Monday, 20 February 2012

Najib Dah Jadi Macam Pengemis!

Keghairahan Najib untuk mendapatkan undi kaum Cina dan India dalam PRU 13 ini dan seterusnya meletakkan dirinya kekal di persada kuasa sebagai Perdana Menteri, memperlihatkan bahawa tindakannya sekarang ini sudah sampai ke tahap "mengemis". Tindakannya itu bukan saja diperlihatkan melalui kata-kata dan ucapan tetapi juga melalui perbuatannya sekali.

Beliau sering merayu, memberi logik mengikut kepentingannya, mengungkit jasa dan kadang-kadang melontarkan nada berupa ugutan. Beliau juga sanggup hadir ke pelbagai sambutan yang dianjurkan kaum Cina dan India, termasuk meraikan Thaipusam di Batu Caves, siap dengan berpakaian kurta kuning. Selain Itu beliau juga sering menghulurkan "bantuan segera" kepada komuniti Cina dan India, setiap kali ada kesempatan berbuat demikian. Untuk itu, sekolah Cina, NGO, pusat kebudayaan India dan sebagainya sering menerima "durian runtuh" daripada Najib.

Kaum Cina dan India kini bagaikan "gadis pingitan" yang menjadi buruan serta igauan seorang jejaka kaya. Bukan saja kata-kata manis, pujuk rayu malahan bermacam-macam "hadiah" sanggup diberikan. Kadang-kadang apabila respon yang diharapkan tidak menjelma, taktik ugutan pula digunakan.

Begitulah perumpamaan Najib dengan pengundi Cina dan India sekarang ini. Bagi Najib, pengundi bukan Melayu adalah umpama "gadis pingitan" yang mesti direbut cintanya meskipun si gadis mempunyai pilihan lain yang lebih "handsome" serta mampu menjanjikan kebahagiaan masa depan. Pelbagai cara dan taktik digunakan asalkan apa yang dihajatkan membuahkan hasil.

Baru-baru ini Najib merayu lagi kepada kaum Cina agar terus memberi sokongan kepadanya dan BN untuk terus menerajui negara ini. Berucap di Persidangan "Cina Malaysia di Persimpangan" yang antara acaranya menyaksikan berlakunya debat antara Presiden MCA, Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Najib memberitahu, sokongan yang dimahukannya agar BN terus berkuasa dan dirinya kekal sebagai Perdana Menteri bukanlah untuk dirinya tetapi untuk membawa negara menjadi lebih maju lagi.

Rayuanya kali ini amat jelas memperlihatkan beliau begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan kaum Cina. Najib seperti dapat merasakan dengan sokongan kaum Cina yang masih hambar kepada BN sekarang dan "cinta yang ditabur masih belum berbalas", kedudukannya di puncak kuasa kini umpama telur di hujung tanduk.

Dua minggu sebelum itu di sambutan Thaipusam di Batu Caves di mana Najib hadir dengan berpakaian kurta kuning, beliau turut melaungkan nada yang hampir serupa. Beliau mahu kaum India mempercayainya dalam membantu meningkatkan taraf kehiduan mereka.

Sambil menghulurkan sumbangan RM2 juta untuk pusat kebudayaan kaum India di Batu Caves itu, Najib kemudiannya meminta supaya apa yang dilakukannya itu dibalas dengan sokongan yang mampu memenangkan BN dalam pilihanraya umum nanti.

Dengan nada yang sedikit mengugut, beliau berkata, "awak tolong saya, saya akan tolong awak balik."

Di rumah terbuka Tahun Baru Cina di Sitiawan dan rumah terbuka anjuran Gerakan, dua minggu sebelumnya, Najib juga melontarkan nada yang sama kepada kaum Cina. Beliau berkata, kerajaan pimpinannya akan melakukan apa saja cara untuk memikat hati kaum Cina agar mereka terus meyokong BN.

Sambil mengimbas lipatan sejarah masa lalu yang memperlihatkan sokongan kaum Cina agak membanggakan kepada BN melalui MCA, Gerakan dan pelbagai parti lainnya, Najib juga berkeyakinan bahawa kaum Cina akan kekal sebagai pengundi yang setia kepada BN.

Sebenarnya tindakan Najib merayu, memujuk dan melontarkan nada berupa ugutan kepada pengundi bukan Melayu untuk memastikan BN kekal berkuasa bukanlah perkara baru. Dalam pilihanraya kecil Sibu pada 2010, Najib pertama kali melaungkan amaran serta ugutan kepada kaum Cina agar terus menyokong BN dengan mengungkapkan kata-kata "you help me, i help you".

Kata-kata itu jika diteliti dengan mendalam bermaksud bahawa bantuan dan pertolongan kepada kaum Cina dan India hanya akan diberikan setelah sokongan dan undi diberikan terlebih dahulu. Ini bukan saja berupa ugutan tetapi juga menggambarkan ketidakikhlasan Najib dalam perjuangannya selama ini.

Jika seorang jejaka, setelah gagal memujuk dan merayu, kemudian mengugut untuk mengambil semula segala hadiah pemberiannya kepada gadis pingitan yang cuba dipikatnya apabila mendapati cintanya tidak berbalas, ia bukanlah seorang jejaka budiman sebenarnya.

Dengan beberapa rentetan peristiwa itu dan mungkin banyak lagi yang diucapkan Najib kepada kaum Cina dan India secara tertutup dan tidak kita ketahui, jelas memperlihatkan beliau amat terdesak. Dari menceritakan kebaikan dan jasa BN, merayu, memberikan wang, mengugut, cuba meniru cara berpakaian dan hadir di acara agama mereka, kemudian merayu dan merintih lagi, semuanya sudah dilakukan Najib tetapi nampaknya "gadis pingitan" yang diharap-harapkan masih juga belum membalas cinta yang diluahkan.

Dengan pilihanraya yang semakin hampir, percayalah Najib akan terus merayu dan meminta-minta sokongan kaum bukan Melayu untuk memastikan dirinya kekal sebagai Perdana Menteri dan lagakya tidak ubah umpama seorang "pengemis cinta" yang begitu mengharap dan tergila-gilakan seorang "gadis pingitan". Selagi undi dan sokongan yang diharap-harapkan tidak menjelma, Najib akan terus menjadi "pengemis" kepada mereka.

Dalam masa yang sama, tidak pernah pula Najib begitu mengemis kepada orang-orang Melayu supaya terus menyokongnya walaupun golongan Melayu yang tidak menyokongnya makin bertambah hari demi hari. Apakah Najib tidak begitu mempercayai dan mengharapkan sokongan orang-orang Melayu lagi atau pun beliau merasakan sudah memadai orang-orang Melayu ini dibelai dengan bantuan RM500 melalui BR1M, RM100 bantuan untuk murid sekolah, RM200 untuk pelajar universiti serta pemberian saham dan keuntungan kepada peneroka Felda sebaik Felda Global Ventute di senaraikan di Bursa Malaysia nanti. Atau mungkin ditambah lagi dengan pemberian sedikit duit kopi, kain batik dan kain pelikat semasa hari pengundian nanti.

Dan kenapakah Najib tidak merayu, merintih serta berdoa kepada Tuhan agar kerajaan yang dipimpinnya sekarang terus diberikan kekuatan untuk menghadapi segala cabaran dan akhirnya beroleh kejayaan serta dalam masa yang sama berusaha menampilkan ciri-ciri kepimpinan yang ikhlas, telus dan amanah dalam memperjuang dan membela kehidupan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Akhirnya tindakan Najib yang berterus-terus menjadi "pengemis" kepada undi dan sokongan bukan Melayu ini hanya meletakkan dirinya semakin hilang kredibiliti sebagai pemimpin dan peneraju. Tidak pernah mana-mana pemimpin Melayu merayu, merintih dan "mengemis" sebagaimana Najib ini. Sokongan biasanya akan muncul apabila ada keikhlasan, amanah, telus dan ciri-ciri kebaikan yang ditampilkan oleh sesebuah kerajaan atau kepimpinan itu dan ini tidak pula begitu dititik-beratkan oleh Najib. Beliau hanya tahu merayu dan "mengemis". Najib juga tidak seharusnya lupa untuk sentiasa bersikap budiman walaupun kadang-kadang "cintanya tidak berbalas".

Sebelum Najib mengemis dan terus mengemis lagi, elok rasanya Presiden Perkasa, Ibrahim Ali membisikkan slogan perjuangan Perkasa kepada kedua-dua belah telinga Najib, "Biar mati berdiri, asal jangan hidup melutut". (SH 20/02/2012).

3 comments:

  1. Bukan Najib sahaja malahan Muhyudin turut bertukul lumus untuk menahankan kekuasaan bagi memerintah negara ini.Belum pernah dalam sejarah BN berkuasa selama 54 tahun selepas merdeka pekara ini berlaku.Mereka telah meletakan diri mereka kebawah tahap pengemis jalanan myamar dan Cambonja di negara sendiri.Kenapa pekara ini berlaku? Rakyat telah celek dan benci penyalahan kuasa dan rasuah telah sampai ketahap BUSUK hingga ke USUS.Tak payahlah memberi gula2 untuk memancing undi.Rakyat telah berazam untuk kuburkan UMporNO/ bn DALAM PILIHAN RAYA KE 13 INI.

    ReplyDelete
    Replies
    1. no need to insult org len punya nama parti pon boleh jatuhkan maa...org len pertikai mentality ko nanti~

      Delete
  2. "kami boleh tolong kamu...tapi kamu kena tolong kami balik" lebih kurang macam ni laa~

    ReplyDelete