Saturday, 17 March 2012

Beranikah Muhyiddin Mencabar Najib?

Apabila Tun Daim menyatakan bahawa Najib akan digulingkan oleh UMNO apabila gagal mendapat keputusan dua pertiga dalam pilihanraya ini, serta-merta nama Muhyiddin, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri sekarang menjadi sebutan sebagai calon yang akan menggantikan Najib.

Kalau dalam kes Pak Lah dulu, Muhyiddin yang mula-mula berani bersuara mendesak Pak Lah agar menyegerakan peralihan kuasa, siapakah pula kali ini yang berani mendesak Najib supaya berundur pula?

Tidak manis andainya Muhyiddin bersuara secara terbuka meminta Najib berundur memandangkan kedudukanya sebagai orang nombor dua dan pengganti utama tetapi untuk meneruskan langkah beraninya, beliau masih boleh meminta Najib berundur dalam mesyuarat yang tertutup jika mahu berbuat demikian. Pihak-pihak lain seperti pemimpin dalam Majlis Tertinggi UMNO, ketua-ketua bahagian dan sebagainya juga meinta Najib berundur jika keputusan piihanraya cukup buruk dan tidak mungkin dipulihkan kiranya Najib terus menjadi Perdana Menteri.

Apa yang perlu bagi Muhyiddin hanyalah keberanian untuk mencabar Najib dan seterusnya bersedia menjadi orang nombor satu dalam politik negara.

Sudah ramai yang meramalkan UMNO dan BN tidak mungkin mampu menang dengan cemerlang dalam PRU 13 ini. Pelbagai ramalan dan analisis sudah pun dibuat. UMNO dan pelbagai agensi kerajaan turut membuat analisis dan telahan yang sama. Hampir tidak ada yang berani mengatakan kemenangan cemerlang akan dicapai oleh UMNO dan BN.

Kebanyakannya hanya meramalkan kemenangan tipis yang mampu dicapai, kalau pun tidak kalah sama-sekali. Saya sendiri sudah menulis sebelum ini bahawa jumlah kerusi yang mampu dimenangi oeh BN hanya sekitar 90 hingga 105 kerusi sahaja berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak-pihak tertentu yang membuat kajian serta juga pandangan daripada beberapa bekas menteri kabinet. Dan jika Pakatan Rakyat juga tidak mampu menang lebih daripada 112 kerusi, jumlah minimum untuk menubuhkan kerajaan, kedudukan Parlimen tergantung akan berlaku. Dan jika keadaan ini berlaku, kedudukan kuasa ketiga akan menjadi penentu siapakah yang mampu menubuhkan kerajaan.

Dalam konteks UMNO, sama ada menang tipis atau kalah, kedudukan Najib tidak akan selamat. Menang tipis atau mampu menubuhkan kerajaan atas ihsan kuasa ketiga tidak akan menyelamatkan Najib. Beliau akan dipaksa berundur dan Daim sendiri sebagai veteran UMNO sudah mengesahkan ia akan berlaku. Hanya kemenangan dua pertiga yang mampu menyelamatkan nyawa politik Najib.

Dengan Daim sendiri mengatakan penyingkiran akan berlaku, ia bagaikan rangsangan yang akan terus menghimpit Najib hingga ke dinding. Dan Muhyiddin adalah calon pilihan untuk menggantikannya.

Ketika ini mungkin Muhyiddin tidak mahu menunjukkan reaksi apa-apa tetapi keadaannya pasti berubah selepas pilihanraya nanti. Mahathir yang diketahui agak rapat dengan Muhyiddin juga pasti akan bangun memulakan langkah silatnya.

Ketika ini memang Mahathir dilihat bersama dengan Najib tetapi semuanya dilakukan hanya untuk memastikan UMNO dan BN terus menang pilihanraya umum akan datang ini. Jika Mahathir menunjukkan secara terbuka beliau tidak bersetuju dengan Najib sebelum pilihanraya ini, pihak yang akan untung tentunya Anwar dan Pakatan Rakyat.

Mahathir yang sebelum ini tidak bersetuju dengan banyak perkara yang dilakukan Najib seperti dasar 1Malaysia, dasar ekonomi berasaskan merit, pembinaan Menara Warisan dan sebagainya, kini terpaksa menyimpan semua perbezaannya dengan Najib dengan harapan UMNO dan BN terus kekal sebagai pemerintah.

Sebaik saja nanti tumpuan daripada pilihanraya umum beralih kepada pemilihan UMNO, Mahathir dipercayai akan segera bersuara dan mengeluarkan papan caturnya. Beliau akan menggunakan sisa-sisa pengaruh dan kehebatannya mengeluarkan logik-logik politik untuk menyingkirkan Najib sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Pak Lah dahulu.

Daim sudah memberi laluan dan kiranya Mahathir juga bersama menuntut perubahan kepada UMNO selepas piliharaya nanti, tidak ada sebab lagi untuk Muhyiddin mengelak dan tidak berani menyahut kehendak untuk mencabar Najib itu.

Sebagaimana Pak Lah juga kecundang apabila asakan semakin kuat, Najib juga diyakini tidak akan mampu bertahan apabila timbul desakan nanti, lebih-lebih lagi jika dilihat daripada sejarah politik Najib yang memperolehi semua jawatan dalam UMNO secara percuma dan tidak pernah melalui pertandingan kecuali untuk Naib Presiden, kebarangkalian untuk beliau lebih awal "lari malam" adalah cerah sekali. (SH 17/03/2012).

No comments:

Post a Comment