Friday, 14 December 2012
Bila Hantu Altantuya Mula Mengilai, Senyum Muhyiddin-Zahid Tentu Makin Melebar
Hari-hari kebelakangan ini, Deepak Jaikishan yang dulunya merupakan rakan karib keluarga Najib dan menganggap Rosmah Mansor seperti kakak angkatnya, tidak henti-henti bersuara mengenai keluarga Perdana Menteri itu.
Bermula dengan dakwaannya bahawa beliau ditipu dalam satu urusniaga tanah yang melibatkan seorang Exco Wanita UMNO yang diberikan projek kerajaan oleh Najib, tindakan Najib tidak membantunya meskipun mendakwa sudah memberi sejumlah wang kepada Najib, Deepak terus bersuara lagi. Tetapi kebelakangan ini beliau tidak lagi merintih dan mengeluh tentang nasib dirinya yang bagai dianiaya dan dipermainkan itu.
Deepak kini melangkah lebih jauh lagi. Kali ini beliau mendedahkan pula penglibatan dirinya dalam isu akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian. Daripada menceritakan secara detail penglibatan beliau sepenuhnya dalam isu itu, Deepak juga mula menyebut nama-nama yang didakwa terlibat sehingga P Bala bersetuju membuat akaun bersumpah kedua yang sekaligus membersihkan nama Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya.
Jika semalam beliau menyebut adik Najib iaitu Nazim Razak yang heboh dikatakan sudah bercerai dengan isterinya, Norjuma Habib sebagai individu yang membayar wang kepada P Bala untuk membuat akaun bersumpah kedua, hari ini Deepak secara terus-terang menyebut bahawa Najib adalah orang yang terlibat memainkan peranan sehingga P. Bala bersetuju membuat akaun bersumpah kedua itu.
Menurut Deepak, Najib bertindak demikian untuk memastikan jawatan Perdana Menteri menjadi miliknya kerana ketika itu ada usaha untuk menghalang Najib daripada menduduki kerusi tersebut.
Dengan pendedahan demi pendedahan oleh Deepak ini, beliau nampaknya tidak akan berhenti bersuara selagi Najib berada di tempatnya sekarang. Penegasannya bahawa Malaysia mempunyai 28 juta penduduk dan tidak seharus segala-galanya di negara ini ditentukan oleh sepasang suami isteri sahaja, membuktikan kesungguhannya untuk terus bersuara.
Sebagai orang yang pernah dekat dan bebas keluar masuk rumah keluarga Najib, Deepak mungkin mengetahui banyak perkara bukan saja berkaitan P Bala tetapi juga mungkin mengenai Razak Baginda dan Altantuya.
Jika beliau tahu mengenai Nazim yang membayar wang kepada P. Bala dan tidak takut mengaitkan Najib dalam isu akaun bersumpah itu, ini bermakna Deepak mungkin mengetahui banyak perkara lagi yang melibatkan Najib, Razak Baginda dan Altantuya.
Andainya Deepak terus bersuara dan mengaitkan pelbagai perkara lagi mengenai Najib dan kaitannya dengan kes pembunuhan Altantuya, ia tentunya merupakan bahana besar kepada Najib yang sedang mencari-cari tarikh sesuai untuk memanggil pilihanraya umum ke 13.
Tindakan Deepak tidak henti-henti menyebut nama Altantuya dan mengaitkannya dengan Najib juga boleh menyebabkan "hantu" Altantuya bangun dan mengilai kembali. Atau sekurang-kurangnya menghantui kehidupan seharian Najib dan keluarganya.
Tidak cukup dengan itu, Deepak juga dilaporkan mahu menerbitkan dua buah buku mengenai Rosmah dan kaitan isteri PM itu dalam kes pembunuhan Altantuya, bekas model yang pada mulanya dilantik sebagai penterjemah oleh Razak Baginda ketika urusniaga Scorpene tetapi kemudian ditemui mati dengan dibom menggunakan C4.
Meskipun Najib sebelum ini pernah bersumpah laknat tidak pernah bertemu dan mengenali Altantuya, tetapi rentetan pendedahan demi pendedahan oleh Deepak ini, rakyat nampaknya mula ragu-ragu dengan sumpah Najib itu.
Bahkan sudah ada yang berkata, pendedahan demi pendedahan oleh Deepak bagaikan Najib sudah dimakan sumpahnya sendiri.
Apa pun keadaannya, kehadiran Deepak dengan siri pendedahannya sekarang ini jelas merupakan bala kepada Najib, UMNO dan BN. Keyakinan rakyat untuk memberi sokongan dan undi kepada UMNO dan BN menjadi kelam kerana rakyat jelas telah keliru dan ragu-ragu.
Laungan kata-kata semangat yang dilafazkan Najib semasa Perhimpunan UMNO 2012 lalu yang antaranya meminta rakyat memberikannya kemenangan dua pertiga, turut mulai luntur dihakis oleh semburan asid Deepak.
Tambahan pula, Najib sehingga ini masih membisu seribu bahasa terhadap pelbagai dakwaan Deepak itu meskipun pelbagai pihak menuntut supaya Najib menjawab atau mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga karpet itu jika dakwaannya tidak benar. Pimpinan UMNO juga tidak ada yang berani bersuara. Najib kini hanya dipertahankan oleh blogger-blogger pro UMNO dengan menyerang semula Deepak dan mengaitkannya dengan PR, namun tiada hujah kemas atau bukti kukuh dikemukakan untuk menangkis segala dakwaan itu.
Hakikatnya pelbagai dakwaan yang dibangkitkan Deepak tidak mampu dijawab oleh Najib serta UMNO dan ia bagaikan senjata yang kekal tertanam dalam pemikiran rakyat.
Secara umumnya kedudukan Najib kini umpama berada diatas bara api. Sama ada UMNO menang atau kalah bukan lagi menjadi persoalan bagi rakyat tetapi persoalan utama ialah apakah Najib masih mampu kekal sebagai PM atau sebaliknya selepas pilihanraya umum nanti?
Jika PR sedang giat menghimpit UMNO dan BN dan mahu mengalih kedudukan Najib daripada Perdana Menteri kepada Ketua Pembangkang, hidupnya semula "hantu" Altantuya setelah nyawanya dihidupkan oleh Deepak, keadaan dalam UMNO sendiri menjadi berpecah-belah. Semakin ramai ahli UMNO yang sependapat dengan rakyat untuk menolak kepimpinan Najib sendiri.
Muhyiddin yang kini merupakan orang nombor dua dalam parti dan kerajaan mula disebut-sebut sebagai tokoh yang dianggap perlu mengambil alih tempat Najib selepas pilihanraya nanti. Semakin kuat Deepak bersuara dan semakin kuat "hantu" Altantuya mengilai, semakin tipis harapan Najib untuk membawa UMNO dan BN memperolehi kemenangan dua pertiga.
Sebagaimana Pak Lah yang disingkir kerana gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib juga bakal menerima nasib yang sama kerana "benchmark" atau penanda aras kejayaan Perdana Menteri UMNO ialah kemenangan majoriti dua pertiga. Kurang daripada itu akan dianggap gagal dan mesti berundur.
Jika Muhyiddin akhirnya menjadi kenyataan akan ditonjolkan untuk mengganti Najib selepas pilihanraya umum nanti, peluang terbuka sebagai timbalan pula terbuka luas hanya untuk Zahid Hamidi dan Shafie Afdal. Oleh kerana seorang lagi Naib Presiden UMNO, Hishammuddin juga berasal dari Johor, sama negeri dengan Muhyiddin, peluang beliau bergandingan dengan Muhyiddin boleh dikatakan sudah tertutup kerana mustahil UMNO mahu meletakkan dua pimpinan utamanya dari negeri yang sama.
Antara Zahid dan Shafie, Zahid dari Perak diakui mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjadi orang nombor dua dalam parti dan kerajaan berbanding Shafie yang berasal dari Sabah.
Sebagaimana Muhyiddin dan Zahid yang sama-sama lebih berusia daripada Najib, prestasi buruk atau gagalnya UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang boleh juga dianggap rahmat kepada karier masa depan masing-masing. Ia memberi ruang yang lebih terbuka untuk menaik setakuk lagi dalam pendakian karier politik berbanding jika Najib berjaya mencipta kemenangan cemerlang, Muhyiddin dan Zahid mungkin hanya statik ditempatnya sekarang.
Ini bermakna selagi Deepak terus bersuara dan dalam masa yang sama "hantu" Altantuya semakin kuat mengilai menghantui persepsi rakyat, selama itulah masa depan Najib menjadi tidak ketentuan. Tetapi ketidaktentuan itu mampu merangsang urat senyum Muhyiddin dan Zahid menjadi semakin melebar dalam diam. (14/12/12)
pasai apa TV 3/4 tak siak berita ni haa.... depa tak tau kut..?? tak dak ka sapa sapa nak bagi tau kat depa ni.. kesian depa...
ReplyDeleteWan,
ReplyDeleteSebab tu orang panggil TV 3/4....hahahaha
Bro Shahbudin,
Jelas lagi bersuluh angkara Deepak dan Musa Hassan adalah kerja puak UMNO sendiri untuk menjatuhkan Najib. Bayang tangan Mahathir tampak jelas dalam isu ini.
Kalau ini adalah angkara pembangkang, Deepak ni dah lama masuk dalam. Tak mungkin Deepak boleh mengadakan PC setiap hari mendedahkan satu lepas satu pasal penglibatan Najib dalam kes PI Bala ni, kalau ia adalah angkara pembangkang.
Perasan atau tidak, dalam Deepak makin ghairah mendedahkan semua ini, Musa Hassan semakin kurang melepaskan peluru-peluru liarnya. Pada saya, tugas Musa Hassan dah habis buat sementara waktu kerana objektifnya sudah tercapai. Apa tugas Musa Hassan? Pada saya, tugas Musa Hassan adalah mematikan langkah Hishammudin, sepupu Najib untuk membolehkan Deepak terus menjalankan peranannya mendedahkan pelbagai isu mengaitkan Najib tanpa sekatan.
Memang, kerosakan yang dibuat oleh Deepak keatas reputasi najib agak parah. Berita ini tentunya sudah sampai ke segenap pelusuk negara termasuk kat kampong-kampong, meniti dari mulut ke mulut tanpa kawalan dan menjadi semakin panas apabila ditambah dengan perencah-perencah segera oleh pembawa-pembawa cerita ini.
Mustahil ia tidak memberi kesan kepada undi-undi tetap UMNO. Takkan ia tidak menjadi bualan ahli-ahli UMNO di serata negara di peringkat cawangan-cawangan.
Agaknya para perancang isu Deepak ini tidak memastikan perancangan 120% kemas. Katakanlah mereka berjaya mengulingkan Najib sekarang, apakah mereka fikir pengundi-pengundi dapat membaca tindakan jahat ini dan bertindak menyokong pembangkang termasuk segelintir ahli-ahli UMNO sendiri seperti dalam PRU 12 yang lalu.
Jika apa yang mereka buat sekarang adalah sebagai memasang perangkap untuk menjatuhkan Najib selepas menang PRU 13 nanti - tidaklah ini tindakan tahap kanak-kanak tadika Kemas yang boleh memakan diri sendiri.
Mengapa saya berkata begitu? Sebabnya sekarang ini pembangkang masih buat dono je lagi tentang isu-isu yang dibangkitkan oleh Deepak. Tunggu bila Parlimen dibubarkan dan kempen-kempen pilihanraya bermula!...masak pemimpin-pemimpin UMNO nak menangkisnya. Apatah lagi kita lihat sekarang ini mereka terkapai-kapai menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan.
bat8
Betul tu bat8. Ini adalah perancangan TDM. Jangan lupa selain Muhyiddin dan Zahid ada sorang lagi Mukriz. Bila tempat Naib presiden kosong satu, maka ada peluang untuk Mukriz rebut jawatan tu. Sebab tu depa terpaksa hancurkan gandingan Najib-Hishamuddin.
Delete