Tuesday, 19 June 2012
Mahathir - Pesara Yang Tidak Tenang Jiwanya
Mahathir mungkin satu-satunya pesara jawatan tertinggi di Malaysia dan dunia, yang tetap memenuhkan setiap hari yang dilaluinya dengan kesibukan mengkritik dan memikirkan tentang politik.
Jika pesara lain yang pernah menjadi Perdana Menteri atau Presiden mana-mana negara, mereka hanya lebih banyak menjalani kehidupan santai bersama keluarga dan anak cucu serta sesekali menghadiri jamuan selepas meletakkan jawatan, ini tidak berlaku kepada Mahathir.
Sejak melepaskan jawatan pada 2003 dan kemudian berlaku episod Anwar dibebaskan dari penjara, perselisihannya dengan pengganti yang dipilihnya sendiri iaitu Pak Lah dan keputusan buruk pilihanraya 2008, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak pernah duduk diam.
Menjelang pilihanraya akan datang ini di mana musuh utamanya, Anwar sedang mengintai untuk menuju ke Putrajaya dan dalam masa yang sama UMNO semakin ditolak rakyat, Mahathir kelihatan semakin sibuk dan menjadi tidak tenang jiwanya. Pelbagai pandangan, tulisan, kritikan dan ucapan mengenai politik, masa depan negara, UMNO, Anwar dan sebagainya sudah diluahkannya. Matlamatnya tidak lain, mengelak impian Anwar menjadi Perdana Menteri menjadi kenyataan.
Baru-baru ini beliau bercakap tentang demokrasi, pembaharuan dalam pentadbiran Najib yang disifatkannya menggalakkan ekstremisme dan kebimbangannya jika Anwar menyalahgunakan kuasa setelah berjaya menjadi Perdana Menteri dan seterusnya memungkinkannya di bawa ke muka pengadilan dan dipenjarakan.
Jelas bahawa Mahathir mulai bimbang dengan kebangkitan rakyat yang mahukan pembaharuan sebagaimana yang telah berlaku di beberapa negara sebelum ini.Namun dengan membuat andaian bahawa kemungkinan beliau akan menjadi mangsa balas dendam Anwar, beliau mengharapkan rakyat menolak perubahan dan lebih melihat kesan buruknya berbanding kebaikannya.
Mahathir akan terus mengkritik Anwar dan pembangkang sehingga tarikh pilihanraya diumumkan dan ketika tempoh kempen, keaktifannya mungkin berganda lagi. Jiwa pencennya tidak akan tenang selagi Anwar masih bernafsu untuk merebut kuasa. Beliau ghairah mempertahankan UMNO bukan sangat kerana sayangkan Najib tetapi semata-mata mahu mengelak rakyat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri.
Jika diimbas pencapaian dan kejayaan Mahathir menundukkan musuh-musuh politiknya, beliau sepatutnya sudah boleh menggunakan tempoh persaraan ini dengan jiwa lebih tenang. Semua musuh politiknya berjaya ditunduk dan dijinakkan. Beliau memang boleh berbangga dengan pencapaian itu.
Tetapi putaran kehidupan menjadikan beliau lebih serabut dan kalut berbanding bekas musuh-musuh yang pernah dikalahkannya itu.
Musa Hitam, musuh politiknya yang pertama, kelihatan lebih enjoy dan tenang di usia persaraan ini dengan menceburi dunia korporat dan banyak menghabiskan masa di luar negara. Tengku Razaleigh yang ditewaskannya pada 1987, walaupun masih aktif dan bernyawa dalam politik tetapi jiwanya kini juga pasti lebih tenang dan santai berbanding Mahathir. Begitu juga dengan Pak Lah, sejak bersara pada 2009, beliau mengambil keputusan bersara sepenuhnya dan tidak pernah menyusahkan penggantinya iaitu Najib. Masanya banyak dipenuhkan bersama keluarga dan hanya sesekali muncul di khalayak ramai.
Hanya Anwar, musuhnya yang turut tidak tenang tetapi Anwar belum bersara dan sedang gigih mendaki tangga untuk menawan Putrajaya.
Kenapakah Mahathir tidak setenang Musa Hitam, Ku Li dan Pak Lah?
Mahathir menjadi sedemikian rupa tentunya ada kaitan dengan langkah-langkah politik yang dilakukannya sepanjang 22 tahun berkuasa yang kadang-kadang dilihat zalim dan keterlaluan. Beliau tidak pernah ada perikemanusiaan terhadap penentang yang mahu menggugat kuasa yang sedang disandangnya.
Apabila melantik Pak Lah sebagai penggantinya, beliau antara lainnya tentulah mengharapkan dapat bersara dengan aman dan tenang. Tetapi bermula dengan pembebasan Anwar dari penjara dan kemunculan pengaruh KJ menyebabkan Mahathir kembali menyingsing lengannya. Dan sejak itu, sekitar tahun 2004 sehinggalah sekarang, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak tenang jiwanya.
Mahathir kini bagai diburu oleh dosa-dosa silamnya. Kerakusan untuk mempertahankan kuasanya suatu ketika dahulu sehingga tiada perasaan belas terhadap orang lain menyebabkan beliau kini sentiasa dibayangi ketakutan dan kebimbangan.
Walaupun mengakui tidak bimbang jika nasibnya menjadi seperti Hosni Mubarak atau Muammar Gaddafi tetapi keaktifannya bersuara akhir-akhir dan mahu rakyat mengelak perubahan berlaku dalam politik negara seperti di beberapa negara Arab, jelas bahawa Mahathir mempunyai kebimbangan itu.
Jika UMNO dan BN tumbang, bukan sahaja legasinya akan musnah malahan kedudukan dirinya sendiri juga menjadi tidak menentu. Masa depan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan juga menjadi buntu. Bolehkah kita membayangkan bagaimana kehidupan Mahathir jika Anwar menjadi Perdana Menteri?
Dengan kita pun tidak mampu membayangkannya, maka tentulah Mahathir sendiri tidak mahu membayangkan nasib dirinya ketika itu nanti.
Kiranya apa yang sedang dilaluinya kini dinamakan pembalasan, Mahathir tentunya sedang meniti detik-detik sengsara akibat dosa-dosa silamnya. Sementara menjalani kehidupan hari tua tidak sebagaimana bekas Perdana Menteri lainnya di mana-mana di dunia ini, dan jika sesekali terbayang di kepalanya kemungkinan UMNO kehilangan kuasa dan Anwar pula menduduki kerusi Perdana Menteri yang pernah didudukinyan selepas pilihanraya akan datang ini, derita jiwanya pasti lebih parah lagi.
Mahathir kini sedang bertarung mengelakkan semua itu. (SH 19/06/2012)
Saat Anwar Ibrahim dipecat dengan pelbagai tuduhan, Mahathir ketika itu dipuncak kekuasaan. Anwar tahu dia akan hadapi kesukaran untuk menentang Mahathir dan kuncu2 bagi menegakkan keadilan. Tetapi berasaskan prinsip "berani kerana benar", bagi Anwar "lawan tetap lawan". Ketika itu Anwar tak ubah sebiji mentimun yang cuba menghenyak durian.
ReplyDeleteKekuasaan yang ada ditangan Mahathir & UMNO BN, Mahathir umpama sebiji durian, Anwar dilanyak Mahathir dengan berbagai cara tipu helah dan salah guna kuasa sehingga menyebabkan Anwar terpenjara bertahun2.
Rupa-rupanya sebiji mentimun yang disangka Mahathir mudah dihancurkan durian, tidak berlaku seperti sangkaannya. Anwar bagaikan mentimun emas, dilanyak sebiji durian, menyebabkan duri duri durian patah satu demi satu...dan kini durian itu hampir "dogol" tanpa duri lagi.
Mahathir usah berbohong pada dunia tentang perasaannya kini. Dia sebenarnya semakin takut dan kecut. Betullah maksud perumpamaan "berani kerana benar, takut kerana salah". Itulah yang berlaku sekarang pada Mahathir. Rakyat kebanyakan tidak melihat ketakutan ini diwajah Anwar tetapi wajah pucat tersebut kini terpancar pada situa bernama Mahathir. Kenapa perlu takut kalau tidak bersalah???.
Larilah sejauh mana Mahathir mahu namun realitinya..usia Mahathir kian dekat menghampiri kubur. Beliau kini semakin ditolak oleh rakyat. Jangan sampai jasadnya nanti juga ditolak tanah dan lahad. Mereka yang benar2 mengenali Anwar tentu tahu betapa sosok bernama Anwar ini seorang pemaaf, bukan pendendam. Malah ramai sahabat yang memarahi dan tidak senang dengan sikap Anwar yang mudah memaafkan musuh yang menganiayainya. Kenapa Mahathir perlu menjadi takut dan cemas untuk mengizinkan Anwar berkuasa?. Betullah...takut kerana salah. Dosa doasa silam yang menghantui Mahathir. Tentu terlalu banyak dosa Mahathir sehingga menyebabkan beliau tidak tenang dan resah saat usia dihujung senja.
Agaknya apa akan Mahathir jawab bila di alam barzah nanti " Siapakah yang menganiaya dan memfitnah Anwar?". Adakah Mahathir akan menjawab " kerana Anwar memperketatkan undang2 rasuah sewaktu beliau memangku jawatan PM? ".
Mahathir perlu belajar sejarah. Kebathilan tidak akan selamanya kekal. Jika beliau sedar bahawa dirinya serta pimpinan UMNO BN tidak berlaku adil selama ini, maka beliau dan UMNO akan berakhir jua akhirnya. Ini sudah hukum alam. Dan saat saat itu semakin terbayang dimata Mahathir dan kini menyiksa dan mengcengkam di jiwanya. Mahathir bijak merancang tetapi Allah adalah sebaik baik perancang. Mahathir akan lemas dalam dosa dan noda yang diciptanya sendiri. Masa saja yang akan menentukan.
Tuan,
ReplyDeleteSaya rasakan, kalau Pakatan Rakyat hendak membuktikan mereka boleh memberikan "Good Governance" serta "Effective Separation of Power", apa juga yang benar dan betul, dihargai, yang salah dan "corrupt" sahaja yang perlu ada rasa gerun.
Pastikan yang setiap "Civil Servant" faham mereka bukannya "Government Servant", dan tanggungjawab mereka adalah "PUBLIC SERVICE">
Rakyat mungkin akan selesa untuk memilh mereka.