dalam sejarahnya bersama UMNO, usahanya menjatuh dan menaikkan pemimpin jarang menemui kegagalan. (SH 19/01/2013)












Friday, 18 January 2013

Dengan Tunku Yang Sudah Meninggal Pun, Mahathir Mahu Bermusuh


Ramai yang geleng kepala dengan respon Tun Mahathir yang pentadbiran dan dua orang kanannya tiba-tiba dikaitkan dalam pemberian ratusan ribu kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah pada tahun 1993/1994 sebagaimana yang didedahkan dalam inkuari Siasatan Diraja atau RCI berkenaan pendatang asing yang sedang berlangsung sekarang ini.

Sambil mengakui beliau ada memberi kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah tetapi bekas Perdana Menteri itu mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

Kita patut tengok balik dan ingat. Tunku Abdul Rahman lebih teruk daripada saya. Dia beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia buat tidak salah dan apa yang saya buat ini salah, demikian Mahathir dipetik sebagai berkata sebagaimana yang tersiar dalam Malaysiakini.

Orang geleng kepala kerana demi menyelamatkan dirinya, Mahathir sanggup menuding jari ke sesiapa saja, termasuk kepada Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang sudah meninggal dunia.

Jika beliau menyandarkan kesalahan itu kepada Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, ia memang boleh difahami dan ada logiknya tetapi turut menyalahkan Tunku yang disanjung tinggi dan sudah meninggal dunia pula, tidak lebih menunjukkan sikap enau yang ada dalam diri Mahathir itu.

Isu pendatang asing yang diberi kad pengenalan sudah lama menjadi isu di Sabah. Mereka bukan saja saja diberi kad pengenalan tetapi juga diberi hak mengundi dan menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Lebih menyakitkan hati penduduk tempatan, ramai juga pendatang asing ini memiliki keistimewaan seperti memiliki tanah, rumah, lesen perniagaan dan sebagainya.

Pendatang asing yang diberi kad pengenalan ini dijaga dan dipelihara sebaiknya kerana kuasa undi yang mereka miliki amat berguna setiap kali pilihanraya.

Akhirnya penduduk tempatan hanya dibiarkan miskin dan melarat. Hak mereka sebagai rakyat asal Sabah tidak lagi penting untuk diberi perhatian.

Tetapi oleh kerana tekanan yang berlarutan daripada pelbagai pihak untuk menyelesaikan itu itu, kerajaan akhirnya akur untuk menubuhkan RCI bagi mencari punca dan penyelesaian kepada masalah itu.

Beberapa saksi yang memberi keterangan kepada RCI itu telah mendedahkan pelbagai perkara, antaranya bekas Timbalan Pengarah JPN Sabah, Mohd Nasir Sugip yang mendakwa SPR telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000 pendatang untuk diberikan kad pengenalan dan seorang bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil pula mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada 1993.

Nama bekas orang kanan Mahathir iaitu arwah Megat Junid Megat Ayob dan Aziz Shamsuddin turut disebut dalam inkuiri itu di mana kedua mereka didakwa bukan saja memberi arahan langsung mengenainya tetapi terdapat juga operasinya dilakukan di rumah Aziz Shamsuddin di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Projek IC ini memang diketahui rancak dilaksanakan pada tahun 1993/1994 iaitu sebelum berlangsungnya pilihanraya negeri Sabah pada 1994. UMNO yang baru bertapak di Sabah ketika itu begitu berdendam dengan PBS dan cuba sedaya upaya mahu menumbangkan kerajaan Pairin Kitingan ketika itu.

Melalui pemberian ratusan ribu kad pengenalan biru dan hak pengundi kepada pendatang asing itu keputusan pilihanraya Sabah 1994 menjadi amat sengit di mana PBS akhirnya hanya mampu memenangi 25 daripada 48 kerusi saja. Berikutan beberapa ADUN PBS melompat menyertai UMNO tidak lama kemudiannya, kerajaan PBS akhirnya tumbang dan UMNO dapat menguasai negeri itu.

Dalam hal ini, walaupun Mahathir cuba mempertahankan pemberian kad pengenalan itu mengikut undang-undang sambil membandingkan dengan Tunku Abdul Rahman yang disifatkannya lebih teruk daripadanya, apa yang jelas nawaitu pemberian kad pengenalan oleh Mahathir dan Tunku adalah berbeza sama-sekali.

Mahathir meluluskan ratusan ribu kad pengenalan kepada pendatang asing Sabah adalah untuk kepentingan politik UMNO dan menghakis kuasa politik Kadazan. Kadazan adalah rakyat Sabah sah dan dominasi politik mereka cuba dinafikan dengan menggunakan pendatang asing Filipina sebagai alatnya. Mereka diberi kad pengenalan, tanah dan pelbagai lesen perniagaan sebagai balasan kepada budi yang telah ditetapkan iaitu mengundi BN.

Tunku pula memberikan kad pengenalan kepada rakyat daripada China dan India yang memang telah berada di Malaya sebelum kemerdekaan lagi dan ia seebahagian daripada persetujuan dengan British yang memberi kemerdekaan.

Dalam hal ini matlamat Tunku adalah murni iaitu untuk memberi keselesaan hidup kepada mereka yang telah memilih untuk menjadikan Malaya tempat kediaman mereka. Tunku tidak memaksa mereka mesti mengundi Perikatan sebagai syarat diberikan kad pengenalan itu sebagaimana UMNO memaksa pendatang Filipina mesti mengundi BN sebagai syarat untuk memperolehi kad pengenalan.

Tetapi Projek IC adakah jelas matlamatnya iaitu untuk menumbangkan kerajaan PBS dan menghakis kuasa Kadazan. Sudah tentu pendatang asing itu turut juga diberikan taklimat dan ditunjuk ajar parti mana yang perlu dipangkah sebagai syarat kelulusan kad pengenalan tersebut.

Respon Mahathir yang cuba mengait dan menyalahkan Tunku dalam hal ini memang sesuatu yang tidak wajar, jika pun beliau mahu membersih najis yang terpalit di badannya. Pertamanya, kerana matlamat dan tujuan Tunku dengan beliau jelas berbeza dan ia memang diketahui oleh Mahathir sendiri dan keduanya, oleh kerana Tunku sudah meninggal dunia, maka beliau tidak dapat membalas balik dakwaan Mahathir itu.

Tindakan Mahathir menyalahlah pihak lain dalam pelbagai isu memang biasa didengar sebelum ini. Beliau memang diketahui cekap memutar lidahnya. Beliau tidak akan menyalahkan dirinya. Biasanya ada saja yang menjadi mangsanya.

Tetapi tindakan terbaru Mahathir yang turut sanggup menyalahkan Tunku membuktikan bahawa bukan saja dengan orang yang masih hidup beliau bermusuh, bahkan dengan Tunku yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia pun beliau sanggup berbuat demikian.

Bagi Mahathir, jika beliau salah, ada orang lain lagi salah. Jika beliau teruk, ada orang lain lagi teruk. Semua kesalahan cuba dilemparkan kepada orang lain untuk menunjukkan diri dan legasinya kelihatan suci bersih.

Menjelang pilihanraya akan datang, Sabah nampak bergoyang dan isu pendatang asing bakal menjadi isu utama. Nama Mahathir mungkin paling banyak disebut dalam isu pemberian kad pengenalan ini kerana ketika itu beliau adalah Perdana Menteri dan mengaku pula meluluskannya.

Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat sedang hebat menggempur Sabah dan yakin isu pendatang asing itu bakal memberi kelebihan kepada mereka, ada baiknya jika Najib awal-awal lagi melantik Mahathir sebagai pengurus kempen BN untuk menjawab mengenai isu itu di Sabah ketika pilihanraya nanti.

Dan kita boleh lihat sama ada Mahathir boleh menjamin kerusi Sabah masih selamat atau sebaliknya. (SH 18/01/2013)






Wednesday, 16 January 2013

Rais Yatim Menteri Yang Membahayakan Masa Depan Najib


Di antara menteri kabinet yang ada sekarang, rasanya Rais Yatim adalah yang paling banyak disebut namanya, baik oleh penyokong UMNO mahupun penyokong pembangkang, selepas Najib dan Muhyiddin. Dalam semua agenda politik negara, jarang benar nama beliau tidak terselit sama.

Sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais dianggap mengendali kementerian yang kanan berdasarkan ruang lingkup tugas kementeriannya yang agak luas dan penting kepada kerajaan. Kementeriannya bukan saja bertanggungjawab kepada program penerangan, berkaitan industri komunikasi serta pelbagai aspek seni dan budaya tetapi juga mengendali pelbagai sambutan seperti Hari Kemerdekaan, Rumah Terbuka Aidil Fitri, Rumah Terbuka Hari Raya Cina, Rumah Terbuka Krismas, Rumah Terbuka Deepavali dan juga terlibat dalam pelbagai acara penting kerajaan yang lain.

Yang lebih penting ialah peranannya sebagai jentera induk penerangan kerajaan yang memiliki televisyen, radio dan pelbagai jentera penerangan yang lain. Tetapi paling banyak beliau dikaitkan ialah berkenaan dengan prestasi RTM dan siaran Berita TV1 yang tidak banyak kemajuan daripada dulu.

Sebagai menteri penerangan yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada rakyat, Rais juga bebas bercakap apa saja. Apa saja yang difikirkannya perlu diterangkan, maka beliau boleh bercakap. Dengan menguasai RTM pula, apa saja yang dicakapkannya pasti akan tersiar di dalam Berita TV1 dan radio. Bahkan dalam Berita Bahasa Tamil dan Berita Bahasa Cina kerap terpacul wajah dan suaranya. Akhbar juga turut melihat Rais dengan jawatannya itu sebagai pemimpin yang dikira ada nilai berita dan turut memberi liputan kepadanya.

Itulah antara hebatnya menduduki kementerian yang diduduki oleh Rais sekarang ini.

Sebab itu, dalam himpunan Bersih, Himpunan Lynas, Himpunan Kebangkitan Rakyat, isu Amanat Haji Hadi, isu kalimah Allah dan deretan isu lainnya yang berlaku silih berganti dalam negara, Rais jarang terkecuali daripada bercakap. Dalam isu-isu mempertahankan Perdana Menteri, lagilah Rais sering ke depan.

Di dalam tv dan akhbar, nama dan beritanya jarang tidak didengari kecuali jika sedang bercuti.

Namun Rais juga ada masalahnya sendiri. Penglibatannya yang terlalu lama dalam politik dan kerajaan serta jalan politiknya yang berliku sebelum ini, adalah antara perkara yang dijadikan bahan untuk mencemuh dirinya. Beliau pernah menanggotai Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh untuk menentang Mahathir dalam pemilihan UMNO 1987 dan kemudian menyertai Semangat 46 dengan jawatan Timbalan Presiden.

Pada mulanya dianggap sebagai ahli politik yang berprinsip kerana berani mengungkapkan istilah "bakar jambatan" tetapi kemudiannya mula dikecam, disindir dan dipertikai kerana selepas pembubaran Semangat 46, menyertai UMNO, dipilih semula bertanding di Jelebu dan diberikan jawatan dalam kerajaan, gayanya selepas itu dalam mempertahankan UMNO dan kerajaan seolah-olah beliau seorang ahli politik yang begitu setia kepada pemimpin, suci bersih dan tiada cacat-celanya.

Malah Mahathir yang pernah memecatnya dari kabinet dan melarangnya menyertai UMNO Baru pada 1988 dulu dan dimusuhinya sekian lama, selepas itu sering pula dipuji dan dikaguminya semata-mata kerana Mahathirlah yang memberi ruang semula untuknya bertanding dalam pilihanraya dan menyertai kabinet.

Jika semasa Team B dan Semangat 46, beliau dilihat gandingan yang sempurna dengan Ku Li tetapi selepas diberikan nyawa semula oleh Mahathir, kiblat politiknya turut berubah. Beliau mula menjarakkan diri dengan Ku Li. Beberapa pendirian Ku Li tidak lagi disokongnya, malah dalam usaha Ku Li bertanding jawatan Presiden UMNO selepas itu juga tidak lagi mendapat sokongan daripada Rais.

Di era Pak Lah dan Najib sekarang ini, Rais nampaknya masih mempunyai nyawa politik yang panjang. Jika nyawanya bersambung di zaman Pak Lah boleh difahami kerana mereka sama-sama pernah berada dalam Team B dahulu tetapi di era Najib ini, kemampuannya terus bernafas dengan segar dengan diberi kementerian yang kanan memanglah sesuatu yang mengkagumkan kerana kedua mereka daripada zaman yang berbeza.

Beliau cekap menyesuaikan diri. Sesetengah orang berpendapat beliau mampu terus hidup kerana kepintarannya bemain politik, sesetengah yang lain pula berpendapat kerana kemahirannya menggunakan logik politik dan bahasa yang mempersonakan ketika menyokong sesuatu yang dilakukan oleh Najib. Ada juga yang berkata kerana pengalamannya yang lama itu. Tidak kurang juga yang memberi sebab-sebab lain berdasarkan apa yang mereka pandang dan dengar sama ada daripada persekitaran Rais sendiri mahukan daripada persekitaran Najib.

Hakikatnya, beliau dibenci dan dicemburui. Di pihak Pakatan Rakyat, kecaman dan serangan terhadap Rais berlaku hampir setiap hari. Setiap kali beliau membuka mulut, pasti ada saja yang tidak kena.

Beliau paling banyak dipertikai dan dipersenda kerana berkata kehadiran dalam himpunan Bersih 3.0 hanya sekitar 23 ribu orang berdasarkan kiraannya menggunakan teknik fotografi. Bukan saja pembangkang, malah ahli dan pemimpin UMNO turut mengecam Rais kerana faktanya itu lebih memperlihatkan beliau mahu membodek dan menyedapan hati Najib dengan menunjukkan program pembangkang seolah-olah tidak mendapat sambitan.

Komennya mengenai kehadiran dalam HKR112 baru-baru ini yang dinilainya tidak sampai 50 ribu sekali lagi mengundang cemuhan daripada pelbagai kelompok rakyat. Ini kerana baik dalam Bersih 2.0 mahupun Bersih 3.0 dan HKR112 baru-baru ini, kehadiran yang disebut Rais itu amat bertentangan dengan fakta sebenar, baik berdasarkan pelbagai gambar dan video yang boleh dilihat dengan mata tetapi juga berdasarkan penilaian mereka yang hadir sendiri di perhimpunan tersebut.

Dalam hal ini, Rais dilihat seperti sanggup menyembunyikan fakta demi untuk menyedap dan menggembirakan hati Najib.

Dalam isu logo Hari Merdeka yang lalu, beliau juga dicemuh kerana memilih logo paling "cikai" dan tidak menepati tema sambutan. Dalam isu amanat Haji Hadi yang meminta siaran langsung di TV, Rais juga diserang kerana dilihat memberi respon yang akhirnya memerangkap UMNO dan kerajaan.

Tetapi yang paling banyak orang memperkatakan tentang beliau ialah apabila beliau bercakap mempertahankan Najib dalam sesuatu isu. Dan cakapnya mengenai politik juga melebihi daripada cakapnya mengenai seni, budaya atau komunikasi. Beliau dilihat terlalu mengampu dan membodek Najib, dan caranya amat berbeza dengan cara menteri-menteri lain mempertahankan Najib.

Oleh itu, Rais bukan saja dimusuhi oleh penyokong pembangkang, malah turut tidak disenangi oleh kalangan UMNO sendiri kerana sikap dan wataknya itu. Bagi penyokong pembangkang, serangan, kecaman dan perasaan tidak gembira mereka terhadap Rais mungkin mudah difahami.

Namun ramai pemimpin dan ahli UMNO turut tidak suka dengan Rais. Beliau dianggap sebagai beban kepada Najib, UMNO dan kerajaan kerana lebih suka melihat Najib gembira daripada bercakap yang benar. Dalam kes kehadiran dalam Himpunan Bersih dan HKR112 misalnya, ramai yang berpendapat, jika Najib percaya kepada kata-kata Rais, sudah tentu ia membahayakan Najib sendiri kerana akhirnya Najib didapati bertindak tidak berdasarkan keadaan yang sebenar.

Beberapa pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO terang-terang melihat Rais sebagai liabiliti kepada Najib. Meskipun sekarang zaman internet dan semua perkara bergerak pantas dan terbuka, namun Rais bagi mereka, masih mempunyai gaya pemikiran lama dan tradisional.

Dalam isu logo hari Merdeka yang lalu, selain ramai yang mengecamnya, turut berbuat demikian ialah seorang Exco Pemuda UMNO yang menulis dalam blognya dengan mengkritik cara Rais bekerja, termasuk sikapnya yang mempunyai akaun Twitter tetapi hanya bertindak sehala dan tidak pernah memberi respon terhadap apa-apa pertanyaan daripada mereka yang menjadi pengikutnya.

Dari hari ke sehari, caranya bekerja sebagai pemimpin politik tidak banyak berubah. Selain tidak melayan pertanyaan di Twitter, lebih suka mengampu Najib, sering menunjukkan kepandaian dengan bahasa berbunga-bunga, menyerang pembangkang secara tidak kena, komennya mengenai politik juga seringkali tidak matang dan memualkan.

Meskipun dianggap sebagai orang lama dan berpengalaman, kelompok dalam UMNO sering melihatnya sebagai warga emas yang membebankan berbanding orang lama yang mahu dikongsi pengalamannya. Malah ada pemimpin muda dalam UMNO yang mejadikan Rais sebagai "penanda aras" kepada jangka hayat politik Najib sendiri yang bermaksud bahawa jika Rais dikekalkan lagi dalam pilihanraya akan datang, maka Najib juga harus ditolak kerana tidak mahu memberi ruang kepada proses peremajaan dalam parti dan kerajaan. (SH 16/01/2013)









Monday, 14 January 2013

BN Tumbang - Mahathir Lebih Takut Dari Najib


Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka yang berjaya menghimpukan ratusan ribu rakyat pelbagai kaum Sabtu lalu, pada mulanya hanya menyerlahkan rasa gundah-gulana para pemimpin UMNO terhadap masa parti itu sehingga mereka tidak habis-habis mencipta teori dan logik untuk menafikan perhimpunan itu sebenarnya memang mendapat sambutan yang jitu daripada rakyat.

Ada antara mereka yang tampil menafikan jumlah ratusan ribu yang hadir, ada yang mengatakan hanya Melayu dan Cina yang hadir manakala orang India tidak memberi sambutan, ada yang cuba mengorek kesalahan dengan mengaitkan kehadiran kanak-kanak, perhimpunan didakwa melanggar undang-undang kerana melebihi 30 ribu dan pelbagai rekayasa lagi dicipta untuk memujuk hati sendiri.

Dalam ada itu, ramai pula yang terdiam tidak mampu berkata apa-apa kerana mengakui kebangkitan yang ditunjukkan rakyat kali ini adalah sesuatu yang tidak mampu ditahan oleh sesiapa pun.

Najib Razak yang selalunya akan mengecam perhimpunan seperti itu, kali ini turut mengubah nada. Beliau cuba menumpang kredit dengan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya mengendalikan perhimpunan itu dengan aman.

Sambil memuji tindakan profesional pihak berkuasa dalam menjalankan tugas, Najib berkata kesediaan Pakatan Rakyat menghormati semangat Akta Perhimpunan Aman, jelas menunjukkan kejayaan politik BN dan reformasi yang diusahakan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri lagi, walaupun tidak bersetuju dengan pembangkang tetapi tindakan mereka yang berjaya mengendalikan perhimpunan dengan aman wajar diberikan ucapan terima kasih.

Dalam hal ini, Najib nampaknya sedar dengan kemahuan rakyat. Hak berhimpun dan menyatakan pendirian adalah hak asasi manusia yang dibenarkan oleh undang-undang. Dunia juga mengiktiraf hak tersebut.

Najib cuba mengambil sikap yang lebih lunak dalam hal ini. Beliau tidak mahu berkeras lagi kerana lagi keras sikap yang ditunjukkannya, lagi keras penolakan rakyat. Beberapa sikap kerasnya sebelum ini membuktikan hakikat tersebut. Sebab itu, Najib menukar nada dengan cuba menumpang kredit di sebalik himpunan kebangkitan rakyat kali ini.

Dengan membenarkan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka, tidak lagi mengerah pihak polis bersikap keras sebagaimana Himpunan Bersih 2.0 dan 3.0 sebelum ini dan kemudian memberikan penghargaan kepada Pakatan Rakyat, Najib sebenarnya cuba menunjukkan beliau seorang pemimpin yang baik, sedia bertolak ansur dan "gentleman".

Walaupun beliau menyedari penyokong setia PAS, PKR dan DAP tidak mungkin menyokong dan memberi undi kepada BN, tetapi sasarannya ialah pengundi atas pagar. Beliau mahu pengundi atas pagar menilai kebaikannya dan melupakan kesilapannya selama ini.

Dengan tarikh pilihanraya kian hampir, Najib kini mahu dilihat sebagai seorang yang serba baru. Tidak saja menunjuk baik, budiman dan sedia bertolak ansur, Najib juga meminjam perkataan reformasi untuk menunjukkan sikapnya itu sedangkan perkataan yang selalu disebutnya ialah transformasi, bukannya reformasi. Reformasi adalah perkataan popular Anwar Ibrahim sejak 1998 lagi.

Walaupun ada yang berkata Najib seperti "buang tabiat" bila menyebut perkataan reformasi dan menyimpan perkaraan transformasi yang sering menjadi basahan mulutnya selama ini, hakikatnya Najib sedang cuba memenangi hati rakyat yang lebih memihak kepada pembangkang ketika ini.

Beliau sedang cuba melakukan "reverse psikologi" untuk mendapatkan undi. Ini merupakan usaha terbarunya untuk menghadapi PRU 13 setelah melakukan pelbagai cara seperti memujuk, merayu, menabur janji, memberi wang, memberi beras dan sebagainya.

Walaupun Najib mungkin turut takut, bimbang dangundah-gulana akan kehilangan kuasa, tetapi beliau cuba menyembunyikan perasaan itu.

Sikap itu berbeza dengan Mahathir yang nampaknya tidak mampu menyembunyikan lagi perasaan dalam hatinya. Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu secara terang-terangan menyifatkan #HKR112 adalah bertujuan menggulingkan kerajaan.

Menurut Mahathir, PAS,PKR dan DAP merancangkan himpunan tersebut adalah bertujuan mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan dan berharap kerajaan dapat digulingkan dengannya sebagaimana yang berlaku di beberapa negara Arab sebelum ini.

Selain berterus-terang dan gagal menyembunyikan resah dijiwa, Mahathir juga menunjukkan beliau lebih takut daripada Najib jika UMNO dan BN tumbang dalam pilihanraya akan datang dan seterusnya tidak lagi menjadi kerajaan.

Walaupun Najib dan semua pemimpin UMNO turut bimbang akan kehilangan kuasa, tetapi nampaknya ketakutan Mahathir amat besar. Apakah yang paling ditakutinya dan apakah kepentingannya yang bakal hilang jika UMNO tumbang? Apakah Mahathir takut Anwar berdendam terhadapnya?

Diakui jika BN kalah, Najiblah yang mengalami kehilangan paling besar iaitu jawatan Perdana Menteri yang disandangnya serta pelbagai nikmat yang melimpah ruah untuknya sekeluarga tetapi dalam hal ini Mahathir kelihatan lebih takut daripada Najib. Najib masih boleh menyembunyikan kerisauan dan gundah-gulananya tetapi Mahathir seperti tidak tertahan kebimbangannya dan seolah-olah mahukan semua jentera BN segera bangun dan mengumpul segala kekuatan yang ada untuk mempertahankan kerajaan yang ada.

Semua orang mungkin boleh menelah apakah kebimbangan Mahathir jika BN tumbang dalam pilihanraya nanti. Mungkin legasi selama 22 tahun yang dibimbanginya, mungkin masa depan anaknya dalam politik yang difikirkannya, mungkin kontrak berbillion ringgit yang melibatkan anak-anaknya bakal berakhir yang merisaukannya, mungkin kecurangannya selama berkuasa bakal terbongkar yang menghantuinya dan pelbagai kemungkinan lain lagi yang menghimpit jiwa raganya.

Wikipedia sebelum ini menyenaraikan Mahathir sebagai bekas pemimpin kedua terkaya di dunia selepas Hosni Mubarak dengan kekayaan dianggarkan berjumlah US$44 billion (senarai itu kemudian dipadamkan. Apakah Mahathir juga bimbang kekayaannya dibongkar dan diketahui umum sebagaimana bekas-bekas pemimpin sebelum ini?

Namun oleh kerana Mahathir secara terbuka menunjukkan beliau lebih risau, takut dan gundah-gulana akan kemungkinan tumbangnya UMNO dan hilangnya kuasa BN dalam pilihanraya akan datang berbanding Najib, sudah tentunya kepentingan yang mahu dilindunginya juga amat besar, tentunya lebih besar daripada semua kepentingan Najib sekeluarga.

Hanya dengan tumbangnya BN, semua itu bakal terungkai nanti.(SH 14/01/2013)





Sunday, 13 January 2013

Sengsara Salah Pilih Kerajaan Cuma 5 Tahun, Sengsara Kekalkan BN 50 Tahun...


Ketika ini jumlah kehadiran rakyat berbilang kaum di HKR112 di Stadium Merdeka semalam masih menjadi pertikaian. Polis mengatakan jumlahnya cuma 45 ribu orang manakala ada media arus perdana mengatakan hanya 15 ribu orang yang hadir. Hishammuddin Rais pula menganggarkan kehadiran tidak kurang 500 ribu manakala pakar matematik daripada UKM, Prof Dr Shahrir Md Zain pula menganggarkan kehadiran seramai 700 ribu orang.

Angka 500 ribu orang oleh Hishammuddin adalah berdasarkan kehadiran di dalam dan di luar stadium manakala Dr Shahrir pula berhujah bahawa jika orangramai dikumpulkan sebarisan 20 orang dengan panjangnya 1 kilometer, jumlahnya ialah 100 ribu. Oleh kerana terdapat tujuh kumpulan rakyat yang berkumpul menuju Stadium Merdeka semalam dengan masing-masing sepanjang kira-kira 1 kilometer, maka jumlahnya tidak kurang 700 ribu orang.

Bagaimanapun, di mana pihak polis dan media arus perdana mendapat angka 45 ribu dan 15 ribu itu tidaklah pula diketahui.

Tetapi kehanyakan media bebas dan orangramai sama ada yang hadir atau dapat melihat gambar-gambar perhimpunan itu, mengakui bahawa di dalam stadium saja ada lebih 100 ribu dan jika diambil kira mereka yang berada di luar stadium yang juga melimpah jumlahnya, angka 500 ribu hingga 700 adalah logik untuk diterima oleh akal yang waras.

Apa pun angka kehadiran yang dipertikaikan, yang lebih penting ialah himpunan kali ini menunjukkan semangat dan kesatuan rakyat untuk mengubah kerajaan nampaknya begitu jitu dan padu. Ini adalah perhimpunan rakyat terbesar dalam sejarah negara.

Meskipun pimpinan UMNO dengan dibantu media arus perdananya cuba menutup duka dengan mereka-reka pelbagai hujah mengenai perhimpunan itu, kerisauan di wajah Najib dan Muhyiddin jelas kelihatan. Air muka kedua-dua pemimpin itu sebagaimana yang dilihat di tv dan akhbar seperti sudah hilang serinya dengan garis-garis bimbang akan kehilangan kuasa begitu jelas kelihatan.

Najib kemudiannya lantas menunjukkan sikap budiman dengan mengatakan kerajaan sekarang bersikap terbuka terhadap segala kritikan dengan harapan rakyat dan pengundi atas pagar akan terus memihak kepadanya. Najib teralpa agaknya, yang dimahukan rakyat bukan setakat sikap terbuka tetapi juga ialah kesediaan beliau dan kerajaan menjawab segala kritikan terhadapnya.

Apalah gunanya bersikap terbuka jika segala segala kritikan tidak dijawab. Dalam pelbagai isu terbaru yang dibangkitkan Deepak misalnya, tiada satu pun yang dijawab oleh Najib. Kalau betul terbuka dan budiman, jawab dan beritahulah kebenarannya kepada rakyat.

Muhyiddin pula seperti merayu kepada rakyat agar jangan mengubah kerajaan. Semua dalam keadaan baik, ekonomi baik, kenapa perlu tukar kerajaan? tanya Muhyiddin yang jelas menggambarkan kebimbangannya yang gagal diselindungkan akan kejatuhan UMNO dan BN.

Sepertimana yang diketahui, perhimpunan #KL112 adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya umum. Selepas beberapa perhimpunan sebelum ini seperti Bersih, Lynas, Felda, Royalti, PTPTN dan sebagainya, perhimpunan di Stadium Merdeka adalah kemuncak ke arah usaha menukar kerajaan BN yang telah menguasai Malaysia sejak lebih 50 tahun dahulu.

Meskipun sudah ramai yang bercakap tentang pertukaran kerajaan dan kebaikannya kepada rakyat, hakikatnya masih ramai yang ragu-ragu untuk berbuat demikian terutamanya mereka yang masih berkiblatkan maklumat daripada Utusan, TV1 dan TV3.

UMNO dan BN sudah 50 tahun berkuasa tetapi kedudukan Melayu yang berubah hanya segelintir saja. Yang miskin dan melarat masih ramai meskipun Perdana Menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu. Pegawai kanan kerajaan juga 99 peratus Melayu tetapi apakah pertolongan mereka kepada Melayu?

Ramainya Melayu yang masih miskin bukan saja dibuktikan melalui jumlah penerima BR1M yang masih ramai tetapi juga lihatlah kedudukan orang Melayu di kawasan yang diwakili oleh Perdana Menteri sendiri. Masih ramai yang miskin dan mirip peminta sedekah.

Tetapi kalangan anak isteri dan keluarga pemimpin, semuanya kaya-raya. Mereka membolot pelbagai peluang perniagaan, saham, tanah-tanah dan komisyen sehingga dilaporkan komisyen kapal selam Scorpene saja berjumlah RM500 juta tetapi rakyat hanya diberi BR1M bernilai RM500.

Bukankah itu menunjukkan kegagalan UMNO dan BN? Jika UMNO dan BN sudah begitu berjaya memberi kekayaan dan kesejahteraan kepada rakyat, BR1M tentunya tidak mendapat sambutan sama-sekali.

Dalam masa yang sama, gejala rasuah dan ketirisan sepanjang lebih 50 tahun lalu didapati begitu dahsyat sekali, terutama yang melibatkan pemimpin kerajaan. Apabila memegang jawatan dalam kerajaan, mereka seperti lanun yang tamak dan mengagih-agihkan hasil samunan sesama sendiri.

Selain beberapa kes pemimpin yang didakwa di mahkamah kerana rasuah, pecah amanah dan mengumpul kekayaan, deretan bukti yang dipamerkan melalui pelbagai media mengenai jumlah harta dan kekayaan anak isteri pemimpin, adalah dalil jelas kecurangan mereka yang bergelar pemimpin UMNO dan BN selama ini.

Laporan Audit Negara pula menyebut setiap tahun negara kehilangan kira-kira RM20 bilion akibat ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan. Siapakah pemakan dan penghirup RM20 bilion ini, kalau bukan mereka yang bergelar pemimpin?

Untuk menghentikan semua gejala itu dan menjadikan semua yang bergelar pemimpin benar-benar bersih, jujur dan ikhlas, pertukaran kerajaan adalah penyelesaian yang mudah. Jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan, ia menandakan bermulanya sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti.

Akhirnya sesiapa pun yang menjadi pemimpin akan berjuang seikhlas dan sejujur mungkin kepada rakyat, jika tidak, mereka akan digulingkan dalam pilihanraya seterusnya. Yang terlibat dengan rasuah, pecah amanah dan mengumpul kekayaan pula, tentunya akan diseret ke muka pengadilan, dipenjara dan menanggung aib sepanjang zaman.

Menukar kerajaan bukanlah semata-mata kerana Anwar, Hadi Awang, Lim Kit Siang atau Pakatan Rakyat. Juga bukan bukan kerana bencikan Najib atau Muhyiddin atau kerana marahkan UMNO dan BN.

Rakyat sudah terlalu lama menanggung derita akibat kebobrokan pemimpin. Walaupun pemimpin sudah banyak bersilih ganti tetapi oleh kerana ia masih dipayungi UMNO dan BN, segala keburukan itu terus juga berlaku kerana mereka tidak takut untuk melakukan kecurangan melalui kuasa yang dipegang. Di zaman Mahathir, di zaman Pak Lah dan kini di era Najib, pelbagai isu salah laku muncul satu demi satu tanpa hentinya.

Mereka seperti tidak segan silu melakukan keburukan, mengutip komisyen atas nama amanah yang diberi rakyat, mengumpul kekayaan, membeli cincin yang mahal, menimbunkan jenama beg tangan dalam simpanan dan melambakkan perhiasan yang mewah serta gemerlapan kerana yakin semuanya akan tersimpan rapi selagi kuasa kekal di tangan UMNO dan BN.

Ini kerana mereka sama-sama penyamun dan tidak mungkin penyamun akan membongkar kesilapan penyamun yang lain.

Sebab itu menukar kerajaan adalah penting. Menukar kerajaan adalah kerana ingin mewujudkan kerajaan dan pemimpin yang baik dan menjadikan rakyat benar-benar sebagai raja atau penentu di bumi Malaysia yang kaya lagi bertuah ini.

Hanya dengan menukar kerajaan dan menjadikan PRU 13 sebagai permulaan kepada sistem dua parti, matlamat itu dapat dicapai.

Berilah peluang kepada Anwar dan Pakatan Rakyat pula mentadbir negara ini dan menunaikan janji-janji yang pernah dibuatnya. Dan jika pun selepas itu, Pakatan Rakyat gagal menjadi sebuah kerajaan yang baik dan segala janjinya tidak ditunaikan, ia boleh dijatuhkan semula. Dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat tentunya lebih mudah kerana ia belum menjadi kerajaan yang begitu kuat akar umbinya lagi.

Kalaupun dalam tempoh Pakatan Rakyat menjadi kerajaan itu menimbulkan kesengsaraan dan kesusahan kepada rakyat dan janji-janji tidak ditunaikan, sengsaranya cuma 5 tahun sahaja. Ia tentunya lebih buruk jika terus mengekalkan UMNO dan BN, kerana jika mereka terus berkuasa, rakyat mungkin akan menanggung sengsara selama 50 tahun lagi.

Tetapi jika 5 tahun akan datang yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat menjanjikan kemanisan buat rakyat, ia akan terus kekal selama-lamanya meskipun selepas itu parti yang memerintah saling silih berganti.

PRU 13 adalah permulaan kepada perubahan dan peluang ini tidak muncul selalu. Ia muncul kali ini dan mungkin hanya muncul lagi 50 tahun akan datang. Selepas PRU 13 juga, jika Anwar dan Pakatan Rakyat gagal, mereka juga mungkin tidak mampu untuk bangkit lagi. Anwar sendiri pernah berkata PRU 13 adalah percubaan terakhirnya.

Janganlah dilepaskan peluang keemasan kali ini, jika tidak, peluang yang sama hanya akan muncul 50 tahun lagi dan derita kita akan terus diwarisi oleh anak cucu sendiri. (SH 13/01/2013)


Friday, 11 January 2013

Sejuta Rakyat Nak Gegar KL Tapi Di Mana Najib?



Menjelang perhimpunan kebangkitan rakyat di Stadium Merdeka yang mensasarkan kehadiran sejuta rakyat dengan pelbagai tema warna pada Sabtu ini, keadaan sebenar kesihatan Najib masih menjadi misteri lagi. Sejak beberapa hari lalu, beliau hanya hadir dalam majlis seperti pelancaran sukuk, menerima kunjungan hormat tetamu luar negara dan selebihnya menjalankan kerja-kerja pejabat atau mempengerusikan mesyuarat saja.

Tidak seperti selalu di mana beliau sentiasa sarat dengan pelbagai majlis dan program, sejak seminggu lalu, kelibatnya mulai jarang kelihatan menjadi sorotan media. Jika dulu dalam sehari sekurang-kurangnya dua tiga komennya mengenai politik, kini dunia politik seakan sunyi daripadanya.

Dulu juga, selain hadir di program rasmi atau melancarkan sesuatu, komennya mengenai politik sentiasa ada. Kali terakhir ialah komennya mengenai keadaan dirinya yang sihat, selepas itu tiada lagi ulasannya mengenai apa-apa perkara pun.

Dalam beberapa isu yang muncul kebelakangan ini, komen Najib sudah tidak kedengaran lagi. Kalau dalam isu Deepak, hilangnya suara Najib mungkin boleh difahami tetapi dalam isu air yang melanda Lembah Kelang sekarang, isu kalimah Allah dan himpunan kebangkitan rakyat pun suara Najib tidak lagi kedengaran. Ini sudah hairan bin ajaib.

Dalam himpunan Bersih sebelum ini dan pelbagai himpunan lainnya yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat, Najib biasanya begitu lantang bersuara dan menzahirkan pandangannya. Himpunan kebangkitan rakyat kali ini, walaupun kemungkinan dihadiri sejuta rakyat dan bakal memberi impak yang besar kepada suasana politik dan masa depannya sendiri, Najib sebaliknya tidak bersuara.

Hari ini beliau hanya muncul dalam blognya menulis mengenai perdagangan antara Malaysia dan Australia. Selebihnya tidak ada. Malah sehari dua ini kelibat Ibrahim Ali dan Hassan Ali lebih kerap muncul di akhbar dan tv berbanding Najib.

Meskipun Najib sudah menjelaskan bahawa beliau sihat, ketidakmunculannya di pelbagai program seperti biasa terus menimbulkan tanda-tanya. Orangramai masih bercakap, jika sudah sihat, kenapa kemunculannya tidak seperti biasa? Adakah beliau sedang keletihan? Tetapi Najib juga baru kembali daripada bercuti, biasanya orang yang kembali daripada bercuti mempunyai semangat yang tinggi untuk memulakan kerja.

Tetapi sebaliknya bagi Najib. Sekembalinya daripada bercuti, beliau seperti hilang semangat untuk menjalankan kerja. Semangat Najib untuk menghadapi pilihanraya dan memastikan kemenangan UMNO dan BN juga seperti sudah pudar. Hanya timbalannya Muhyiddin Yassin yang sibuk turun ke negeri-negeri berkempen dan merayu agar UMNO dan BN terus diberi kuasa lagi untuk mentadbir negara ini.

Beberapa hari yang lalu Muhyiddin ke Kedah, Perak dan Negeri Sembilan menghadiri program turun padang bertemu rakyat, hari ini beliau ke Pahang pula, negeri kelahiran Najib untuk program turun padang dan bertemu rakyat selama dua hari.

Apakah yang mengganggu Najib sebenarnya? Apakah beliau benar-benar tidak sihat atau keletihan menghadapi gelora politik yang makin hari makin memuncak suhunya ini? Atau adakah beliau keletihan kerana masalah yang ditimbulkan oleh isterinya sejak dulu hingga kini tidak habis-habis membebankannya?

Atau mungkinkah Najib sedang berada dalam zon bertenang dan memerlukan tempoh masa beberapa hari memikir-mikir tarikh yang sesuai untuk membubarkan Parlimen?

Tetapi tentulah agak pelik juga bila Najib langsung tidak mahu muncul bersama rakyat. Walaupun sedang mencari-cari tarikh pilihanraya, program bertemu rakyat sepatutnya berjalan terus kerana jika terlalu lama terasing daripada rakyat, beliau mungkin dilupakan pula.

Dalam masa yang sama, sementara pihak Pakatan Rakyat hari-hari menyerang dan muncul dengan pelbagai isu baru bagi melemahkan sokongan rakyat terhadap Najib, UMNO dan BN, pelbagai spekulasi turut muncul mengenai keluarbiasaan Najib yang jarang muncul sejak akhir-akhir ini.

Tidak kurang yang mengatakan beliau memang tidak sihat, lihat saja wajahnya Najib yang muncul di akhbar sehari dua lalu. Kata mereka Najib bukan saja tidak bercakap dengan pihak media, raut wajahnya juga kelihatan lebih tua daripada usianya. Tubuhnya seperti lemah dan kurang bermaya. Seperti beliau sedang menderita sesuatu dan tidak seperti selalunya.

Ada juga yang membawa berita bahawa sebenarnya sudah ada peralihan kuasa secara diam antara Najib dengan Muhyiddin. Najib kini dikatakan hanya menumpukan tugas-tugas pejabat, menerima kunjung hormat dan mempengerusikan mesyuarat sahaja sementara usaha menarik sokongan rakyat, mengumpul kekuatan dan membawa misi kejayaan kepada UMNO dan BN telah diambil alih oleh Muhyiddin. Sebab itu, Muhyiddin sekarang ini, kata mereka, lebih sibuk turun ke negeri-negeri berbanding Najib.

Najib kini dikatakan hanya seperti pengerusi bukan eksekutif sesebuah syarikat sedangkan Muhyiddin menjadi ketua pegawai eksekutif.

Dilaporkan juga bahawa perkara ini merupakan langkah yang turut dipersetujui oleh Tun Mahathir, sifu dalam UMNO. Isunya ialah untuk mengelakkan UMNO dan BN tumbang serta kehilangan kuasa dalam PRU 13 nanti kerana dalam UMNO yang paling bimbang tentang hilangnya kuasa UMNO ialah Mahathir.

Pelbagai isu yang melingkari Najib dan kelemahan yang sedia bertimbun dalam dirinya menyebabkan Najib sudah tidak mampu lagi untuk menciptakan kejayaan buat UMNO dan BN. Najib lebih merupakan sumber kekalahan berbanding keupayaan mencipta kejayaan.

Atas asas itulah Muhyiddin yang dilihat tidak banyak isu, cuba pula disandarkan harapan, bukan saja menyelamatkan UMNO tetapi juga menyelematkan Mahathir.

Apakah Najib tidak gembira dengan perkara itu, lalu menjadikannya kelihatan tidak bermaya, kurang bersemangat dan seperti sedang menderita?

Serentak dengan itu, di dalam UMNO sendiri, isu peralihan kuasa Najib kepada Muhyiddin ini sudah menjadi percakapan yang makin makin meluas. Di mana-mana orang UMNO bercakap mengenainya. Makin ramai juga yang mula mengalihkan perhatian kepada Muhyiddin, hadir di programnya dan mencium tangannya.

Malah sudah ada beberapa pemimpin UMNO yang apabila berucap, selain menyebut nama Najib, turut juga menyebut nama Muhyiddin sekali dalam mukaddimah ucapan mereka. Jika sebelum ini nama Najib saja yang disebut, kini nama Muhyiddin juga disebut sama. Ada pemimpin UMNO yang memang diketahui sebagai orang Najib, dalam ucapan-ucapannya sebelum ini hanya menyebut dan memuji Najib saja, kini turut sama menyebut nama dan memuji Muhyiddin sekali.

Pendek kata, dengan timbulnya isu keadaan kesihatan Najib ini dan kemunculannya pula semakin jarang yang seperti mengesahkan ada sesuatu sedang berlaku dalam UMNO sekarang ini, Muhyiddin bukan saja mula menjadi seperti gula yang dikerumuni semut tetapi sebutan namanya di kalangan pemimpin UMNO menjadi lebih kerap berbanding Najib.

Apakah semua perkara itu merupakan petanda UMNO dan BN sebenarnya semakin berada di ambang kejatuhannya.(SH 11/01/2013)


Thursday, 10 January 2013

5,000 Undi Pos Parlimen Setiawangsa Kena Songlap...


Semalam Nurul Izzah mendedahkan bahawa seramai 5,000 pengundi yang terdiri daripada ahli UMNO Wilayah Perseketuan telah dipindahkan ke Lembah Pantai bagi memastikan kemenangan Raja Nong Chik yang berhasrat bertanding di kawasan itu dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Daripada jumlah 5,000 pengundi itu, sebahagian besarnya difahamkan terdiri daripada pengundi daripada kawasan Parlimen Seputeh. BN dikatakan tiada harapan untuk menang di Seputeh yang selama ini dikuasai oleh DAP, maka pemindahan itu "direlakan" bagi menyelamatkan nyawa politik Raja Nong Chik.

Selain itu, dalan pendedahannya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyebut seramai 2,000 pengundi pos juga dipindahkan ke Lembah Pantai bagi tujuan yang sama.

Nurul Izzah memenangi kerusi Lembah Pantai pada pilihanraya lalu dengan menewaskan Shahrizat Jalil dengan majoriti 2,895 undi. Beliau mendapat 21,720 undi berbanding Shahrizat hanya 18,833 undi.

Tetapi dengan perlantikan Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar atas tiket Senator pada 2009 lalu, beliau kini sedang bekerja keras bagi menawan semula kerusi itu daripada PKR. Selain melakukan pelbagai program, melambakkan banyak projek DBKL di Lembah Pantai, Raja Nong Chik juga menggunakan hubungan baiknya dengan Ketua UMNO Seputeh, Mustapha Kamal untuk memindahkan sebahagian pengundi daripada Seputeh di Lembah Pantai.

Mustapha Kamal dikatakan sedia berbuat demikian kerana menyedari Seputeh adalah kubu kuat DAP dan tidak mungkin BN boleh menang di kawasan, maka adalah lebih baik sebahagian pengundi Melayu kawasan itu dipindahkan ke Lembah Pantai, selain tindakan itu juga seperti kata pepatah "ada budi, ada balasannya".

Dengan melakukan pemindahan tersebut, Raja Nong Chik berharap dapat memenangi kerusi Lembah Pantai dan memastikan dirinya terus kekal di kerusi empuk menteri kabinet jika BN dapat berkuasa lagi.

Rupa-rupanya modes operandi UMNO mahu memenangi kerusi piliharaya dengan cara mudah melalui pemindahan pengundi tidak saja berlaku di Lembah Pantai tetapi juga berlaku di Bahagian Wangsa Maju dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan.

Dalam pilihanraya umum lalu kerusi Wangsa Maju dimenangi oleh PKR melalui Wee Choo Keong dengan majoriti 150 undi menewaskan calon BN, Yew Teong Look manakala Titiwangsa pula dimenangi oleh PAS melalui calonnya Dr Lo Lo Ghazali yang menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin dengan kelebihan 1,972 undi. Wee kini sudah meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas manakala Dr Lo Lo meninggal dunia lebih setahun yang lalu.

Tetapi dalam pilihanraya umum akan datang ini, kerusi Wangsa Maju begitu diidamkan oleh Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju yang juga Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan, Shafei Abdullah manakala Pemangku Ketua UMNO Titiwangsa, Johari Ghani pula hampir pasti menjadi calon BN di kawasan Titiwangsa.

Tidak jauh berbeza dengan Lembah Pantai, modes operandi UMNO untuk menawan kerusi Wangsa Maju dan Titiwangsa juga ialah dengan cara menambah undi pos di kedua-dua kawasan itu.

Untuk tujuan itu, undi pos dari kawasan Parlimen Setiawangsa yang sekarang diduduki oleh Zulhasnan Rafique telah "disonglap" dan dipindahkan ke Wangsa Maju dan Titiwangsa.

Undi pos di Setiawangsa sebelum ini berjumlah hampir 14,000 tetapi kini sebanyak 5,000 telah disonglap dan dipindahkan ke kedua-dua kawasan itu dengan Wangsa Maju menerima kira-kira 2,700 tambahan pengundi pos manakala selebihnya untuk Titiwangsa. Ini menjadikan undi pos di Setiawangsa kini hanya berjumlah 8,000 lebih saja.

Zulhasnan Rafique dalam mesyuarat UMNO Setiawangsa beberapa bulan lalu telah mengesahkan perkembangan tersebut dan berkata beliau tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang undi pos itu daripada dipindahkan, sebaliknya meminta semua pihak supaya meningkatkan usaha bagi menarik sokongan rakyat bagi menampung kehilangan tersebut.

Shafie yang berhasrat untuk menjadi calon di Wangsa Maju dalam piihanraya akan datang dikatakan mendesak untuk mendapatkan undi pos tersebut dengan menggunakan alasan adanya Hospital Sultan Zainal Abidin, iaitu hospital tentera yang terletak di Seksyen 2 Wangsa Maju.

Johari pula turut mahukan undi pos untuk Titiwangsa dengan menggunakan hujah bahawa Pusat Latihan Polis atau Pulapol terletak di dalam kawasan Parlimen Titiwangsa.

Dengan adanya undi pos tersebut, kedua-dua mereka yang berharap dipilih sebagai calon di Wangsa Maju dan Titiwangsa, beranggapan sudah hampir pasti mampu menawan kedua-dua kerusi tersebut daripada pembangkang melalui strategi penyonglapan yang dilakukan dengan kerjasama SPR itu.

Meskipun Wangsa Maju dan Titiwangsa memperolehi jumlah undi pos yang agak besar yang dipindahkan daripada Setiawangsa, namun sebenarnya harapan UMNO tidak semudah "makan kacang" untuk menang di kedua-dua kawasan tersebut.

Di Wangsa Maju, selain perbalahan yang masih berterusan antara UMNO dan MCA, cabaran yang bakal dihadapi UMNO juga ialah kerana calon PKR akan datang merupakan calon "heavyweight" iaitu Dr Tan Kee Kwong, seorang tokoh masyarakat Cina yang amat dikenali ramai.

Tanpa memikirkan usaha untuk berbaik dengan MCA, meningkatkan lagi khidmat kepada rakyat, memperbaiki imej dan prestasi, menambahluas rakan dan wilayah sokongan, UMNO Wangsa Maju nampaknya lebih gemar kepada cara mudah untuk menawan semula kerusi itu iaitu dengan menyonglap 2,700 undi pos daripada kawasan Parlimen Setiawangsa untuk menampung kekalahan 150 undi pada 2008 lalu.

Begitu juga di Titiwangsa, cabaran UMNO turut tidak mudah. Meskipun Dr Lo Lo telah meninggal dunia, jika Johari Ghani menjadi calon BN dalam pilihanraya umum akan datang, calon PAS yang bakal menjadi lawannya turut merupakan calon "heavyweight" iaitu Setiausaha Agung PAS, Mustapha Ali.

Selain itu, terdapat juga rungutan daripada pengundi pos di Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Titiwangsa yang melahirkan kekecewaan bila mengetahui nama mereka dipindahkan sesuka hati semata-mata untuk memenuhi nafsu syahwat sesetengah pihak terhadap kuasa.

Dengan wujudnya pelbagai isu berkaitan pertahanan negara dan LTAT sejak kebelakangan ini, selain kematangan anggota tentera dan pasukan keselamatan serta juga pengaruh daripada semakin ramai bekas tentera dan polis yang menyertai PAS dan PKR, tindakan UMNO Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Titiwangsa bergantung kepada undi pos untuk mengecapi kemenangan mungkin tidak menghasilkan keputusan yamg diharapkan.

Sebaliknya tindakan bergantung kepada undi pos itu bukan saja dilihat "tidak jantan" tetapi juga menyebabkan UMNO semakin hilang keaslian perjuangannya yang selama ini berpaksikan khidmat kepada rakyat, turun padang, bersemuka, menambat hati dan menyelesaikan masalah pengundi. (SH 10/01/2013)


Wednesday, 9 January 2013

Benarkah Najib Benar-Benar Sihat?


Isu kesihatan Perdana Menteri, Najib Razak menjadi bualan ramai sejak seminggu yang lalu. Beberapa blog melaporkan kononnya Najib berada dalam keadaan tidak sihat setelah diserang angin ahmar ringan (mild stroke).

Meskipun Perdana Menteri telah menafikan laporan itu dan menegaskan beliau sihat, desas-desus mengenainya tetap panas di pasaran politik. Rakyat biasa, ahli UMNO, bukan ahli UMNO, pengundi atas pagar, lebih-lebih lagi penyokong pembangkang mengutarakan pelbagai teori dan kemungkinan mengenai kesihatan Najib meskipun beliau sudah merayu agar jangan mempercayai tulisan beberapa blog itu.

"Bursa Malaysia sihat, pasaran saham sihat, sukuk sihat dan saya sihat," demikian tegas Najib.

Meskipun sudah ada penafian, desas-desus dan khabar angin tentang kesihatan Najib tidak berhenti begitu saja. Orang ramai terus bercakap mengenainya. Selalunya juga bermula daripada khabar angin, kemudian ada penafian, tiba-tiba menjadi nyata. Dalam politik, begitulah selalunya. Sebab itu, waima ada penafian daripada Najib sendiri, orang tetap berminat bercakap mengenainya.

Sejak Najib kembali dari bercuti seminggu yang lalu, kelibatnya jarang kelihatan di dada akhbar dan televisyen. Selalunya sebaik kembali daripada bercuti, Najib pantas akan ligat dengan pelbagai program turun padang dan merasmikan pelbagai majlis di sana-sini.

Sebaliknya sejak seminggu lalu, yang ligat turun ke negeri-negeri bertemu rakyat ialah timbalannya, Muhyiddin Yassin. Sejak minggu lalu, Muhyiddin telah turun ke Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. Walaupun Najib dilaporkan telah kembali bertugas, beliau lebih banyak berada di pejabat dan menghadiri perogram-program biasa saja.

Selalu Najib dan Muhyiddin sama-sama ligat turun ke negeri-negeri, lebih-lebih lagi dalam keadaan pilihanraya begitu hampir ini. Jika Najib ke Selangor, Muhyiddin ke Kedah, kemudian jika Najib ke Johor, Muhyiddin ke Pahang. Tetapi nampaknya tidak kali, hanya Muhyiddin yang turun padang ke negeri-negeri merayu sokongan bagi pihak UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang.

Malahan melawat mangsa banjir di Pantai Timur juga, Najib tidak terlibat. Beliau hanya sekali meninjau keadaan banjir daripada helikopter. Muhyiddin pula beberapa kali turun melawat mangsa banjir.

Ketika isterinya, Rosmah melawat mangsa banjir di Rantau Panjang sekembalinya daripada bercuti juga, Najib tidak turut serta. Rosmah seolah-olah turun mewakili Najib.

Kerana itu, desas-desus bahawa Najib tidak sihat dan diserang angin ahmar ringan mula tersebar. Jika Najib benar-benar sihat dan cukup cergas, melawat mangsa banjir tentunya menjadi kemestian, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya ini.

Melawat mangsa banjir, menghulurkan bantuan dan kemudian diberi liputan meluas oleh media harus diakui mampu membawa markah politik yang tinggi kepada seseorang pemimpin. Jarang ia dilepaskan begitu saja.

Tidak pernah juga Najib kelihatan begitu perlahan dalam menghadiri pelbagai program sepertimana sekarang ini. Walaupun setelah mengatakan dirinya sihat, Najib tetap tidak muncul sekerap biasa. Tv dan akhbar tidak meriah dengan wajah dan berita Najib sebagaimana biasa.

Sebenarnya serangan angin ahmar ringan bagi mereka yang sibuk, selalu stres dan tidak cukup tidur adalah perkara biasa bagi kebanyakan mereka yang berusia 40 tahun keatas. Ramai yang pernah mengalaminya. Ada yang jatuh ketika di bilik air, ketika berjalan, ketika bersenam dan sebagainya. Sesetengahnya hilang ingatan seketika, badan menjadi lemah manakala yang agak serius, akan mengalami gangguan pada bahagian badan sebelah kiri. Kaki, tangan dan muka sebelah kiri akan menjadi kebas seketika.

Jika cepat diubati dan dirawat, biasanya ia akan pulih dalam beberapa hari.

Sebab itu kebarangkalian Najib diserang angin ahmar ringan dan berada dalam keadaan tidak cergas sejak akhir-akhir ini tidak dapat dinafikan begitu saja. Selain sibuk, selalu stres, tidak cukup tidur, tekanan politik yang dihadapinya sejak kebelakangan ini, terutamanya dengan munculnya pelbagai dakwaan oleh Deepak Jaikishan, memang diakui bukan kepalang beratnya untuk ditanggung oleh sesiapa saja termasuk Najib.

Meskipun ajal maut di tangan Allah Yang Maha Esa dan tidak bermaksud mengharapkan sesuatu yang tidak baik terhadap Najib, orang juga tidak lupa bahawa ayahanda Najib, Tun Abdul Razak tidak panjang usianya sepertimana keturunan Tun Mahathir. Tun Razak meninggal dunia hanya berusia 56 tahun berbanding Mahathir yang sudah 87 tetapi kekal cergas. Malah masih ada kakak Mahathir yang masih sihat.

Di dalam UMNO sendiri, berita tidak sihat seseorang pemimpin membawa implikasi yang pelbagai. Lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum akan datang, isu sihat dan kemungkinan Najib tidak cukup cergas, mula diolah dengan pelbagai versi.

Dengan Najib lebih banyak menghabiskan kerja-kerja pejabat sementara Muhyiddin lebih kerap turun ke negeri-negeri bertemu rakyat, timbul dakwaan bahawa Muhyiddin sekarang ini sedang menjalankan tugas mengumpul sokongan rakyat sebelum pilihanraya diadakan. Ini berikutan dakwaan bahawa sokongan yang terkumpul sebelum ini sudah pun berderai dengan munculnya pelbagai dakwaan oleh Deepak terhadap Najib dan Rosmah.

Najib dikatakan tidak mungkin mampu lagi meraih sokongan rakyat kerana dirinya sendiri masih terbelit dengan pelbagai isu dan kesangsian rakyat. Kerana itu Muhyiddin diharapkan mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kerana beliau tidak ada isu yang berat melingkari dirinya sebagaimana Najib.

Najib dispekulasikan tidak akan berundur sebelum pilihanraya kerana masa sudah suntuk untuk berbuat demikian. Berundurnya Najib sekarang lebih membahayakan kedudukan UMNO dan BN. Ini bermakna, sehingga pilihanraya nanti, Najib kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri tetapi usaha menarik sokongan rakyat akan diambil alih oleh Muhyiddin. Kalah atau menang mash belum tentu tetapi peluang dikatakan lebih baik untuk kemenangan BN jika Muhyiddin yang mengepalainya.

Dan semua ini dikatakan akan membuka laluan kepada perletakan jawatan Najib selepas pilihanraya umum nanti atas faktor-faktor kesihatan. (SH 09/01/2013)








Tuesday, 8 January 2013

Kumpulan Pro Najib Mula Menyumpah Mahathir


Isu berkaitan Deepak terus menjadi perbualan di sana-sini. Di dalam UMNO, di luar UMNO ia tetap menjadi topik hangat dalam perbualan seharian mengikut persepsi masing-masing. Tetapi secara umumnya, isu Deepak ini sekali lagi mencalarkan nama Najib menjelang pilihanraya umum akan datang.

Sikap berdiam diri Najib dan Rosmah menambahkan kesangsian rakyat, dan menjadikan sebahagian besar percaya segala dakwaan Deepak ada asas kebenarannya.

Topik paling menarik ialah siapa di belakang Deepak? Melihat keberanian dan cara Deepak menyerang Najib serta Rosmah, dan dalam masa yang sama polis serta SPRM seperti hilang kekuatan untuk bertindak, membayangkan bahawa Deepak tidak bersendirian dalam hal ini.

Sementara Deepak melahirkan kekecawaan kerana Anwar Ibrahim tidak berdiri di belakangnya, nama Mahathir paling banyak dikaitkan dengan usahawan karpet itu. Kehadiran Deepan di majlis hari jadi Mahathir dijadikan alasan paling kukuh untuk mengiyakan desas-desus itu.

Logiknya memang ada. Seseorang yang sedang menyerang Perdana Menteri biasanya akan dipinggirkan dan semua orang takut berkawan dengannya, apalagi untuk dijemput hadir dalam majlis eksklusif seperti majlis hari jadi.

Tetapi Deepak nampaknya istimewa. Beliau terselit antara 230 jemputan. Dalam masa yang sama, Deepak juga kelihatan bebas ke mana-mana dan tidak takut kepada sesiapa berikutan dakwaannya itu.

Kaitan Mahathir dengan Deepak bukan saja diperbualkan di luar UMNO, tetapi juga dalam UMNO. Dari hari ke hari, makan ramai yang percaya kaitan antara keduanya.

Deepak dikatakan adalah alat untuk melemahkan Najib dan senjata untuk memaksanya berundur. Ia bukan saja boleh digunakan untuk memaksa Najib berundur sebelum pilihanraya tetapi juga selepas pilihanraya nanti.

Meneliti sejarah politik Mahathir sebelum ini, penyokong Najib tidak menolak kemungkinan bekas Perdana Menteri itu merupakan tangan ghaib di belakang Deepak. Kebimbangan Mahathir sekarang ialah jika BN tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Penyokong Najib di beberapa negeri mulai secara terbuka menempelak Mahathir kerana masih berdiam diri, tidak mahu menafi atau mengiyakan desas-desus namanya dikaitkan dengan Deepak. Sikap membisu Mahathir dianggap menyusahkan kerana Mahathir dianggap masih mempunyai pengaruh tersendiri dalam UMNO, walaupun di kalangan rakyat biasa pengaruhnya makin menipis.

Dengan pengaruhnya yang masih bersisa itu, Mahathir dianggap tidak habis-habis menyusahkan orang. Mahathir dianggap hanya mementingkan dirinya saja. Ketakutannya ialah pada Anwar tetapi yang bakal menjadi mangsa ialah Najib.

Sejak menjadi Perdana Menteri, sudah berderet musuh politiknya yang dikambus tanpa nisan, kini nampaknya naluri pemangsa tidak pernah padam dalam dirinya. Setelah bersara, Pak Lah menjadi mangsanya yang pertama, dan kini bayangan semakin jelas bahawa Najib adalah mangsa yang seterusnya.

Tidak ada sesiapa yang penting di sisi Mahathir, selain dirinya sendiri. Sesiapa yang boleh mengancam kepentingannya, mudah saja dijadikan musuhnya.

Najib bakal dijadikan musuh kerana beliau dianggap terlalu lemah untuk berhadapan dengan Anwar. Pekungnya bersama Rosmah terlalu banyak. Sebahagian besar isu Najib ialah berkaitan karenah Rosmah. Ia hampir sama seperti kaitan Pak Lah dengan KJ dahulu, malah lebih teruk lagi. Maka tidak hairan jika Najib bakal dijadikan mangsa kerana kekalnya Najib lebih memberi peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri.

Inilah yang paling ditakuti dan sentiasa menjadi mimpi ngeri Mahathir.

Deepak adalah alasan terbaik Mahathir untuk memaksa Najib berundur dan menggagalkan hasrat Anwar ke Putrajaya. Sama ada ia berjaya atau sebaliknya, ia banyak bergantung kepada episod pendedahan yang seterusnya oleh Deepak.

Tetapi kecaman dari dalam UMNO sendiri kepada Mahathir mula kedengaran di mana-mana sekarang ini. Kumpulan pro Najib seolah-olah cuba mempertahankan bos mereka dengan menyalahkan Mahathir dalam permainan terbaru ini.

Sudahlah sikap berdiam diri Najib dan Rosmah terhadap segala dakwaan Deepak membuatkan para pemimpin UMNO lainnya termasuk pro Najib turut terpaksa berdiam diri dan tidak berani memberi komen, kaitan Mahathir dan Muhyiddin yang digembar-gemburkan di belakang Deepak, menambahkan lagi sengsara jiwa mereka.

Dalam masa yang sama, dengan pelbagai dakwaan lainnya yang timbul berkaitan Deepak seperti melibatkan Raja Ropiaah, LTAT dan sebagainya jelas menjadikan UMNO makin dipalit contengan arang hitam. Belum pun reda isu Shahrizat dan NFC, kini Raja Ropiaah pula membawa beban kepada UMNO dan BN.

Hari demi hari isu Deepak ini bukan saja memberi markah tambahan kepada Pakatan Rakyat tetapi dalam masa yang sama turut memecah-belahkan UMNO sendiri. Mahathir yang selama ini dianggap sifu dalam UMNO mulai dikecam tanpa segan silu. Dalam masa yang sama, jurang puak Najib dengan puak Muhyiddin turut makin melebar.

PRU 13 benar-benar semakin meletakkan UMNO dan BN umpama telur di hujung tanduk. ( SH 08/01/2013)


Sunday, 6 January 2013

Lebih Elok Memoir Rosmah Diterbitkan Selepas Najib Tidak Lagi Jadi PM...


Belum pun sempat buku biografi isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor siap dicetak dan diterbitkan, sebuah buku mengenai beliau telah pun diedarkan dalam talian yang bertajuk The Black Rose 1.0 oleh Deepak Jaikishan dan penulisnya menggunakan nama Spirit of Altantuya.

Buku ini ditulis dalam bentuk cerita dengan nama watak-wataknya dieja secara terbalik atau diberi mirip nama yang hampir sama seperti Deepak diterbalikkan menjadi Kadeep, Najib diterbalikkan menjadi Bijan dan Raja Ropiaah ditukar kepada King Popiah.

Buku The Black Rose 1.0 yang dipercayai mempunyai sambungan lagi ini diedarkan sebagai memenuhi janji Deepak sebelum ini bahawa beliau akan menerbitkan sebuah buku setebal 26 mukasurat untuk menceritakan kebenaran mengenai hubungannya yang penuh warna warni dengan isteri Perdana Menteri itu termasuk penglibatannya dalam memujuk penyiasat persendirian P Balasubramanin membuat akuan bersumpah kedua bagi menafikan akuan bersumpah pertama sebelumnya yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Antantuya yang melibatkan Razak Baginda.

Buku yang boleh dimuat turun secara bebas dalam talian dan jua diberi kebenaran kepada sesiapa yang mahu mencetaknya supaya orang kampung, rakyat pedalaman, ketua kampung, JKKK, imam surau, bilal masjid dan pelbagai golongan yang tidak mempunyai kemudahan internet boleh membacanya, turut mengisahkan mengenai penglibatan Deepak dalam mengolah akuan bersumpah kedua itu setelah beliau diarahkan oleh Rosmah dan Najib untuk berbuat demikian dan pelbagai perkara lainnya.

Turut diceritakan dalam buku itu ialah mengenai Raja Ropiaah, Ketua Wanita UMNO Selangor yang merupakan salah seorang kroni rapat Najib yang telah diberikan projek Puspahanas oleh Kementerian Pertahanan, yang mana kemudiannya projek itulah yang menjadi punca wujudnya konflik dan sengketa antara Deepak, Najib, Rosmah dan Raja Ropiaah.

Resit-resit pembelian barang kemas yang dipercayai untuk Rosmah dan dilunaskan bayarannya oleh Karpet Raya Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Deepak turut disertakan dalam buku tersebut yang kini dianggap buku paling panas di permulaan tahun 2013.

Beredarnya buku Deepak ini tentunya memberi satu lagi tamparan kepada Najib dan Rosmah menjelang detik pilihanraya umum yang semakin hampir. Sebelum ini Deepak juga sudah membuat pelbagai dakwaan terhadap Perdana Menteri dan isterinya, yang mana tiada satu pun dakwaan itu mampu dijawab setakat ini.

Sebelum terbitnya buku Deepak ini, Rosmah telah pun mengadakan pra pelancaran buku biografinya yang bukan saja dikatakan menceritakan liku-liku perjalanan hidupnya (diharap tiada fakta atau sisi yang disembunyikan) malah juga dikatakan akan menjawab segala fitnah dan tohmah mengenai dirinya.

Ketika majlis pra pelancaran buku itu yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, turut diumumkan bahawa buku tersebut akan mula beredar pada awal Januari 2013.

Namun takdir menentukan bahawa sebelum terbitnya buku biografi itu, buku Deepak telah pun diedarkan lebih dulu. The Black Rose 1.0 hanyalah permulaan, dan mungkin akan beredar pula The Black Rose 2.0, The Black Rose 3.0 dan seterusnya.

Selain dalam bentuk buku, Deepak juga dipercayai akan terus bersuara lagi menyerang Najib dan Rosmah kerana nampaknya kemarahan beliau terhadap mereka yang didakwa mengkhianatinya tidak akan berhenti begitu sahaja, sekurang-kurangnya sehingga hari pembuangan undi nanti.

Ini bermakna selagi wujud dakwaan, tohmahan atau fitnah baru terhadap Najib dan Rosmah, buku biografi yang diharapkan untuk menjawab dan membersihkan nama isteri Perdana Menteri itu tidak akan sempurna kerana akan terdapat perkara-perkara yang terlepas untuk dijawab.

Jika ada perkara yang terlepas untuk dijelaskan dan tidak semua dakwaan yang mencemarkan nama Rosmah selama ini dapat dijawab melalui biografi itu sebagaimana janji Ahmad Maslan yang merupakan penasihat penerbitannya, ia juga bermakna matlamat biografi itu ditebitkan tidak tercapai sepenuhnya.

Dalam memperkatakan mengenai Rosmah, yang paling menarik untuk diketahui ialah jawapannya mengenai segala tohmahan dan dakwaan yang wujud sebelum ini. Kisah hidupnya, zaman sekolahnya, dunia pekerjaannya, latar belakang keluarga, kisah keluarga dan anak-anaknya sebelum berkahwin dengan Najib tidaklah semenarik penjelasanya mengenai barang mewah yang dikatakan bertimbun dimilikinya, jumlah pakaian mahal-mahal yang bergedung banyaknya, jenama beg tangannya, benarkah cincin RM24 juta itu wujud dan sebagainya lagi.

Juga menarik untuk diketahui sama ada segala dakwaan Deepak ada kebenarannya atau hanya fitnah sahaja.

Semua itulah yang ingin diketahui dalam buku biografinya itu.

Oleh kerana Rosmah lebih banyak berdiam diri daripada menjawab segala apa yang pernah diperkatakan mengenai dirinya, sudah tentu buku biografinya itu amat menarik jika penjelasannya dalam buku biografi itu berfaktakan kebenaran.

Tetapi ia tidak wajar diterbitkan sekarang. Sebabnya masih banyak lagi dakwaan mengenai Rosmah khabarnya akan didedahkan oleh Deepak. Jika biografi diterbitkan sekarang dan semua dakwaan, termasuk yang dilakukan oleh Deepak tidak dijawab dalam biografi itu, ia menjadi tidak sempurna dan ada cacat-celanya.

Maka itu, adalah lebih baik Ahmad Maslan menasihatkan Rosmah agar menangguhkan dulu penerbitan buku itu. Tunggulah sehingga pilihanraya umum dan setelah tiada lagi dakwaan-dakwaan baru dibuat terhadapnya. Ketika itu juga, biografi itu boleh diubah kepada sebuah memoir dan jia semua dakwaan serta tohmahan dapat dijawab, barulah ia dilihat sempurna.

Dan jika ketika itu Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri, memoir Rosmah itu pasti ditunggu-tunggu kehadirannya serta menjadi sebutan sebagaimana panasnya buku memoir Tun Mahathir sebelum ini.(SH 06/01/2013)

Friday, 4 January 2013

Jika Benarlah Mahathir Di belakang Deepak...


Sejak Deepak Jaikishan muncul sebagai tajuk sensasi berita dan mengaitkan Najib serta Rosmah dengan pelbagai dakwaan, perkara yang menjadi persoalan umum mengenai usahawan karpet itu ialah dia dilihat bukan saja begitu berani tetapi seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.

Dia sudah membuat pelbagai dakwaan terhadap Perdana Menteri dan Rosmah. Daripada mendakwa memberi sejumlah wang kepada Najib, yang tentunya bermaksud seorang Perdana Menteri menerima rasuah daripadanya, menuduh Najib terlibat dalam akaun bersumpah kedua P Balasubramian untuk menafikan akuan bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya sehinggalah kepada pelbagai dakwaan lainnya sama ada berkaitan Najib mahupun Rosmah, Deepak dilihat amat bebas untuk bercakap apa saja.

Dia boleh menuduh bermacam perkara, bebas mengadakan sidang akhbar dan senang dihubungi media untuk memberi komen mengenai konflik yang dhadapinya. Dia juga bebas bergerak seolah-olah tiada apa yang dibimbanginya.

Sementara Najib, Rosmah dan pimpinan UMNO lainnya tidak berani bersuara menyanggah apa yang disuarakan oleh Deepak, agensi kerajaan seperti polis dan SPRM juga bagaikan sudah kehilangan kuku untuk bertindak terhadap Deepak.

Secara logiknya, pihak polis mahupun SPRM boleh dengan apa cara sekali pun memanggil Deepak, sama ada untuk memberi keterangan atau menyiasat beliau bagi mengesahkan sama ada semua dakwaan yang dibuatnya itu ada kebenaran, mempunyai bukti atau sekadar dakwaan semata-mata. Lebih-lebih lagi yang dituduh dalam dakwaannya itu ialah Perdana Menteri, ketua eksekutif sebuah kerajaan.

Tetapi Deepak bukan saja terus bebas, bahkan seolah-oleh kebal daripada undang-undang.

Kenapa jadi demikian? Adakah Najib, pemimpin UMNO, polis dan SPRM berdiam diri kerana mengetahui semua dakwaan Deepak itu semuanya benar belaka? Atau mungkinkah Deepak dilindungi oleh seseorang yang begitu berpengaruh?

Persoalan mengenai keberanian Deepak ini bagaimanapun mula terungkai sehari dua lalu apabila bertebaran di dunia maya gambar-gambar yang menunjukkan kehadiran beliau di majlis sambutan hari jadi Tun Mahathir yang yang diadakan di sebuah hotel, baru-baru ini.

Kehadiran Deepak di antara 230 jemputan di majlis sambutan hari jadi eksklusif itu menimbulkan tanda-tanya atau sekurang-kurangnya membuktikan bahawa Deepak mempunyai hubungan dengan Mahathir, baik secara langsung mahu pun tidak langsung. Dalam masa yang sama, Najib tidak pula hadir di majlis tersebut.

Oleh kerana Deepak membuat dakwaan terhadap Najib sejak penghujung November lagi, lebih kurang tiga minggu sebelum sambutan hari jadi Mahathir itu, jemputan terhadap Deepak tentu saja boleh dibatalkan jika Mahathir tidak mahu dilihat mempunyai kaitan dengan peniaga karpet yang sedang menyerang Najib itu.

Namun Deepak tetap juga dijemput. Apakah Mahathir sengaja mahu melihat Deepak hadir di majlis sambutan hari jadinya yang turut dimeriahkan oleh kehadiran Shah Rukh Khan itu?

Tersebar gambar-gambar yang mengesahkan kehadiran Deepak di majlis Mahathir itu sebenarnya telah mengesahkan kesangsian ramai mengenai keberanian Deepak selama ini. Kini ramai yang percaya kemunculan Deepak dan keberaniannya menyerang Najib serta Rosmah adalah 'game' yang dipapan-caturkan oleh Mahathir.

Selain Najib, siapakah lagi yang begitu berkuasa di negara ini selain Mahathir! Cengkamannya terhadap kuasa selama 22 tahun dan nasib yang berlaku terhadap musuh-musuh politiknya sebelum ini membuktikan hakikat itu. Sebab itu Deepak kelihatan bebas membuat dakwaan, tidak diusik oleh polis mahupun SPRM serta tidak takut bergerak ke mana-mana.

Jika orang lain yang membuat dakwaan begitu serius terhadap seorang Perdana Menteri, barangkali sudah lama serangan balas dilakukan oleh para pemimpin UMNO lainnya dan agensi yang berwajib juga biasanya pantas mengambil tindakan. Tetapi tidak dengan Deepak.

Jika benar memang Mahathir di belakang Deepak dan sengaja mahu menunjukkan kehadiran Deepak di majlis hari jadinya, apakah muslihat bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang masih menjadi broker kuasa dalam UMNO itu?

Sehingga ini Mahathir masih berdiam diri, tidak menafi mahu pun menjelaskan bagaimana Deepak yang sedang mahu menjatuhkan Najib boleh hadir dan bergembira di majlis hari jadinya. Jika Mahathr terus berdiam diri, tujuannya tidak lain ialah supaya orangramai terus bercakap mengenainya dan mempercayai perkara itu.

Ia sebahagian daripada permainan Mahathir untuk menekan Najib.

Kaitan Mahathir dengan Deepak dan permainannya sebagai broker kuasa dalam UMNO untuk menekan Najib dapat dilihat melalui tulisan terbarunya dalam blog Chedet yang meminta rakyat supaya tidak memilih Anwar menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya umum akan datang, walaupun hanya untuk tempoh lima tahun.

Sebelum ini Mahathir sudah beberapa kali bercakap tentang bahayanya jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Tulisannya yang terbaru ini adalah luahannya yang entah kali ke berapa untuk merayu kepada rakyat supaya mengenepikan Anwar.

Dengan berulang kali melahirkan kebimbangan itu, Mahathir sebenarnya sudah dapat merasakan UMNO dan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang, dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri juga akhirnya, sesuatu yang amat ditakutinya. Beban utama kekalahan UMNO dan BN tidak lain ialah Najib dan Rosmah.

Dengan munculnya Deepak melemahkan Najib, di samping tekanan sedia ada daripada pembangkang, harapan Mahathir ialah supaya Najib menyedari realiti yang ada dan sedia berundur serta memberi laluan kepada timbalannya, Muhyiddin untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, seterusnya mengemudi jentera menghadapi pilihanraya akan datang ini.

Selagi Najib tidak berundur, serangan Deepak dijangka akan berterusan. Melalui hubungannya yang rapat dan bebas keluar masuk kediaman Najib sebelum ini, Deepak diketahui mempunyai banyak rahsia mengenai Najib dan Rosmah. Pembelian barang kemas sebanyak RM13 juta dalam tenpoh tiga bulan untuk Rosmah sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi, mungkin hanya cebisan kecil daripada beberapa helaian pekung yang bakal didedahkan kepada umum tidak lama lagi.

Menjadi percakapan di kalangan pemimpin UMNO juga bahawa Mahathir sebenarnya lebih meyakini Muhyiddin berbanding Najib. Najib dan Rosmah bagi Mahathir terlalu besar bebannya bagi UMNO dan BN, cuma Mahathir dikatakan tidak mahu terlalu mengkritik Najib kerana bimbang ianya lebih memberi manfaat kepada Anwar.

Harapan Mahathir untuk memberi nafas semula kepada UMNO dan BN hanyalah dengan Najib sedia berundur dan menyediakan laluan kepada Muhyiddin seberapa segera. Deepak adalah senjata ke arah mencapai tujuan itu.

Tetapi jika senjata Deepak ini tidak cukup berkesan dan Najib terus mahu kekal sehingga pilihanraya umum, Mahathir mungkin menjadi insan paling sedih selepas pilihanraya umum nanti kerana terpaksa berperdana-menterikan Anwar Ibrahim juga akhirnya. ( 04/01/2013)