Monday, 6 February 2012

Rupa Dan Wajah UMNO Bila Hilang Kuasa

Soal masa depan UMNO bukan saja diperkatakan dari segi hidup matinya dalam PRU 13 ini tetapi juga bagaimanakah nasib UMNO setelah ia kalah dan kehilangan kuasa. Dengan pelbagai jangkaan yang antaranya bahawa UMNO dan BN hanya mampu meraih kemenangan antara 90 hingga 105 kerusi Parlimen saja dalam PRU 13 ini, hari demi hari soal rupa dan wajah UMNO tanpa kuasa semakin kerap diperkatakan.

Ada golongan yang berpendapat kekalahan dan kehilangan kuasa adalah baik untuk masa depan parti itu. Dengan kehilangan kuasa, ramai pemimpinnya, terutama yang sudah berusia akan mengundur diri bagi menghabiskan sisa-sisa hari tua bersama anak cucu serta keluarga lantaran UMNO yang sudah kehilangan kuasa itu tidak mampu lagi menyajikan apa-apa gula untuk mereka hisap.

Dengan pengunduran mereka, dan sebahagiannya menjadi beban besar kepada parti selama ini, golongan muda yang penuh idealisme perjuangan akan mengambil alih tampuk perjuangan parti. Dengan keyakinan bahawa jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mampu bertahan paling lama dua penggal sahaja kerana faktor usia, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN selepas itu dilihat akan menjadi terbuka dan seimbang semula. Golongan muda inilah yang dipercayai akan mampu menebus semua kuasa yang hilang melalui keyakinan dan idealisme perjuangan mereka.

Ini kerana tiada lagi pemimpin yang sehebat Anwar dalam Pakatan Rakyat yang mampu mengambil alih baton dan meneruskan larian dengan selesa. Selepas ketiadaan Anwar, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN untuk saling menerajui pentadbiran negara akan menjadi seimbang dan ini juga memungkinkan wujudnya sistem dua parti. Pakatan Rakyat dan BN akan saling bergilir-gilir mentadbir negara bergantung kepada keupayaan memberi tawaran serta khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

Namun ramai pula yang berpendapat bahawa selepas kalah pilihanraya dan kehilangan kuasa, UMNO akan mati dan berkubur tidak lama selepas itu. Pihak yang mengandaikan demikian berpendapat, oleh kerana UMNO selama ini hidup atas kuasa wang ringgit dan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara sudah lama dilupakan dan digantikan dengan perjuangan mengisi poket keluarga dan kroni, maka dengan ketiadaan kuasa beli itu, ia akan ditinggalkan oleh orang-orang Melayu sendiri.

Tanpa kuasa dan kekeringan wang, tiada lagi orang Melayu mahu mendekati UMNO. Generasi muda yang kini sudah pun membenci dan menjauhi UMNO, semakin memandang sepi manakala generasi tua, oleh kerana tiada apa-apa lagi yang boleh diharapkan, waima lantikan sebagai ketua kampung atau JKKK sekalipun, pasti akan memilih untuk terus berundur dan menghabiskan hari-hari tua bersama keluarga.

Beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO turut mengakui hakikat itu. Dengan ketiadaan kuasa dan kemampuan menawarkan gula, UMNO yang kini dilihat hanya tinggal jasad dan tiada lagi roh perjuangan, mereka juga amat yakin bahawa UMNO akhirnya akan ditinggalkan, kemudian dilupakan dan mungkin berkubur akhirnya.

Mereka mengakui bahawa UMNO yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini lebih menerapkan perjuangan berasaskan wang ringgit sama ada dalam pelaksanaan program mahu pun pemilihan pemimpin di pelbagai peringkat, malah mereka yang menyertai dan berjuang dalam UMNO pun atas keghairahan untuk mengaut kekayaan dan "mengambil mana yang sempat", penuh yakin bahawa UMNO tidak mungkin mampu hidup dan diminati jika kuasa sudah tiada lagi.

Keadaan paling mudah untuk membayangkan hakikat itu ialah dengan melihat perbezaan keadaan dan kehidupan bekas-bekas Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, semasa mereka masih mempunyai kuasa dengan setelah kuasa tiada lagi dalam genggaman. Ketika masih memegang jawatan, mereka inilah antara orang paling berkuasa dan dihormati tetapi lihatlah bagaimana kehidupan mereka setelah ketiadaan kuasa.

Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun merupakan orang paling berkuasa dan ditakuti. Ketika berkuasa beliau bertindak tegas, digeruni dan menyingkirkan semua musuh politiknya seperti Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim serta disanjung tinggi oleh penyokong dan pengagumnya tetapi setelah meletakkan jawatan, beliau disanggah oleh sebahagian besar menteri-menteri yang pernah bekerja dengannya. Mereka yang sebelum itu sekadar berani mengangguk walaupun Tun Mahathir belum habis berkata-kata, sudah berani menentangnya pula. Malah Tun Mahathir juga dimalukan apabila beliau ditentang dan digagalkan untuk menjadi salah seorang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.

Walaupun kini Tun Mahathir terus bersuara dan kerap mendapat tempat berikutan sikap Najib yang banyak bergantung dan memberi muka kepadanya, hakikatnya Tun Mahathir tidak lagi dikerumuni dan dihormati seperti dulu.

Tun Abdullah juga begitu. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau disanjung, dikerumuni dan diburu sepanjang masa. Pujian terhadapnya juga bagaikan melangit. Tetapi setelah tiada kuasa, apa jadi kepada Pak Lah sekarang. Beliau bagaikan bersendirian meneruskan kehidupan, malah kehadirannya di Parlimen pun tidak lagi dipedulikan. Menteri-menteri yang dulu sering mengelilingi dan menemaninya, tidak lagi kelihatan di sisi.

Kehidupan bekas-bekas menteri juga rata-ratanya begitu. Ketika berkuasa, berduyun-duyun mengelilingi dan cuba menghampiri. Mereka menjadi individu penting dalam negara dan kehebatan juga terserlah tetapi setelah tiada lagi kuasa, kebanyakannya menghabiskan masa sendirian. Ada yang ke sana sini tanpa teman dan tidak dipedulikan oleh sesiapa seolah-oleh mereka tidak pernah berjasa apa-apa. Kadangkala mereka pergi ke masjid pun tiada yang mahu bersalam, malah ada bekas menteri yang sembahyang Jumaat di kaki lima masjid dan tidak ada sesiapa yang mempedulikannya.

Malahan ada pemimpin yang susut berkilo-kilo berat badannya apabila hilang jawatan menteri. Yang meracau dan bercakap tanpa henti walau dengan orang yang baru dikenali pun ramai bilangannya. Hakikatnya semua mereka itu menjadi keseorangan dan tidak lagi dipedulikan setelah tiada lagi kuasa.

UMNO juga akan begitu akhirnya. Sebagaimana semua bekas Perdana Menteri dan bekas menteri ini menjalani kehidupan yang sepi, ditinggalkan dan tidak dipedulikan selepas ketiadaan kuasa, UMNO juga akan menerima nasib yang sama. Sebaik sahaja hilang kuasa, orang-orang Melayu akan mula meninggalkannya. Golongan tua dan berusia mungkin memilih untuk bersara dan menjadikan kekerapan ke surau dan masjid pula sebagai keutamaan. Bagi yang masih bertenaga dan mempunyai nafsu, mereka akan cuba mengintai-intai dahan serta wadah baru pula. Golongan muda memang sudah sedia menjauhkan diri dan dengan ketiadaan kuasa, golongan ini melihat UMNO tidak lebih umpama "kupang tembaga" saja.

Malah tidak memeranjatkan dengan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13 ini, ramai pemimpin UMNO yang pernah mendapat nikmat dari perjuangan UMNO pun akan menyeberang dan menghimpit Anwar pula, terutama mereka yang memang dikenali sebagai "orang-orang Anwar" yang mana mereka ini menduduki pelbagai hieraki dalam UMNO sekarang ini, daripada pencacai di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.

Dengan kemungkinan ini dan melihat bagaimana bekas-bekas pemimpin ini menjalani kehidupan penuh sepi selepas ketiadaan kuasa dan akhirnya ketika meninggal dunia pun hanya teman rapat dan kaum keluarga saja yang hadir, sukar untuk menolak hakikat bahawa UMNO pun akan menerima nasib yang sama.

Selepas hilang kuasa, perlahan-lahan UMNO akan ditinggalkan, tidak dipedulikan, mengecil serta kurus dan akhirnya mungkin mati begitu sahaja. (SH 6/02/2012).

6 comments:

  1. Tuan,

    Saya tidak pernah keliru dalam menilai isu Umno/Umno Baru. Saya berusia awal 20an semasa UMNO.diharamkan tahun 1987 dulu. Saya baru sahaja pulang dari luar negeri dan telah mendaftar menjadi ahli UMNO semasa belajar di sana. Kembali ke tanah air dengan semangat berkobar2 untuk membalas jasa UMNO kepada orang melayu.

    2. Saya dapat memahami apa yang berlaku. Suasana pemilihan tahun 1987. Perjalanan perbicaraan mahkamah yg membawa UMNO diharamkan. Satu memahami akta pertubuhan 1966 dan kuasa menteri dalam negeri yang boleh memulihkan UMNO yang telah diharamkan mahkamah. Satu memahami muslihat Tdm tidak memulihkan UMNO tetapi menubuhkan UMNO Baru.

    2. Kerana kecewa saya tidak menyertai UMNO Baru sehingga hari ini. Apa yang saja ada hari ini dengan peluang yang diberi untuk belajar diluar negara adalah atas kurnia Allah. Berkat susah payah sendiri tanpa menjual maruah diri kepada UMNO Baru. Perit, tetapi saya bersyukur.

    3. Saya sejak dulu melihat UMNO dan UMNO Baru sebagai 2 entiti berbeza yang tidak ada apa-apa kaitan. Akta pertubuhan juga mengiktiraf begitu. UMNO Baru adalah personal vehicle TDM untuk terus mengekal kuasa tanpa dicabar. The rest is historylah. Hari ini jelas,.UMNO Baru hanya menjadi platform segelintir pemimpin untuk mengekallan kuasa, mengkayakan keluarga dan kaum kerabat tanpa menghiraukan apa jadi kepada orang melayu massa maupun negara.

    3. Pada saya UMNO Baru hari ini adalah bukan lagi parti melayu tetapi sebuah parti BUMIPUTRA, setelah memasuki Sabah selepas PRU tahun 1990. Tentu sdra boleh mengagak mengapa TDM membawa UMNO Baru ke Sabah dan mengapa isu pendatang filipina diberi mykad dulu - dari segi percaturan politik TDM.

    4. Jika kita memahami hakikat ini, kita dapat menilai tindakan UMNO Baru hari ini dengan lebih jelas tanpa mengaitkan dengan UMNO.lama dan perjuangan melayu atau ketianan melayu. Perjuangan ini mati setelah UMNO.Baru memasuki Sabah sekitar tahun 1992/93 dulu.

    Yang paling sedih, orang melayu sering diperbodohkan apabila setiap kali UMNO Baru terdesak seperti sekarang tanpa mereka memahami senario sebemar.

    To your topic hari ini, biarkan UMNO Baru terus kecundang.Tiada apa yang perlu kiya gusarkan. Bahkan akn membuka ruang baru untuk kita orang melayu menyusun semula halatuju bangsa tanpa kena memikirkan UMNO Baru lagi atau terikat dengan legasi Umno Baru adalah parti melayu which is actually never has been.

    bat8

    ReplyDelete
  2. Satu komen yang menarik dan itulah pandangan ranai pihak terhadap UMNO sekarang ini iaitu rosaknya UMNO kerana Ia tidak sama lagi dengan UMNO asal dulu...

    ReplyDelete
  3. Tuan,

    UMNO Baru was setup with no intention walaupun sebesar hama to replace and as a succcessor to UMNO yang diharamkan oleh mahkamah. UMNO tidak memerlukan penganti jika kita teliti akta pertubuhan 1966 itu kerana kuasa memulihnya terletak di tangan TDM yang menjadi menteri dalam negeri masa itu. Kuasa itu dimasukkn oleh TDM juga apabila akta tersebut dipinda 6 bulan sebelumnya. UMNO Baru sengaja ditubuhkan untuk tujuan mengekalkan dan memusatkan punca kuasa kepada dirinya dari segi politik pada mulanya dan seterusnya memusatkan puncak kuasa negara solely ketangannya. Perkara ini menjadi jelas kini apabila kita mengkaji perjalanan UMNO Baru dan kerajaan sepanjang TDM menjadi PM.

    2. Saya suka menarik perhatian sdra dan pembaca blog ini lepada kuasa menteri dalam negeri dalam memulihkan sebarang pertubuhan yang diharamkan dibawah akta ini.

    Ingat lagi masaalah SNAP di Sarawak semasa Paklah menjadi PM merangkap menteri dalam negeri? Kerana masaalah dalaman pendaftaran SNAP telah dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Paklah telah menggunakan kuasanya dibawah akta pertubuhan 1966 untuk menghidupkan SNAP dengan arahan agar menyelesaikan masaalah dalamannya.

    Kuasa yang Paklah guna untuk menghidupkan SNAP ini adalah kuasa yang sama yang ada ditangan TDM semasa UMNO diharamkan oleh mahkamah dulu. Kuasa itu tidak pernah dipinta semenjak dipinta TDM dulu dan masih kekal sehingga hari ini.

    3. Persoalan yang timbul mengapa TDM tidak mahu menggunakan kuasanya sebagai menteri dalam negeri untuk menghidupkan UMNO pada masa itu. UMNO sebuah parti yang sinonim dengan perjuangan orang melayu, parti yang mempunyai sejarah pengorbanan ramai insan2 yang tidak bernama demi mencapai kemerdekaan dulu. Apakah TDM terlupa atau sengaja buat tak tahu tentang hakikat ini kerana kepentingan peribadi mengatasi segalanya?

    Untuk memahami isu ini kita perlu lihat keadaan dan suasana politik dan dalam kerajaan semasa itu yang membawa kpd tertubuhnya kumpulan A &.B menjelang pemilihan UMNO.tahun 1987.

    Stail Kepimpinan TDM sebgaia PM pada masa itu terutama selepas Musa Hitam meletak jawatan telah menyebabkan sebahagian besar anggota kabinet tidak sebulu dengan beliau. Keadaan ini melimpah sehingga wujud dua kem semasa pemilihan parti pada tahun 1987. Kedua2 kem sama kuat. TDM menang tipis dalam.suasana yang ada tuduhan berlaku penipuan. Hakikat suasana masa itu, kedudukan TDM tidaklah stabil dan kuat. Kumpulan penentangnya juga mempunyai kekuatan yang agak seimbang dengan kumpulan TDM.

    Harap saya dapat mengambarkan suasana yang saya maksudkan. Mengapa TDM tidak mahu menghidupkan UMNO lama maaa itu? Inilah jawapannya. Beliau tidak dapat memastikan bahawa jawatannya sebagai Presiden tidak akan dicabar dalam pemilihan2 seterusnya memandangkan sebahagian besar anggota kabinetnya berada di kem lawan dalam PAU 1987. Dia mungkin tidak mahu ambil risiko ini.

    Mengapa beliau buat parti baru - UMNO BARU?Parti baru ini dia kontrol.100%. Dia boleh tentukan siapa boleh masuk siapa yang tak boleh. Maknanya dia boleh menyingkirkan musuh2 politiknya dalam.UMNO lama dan dia boleh menentu game rules bagi parti barunya sekaligus memastikan dianya tidak akam dicabar sampai bila-bila. Memang benar sekali hakikat ini. Lihatlah bagaimana beliau membuat pelbagai peraturan baru mengenai pertandingan jawatan presiden dan timbalan sepanjang 22 tahun menjadi Presiden UMNO BARU.

    Setakat ni je la...nak pi makan nasik jap.

    bat8

    ReplyDelete
  4. Dr Mahathir, orangnya bijak dan cergas minda. Orang dalam kabinet beliau sedar kesungguhan beliau. Yang biasa dengan stail beliau faham erti "buku kecil" dalam mesyuarat kabinet. Beliau sangat peka...

    Yang suka-suka kerja memang tak selesa dengan Dr Mahathir. Itu dia.

    Kalaupun kita condong ke pihak pembangkang, itu bukan tiket untuk membenci Dr Mahathir. Kita hanya ada satu rakyat Malaysia yang disanjungi ramai didunia. Bukan Anwar, bukan Musa, bukan Hadi, bukan Nik Aziz, bukan Mat Sabu juga bukan Kit Siang....

    Mungkin Dr Mahathir penuh catatan pahalanya..., Anwar belum tentu, Hadi jua belum tentu...

    ReplyDelete
  5. Zulkifli Mohamad.....samada anak belum lahir / masih kanak-kanak masa itu atau mungkin anda memang tak tahu apa-apa yang berlaku masa itu. Ulasan aok jelas sekali..

    Am calling ur bluff!

    bat8

    ReplyDelete
  6. dari penilaian saya bat8 ni sebenar seorang yang tidak teguh akal dan mindanya kerana tulusannya berbaur perkauman dan penuh teka teki.UMNO baru ke lama ialah adalah satu entiti yang mana ada pertukaraan .Dalam dunia ni hanya satu saya yang tak boelh diubah iaitu AL Quran ...setakat pertukaraan , pencalonan .dll itu asam garam dalam POLITIK .ADIL pun ditubuhkan dahulu bukan untuk agenda indivitu tetapi telah di transform jadi PKR .Kesian bat8 suka merendahkan komen dan ulasan orang lain macam ilmu politik malaysia diturunkan dan diukur dari usia ....dari komen bat8 saling tak tumpah macam mentornya Anwar Ibrahim yang di anggap anugerah tuhan dan sentiasa bersih sebersihnya.Bagi le sy contoh peminmpin yang suci secucinya pada kurun ke 21 ni.Kesalahan tetap ada dalam kita menjalankan tanggugjawab....tak semua orang perfect ...ubahla sikap pengkritik yang membina untuk bangsa dan negara bukan menjatuhkan negara...negara tak rugi pun kalau tidak diperintah oleh anwar ..kerana kemajuan dan kedamaian wujud dari rakyat malaysia...

    ReplyDelete