Friday, 18 May 2012

PRU 13 Peluang Terbaik Untuk Perubahan


Ramai rakyat dan pengundi begitu ghairah dakam pilihanraya kali ini ialah semata-mata untuk melihat berlakunya perubahan dalam politik negara. Rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat tentunya ingin menumbangkan UMNO dan BN dan menggantikannya dengan kerajaan baru yang diyakini lebih baik, lebih telus, lebih menjaga rakyat dan sebagainya.

Bagi mereka, era pemerintahan BN selama lebih 50 tahun harus ditamatkan kerana terlalu banyak sisi gelap yang muncul satu demi satu yang melibatkan pemimpin UMNO dan kerajaan. Pemimpin yang dianggap tidak ikhlas dan tidak amanah itu telah menyebabkan negara semakin hari semakin nazak dibuatnya. Bukan saja kos hidup makin meningkat, peluang pekerjaan kian terhad, hutang negara bertambah sehingga mencecah 54 peratus daripada KDNK negara, malahan imej negara di persada antarabangsa juga kian suram.

Beberapa isu skandal dan penyelewengan yang muncul membuatkan rakyat bertambah muak dengan kerajaan pimpinan Najib sekarang ini. Laungan perubahan tidak membawa erti sama-sekali kerana ia dilihat tidak disertai dengan iltizam yang tinggi untuk berubah. Isu-isu yang melibatkan nepotisme dan kronisme terus juga berlaku dan menjadi bualan rakyat.

Bukan saja menteri dan pemimpin negeri serta bahagian yang tidak mahu berubah dengan terus mengabaikan rakyat, gemar mempamerkan kekayaan, bergaya mewah serta membazir malahan Najib sendiri dilihat cakap tak serupa bikin. Sementara beliau menekankan konsep wasatiyah atau kesederhanaan, Najib juga dilihat gagal mengawal dirinya, isteri dan keluarganya untuk bersederhana dalam kehidupan. Pembaziran dan berbelanja mewah terutama dalam menghias diri, kediaman dan mengadakan jamuan terus juga berlaku. Episod Rosmah berbelanja mewah di luar negara pula bagaikan telenovela yang tiada penghujungnya.

Ini menyebabkab rakyat melihat pemimpin UMNO sebenarnya tidak mahu berubah. Laungan untuk berubah hanyalah umpan untuk memancing undi dan sokongan. Rakyat akhirnya berpendapat, hanya rebah saja ubat yang mujarab untuk UMNO berubah.

Mereka lebih bimbang, jika UMNO dan BN terus diberikan kuasa, lebih banyak cerita skandal dan penyelewengan yang akan terbentang di depan mata mereka. Mungkin berpuluh skandal mirip NFC atau separuh daripada menteri yang berskandal dengan artis akan menjadi kebiasaan akhirnya. Mungkin juga semua menteri akan mengagih-agihkan projek kerajaan untuk anak dan kaum keluarga sahaja.

Rakyat juga tidak mahu lagi melihat menteri yang lemah dan lebih banyak memberi amaran daripada bertindak. Mereka juga tidak mahu menteri hanya diam membatu dan seolah-olah patung bernyawa terhadap segala permasalahan rakyat. Lebih dari itu, rakyat juga sudah jelak dengan menteri yang terlalu retorik dan hanya tahu mengampu tetapi keprihatinan terhadap rakyat tetap ditahap sifar.

Ditambah pula dengan kedudukan pembangkang yang kian mantap dan kejayaan Anwar menyatukan PKR, PAS dan DAP sebagai Pakatan Rakyat yang dilihat mampu menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada, ia membuatkan harapan rakyat ke arah perubahan semakin membuak dan berkobar-kobar.

Dengan kedudukan PR yang begitu mantap, sementara UMNO dan BN pula kian lemah serta disaluti dengan pelbagai masalah dari demi hari, PRU 13 dilihat adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan. Jika peluang ini terlepas, ia mungkin tidak muncul lagi. Oleh itu, peluang yang ada ini harus digunakan sebaik mungkin.

Jika rakyat yang menyokong pembangkang lebih mahukan kerajaan baru mentadbir negara ini selepas pilihanraya akan datang, lain pula halnya dengan sebahagian besar pengundi atas pagar dan ahli UMNO. Sebahagian mereka dilihat masih mahukan UMNO dan meyakini BN tetapi tidak gembira dengan cara pentadbiran Najib bersama sebahagian besar menteri-menteri yang ada sekarang.

Dengan Najib yang dilihat terlalu lemah dan gagal dalam banyak perkara, mereka ini hanya mahu Najib ditukar selepas pilihanraya ini. Mereka juga tidak gembira dengan menteri-menteri yang dilihat rapat dengan Najib tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

Hakikatnya, pilihanraya akan datang ini akan menyaksikan pertembungan kepada perubahan dalam dua aspek. Satu pihak mahukan UMNO dan BN ditumbangkan manakala satu pihak lagi hanya mahukan Najib dan beberapa menteri yang tidak berkesan digulingkan.

Namun yang jelasnya perubahan pasti akan berlaku dalam PRU 13 ini. (SH 18/05/2012).



1 comment:

  1. Tuan,

    Ini wassatiyah PM :
    http://www.youtube.com/watch?v=cAiCVsm4wck


    Ini wassatiyah RAKYAT :
    http://www.youtube.com/watch?v=pX45rK9UyEs

    ReplyDelete